Categories
SELANGOR

Hannah: DYMM Sultan Selangor Titah Laksanakan Tugas Sebaik Mungkin

sultan hannah khalid 28 jun 01

SHAH ALAM, 28 JUN : Usianya yang masih muda tidak patut menjadi penghalang kepada Hannah Yeoh Tseow Suan untuk melaksanakan tugasnya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), dengan sebaik mungkin.

Itu merupakan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Hannah yang menjadi wanita pertama dilantik Speaker dewan undangan negeri.

“Nasihat Tuanku kepada saya sebagai Speaker yang paling muda, Tuanku mengatakan saya kena ‘do my best’, buat yang terbaik untuk Dewan Negeri.

“Dan peluang macam ini tak selalu datang. Jadi kena ambil kesempatan belajar sebanyak yang mungkin,” ujar Adun Subang Jaya itu ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Persidangan Penggal Pertama DNS ke-13 di sini hari ini.

Hannah berkata, baginda Tuanku juga berharap beliau dapat memajukan DNS agar menjadi dewan undangan negeri yang terbaik di Malaysia.

“Tuanku gembira cara Sidang Dewan telah berjalan dalam masa lima tahun lepas. Tuanku juga minta Sidang Dewan akan terus maju,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Portfolio Penerangan Pastikan Rakyat Dapat Maklumat Tepat

Exco Selangor Baru

KLANG 30 MEI : Portfolio Penerangan diwujudkan bagi memastikan rakyat Selangor mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai segala program yang dirangka Kerajaan Negeri menerusi hebahan media.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim langkah ini mengambil pengajaran ketika pentadbiran penggal pertama lalu ,biarpun banyak program dijalankan seperti agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) namun ia tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh.

“Oleh sebab itu salah satu tugas portfolio ini ialah memberikan penerangan yang lebih tepat, jelas dan terus kepada rakyat.

“Ini akan kita bincangkan supaya sebarang maklumat dan komunikasi kepada rakyat dapat dilaksanakan melalui pelbagai usaha seperti hebahan melalui TVSelangor, radio dan semua media,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.MB exco baru

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri komited meneruskan agenda MES dalam penggal terbaru ini di mana kekayaaan negeri diagihkan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau dan barisan exco yang baru dilantik menerima segala nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan memastikan kesinambungan pentadbiran bersih dan telus yang ditunjukkan Kerajaan NegeriĀ  sepanjang lima tahun lalu.

‘Kepada rakan yang baru dilantik, saya yakin mereka mampu memberikan komitmen yang tinggi terhadap bidang tugas yang diamanahkan demi meneruskan kecemerlangan kerajaan Selangor,” katanya.

Antara muka baru dilantik adalah Adun Sabak, Sallehen Mukhyi selaku Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa; Adun Kota Alam Shah, V Ganapathi Rao (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin dan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) kini disandang Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker DNS.

Bekas Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim yang juga Adun Sungai Pinang dilantik Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Selain itu, Menteri Besar turut memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam (Pemutihan Kilang Haram), Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Pelaburan, Pembangunan Desa dan Pelancongan) serta Jawatankuasa Adat Melayu.