Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Tingkat Infra Asas, Teknologi Maklumat

MB-Sultan_3

SHAH ALAM, 28 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru Kerajaan Negeri supaya menyediakan infrastruktur asas seperti jalanraya dan utiliti yang cukup selain membangunkan infrastruktur teknologi maklumat (ICT).

Baginda berkata inftrastruktur ICT dapat melahirkan peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan baru bagi rakyat Selangor.

“Perbelanjaan untuk infrastruktur perlu diberi keutamaan secara berterusan bagi memastikan kualiti kemudahan awam sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Selain daripada infrastruktur asas seperti jalan dan penggunaan air, kerajaan juga harus memberi tumpuan kepada infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet.

“Pelaburan di dalam teknologi jalur lebar seperti ini akan mendatangkan manfaat keilmuan serta manfaat ekonomi kepada rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini pagi tadi.

“Beta percaya bahawa perlaksanaan program seperti ini akan dapat mencergaskan lagi usaha untuk merakyatkan ekonomi dan merakyatkan ilmu di Negeri Selangor ini,” titah baginda lagi.

Ketika menyentuh kejayaan Kerajaan Negeri meningkatkan rezabnya sehingga mencecah RM 2.5 bilion pada April 2013, Baginda melahirkan keyakinan kejayaan ini adalah dari proses dan usaha pengutipan hasil yang lebih cekap.

“Kecekapan ini juga perlulah disebarluaskan kepada semua agensi kerajaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

?Supaya usaha pengutipan hasil sedia ada dan tertunggak dapat dikutip yang akhirnya akan memberi semula kebaikan kepada rakyat,” titah baginda.

Persidangan yang disambung pada hari Isnin nanti dijangka akan berlangsung selama lima hari.

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor Saran Kerajaan Negeri Kukuhkan Ekonomi Negeri

sultan barisan dewan negeri selangor 28 jun 01

SHAH ALAM 28 JUN : Kerajaan Negeri disarankan supaya memastikan ekonomi negeri berada dalam keadaan stabil dan menyumbang kepada peningkatkan kualiti hidup rakyat.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Kerajaan Negeri perlu menyusun strategi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih efisyen agar dapat membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Baginda bertitah, Selangor mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang sentiasa terdedah kepada suasana pasaran dan pergolakan global dan ia secara tidak langsung mempengaruhi rakyat.

“Selangor sebagai sebuah negeri yang mengamalkan ekonomi terbuka iaitu ekonomi yang terdedah kepada suasana pasaran dan pergolakan global, sudah tentulah rakyat Beta akan turut merasa bahangnya.

“Beta amat memandang serius terhadap permasalahan rakyat Beta terutamanya dalam usaha mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kebajikan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Baginda turut memuji Kerajaan Negeri yang berjaya mengekalkan momentum sebagai negeri penyumbang utama ekonomi negara.

“Beta yakin bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada kejayaan serta usaha gigih dan kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing untuk masuk ke dalam negeri.

Pada 2012 lalu, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 11.73 bilion dengan sebanyak 252 projek berjaya dimajukan.

Bagi suku pertama 2013 pula, jumlah pelaburan Selangor mencecah sehingga RM 700 juta.

“Usaha perlu digiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelabur ke melabur di negeri Selangor.

“Usaha-usaha ini perlulah juga ditumpukan kepada industri berteknologi tinggi, industri yang mengamalkan teknologi hijau supaya alam dan persekitaran negeri Selangor terhindar daripada pencemaran,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, sektor perkhidmatan diyakini akan terus memberi peranan besar kepada kemajuan ekonomi negeri.

Setakat ini, sumbangan sektor perkhidmatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor adalah sebanyak 56 peratus.

DYMM Sultan Selangor Mahu Kerajaan Negeri Perluaskan Agenda MES

MB Sultan Duit Ramadan Puchong02

SHAH ALAM 28 JUN : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Kerajaan Selangor meneruskan agenda menjaga kebajikan rakyat dengan memperluaskan skop program-program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Beta berharap usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan mengurangkan perbezaan pendapatan di kalangan rakyat.

“Keprihatinan kerajaan (negeri) ini juga hendaklah merangkumi masyarakat orang asli serta Orang Kelainan Upaya (OKU) agar mereka boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua rakyat lain di Selangor,” ucap baginda.

Beliau bertitah demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 pagi tadi.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda turut menekankan agar Kerajaan Selangor memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam di negeri ini.

“Bagi memajukan umat, bidang pendidikan dan ekonomi mesti menjadi keutamaan dan usaha ini tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat beta yang lain.

“Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat,” titah baginda lagi.

Sejak 2008 hingga Februari lalu, Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan sebanyak RM 856 juta untuk menjayakan 29 program kebajikan di bawah MES.

Antaranya ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Air Percuma Setiap Bulan, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Kesihatan Wanita, Program Tuisyen Rakyat dan tabung Anak Pekerja Ladang.

Dalam peruntukan belanjawan negeri pula, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperolehi peruntukan paling tinggi iaitu melebihi RM 130 juta setahun.

Sepanjang tempoh lima tahun lepas, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM 405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama sementara lebih RM 46 juta diperuntukkan bagi usaha baik pulih masjid.

Selain itu Kerajaan Negeri juga menaikkan elaun guru-guru Sekolah KAFA daripada RM 400 kepada RM 1,300 sebulan sebagai satu pelaburan modal insan.

Categories
SELANGOR

Minta MBSA Kaji Semula Kelulusan Bina Pawagam Di Shah Alam

Khalid-Samad edit

SHAH ALAM 5 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu mengkaji semula kelulusan projek pembangunan di kawasan berhampiran Padang Jawa di sini di mana sebuah mini teater bakal diwujudkan di dalam kompleks perniagaan di situ.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa mengikut pelan asal pembangunan kompleks perniagaan di Alam Avenue 2 tersebut, tiada terdapat perancangan bagi pembinaan mini teater berkenaan.

Beliau berkata, MBSA sewajarnya mengekalkan keadaan asal di mana tiada pembinaan panggung wayang atau pusat hiburan di sekitar Seksyen 1 hingga Seksyen 24 Shah Alam sepertimana kehendak Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Saya telah menulis kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya perkara ini dipertimbangkan kembali,”katanya dalam sidang di pejabatnya di sini.

Tegasnya, kepentingan penduduk di kawasan itu perlu diambil kira oleh MBSA sebelum sebarang keputusan dibuat bagi projek berkenaan.

“Saya telah mengutus surat kepada Datuk Bandar Shah Alam pada Januari lalu tetapi setakat ini tiada respon,” katanya.

Abdul Khalid Selesai Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor

khalid angkt sumpah 01

KUALA LUMPUR 14 MEI : Hari ini bertempat di Istana Alam Shah Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memetik satu kenyataan di laman twitternya, beliau melahirkan rasa syukurnya dan berterima kasih atas sokongan semua pihak.

“Cadangan rakyat diterima baik dan usaha kita akan digandakan,” katanya.

Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu.

Semalam, Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam berkata, barisan baharu Exco Kerajaan Negeri Selangor akan dibuat selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Berita lanjut menyusul…

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penggunaan Kalimah Allah Dalam Lagu Negeri Tidak Perlu Dijadikan Isu

Grafik-Khalimah Allah

SHAH ALAM, 9 JAN : Kerajaan Selangor mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan penggunaan kalimah Allah dalam lagu Selangor sebagai suatu isu besar kerana tiada unsur penghinaan dan penyalahgunaan kalimah tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penggunaan kalimah Allah hanya menjadi suatu kesalahan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan seperti menghasut umat Islam untuk bertukar agama.

Abdul Khalid berkata, ia sejajar dengan fatwa di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003(Pindaan 2010).

?Wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan kalimah tersebut, ia perlu disekat mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

?Enakmen ini perlu dibaca dan difahami secara menyeluruh untuk mengelak sebarang kekeliruan,? katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.

Abdul Khalid turut menambah, DYMM Sultan Selangor adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kuasa tersebut.

Semalam, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam dan orang bukan Islam diharamkan untuk menggunakannya.

Manakala pimpinan Pakatan Rakyat menerusi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pandangan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’.

Categories
SELANGOR

Penduduk Jeram Lega Peroleh Masjid Baru

 

KUALA SELANGOR, 12 OKT : Dulu, penduduk Pekan Jeram terpaksa berhimpit-himpit dan mendirikan solat berjemaah di luar perkarangan masjid lama mereka yang kecil dan serba kekurangan.

Sehingga pada satu solat Hari Raya Aidilfitri, jemaah yang berdiri di luar masjid tersebut lari bertempiaran apabila hujan lebat pada hari itu.

Tetapi situasi masa dulu diharap tidak berulang lagi selepas mereka menerima sebuah Masjid baru yang lebih luas, selesa dan tersergam indah akhir bulan lepas.

Masjid yang baru itu mampu menampung kira-kira lebih 2,000 jemaah dengan kemudahan meletak kereta lebih luas serta ruang solat berhawa dingin.

Ia dibina dengan kos RM 6.4 juta dan menyediakan bilik pengurusan jenazah, bilik persediaan jenazah, bilik penyediaan makanan dan bilik mesyuarat.

Seorang penduduk Rahmat Shafie, 71, berkata, semasa menggunakan masjid lama kerap berlaku situasi tatakala waktu Solat Hari Raya yang jemaahnya melebihi kapasiti ruang masjid itu walaupun disediakan khemah tambahan di luar masjid.

“Alhamdulillah hari ini penduduk Jeram mendapat kemudahan sebuah masjid baru yang lebih besar yang mana masyarakat Islam di sini lebih 90 peratus terdiri daripada masyarakat Islam,” ujarnya.

Beliau ditemui semasa majlis penyerahan masjid itu daripada Kerajaan Negeri yang dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nama rasmi masjid tersebut akan diumumkan semasa upacara perasmian yang bakal disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Rahmat, yang sebelum ini ahli jawatankuasa masjid berkata, permohonan untuk mendapatkan masjid baru telah dikemukakan sejak 2002 kepada negeri pada masa itu, tetapi pelbagai rintangan yang perlu dihadapi.

Ianya menjadi kenyataan selepas kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat meluluskan pembinaannya pada tahun 2010 dan akhirnya boleh digunakan untuk Solat Jumaat kira-kira dua minggu yang lalu.