Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air enam kawasan di Shah Alam pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 14 DIS: Bekalan air di Seksyen 18, 19, 20, 23, 24 dan 25 di sini yang mengalami gangguan susulan paip pecah pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini berkata agihan dibuat selepas kerja pembaikan paip yang bermula semalam di Jalan Persiaran Jubli Perak Seksyen 24 selesai jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri dalam kenyataan.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Facebook, Instagram dan Twitter Air Selangor atau laman sesawang http://www.airselangor.com.

Pengguna juga boleh menghubungi pusat perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan bekalan air: Jangan salahkan Air Selangor sahaja

SHAH ALAM, 8 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak wajar dipersalahkan berhubung isu gangguan bekalan air di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Prof Dr Sumiani Yusof berkata agensi hanya merawat air yang diterima daripada sungai.

“Kita tahu Air Selangor sentiasa disalahkan sekiranya terdapat gangguan bekalan air tetapi sungai itu sebenarnya adalah entiti yang mana ekosistemnya perlu dijaga semua.

“Pencemaran ini bermula dari lembangan sungai, oleh itu penguatkuasaan amat penting bagi mengawasi sumber air, dan ini memerlukan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya bekalan air tidak lagi tercemar,” katanya dalam sebuah rancangan televisyen.

Dr Sumiani berkata sebarang bentuk pembangunan berdekatan lembangan sungai yang mendatangkan risiko pencemaran sumber air perlu dipantau segera.

“Pihak berkuatkuasa perlu memastikan kilang atau industri yang berisiko mendatangkan pencemaran tidak sewenang-wenangnya diberi kelulusan.

“Pada masa sama, pencemaran ini boleh dicegah dengan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pemantauan. Ia menghalang individu tidak bertanggungjawab daripada melakukan pencemaran,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani isu pencemaran air dengan menjalankan operasi bersepadu merobohkan premis tanpa kebenaran yang dibina di rizab sungai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih hampir 4,000 botol air minuman

SHAH ALAM, 12 NOV: Sukarelawan Team Selangor mengedarkan hampir 4,000 botol minuman lima liter kepada pengguna terjejas bekalan air di tiga wilayah semalam.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata agihan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meliputi Petaling, Klang dan Kuala Langat.

“Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada 20 pelajar institusi pengajian tinggi dan 40 komuniti digerakkan bagi membantu kerja pengagihan bermula kira-kira jam 2 petang.

“Kita menyasarkan agihan kepada warga emas, keluarga yang mempunyai ahli terlantar sakit dan orang kelainan upaya (OKU), manakala Air Selangor memfokuskan kawasan berkepadatan tinggi seperti flat kos rendah serta Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan air supaya bersabar memandangkan proses pemulihan dibuat secara berperingkat.

“Kita akui rata-rata penerima mengharapkan bekalan segera pulih namun Team Selangor akan cuba bantu mengedarkan air sekiranya ada lagi kawasan yang belum pulih hari ini bergantung pada jumlah penyertaan sukarelawan,” katanya.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat gerakkan bekalan air bersih ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 19 OKT: Dua lori membawa muatan 1,000 gelen air bersih digerakkan ke kawasan terjejas sekitar Pandamaran, Klang mulai malam esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Leong Tuck Chee berkata bekalan diutamakan kepada penduduk yang tinggal di perumahan bertingkat.

“Hari ini kita jangka semua penduduk masih mempunyai bekalan air. Sebab itu kita akan mulakan penghantaran esok sekitar jam 7 malam.

“Penduduk yang kehabisan bekalan boleh berhubung dengan ketua kawasan masing-masing supaya penghantaran lebih lancar dan sistematik atau melalui Facebook DUN Pandamaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, ADN Kota Anggerik berkata pihaknya sudah menghubungi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) supaya bersedia menggerakkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas.

“Melalui pengalaman sebelum ini, cara ini lebih berkesan. Kawasan yang kehabisan bekalan akan terus menerima air selepas aduan dibuat,” kata Mohd Najwan Halimi.

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat LRA ditutup, lebih 1.1 juta akaun pengguna alami gangguan air

SHAH ALAM, 19 OKT: Lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata ia merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi.

“Setakat 6.30 pagi ini, pencemaran ditahap 1 TON (kadar pencemaran bau). Pemulihan pada tahap 80 peratus namun berikutan pencemaran bau melibatkan loji sama, ia tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Air Selangor melepaskan 285 juta liter air sehari (JLH) dari projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 serta 800 JLH dari empangan bagi mencairkan pencemaran berkenaan sementara Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengepam air mentah dari kolam KL Larut dengan kapasiti 336 JLH.

“Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas terutama premis kritikal seperti hospital serta pusat dialisis dan pengguna yang memerlukan bantuan air untuk kecemasan seperti kematian boleh menghubungi talian 15300.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Categories
AGENSI SELANGOR

Paip bocor, bekalan air 686 kawasan Lembah Klang pulih petang esok

SHAH ALAM, 17 OKT: Sebanyak 686 kawasan di Lembah Klang bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas separa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata henti tugas bagi memberi laluan kerja pembaikan kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air terawat dilakukan.

“Bekalan air ditutup jam 9 malam ini dan akan menyebabkan gangguan bekalan membabitkan 686 kawasan di Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur serta Hulu Selangor.

“Pengguna disaran menyimpan bekalan air secukupnya sebelum penutupan dan menggunakannya secara berhemah,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Air Selangor menjangkakan kerja pembaikan siap sepenuhnya jam 8 pagi esok.

Tambahnya sistem rawatan air di loji juga beroperasi seperti biasa pada jam 2 petang esok.

Perkembangan insiden akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
BERITA UTAMA

Bekalan air 59 kawasan terjejas pulih pagi esok

SHAH ALAM, 16 OKT: Bekalan air ke 59 kawasan terjejas di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat dijangka pulih sepenuhnya jam 10 pagi esok.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini.

“Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila ia disalurkan semula.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna terjejas,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Hari ini, pengguna di tiga wilayah terbabit mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah di Seksyen U11 di sini.

Agensi berkata insiden berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan Worldwide di situ.

Perkembangan kerja pembaikan paip akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja ganti injap, 28 kawasan di Kuala Selangor alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 13 OKT: Sebanyak 28 kawasan di Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual susulan kerja penggantian injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sireh hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kerja penggantian bermula jam 9 pagi hingga 6 petang ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna sejurus kerja tersebut selesai dilaksanakan.

“Bekalan air di 28 kawasan di wilayah Kuala Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh layari laman sesawang agensi di www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Kawasan yang mengalami gangguan bekalan air:

1. Bagan Tengkorak
2. Jalan Ban Canai
3. Jalan Kunci Air Buang
4. Kampung Ampangan
5. Kampung Haji Razali
6. Kampung Melaka/ Kampung Kilat
7. Kampung Pinang
8. Kampung Seri Tiram Jaya
9. Kampung Sungai Burong 1 Parit 1 – Parit 4
10. Kampung Sungai Kajang
11. Kampung Sungai Tengi Kiri (Pekan Tanjung Karang)
12. Kampung Tok Adam
13. Kampung Ulu Tiram
14. Lorong Bahagia
15. Parit 1 Sungai Burong
16. Seluruh kawasan Sawah Sempadan Blok A – Z
17. Sungai Burong Sawah Parit 1 – Parit 4
18. Sungai Sireh Lorong 1 – 23
19. Taman Desa Jaya
20. Taman Kopema
21. Taman Radin Jaya
22. Taman Sri Bakti
23. Taman Sri Desa
24. Taman Sri Jaya
25. Taman Sri Setia
26. Taman Sri Tanjong
27. Taman Tanjung Karang/ Taman Ria Min/ Taman Ketam
28. Taman Wawasan

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah, enam kawasan di Shah Alam alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 12 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kejadian paip pecah berlaku di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 24 di sini menyebabkan enam kawasan di Shah Alam mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula malam ini.

Agensi berkata gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga itu melibatkan pengguna di Seksyen 18, 19, 20, 23, 24 dan 25.

“Bekalan air akan mula ditutup pada jam 9.00 malam 12 Oktober (hari ini) bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip pecah tersebut dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 9.00 pagi esok,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor berkata bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 3.00 petang esok.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

 

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Gangguan bekalan air berjadual di Kuala Selangor pada 13 Oktober

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 28 kawasan di wilayah Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 13 Oktober susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sireh.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan tindakan itu susulan urusan penggantian injap bermula jam 9.30 pagi.

“Penambahbaikan infrastruktur membolehkan loji beroperasi dengan lebih cekap selain memastikan peralatan dalam keadaan baik.

“Langkah ini juga sebahagian usaha Air Selangor untuk meningkatkan kualiti demi keselesaan pengguna pada masa hadapan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 10 malam, hari yang sama.

Justeru, pengguna yang terjejas dinasihat menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dari LRA serta tekanan pada sistem agihan,” kata Elina lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Berikut kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air:

1. Bagan Tengkorak
2. Jalan Ban Canai
3. Jalan Kunci Air Buang
4. Kampung Ampangan
5. Kampung Haji Razali
6. Kampung Melaka/ Kampung Kilat
7. Kampung Pinang
8. Kampung Seri Tiram Jaya
9. Kampung Sungai Burong 1 Parit 1 – Parit 4
10. Kampung Sungai Kajang
11. Kampung Sungai Tengi Kiri (Pekan Tanjung Karang)
12. Kampung Tok Adam
13. Kampung Ulu Tiram
14. Lorong Bahagia
15. Parit 1 Sungai Burong
16. Seluruh kawasan Sawah Sempadan Blok A – Z
17. Sungai Burong Sawah Parit 1 – Parit 4
18. Sungai Sireh Lorong 1 – 23
19. Taman Desa Jaya
20. Taman Kopema
21. Taman Radin Jaya
22. Taman Sri Bakti
23. Taman Sri Desa
24. Taman Sri Jaya
25. Taman Sri Setia
26. Taman Sri Tanjong
27. Taman Tanjung Karang/ Taman Ria Min/ Taman Ketam
28. Taman Wawasan

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah, 29 kawasan di Petaling alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 29 kawasan di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air susulan kejadian paip pecah di Persiaran Mimbar, Bukit Jelutong pada jam 7.30 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata disebabkan itu, bekalan air ditutup bermula jam 11 malam ini bagi kerja pembaikan paip pecah.

“Kerja pembaikan dijangka siap pada jam 5 pagi esok (1 Oktober), sementara bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi, hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan.

Agensi akan memaklumkan perkembangan baik pulih dari masa ke semasa melalui akaun rasmi media sosial termasuk Facebook, Twitter, Instagram serta aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Lokasi terjejas:

1. Bandar Kinrara 1, 2, 3, 4, 5 dan 9                          16. PJS 5
2. Jalan Kenari                                                             17. PJS 6
3. Jalan Puchong Batu 10                                          18. PJS 7
4. Jalan Puchong Batu 11                                          19. PJS 8
5. Jalan Puchong Batu 12                                          20. PJS 9
6. Jalan Puchong Batu 13                                          21. PJS 10
7. Jalan Puchong Batu 7                                            22. PJS 11
8. Jalan Puchong Batu 8                                            23. Puchong Mesra
9. Jalan Puchong Batu 9                                            24. Sirim
10. Kampung Bohol                                                    25. Taman Bukit Kuchai
11. Kampung Lembah Kinrara                                  26. Taman Kinrara
12. PJS 1                                                                       27. Taman Puchong Indah
13. PJS 2                                                                       28. Taman Puchong Permai
14. PJS 3                                                                       29. Taman Perindustrian 7
15. PJS 4

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Kertas siasatan kes cemar Sungai Gong siap dalam masa terdekat – SPAN

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Kertas siasatan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang, yang menyebabkan gangguan bekalan air sejak Khamis lepas kepada hampir lima juta pengguna di sebahagian kawasan di Selangor, dijangka siap dalam masa terdekat, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata pihaknya kini, sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak terbabit, dan akan diserahkan kepada Pegawai Pendakwa Raya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, dalam tempoh seminggu.

“SPAN bakal mengambil tindakan tegas kepada pencemar sumber air mentah di Sungai Gong, ini termasuk mempertimbang untuk mengguna pakai Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau hukuman sebatan atau ketiga-tiganya.

“Melalui Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006) SPAN mempunyai hak untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak atau individu, yang melakukan kesalahan berkaitan pembekalan air terawat dan perkhidmatan pembetungan termasuk isu pencemaran ke atas sumber air mentah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, Kumpulan Pengurusan dan Jawatankuasa Perlesenan, Perundangan dan Penguatkuasaan SPAN, yang diterajui oleh Anggota Suruhanjaya akan membantu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), mengambil tindakan segera dan seterusnya memastikan hukuman wajar dikenakan ke atas pelaku.

“SPAN memandang serius segala perbuatan yang membawa mudarat kepada kelangsungan bekalan air pengguna dan akan terus mendokong serta membantu KASA dalam memperkasakan alam sekitar terutamanya kesejahteraan sumber air.

“SPAN juga komited, untuk memastikan sebarang perbuatan salah laku terhadap air bersih dan sumbernya akan diambil tindakan tegas, dalam tempoh sesegera mungkin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan proses pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong akan dilaksanakan minggu depan.

Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air itu telah direman enam hari sehingga Khamis depan.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang berkenaan pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sg Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA