Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Arab Saudi hadkan jumlah jemaah haji

BEIRUT/ANKARA, 23 JUN: Arab Saudi tahun ini akan mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19, sekaligus menutup pintunya kepada jemaah haji luar negara, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan berkata hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Kes Covid-19 di Arab Saudi melepasi 161,005 dengan lebih 1,300 kematian manakala lebih 105,000 sudah pulih.

Sejak pertama kali dikesan di China pada Disember lalu, Covid-19 sudah menular ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia antara negara paling teruk terjejas.

Wabak maut itu sudah meragut hampir 470,000 nyawa penduduk di seluruh dunia, dengan lebih sembilan juta kes disahkan dan lebih 4.47 juta pesakit pulih, menurut data Johns Hopkins University.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jumlah kes di Arab Saudi 132,048, korban lepasi 1,000

RIYADH, 16 JUN: Jumlah korban akibat Covid-19 di Arab Saudi melebihi 1,000 kes semalam, manakala jumlah jangkitan meningkat kepada 132,048 kes.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan negara itu, angka kematian meningkat kepada 1,011 orang ketika beberapa minggu lagi menjelang musim haji, lapor AFP.

Jumlah jangkitan meningkat selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut bermula Isnin.

Unit Rawatan Intensif di hospital Riyadh dan Jeddah penuh dengan pesakit Covid-19, yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara itu.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penutupan semula Jeddah, pintu masuk khas untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji ke Makkah.

Langkah itu termasuk larangan pergerakan bermula 3 petang hingga 6 pagi, penangguhan solat di masjid dan perintah tinggal di rumah untuk pekerja sektor awam dan swasta.

Pihak berkuasa belum mengumumkan penangguhan haji tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tetapi, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk sementara waktu menangguhkan persiapan untuk menunaikan haji tahunan.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta menunaikan haji dari seluruh dunia.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Arab Saudi gesa tangguh rancangan tunai haji

SHAH ALAM, 1 APRIL: Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga Covid-19 dapat dikawal, kata menteri haji dan umrahnya.

Mohammed Saleh Benten berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah tetapi kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat, lapor Berita Harian.

“Oleh itu kita minta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” katanya.

Selain haji dan umrah, Arab Saudi turut menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan masuk serta keluar ke beberapa bandar raya termasuk Makkah dan Madinah.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul bagi menunaikan rukun Islam kelima yang dijadualkan bermula akhir Julai ini.

Categories
NASIONAL

Road to Makkah permudah urusan jemaah haji Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Inisiatif “Road to Makkah” satu projek prapelepasan haji disediakan kerajaan Arab Saudi untuk negara terpilih mendapat pujian jemaah Malaysia.

Melalui projek yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2017 itu, jemaah haji tidak lagi perlu melalui proses imigresen di Arab Saudi kerana proses itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah haji kumpulan kedua musim haji tahun ini, Norizan Yacob berkata beliau amat berpuas hati dengan inisiatif itu kerana selain menjimatkan masa ia juga memudahkan golongan yang menghadapi masalah kesihatan.

“Syukur. Terutamanya sebab suami baru saja keluar hospital dan masih belum sihat sepenuhnya. Dengan inisiatif ini, kami tidak perlu beratur lama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, beliau lega kerana tidak perlu berasak-asak di lapangan terbang di Arab Saudi bersama jemaah-jemaah negara lain.

Sementara itu, Sawandi Berahim, 65, dari Tanjung Karang, Selangor memuji hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sehingga diberi kepercayaan untuk menjalankan inisiatif itu.

Beliau yang pernah menunaikan haji pada 2006 berharap dapat memberi lebih fokus untuk beribadah pada perjalanan kali ini.

“Alhamdulillah. Dengan inisiatif ini, jemaah tidak lagi perlu berpenat-lelah selepas tiba di Madinah nanti. Pada tahun 2006, saya dah alami semua itu dan ianya sangat memenatkan,” katanya.

Road to Makkah adalah satu sistem prapelepasan haji kelolaan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan perjalanan jemaah ke Makkah.

Di bawah inisiatif ini, cap jari jemaah akan diambil dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi juga akan dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Tahun ini, sebanyak 12 kaunter imigresen Arab Saudi disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk dua kaunter untuk golongan orang kurang upaya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia buat julung kalinya menyediakan dua pintu automatik yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi memudahkan proses imigresen terhadap jemaah haji.

Syarikat tempatan, Dagang NeXchange Berhad (DNeX) diberi kepercayaan untuk menyediakan kemudahan lokasi dan jaringan komunikasi untuk inisiatif Road to Makkah bagi jemaah Malaysia dan Indonesia, tahun ini.

Projek perintis Road to Makkah dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, inisiatif ini turut diperkenal di Tunisia, Bangladesh dan Pakistan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Arab Saudi kaji permohonan tambah kuota haji Malaysia

MAKKAH, 30 MEI: Kerajaan Arab Saudi akan membuat kajian menyeluruh berhubung permohonan Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji tahun ini, kata Menteri Haji dan Umrahnya, Muhammad Saleh bin Taher Benten.

Beliau berkata sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah berbincang dan membuat keputusan dalam penentuan kuota haji setiap negara.

“Kuota setiap negara diagihkan mengikut apa yang dibincangkan…kuota rasmi Malaysia juga telah diberikan, tetapi terdapat permohonan penambahan dan ia tentu sekali perlu dikaji terlebih dahulu.

“Permohonan ini dibuat (di peringkat tertinggi) melalui Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan insyaAllah akan dikaji dari sudut persediaan dan (kapasiti) tempat untuk jemaah Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media tempatan dan antarabangsa sempena sidang kemucak OIC ke-14 di sini.

Turut serta dalam sesi itu 390 wartawan dari 57 negara anggota OIC dan 59 stesen televisyen antarabangsa yang membuat liputan sidang kemuncak bermula Jumaat ini.

Bertemakan: “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan”, dijangka dihadiri para pemimpin negara anggota OIC untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Bermula dengan Mesyuarat Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan, hasilnya akan dikemukakan kepada mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC yang telah diadakan di Jeddah pada Rabu.

Deraf akhir pernyataan rasmi akan diserahkan ke Sidang Kemuncak Islam itu untuk diterima pakai. Sidang kemuncak itu juga dijangka akan mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam.

Sementara itu, Saleh turut memuji pengurusan jemaah haji Malaysia dan menyifatkan pengurusan haji negara ini bersistematik dan terlatih.

“Terima kasih kepada Malaysia dan Tabung Haji (TH) atas pengurusan yang sangat baik dan membantu jemaah haji mengerjakan ibadat mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat berkata Dr Mahathir telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan permohonan itu daripada kerajaan Arab Saudi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuota jemaah haji kekal 30,200 orang

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan bahawa kuota jemaah haji Malaysia kekal 30,200 orang dan permohonan kuota tambahan sedang diusahakan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, bagi kuota tambahan itu, ia tertakluk kepada budi bicara pihak kerajaan Arab Saudi untuk meluluskan.

“Pihak Arab Saudi tidak mempunyai tarikh spesifik untuk memberikan jawapan berhubung permohonan kuota tambahan itu.

“Menurut rekod TH, mereka pernah menerima jawapan berhubung kuota tambahan daripada pihak Arab Saudi semasa bulan Ramadan, Syawal, Zulkaedah malah adakala jawapan diterima ketika bulan Zulhijjah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam laman Facebook beliau bagi membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

“Kenyataan yang dibuat itu adalah satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali, ini kerana kuota haji yang diberi adalah kekal seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan akhbar berkenaan untuk merujuk kepada fakta terlebih dahulu dan dakwaan tidak tepat yang dilemparkan kepada pihak berkuasa terutama TH yang diberi kuasa menguruskan jemaah haji akan memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam.

Sementara itu, TH turut menyangkal dakwaan Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan dan meminta agar individu berkaitan berhenti daripada melakukan komen sensasi dan analisis tidak tepat yang berbaur politik yang boleh mengelirukan rakyat.

“Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan pihak Arab Saudi bagi tahun ini ialah 30,200 orang. Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

“Sehingga kini, pihak TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan rekod 10 tahun kebelakang, ada empat tahun iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan, jelasnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGAMA NASIONAL

Jumlah bayaran subsidi jemaah haji muassasah Malaysia kekal tahun depan

MAKKAH, 16 OGOS: Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah Tabung Haji (TH) yang menunaikan haji akan dikekalkan seperti tahun ini untuk musim haji tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sesuai dengan asas penubuhan TH untuk memberi khidmat dan memudah cara umat Islam Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu, kerajaan akan memastikan para jemaah tidak akan terbeban oleh kos menunaikan haji.

“Kita subsidikan setiap jemaah haji kita sebenarnya lebih daripada jumlah yang dibayar oleh mereka. Mereka cuma bayar RM9,980 manakala yang kerajaan subsidikan lebih kurang RM12,000 bagi setiap jemaah.

“Kita juga ada membincangkan sama ada pelan-pelan baik pulih (bagi pengurusan haji) yang telah dijalankan akan membabitkan penambahan kos dan seterusnya membebankan kita. Namun saya diberitahu setiap penambahbaikan tidak akan melibatkan kos yang tinggi untuk para jemaah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berharap sektor perniagaan TH dapat berkembang pada masa akan datang dan mendatangkan pulangan yang lebih tinggi kepada syarikat dalam usaha untuk terus menampung subsidi jemaah haji Malaysia.

“Bahagian perniagaan (TH) sedang melalui pemulihan. Kita sudah ada pengerusi baharu, Ketua Pegawai Eksekutif baharu dan mungkin dalam masa yang terdekat, ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan diperkenalkan,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan melihat kepada pelan subsidi ibadah haji yang telah dibuat oleh ppengurusan TH yang terdahulu untuk melihat sama ada pelan tersebut masih relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

Mujahid turut menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini hasil rundingan antara pihak TH dan Kementerian Haji Arab Saudi berkenaan waktu untuk melontar khas di jamrah pada hari-hari tasyrik bagi jemaah haji Malaysia.

“Sebelum ini kita memang minta daripada kerajaan Arab Saudi satu waktu khas kepada jemaah haji Malaysia untuk membuat lontaran di jamrah (pada hari-hari tasyrik). Sebelum ini, kita tiada satu waktu melontar yang dikhususkan oleh Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi memang sentiasa memantau dan mengehadkan bilangan jemaah haji yang memasuki bangunan jamrah bagi satu-satu masa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang,” katanya.

Bagi tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata waktu-waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia akan ditetapkan sendiri oleh pihak TH, berdasarkan kepada kepadatan di kawasan jamrah dan keadaan cuaca pada waktu tersebut.

“Kita bersyukur kerana pada tahun ini secara rasmi kita mendapat izin untuk melakukan lontaran pada waktu yang terbaik dengan keadaan cuaca yang kurang panas, memandangkan jemaah kita perlu berjalan agak jauh dari khemah ke tempat melontar,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata terdapat seramai 10 orang jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di hospital di Makkah manakala 94 orang jemaah haji Malaysia sedang dirawat di pusat-pusat kesihatan TH di Makkah.

“Kalau mengikut statistik yang ditunjuk secara komparatif dengan pada tahun-tahun yang lalu, boleh kita anggap bahawa kita telah berjaya dari segi mengurangkan kematian jemaah haji di tanah suci, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan.

“Daripada keseluruhan bilangan jemaah haji Malaysia, setakat ini kita hanya mencatatkan tujuh kematian, enam di Makkah dan satu di Madinah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA

Petugas TH diseru kekalkan momentum menjelang Masyair

MAKKAH, 12 OGOS: Petugas Tabung Haji (TH) bagi operasi haji 1439H diseru untuk mengekalkan momentum di tahap tertinggi dan mengekalkan kerjasama berpasukan menjelang operasi masyair yang dijadual bermula 20 Ogos ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata petugas TH diminta untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji, terutamanya semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Pada hari ini, kita telah mengadakan perhimpunan petugas-petugas haji di ibu pejabat TH Makkah kerana kebanyakan petugas haji telah berada di sini menjelang operasi masyair yang semakin hampir.

“Kebanyakan petugas-petugas kita sudah berada di tanah suci untuk tempoh masa 50 hari atau tujuh minggu dan perhimpunan ini diharapkan dapat meniup kembali semangat mereka untuk menjalankan tugas sepanjang baki hari mereka di sini,” beliau memberitahu media selepas Majlis Perhimpunan Petugas Haji Idaman di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Saleh turut menyeru jemaah haji Malaysia untuk mendapatkan rehat yang secukupnya dan mula menyimpan tenaga menjelang hari-hari masyair yang pada kebiasaannya paling mencabar sepanjang musim haji.

“Kita tahu hanya tinggal lebih kurang sembilan hari sebelum bergerak ke Arafah. Arafah merupakan kemuncak kepada ibadat haji, sudah tentunya pergerakan dan keberadaan di Arafah, Muzdalifah dan Mina, menuntut kepada satu tumpuan kepada ibadah yang cukup tinggi,” katanya.

Justeru, Syed Saleh berkata perjalanan dan ibadah masyair tersebut perlu kepada pengorbanan yang besar daripada jemaah haji dan memerlukan persiapan dari segi fizikal dan mental yang begitu tinggi.

Jemaah juga dinasihatkan untuk membawa barang-barang secukupnya seperti yang telah disarankan oleh pihak TH dan mengelakkan membawa barangan berlebihan berikutan ruang khemah yang agak terhad di Arafah dan Mina.

“Keluasan khemah di Arafah dan Mina akan menyulitkan para jemaah sekiranya mereka membawa barang yang berlebihan,” katanya.

Jemaah juga diingatkan supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas dan mematuhi jadual-jadual yang telah ditetapkan oleh pihak TH dan muassasah terutamanya berkaitan dengan waktu-waktu melontar jamrah pada hari-hari tasyrik.

“Untuk ibadah melontar di jamrah, pihak muassasah telah menyediakan jadual-jadual untuk melontar bagi setiap negara termasuk Malaysia. Kita harus mematuhi jadual itu supaya tidak terjadi kepadatan yang melampau ketika melontar yang boleh membawa kepada rempuhan dan sebagainya,” katanya.

Setakat ini, Syed Saleh berkata hampir 82 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Makkah, dan tiada lagi jemaah yang berada di Madinah dan baki beberapa penerbangan jemaah haji akan terus memasuki Makkah melalui Jeddah sehingga 15 Ogos ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Lencana, gelang pengenalan penting buat jemaah haji

NASIONAL 24 JUL: Jemaah haji diseru untuk sentiasa memastikan lencana berserta gelang pengenalan diri yang dibekalkan pihak Tabung Haji (TH) berada bersama mereka ketika sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.

Pengarah Operasi Mekah Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata kedua-dua item penting yang juga bertindak sebagai pengenalan diri ini harus dijaga dan dibawa ke mana-mana sahaja oleh jemaah sepanjang mereka mengerjakan haji kerana ia adalah pengganti kepada passport mereka.

“Jemaah haji perlu menganggap kedua-dua barang ini sebagai dokumen yang sangat penting dan dijaga sebaik mungkin bagi mengelakkan ia tercicir atau hilang,” katanya pada sidang media di Mekah hari ini.

Sepanjang berada di Tanah Suci, beliau berkata lencana serta gelang pengenalan diri itu digunakan sebagai pengenalan diri kerana passport jemaah akan dipegang pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya pada kedua-dua barangan tersebut terdapat butiran peribadi jemaah bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan atau orang luar memberi bantuan sekiranya mereka ditimpa masalah dan gagal menghubungi petugas TH.

Sekiranya kedua-dua dokumen tersebut didapati hilang atau tercicir, Ahmad Sohaimi meminta jemaah agar segera membuat laporan kepada kaunter perkhidmatan pelanggan TH yang berdekatan dan akan diganti dengan dokumen baharu serta-merta.

“Setiap laporan kehilangan akan direkodkan dalam sistem kita untuk melihat trend bagi punca kehilangan dokumen-dokumen tersebut, adakah disebabkan oleh kecuaian jemaah atau kualiti untuk tujuan penambahbaikan.

“Sekiranya hasil laporan mendapati kebanyakan jemaah cuai dan menganggap bahawa dokumen itu tidak penting, kita akan tingkatkan kesedaran dalam kalangan mereka untuk menjaga kedua-dua item tersebut,” katanya.

Setiap lencana pengenalan diri tertera nombor passport jemaah, logo TH serta Jalur Gemilang dan nombor maktab yang ditulis dalam bahasa Arab.

Pada gelang tersebut pula terdapat nombor telefon yang boleh dihubungi sekiranya ingin mendapatkan bantuan dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dwi-kunci bagi mengurangkan risiko ia daripada tercicir atau tertanggal.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jemaah haji nikmati khemah hawa dingin di Padang Arafah

MAKKAH, 22 JULAI: Jemaah haji Malaysia bakal menikmati kemudahan baharu, iaitu khemah berhawa dingin di Padang Arafah semasa wukuf, bagi musim haji 1439H ini.

Pengerusi Majlis Tertinggi Muassasah Asia Tenggara, Muhammad Amin Hassan Andarqiri berkata, Malaysia negara pertama di dunia bagi jemaah muassasah yang dibekalkan khemah berhawa dingin ketika wukuf.

“(Pada mulanya) bagi tahun ini, kita membuat perjanjian dengan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan kipas wap air kepada kipas penyejuk udara.

“Namun, kerana hubungan baik antara kedua negara, kami memutuskan untuk menaik taraf kemudahan ini terus kepada pendingin hawa, khusus untuk jemaah haji Malaysia,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas majlis taaruf bersama pengurus 12 maktab penginapan jemaah Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir ketua rombongan haji Malaysia, Datuk Seri Syed Salleh Abdul Rahman.

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif memasang alat penghawa dingin ekoran cuaca panas yang dijangka mencecah 50 darjah Celcius, di Arafah tahun ini semasa wukuf.

Justeru, Muhammad Amin berharap kemudahan itu memberi keselesaan kepada jemaah Malaysia untuk beribadah ketika wukuf di Arafah yang juga kemuncak Rukun Islam kelima itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada Datuk Seri (Syed Salleh) untuk menasihati jemaah haji Malaysia membawa kain ihram tambahan (semasa di Arafah) kerana suhu di dalam khemah sangat sejuk, antara 24 hingga 25 darjah Celcius,” katanya.

Malaysia dipilih bagi menjayakan projek perintis itu selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan muassasah Malaysia, di Padang Arafah.

Muhammad Amin turut memuji disiplin tinggi yang dipamerkan oleh jemaah muassasah Malaysia sepanjang musim haji tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan Tabung Haji dan Malaysia, tetapi turut diiktiraf kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah yang wajar dicontohi negara lain di dunia.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ibadah haji peluang jemaah fahami sejarah Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JULAI: Jemaah haji dinasihatkan menghayati sejarah perkembangan Islam yang boleh disaksikan di Tanah Suci Makkah dan Madinah ketika menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejarah perjuangan dibawa Rasulullah SAW memberikan pengajaran besar, termasuk pelaksanaan Perjanjian Hudaibiyah yang mampu menimbulkan keinsafan.

“Ibadah haji mempunyai falsafah agak besar dan untuk memahaminya, kita perlu mendengar bimbingan serta taklimat daripada mutawif.

“Amat malang jika kita ke sana menunaikan ibadah seperti biasa tetapi gagal memahami persekitaran, persaudaraan dan mendekati sejarah di belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Perasmian Kursus Perdana Haji 2018 anjuran Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd yang disertai 500 bakal jemaah haji, di Dewan Utama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah pada 2016, Amirudin berkata, perjuangan mengembangkan Islam tidak dilakukan dengan mudah.

Justeru, beliau turut mengingatkan jemaah supaya bersabar sepanjang mengerjakan ibadah, di samping menjaga nama baik Islam, Selangor dan Malaysia kerana ia turut disertai umat Islam dari seluruh dunia.

Jemaah haji di bawah kelolaan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd akan memulakan penerbangan pertama, pada 27 Julai ini.

Categories
NASIONAL

Jemaah haji diingatkan tidak bawa wang banyak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JULAI: Jemaah haji Malaysia diingatkan tidak membawa wang terlalu banyak ketika berlepas ke Tanah Suci dari Kuala Lumpur.

Pengarah Operasi (Kewangan) Tabung Haji (TH) Nor Aida Ahmad berkata, jemaah hanya perlu membawa wang mencukupi bagi kegunaan mereka, bergantung kepada keperluan masing-masing.

“Selepas itu, jemaah boleh membuat pengeluaran wang daripada akaun TH masing-masing di kaunter kewangan yang disediakan, di zon penginapan dan maktab,” katanya dalam kenyataan.

Nor Aida berkata, sebanyak sembilan kaunter pengeluaran wang disediakan, di Madinah iaitu 4 di Zon 1 (Hotel Al Haram), 3 di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan 2 di Zon 3 (Hotel Rowadha Al Aqiq).

Katanya, TH memberi jaminan khidmat kaunter disediakan adalah cepat, iaitu kira-kira seminit untuk setiap transaksi.

“Selain pengeluaran dan menyimpan wang, kaunter itu juga menyediakan khidmat membayar dam serta korban.

“Pada tahun ini, bayaran dam ditetapkan ialah 430 riyal, manakala untuk korban kibas 475 riyal dan lembu 4,150 riyal,” katanya.