Categories
GLOBAL

Waspada cuaca panas, jemaah dinasihat kurangkan aktiviti luar

MADINAH, 12 JUL: Jemaah haji dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar seperti membeli-belah dan ziarah terutama pada waktu siang, selain yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH) semasa di tanah suci berikutan keadaan cuaca yang agak panas.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah turut mengingatkan jemaah haji Malaysia musim 1439H ini untuk menjaga kesihatan dan memperbanyakkan meminum air kosong bagi mengelakkan dihidrasi.

“Pada tahun ini, musim haji masih lagi berlangsung dalam musim panas. Justeru jemaah diminta bersedia dalam menghadapi cuaca panas yang melebihi 40 darjah celsius,” katanya pada sesi bertemu media di sini, hari ini.

Mengikut statistik TH, suhu yang paling panas dicatatkan adalah pada tiga tahun lepas, iaitu waktu wukuf semasa itu berlaku pada bulan September yang merupakan kemuncak musim panas.

Kawasan yang paling panas adalah di Madinah. Bagaimanapun, musim haji berganjak ke depan sedikit setiap tahun dan pada tahun ini jemaah haji berkemungkinan akan wukuf di Padang Arafah pada 20 Ogos dan akan pulang ke Malaysia sebelum bulan September.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuota haji Malaysia kekal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kedutaan Arab Saudi mengesahkan kuota haji bagi Malaysia tahun ini kekal sebanyak 30,200 jemaah.

Dalam satu kenyataan di sini malam tadi, kedutaan itu menyifatkan laporan disiarkan portal berita bahawa Arab Saudi mengurangkan kuota haji Malaysia, sebagai tidak berasas.

“Kuota haji bagi jemaah Malaysia ditetapkan pada 30,200 orang,” kata kedutaan itu dipetik Bernama.

Kenyataan itu juga menyebut 8,000 visa haji sudah dikeluarkan kedutaan itu.

Pada masa sama, Kerajaan Arab Saudi turut menegaskan akan bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk membolehkan jemaah haji melaksanakan kewajipan mereka.

Categories
AGAMA SELANGOR

TH komited beri bimbingan terbaik kepada bakal haji

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Lembaga Tabung Haji (TH) komited memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal haji, termasuk mengadakan bimbingan melalui pelbagai kursus dianjurkan, di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata, ia bertujuan melahirkan jemaah haji berpengetahuan, celik ilmu dan bersedia terutama dalam perkara berkaitan ibadah serta urusan perjalanan semasa di Tanah Suci sebelum mereka berangkat.

“Sebelum Kursus Perdana Haji ini diadakan, beberapa kursus lain dilaksanakan seperti Kursus Asas dan Kursus Intensif serta Kursus Khas Haji untuk warga emas juga bakal haji terpilih di saat akhir.

“Kursus Perdana Haji ini adalah landasan ulang kaji dan pelengkap kepada proses bimbingan haji dikendalikan TH dan ia sesi untuk memberi makluman penting juga terkini kepada bakal haji sebelum bertolak ke Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1439 Hijrah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, seramai 7,830 bakal haji dari Selangor terpilih mengikuti kursus berkenaan, pada kali ini.

Melalui kursus itu, katanya, bakal haji diberi peluang melaksanakan aktiviti ibadah haji secara amali seperti bertawaf, sa’ie dan melontar jamrah secara berkumpulan.

“Ini bertujuan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci supaya bakal haji lebih bersedia nanti,” katanya.

TH menganjurkan Kursus Perdana Haji 1439 Hijrah peringkat Selangor mulai 30 Jun hingga 1 Julai ini.

Kursus terbabit turut diadakan secara berperingkat di 17 lokasi seluruh negara mulai 29 Jun sehingga 8 Julai dengan kursus terakhir kepada bakal jemaah haji.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berangkat mencemar duli merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

RMS harap jemaah haji Selangor jadi contoh

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Duli Ýang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berharap jemaah haji Selangor akan menjadi contoh kepada yang lain, pada musim ini dengan ilmu pengetahuan dan persiapaan rapi dilakukan.

Mewakili Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baginda bertitah, bakal jemaah juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berkaitan perkara berkenaan.

“Beta berharap bakal haji sekalian membuat persiapan rapi daripada segenap aspek berkenaan hukum hakam, pengurusan diri dan peraturan kerajaan Malaysia serta Arab Saudi harus dititikberatkan.

“Ia supaya bakal haji di Malaysia dan Selangor khususnya terus kekal sebagai bakal haji contoh untuk musim ini,” titah baginda pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1439 Hijrah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Tengku Amir Shah bertitah, semua peserta kursus berkenaan juga diharap akan dapat menimba ilmu pengetahuan dan pembelajaran dengan penuh tekun serta jaya.

“Semoga usaha menuntut ilmu pengetahuan ini akan diterima Allah dan mendapat haji mabrur,” titah baginda.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani.

Categories
NASIONAL

Saudi larang ziarah beberapa kawasan ketika umrah, haji

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 APR: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan ziarah ke beberapa lokasi terhadap jemaah umrah dan haji berkuat kuasa, pada 19 April lalu.

Larangan itu dimaklumkan kepada semua agensi haji dan umrah serta mutawwif bertugas sepanjang berada di tanah suci.

Kawasan larangan yang dimaksudkan adalah Ladang Kurma, Jabal Thur, Jabal Noor (lokasi Gua Hira’), Bani Sa’ad, Masjid Ku’ dan Masjid Ibnu ‘Abbas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook mutawwif.com, larangan itu dikeluarkan bagi mengelakkan perkara khurafat dan bida’ah kerana ada jemaah India melakukan tawaf keliling pokok di perkampungan Bani Sa’ad, di Thaif.

Kesan daripada itu, para jemaah tidak lagi dibenarkan menziarahi kawasan itu dan hanya fokus kepada Masjidilharam serta Masjid Nabawi sahaja, malahan mereka yang melanggar arahan akan didenda Sr5000.

Para jemaah hanya dibenarkan untuk melihat dari jauh sahaja atau tidak turun daripada bas.

“Peringatan kepada yang sedang pergi, jangan buat perkara pelik-pelik, tingkah laku kalian menjejaskan orang lain.

“Walaupun ada disebut khusus jemaah India, tidak dapat dinafikan, ada juga segelintir daripada jemaah Malaysia dan Indonesia pun melakukan perkara pelik,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

#Selangor18: RM3.25 juta imarah muassasah haji

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan menyemarakkan program Imarah Muassasah Haji menerusi peruntukan RM3.25 juta untuk 6,500 jemaah Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu kesinambungan terhadap insentif RM500 yang disalurkan kepada jemaah haji muassasah yang menunaikan rukun Islam kelima, tahun ini.

“Tatkala saya bersarapan pagi di Warong Pak Mat, Sungai Jelok, Kajang pada 27 Oktober lalu, saya didampingi pengusaha warung, Haji Mohamad Baba yang tersenyum riang dan melahirkan rasa syukur kerana beliau dan isteri, Hajjah Zaiton Ahad atau Mak Ton menerima hibah Kerajaan Negeri dalam bentuk pembiayaan Imarah Muassasah Haji tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah Selangor yang menunaikan haji ke Makkah.

Insentif di bawah Program Jemaah Haji Muassasah Selangor itu dilaksanakan sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan MBI kepada bakal jemaah haji.

=EZY=

 

Categories
AGAMA GLOBAL

Arab Saudi: Pelaksanaan ibadah haji lancar

RIYADH 3 SEPT: Arab Saudi mengumumkan kelmarin bahawa musim haji kali ini berjaya dan mendapat penyertaan lebih 2.3 juta jemaah haji, agensi berita Xinhua memetik laporan SPA.

Menurut Riyadh, ibadah haji pada tahun ini juga bebas daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Kejayaan itu diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Kementerian berkenaan menekankan bahawa pihaknya yang dibantu seramai 300,000 petugas dan 21,000 kenderaan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik sehingga semua jemaah haji meninggalkan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, pihaknya bersedia berdepan dengan sebarang kecemasan walaupun ibadah haji setakat ini bebas daripada penyakit berjangkit.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Sedia beri perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji

MINA – ARAB SAUDI, 31 OGOS: Kesemua agensi yang terbabit dalam persiapan haji bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada lebih dua juta jemaah haji, pada musim ini.

Perkara itu disahkan jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Mansour al-Turki menjelang wukuf di Arafah, pada hari ini yang merupakan kemuncak dalam ibadah haji.

“Seramai 1,747,440 jemaah luar dan lebih 200,000 jemaah tempatan akan mengerjakan Rukun Islam kelima, pada tahun ini.

“Segala langkah termasuk mengetatkan pemeriksaan di kesemua pintu masuk bagi mengesan sebarang perlanggaran peraturan haji diambil dan usaha itu berjaya menyekat kemasukan lebih 400,000 individu tanpa permit,” katanya.

Sementara itu, Penasihat kepada Menteri Haji, Hatim Hassan Qadi turut mengumumkan fasa pertama penerimaan jemaah dari pintu masuk di Makkah dan Madinah selesai.

Katanya, 19,500 bas akan digunakan untuk membawa jemaah dari Madinah ke Makkah dan 9,000 bas untuk mengangkut kumpulan jemaah ke Mina.

“Sektor awam dan swasta berganding bahu memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji di Mina,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

Doakan kesejahteraan Malaysia dan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 20 JULAI: Seramai 1,283 bakal haji muassasah menerima insentif haji bernilai RM500 seorang yang disumbangkan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Majlis Perdana Penyampaian Insentif Haji Muassasah Selangor Darul Ehsan 1438H/2017 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Masjid Al Amaniah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negeri.

WhatsApp Image 2017-07-20 at 16.06.01Semua penerima terdiri daripada jemaah dari Parlimen Ampang, Gombak, Selayang dan Hulu Selangor.

Bagi musim haji 1438H/2017, seramai 6,613 bakal haji dari Selangor dengan 5,294 adalah bakal haji muassasah.

Mohamed Azmin berkata, jemaah haji perlu menerapkan sikap sabar, saling membantu dan bertanggungjawab bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Beliau turut meminta jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri supaya perpaduan kekal utuh selain kepimpinan sedia ada diberikan kekuatan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

“Saya juga mengharapkan jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri kita supaya aman, makmur juga sejahtera.

“Perpaduan penting untuk mengangkat martabat umat Islam tambahan kini banyak cabaran yang dihadapi khususnya buat umat Islam,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kumpulan pertama haji berlepas 24 Julai ini

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kumpulan pertama bakal jemaah haji Malaysia bagi sesi 1438 Hijrah akan mula berlepas ke Makkah, pada 24 Julai ini.

Seramai 30,200 orang jemaah haji Malaysia bakal menunaikan rukun Islam kelima itu, pada tahun ini.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, surat tawaran sudah dihantar kepada bakal jemaah haji berkenaan.

“Segala persiapan sudah dilaksanakan dan berjalan lancar termasuk menghantar surat tawaran kepada bakal jemaah haji.

“Semua (bakal jemaah) sudah diberi surat (tawaran). Mereka pun dah jawab,” katanya lapor BH Online.

Categories
NASIONAL

Lapan jemaah haji Malaysia belum dikesan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 SEP: Jumlah Jemaah Haji Malaysia yang masih belum dapat dikesan masih kekal lapan orang sehingga jam 12.00 tengah malam waktu tempatan.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan menyelamat TH masih menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah berkenaan.

Kren“Sehingga jam 11.00 malam (waktu Saudi) pasukan perubatan TH masih tidak dibenarkan untuk memasuki rumah mayat dalam usaha untuk mencari dan mengenalpasti,” katanya.

Berhubung perkembangan jemaah yang cedera, sehingga kini lima jemaah haji yang dirawati di Pusat Rawatan TH dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing, manakala lima jemaah lagi dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan masing-masing.

Orang ramai serta waris boleh menghubungi talian 03 – 6207 1919 untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Ketua Umum KEADILAN sempena Aidil Adha 1435H

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat” – Surah Al-Hajj, Ayat 34

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafak ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah inayahNya maka diizinkan olehNya jua untuk kita kembali meraikan hari besar dalam Islam yakni sambutan Eiduladha bagi tahun 1435 Hijrah.

Pastinya sambutan Eiduladha saban tahun kita lalui dengan penuh rasa keinsafan: dengan sirah Ibrahim dan Ismail A.S yang memperihal kesiapsiagaan seorang bapa dan anak yang dengan penuh tawadhuk dan ikhlas melaksanakan perintah Allah SWT, meski nyawa dan darah galang gantinya.

Inilah falsafah ulung di sebalik ibadah korban: keikhlasan dan kesyukuran ke atas nikmat Ilahi yang kemudiannya dikembalikan dengan rasa tawadhuk demi mencapai redhaNya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang antara lain mafhumnya:

“Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”

Falsafah yang sama juga tersirat di sebalik ibadah haji, yang menjadi pelengkap kepada Rukun Islam sebagai agama yang suci. Penyucian diri melalui proses dan fasa-fasa ibadah haji nyata sekali merupakan satu bentuk pemurnian akal dan jiwa melalui pemupukan elemen kebersamaan dan persaudaraan sesama Muslim. Realitinya, semua insan adalah sama di sisi Tuhan, tinggal lagi baik buruk akhlaknya dan juga tinggi rendah imannya yang menjadi sandaran.

Sambutan Eiduladha ini pastinya mendorong kita memaknai prinsip agung yang digagas oleh Islam: keadilan insani. Prinsip keadilan ini diulang sebanyak 56 kali di dalam Al-Quran, justeru kewajaran kita untuk menjamin keadilan, merai kepelbagaian dan menghormati perbezaan adalah sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan.

Ini telah Allah SWT tegaskan lewat Surah Al-Maidah Ayat 8:
“Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Inilah keindahan Islam yang diwariskan Rasulullah SAW kepada umat baginda. Kendatipun begitu dalam pada kita meraikan hari besar ini, kita terus menerus dihambat dengan agenda yang sedang menghenyak imej Islam di mata dunia, mengambil contoh isu ISIS yang hangat diperkatakan mutakhir ini. Matlamat sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip keadilan Islam malah mencemar imej Islam yang berselindung di sebalik agenda perjuangan Islam.

Rentetan kegagalan memahami Islam secara holistik, maka wujudlah persepsi yang salah sedemikian rupa, lantas mengesani kesyumulan Islam di mata khalayak. Inilah yang ditekankan oleh Almarhum Hasan al-Hudaybi, “Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaya ia tertegak di watanmu”.

Tuntasnya, kembalilah kita kepada fitnah dengan memaknai Islam dan gagasan manusiawi yang terkandung dalam ajarannya. Moga Eiduladha yang akan diraikan mampu mencetus keinsafan kepada kita dalam menjaga ukhuwah sesama insana disamping kita memperkemas habluminaLlah.

Mewakili kepimpinan dan akar umbi KEADILAN seluruhnya, saya merakamkan ucapan Salam Eiduladha buat seluruh umat Islam di Malaysia.

Moga ibadah korban yang kita sempurnakan mendapat tempat di sisi Ilahi, demikian juga buat jemaah haji Malaysia didoa agar selamat menunaikan ibadah haji dan selamat kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur moganya, inshaaAllah.

ANWAR IBRAHIM
9 Zulhijjah 1435H
4 Oktober 2014M