Categories
BUDAYA RENCANA

‘Waknat’ dan ‘Lokdaun’: Kisah penyebaran kosa kata

Oleh Qilrif

Za’ba, tokoh kebahasaan negara kita yang mustahillah tidak dikenali orang, lebih kurang setengah abad lalu pernah menceritakan tentang Cara Penyebaran Peribahasa. Jika diamati, ada tiga fasa yang ditempuhi sepatah peribahasa itu: penciptaan, pengulangan dan pemasyhuran, dan pemantapan.

Pertama sekali, penciptaan. Wujudnya peribahasa itu daripada lidah seorang penutur bahasa Melayu yang “bijak dan pantas fikirannya”. Ungkapan serba ringkas dan memenuhi sepenuh-penuhnya erti yang hendak disampaikan itu terhasil daripada pemerhatian peka orang yang disebutkan tadi terhadap lingkungannya.

Kemudian, setelah disebutnya peribahasa itu, ditangkap pula oleh telinga orang-orang sekeliling. Berkenanlah mereka yang mendengar, maka diulang-ulangi pula lidah mereka akan peribahasa itu. Lanjutan pengulangan itulah peribahasa tersebut masyhur dan meluas penggunaannya.

Akhirnya setelah masyhur, maka mantaplah peribahasa itu sebagai sebahagian daripada perbendaharaan ungkapan-ungkapan Melayu. Dalam kata-kata beliau: “…akhirnya lalu melekat dalam bahasa itu sehingga bila-bila”.

Jika hendak dijadikan cerita, kita cuba terapkannya pada peribahasa ‘besar periuk besarlah keraknya’. Mungkin ada orang zaman tok kaduk dahulu memperhatikan nasi yang ditanak dalam periuk yang berbeza ukurannya. Lagi besar periuknya, lagi besarlah keraknya.

Hal ini kemudian mungkin dikiaskan dalam perbualan untuk erti ‘banyak pendapatan, banyaklah perbelanjaan’. Benarkan? Semakin banyak nasi (pendapatan) yang kita peroleh, semakin banyak keraknya kita perlu tangani (iaitu tenaga yang perlu ‘dibelanjakan’ untuk melepaskan kerak dari dasar periuk, dulu mana ada periuk antilekat).

Mungkin yang mendengar perbualannya pula berkenan, maka mengulangi pula kiasan tersebut dalam percakapan sendiri dan lama-kelamaan melekatlah dalam bahasa Melayu. Bukalah sahaja mana-mana kamus peribahasa sekarang, pasti ada tercatat.

***

Sebenar-benarnya, bukan hanya peribahasa yang menempuhi tiga fasa di atas. Semua kosakata bahasa Melayu, sama ada perkataan umum, istilah, mahupun ungkapan, melewati fasa-fasa yang sama sebelum diterima masuk bahasa Melayu. ‘diterima’ dalam hal ini bererti dianggap sebagai satu khazanah bahasa Melayu dan tidak dipersoalkan erti atau asal-usulnya oleh seorang penutur kerana maknanya sudah pun terpahat pada pemikiran. Sekali sebut, terus faham.

Hal ini dapat kita lihat dalam penyebaran dua perkataan yang bersangkut paut dengan keadaan semasa negara.

 ***

Waknat!

Mungkin bagi yang tahu akan erti perkataan itu, terasa cabul ia digunakan dalam mana-mana penulisan kerana kata tersebut digunakan untuk mengungkap rasa marah dan tidak puas hati yang membuak-buak. Sungguh jauh menyimpang daripada ‘kesantunan Melayu’ yang sering diselaraskan dengan citra bangsa. Tak usah risau, ia hanya akan dibicarakan sebagai perkataan, bukan digunakan sebagai pengungkap marah.

Siapakah yang begitu pantas dan bijak fikirannya sehingga melahirkan ‘waknat’? Namanya mungkin kita tidak akan tahu selama-lamanya. Namun, bagi yang suka mengikuti segala wacana di media sosial, kita tahu orang yang memasyhurkannya. Tiada perlulah disebutkan namanya.

Tukang masyhur itu menggunakan ‘waknat’ untuk mengungkapkan rasa marah. Terkenalah takdir, rakaman yang dimuatnaiknya itu menular dan ditatapi orang ramai. Mereka berkenan dan mengulang-ulangi kata tersebut. Bahkan, dengan akal geliga mereka, terbitnya pelbagai kata lain: waknatkan, mewaknatkan, diwaknatkan, kewaknatan, terwaknat.

Kemuncak kemasyhuran kata tersebut terakam dalam satu kejadian di Dewan Rakyat. Seorang Yang Berhormat melontarkannya dua kali. Salah satunya dalam ayat ini: ‘Menteri ni betul-betul waknat betullah menteri ni!’ Sayang sekali, perkataan yang dilisankan itu diperturunkan dalam Penyata Rasmi dengan ejaan ‘wanan’ dan ‘wadan’.

Sedikit selingan, jika pada masa akan datang ada yang mengkaji Penyata Rasmi Dewan dan tertanya-tanya akan erti ‘wanan’ dan ‘wadan’, ketahuilah bahawa kata sebenarnya ‘waknat’. Semoga membantulah, itu pun kalau tulisan kecil ini dijumpai semasa mengkaji.

Berbalik pula pada pokok perbicaraan. Kini, kata yang dahulunya hanyalah pelembutan kata ‘laknat’ (sepertimana ‘gila babi’ dilembutkan menjadi ‘gila babeng’ atau ‘sial’ dilembutkan menjadi ‘sia’ atau ‘siak’) dan disebut-sebut dalam lingkungan kecil untuk mengungkapkan rasa marah, telah pun masyhur ke telinga dan mata hampir semua penduduk negara. Sehingga terguna dalam pertuturan, tertulis pada plakat di perarakan tunjuk rasa, dan tercetak pada kemeja.

***

Sama ceritanya untuk ‘lokdaun’, ejaan basahan untuk ‘lockdown’. Beza hanya pada punca. Jika ‘waknat’ datangnya daripada lapisan marhaen penutur bahasa Melayu, ‘lokdaun’ pula datangnya daripada lapisan atasan.

Awal tahun ini, pemerintah, dalam usaha membendung wabak yang masih belum menunjukkan tanda-tanda menyurut, telah mengumumkan satu langkah yang (agak? atau telah diduga?) mengejut: penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi. Ini diistilahkan sebagai total lockdown dan disebut ringkas dengan nama lockdown. Mengapa diistilahkan dengan perkataan Inggeris? Itu misteri alam.

Pengumuman tergempar itu keluarnya pada waktu malam. Dalam riuh-rendah wacana yang menyusul, yang kurang berkenan akan istilah itu cuba membawa dan menyebarkan istilah yang lebih setempat iaitu ‘kuncitara’. Meskipun asalnya dari negara tetangga, tetapi dihujahkan bahawa lebih dekat sifatnya daripada perkataan yang datang jauh nun merentas beberapa samudera.

Malangnya, ‘kuncitara’ tiada mendapat perkenan orang ramai. Lalu tiadalah kuasa untuk ditukarnya kata ‘lokdaun’ itu (yang dalam laras baku, masih kekal ejaan asalnya dan dimiringkan—lockdown). Walaupun badan bahasa negara mengeluarkan padanan ‘sekatan pergerakan (penuh)’, sudah terlalu lambat.

Esoknya, hampir semua akhbar Melayu menggunakan lockdown dalam penulisan berita. Ada yang memampangnya besar pada muka hadapan. Syukurlah ada akhbar yang menyeimbangi perbuatan itu dengan besar-besar menulis ‘TUTUP HABIS’ pada muka hadapannya. Namun, sampai di situ sahajalah ungkapan tersebut, tiada digunakan orang ramai sebagai kata seerti ‘lokdaun’.

Sekarang ‘lokdaun’ sudah menyebati dengan lidah Melayu. Ejaan basahannya sudah menuruti nilai bunyi huruf-huruf Melayu dan difahami orang tanpa banyak soal. Sangat sedikit yang menggunakan ‘sekatan pergerakan’ (kecuali yang benar-benar menjaga laras bakunya), apatah lagi ‘kuncitara’.

***

Ini hanyalah kisah dua kata yang baru-baru ini berjaya menempatkan diri dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Untuk satu yang berjaya, ratusan lagi gagal. Pernah dengar ‘sindela’? ‘direntam-rentam’? ‘pendikari’?
Belum pernah?

Sebabnya mudah: tiada diperkenankan orang ramai, tiada diulang-ulangi. Mungkin kerana pencipta kata-kata tersebut tiada usaha memperkenalkannya kepada khalayak. Lebih selesa melihatnya terbuku dalam tulisan yang entah siapa baca.

Oleh sebab itu, janganlah ditunggu lagi. Angkat pena, laungkan suara! Tiada kata yang dapat bertahan hidup jika tidak mendapatkan perkenan orang ramai. Sama ada kata itu dijala dari lautan luas bahasa-bahasa asing, diburu dari belantara raya bahasa-bahasa setempat, atau dipetik dari pohon agam ilham sendiri, perturunkanlah dalam tulisan dan lisan bahasa Melayu untuk ditebarkan ke seluruh alam.

Kelak, jika berjaya menempuhi fasa-fasa yang disebutkan, dapatlah ia menjadi pemerkaya bahasa Melayu.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Di desa telinga

Kita berumah hanya
di desa telinga
menangkap kata tanpa tahu
pangkal benar dan hujung palsu.

Telah diwartakan larangan
berkelana hingga ke kota bicara
bebas melepaskan deras tanya
kerana menjejak salasilah fakta
dianggap mencipta punca sengketa.

Di desa telinga
kita menyerap riuh segala
dalam paksa
tanpa menelurkan baka suara.

Abizai

Categories
BUDAYA RENCANA

Gantung

Oleh Farahin W

Ilustrasi Matarojit

Tidak kedengaran seekor pun tikus berdecit. Sunyi macam dilanda badai. Dia berjalan perlahan menyelusuri lorong. Sepi macam di kuburan. Pak Said menyambut kedatangannya. Tidak ada karpet merah dan paluan kompang. Atau kain rentang mengalu-alukan kehadiran. Yang ada cuma angin malam menghiris pipi. Dingin malam yang tidak menyenangkan – katanya.

Di tiang-tiang lampu ada kepala-kepala bergantungan. Melayang-layang ditiup angin. Ada yang sudah mengering. Ada yang masih basah dengan darah bertitisan. Ada daging-daging meluruh dari tulang. Satu persatu bergantung-gantung macam tanglung. Lalat menghurung kepala-kepala di tiang lampu. Dalam larut malam, wajah-wajah kepala itu tertanggal dalam kegelapan. “Benar-benar dingin malam yang tak menyenangkan”, katanya lagi.

Di kampung ini, ada deretan rumah-rumah kedai. Semuanya diam. Lampu dipadamkan dan tak ada satu kenderaan pun di jalan. Yang ada laki-laki dan perempuan bersatu dengan koridor. Hamis darah menjentik hidung. Bilah-bilah pisau bersusun di tepi. Dan di sebelah tubuh-tubuh mereput, ada nasi dengan lauk ayam yang tidak disentuh. Air sirap dengan peluh-peluh ais mencair. Semuanya tidak dimamah.

“Rumah ketua kampung di sebelah masjid. Mari!” Pak Said mengajak.

Dia mengangguk. Entah kenapa dia memilih berjalan kaki berbanding menunggang motosikal. Dan entah kenapa, Pak Said tidak membantah. Motosikalnya dibiarkan di pintu gerbang sebelum masuk ke kampung. Semacam penyesalan bersarang di kepalanya, kelak dia harus berjalan kaki lagi ke pintu gerbang. Kalau nasibnya malang, Pak Said tidak mahu menemaninya berjalan keluar.

“Malam begini, tok ketua belum tidurkah?” dia berbasa basi.

“Orang tua itu mana tahu tidur. Tengah kira tasbih agaknya,” Pak Said ketawa. Dia ikut ketawa meski ia tidak lucu baginya.

Sepi masih membelenggu. Dia tidak lagi memaksa mulut berkata-kata. Rumah ketua kampung besar. Binaannya batu. Ada corak kerawang pada pagar rumah. Belum sempat Pak Said memberi salam, orang tua itu lebih dahulu membuka pintu rumah. Ketua kampung ukirkan senyuman. Kurang pasti apakah ia senyuman menyambut kedatangan atau senyuman dipaksakan. Dia ikut tersenyum. Rekahan bibirnya terasa menyakitkan. Sedarlah dia dari tadi belum seteguk air pun dia minum.

“Sudah jenguk-jenguk kampung? Sekarang, nak ke mana?”

“Belum lagi, Pak Din! Sengaja singgah ke sini dulu. Saya nak pusing kampung dululah.”

“Boleh saja. Tapi ingat. Jangan sentuh atau turunkan,” pesannya sebelum pintu rumah ditutup kembali.

Dia memandang Pak Said sebelum orang tua itu turut tersenyum. Ia pahit. Tak selindung-selindung. Tidak dia tanyakan kenapa. Tidak pula dia fikirkan mahu menyentuh apa lagi menurunkan.

“Nama saya Laila.”

Pak Said ketawa. Barulah dia sedar sejak kedatangan perempuan ini, tidak sekali pun dia tanyakan namanya. Dua tahun orang-orang kampung tidak bertegur sapa. Sudah janggal rasanya bercakap-cakap dengan orang baru. Apatah lagi seorang perempuan muda dari kota.

Laila merenung masjid lama sebelum memandang Pak Said yang mengalihkan matanya. Di tiang masjid ada lelaki bergantungan. Tidak bergerak dan tidak bersuara. Badannya gempal tetapi masih utuh tergantung. Dia melewati masjid. Di kampung ini, rumah-rumah tersusun rapat-rapat – sebelah-menyebelah. Ada rumah kekal kayu, ada pula sudah berbatu. Dahinya berkerut sedang peluh dari tadi tak henti-henti berbutir. Di hadapan setiap rumah ada lelaki dan perempuan tergantung-tergantung.

“Pak Said?”

“Tengok saja.”

Laila semakin resah. Kenapa tidak diapa-apakan tubuh yang bergantung-gantung ini? Kenapa dibiarkan mereka leper di koridor rumah kedai? Ada apa dengan darah mengering dan dihurung lalat? Ada apa dengan kampung ini? Teman-temannya yang pernah datang malah tak pernah pulang. Kalau ada, semuanya diam. Dingin malam yang tak menyenangkan – katanya.

Perempuan itu membetulkan kaca mata. Rambut dirapikan ikatan. Mujur dia tidak memilih melepaskan rambut malam ini. Ia pasti tidak menyenangkan. Ketika Laila menuruni bukit, kedengaran perlahan suara seorang perempuan. Pak Said menggeleng. Laila menjegil.

“Jangan degil, nak,” katanya. Berbisik.

Laila akur. Dia biarkan langkahnya ke hadapan sebelum telinganya menangkap suara seorang lelaki. Perlahan dan mendesah. Tersekat-sekat. Dalam kesayuan, ada anak-anak kecil sedang merengek-rengek memanggil bapa. Pak Said menggeleng. Jalan terus, nak! Di hadapannya kini sebuah rumah. Sederhana besar dengan binaan kayu. Ada kesan dimakan anai-anai pada pintu. Di hadapannya sebuah kerusi malas. Sudah berkarat tetapi masih boleh dipakai. Old but gold, kata Pak Said. Laila tersengih.

“Ini rumah Pak Said.”

Wajahnya yang berkedut-kedut kini bercahaya. Di hadapan pintu rumahnya ada dua bakul makanan. Belum dibawa masuk. Belum dijamah. Dia kemudian memandang Laila dengan matanya yang redup. Dingin malam yang tak menyenangkan – katanya.

“Kampung ini dulu aman. Orang berkunjung ke sini, bercerita dan ketawa. Pak Said selalu bantu Pak Jamal baiki jala. Sekarang lihat, tubuhnya tinggal rangka. Tiba-tiba semua terkurung tak boleh keluar. Dan entah bila mulanya, Pak Said dah tak ingat, ia seperti yang engkau lihat sekarang. Ramai anak muda datang ke sini seperti engkau. Melihat orang bergantung-gantung, sama menggelegaknya seperti engkau. Aku pun, nak! Aku pun. Entah salah apa kami semua. Satu kampung begini merana.”

“Tak ada yang datang tolong? Pak Din buat apa?”

Pak Said meraup wajah. Matanya berkaca sedang bibirnya bergetar. Ada garis hitam pada matanya. Kelihatan jiwanya semakin rapuh. Tinggal saja jasadnya masih bergerak.

“Kau ingat lelaki gempal di masjid? Itu anak Pak Said,” katanya sebelum air matanya tumpah.

Kerusi malas ditarik ke tengah beranda. Pak Said menggaris senyum, memanjat, lalu dibiarkan kakinya tidak lagi menjejak lantai.

Suara lelaki tua itu tersangkut-sangkut macam babi kena sembelih. Wajahnya membiru sedang kaki terkutik-kutik. Laila memeluk tubuhnya yang kurus kering. Turun, pak! Turun! Air mata berjujuran keluar. Tak ada kudrat memaksa Pak Said turun dari terus tergantung. Laila panjat kerusi malas. Laila peluk Pak Said. Laila tolak badan Pak Said. Laila panggil Pak Said. Laila menjerit. Pak Said tak bergerak. Diam. Tergantung.

Laila mengekor suara yang mendesah-desah meminta tolong. Setiap lelaki yang tergantung Laila turunkan. Setiap perempuan yang bergantungan Laila turunkan. Orang yang sudah merangka dalam kereta buruk dengan makanan-makanan basi, Laila keluarkan. Fikirannya kini berkecamuk. Ada guruh berdentam-dentum dalam dadanya. Laila terduduk merenung rumah-rumah dengan tubuh tergantung-gantung sebelum berekor-ekor anjing tiba-tiba keluar entah dari mana.

Dengan mata merah menyala, anjing-anjing menyerang Laila sehingga terbaringlah tubuh itu di atas jalan. Dia merenung langit malam sambil berbisik – dingin malam yang tak menyenangkan. Anjing-anjing menggerogoti tubuh kecil Laila. Seekor mencarik tangan, seekor memilih kaki. Yang lain mengorek mata, mencabut hidung dari muka, memamah bibir, usus, jantung, hati dan buah pinggang. Daging-daging berselerak di atas lantai. Hamis.

Di rumah, Pak Din menyarung pelikat. Mengira butiran tasbih sambil mendengar lolongan anjing membelah malam. Esok mesti digantungkan kepala Laila di tiang lampu yang masih kosong. Tanda penghargaan.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Mencatan pelangi

suatu petang,
khuatirmu datang akan nasib senja kita di hujung hari
nirwarna, semata sepi
lalu, kudenaikan petang kita di sepanjang tasik astakona
kucuri merah dari bara berahi saga
jingga dari muntah terkedek itik
kuning madu di kaki rerama
hijau daunan herba mujarab
biru kaki langit harap
nila adunan aurora – ungu paling utara, hijau paling selatan
jingga warna paling timur juga paling barat dalam hayat teradunkan
kita kumpul sarwa warna hayat untuk dicatan pelangi senja – paling menawan pernah kau yakini
mudahan saat kita diundang gelap malam nanti
pelangi senja jadikan kita bercahaya
lebih putih dari selimut kafan – yang menyelimutimu, dan juga aku

Efan Hamza

Categories
BUDAYA RENCANA

Kurungan tingkat 20

Oleh A. Muziru Idham

Ilustrasi Matarojit

(1)

“Ziya, aku terkurung dalam ruang tidak berdinding. Bebaskan aku daripada kejahatan malam yang mengigit sendi dan urat nadiku ini. Rohku menggelupur dalam diriku sendiri. Tolong aku, Ziya!”

Malam belum menutup pintunya. Angin mati ditarah duka. Serigala malam meraung kesakitan. Hati-hati, ada penyamaran sedang menyelinap perlahan-lahan ke dalam darahmu — dan ke paru-parumu!

(2)

Seorang lelaki sedang duduk. Tingkap di hadapannya terbuka sedikit. Barangkali dia tidak mahu membukanya luas-luas. Udara luar terlalu hanyir untuk menyusup ke biliknya yang akan membuatnya tidak selesa. Di atas meja ada cawan kosong (yang meninggalkan kesan kopi pada dasarnya) dan novel The Plague karya Albert Camus. Pintu tandas dibiar terbuka dengan daki dan lendir melekit di dinding dan mangkuk tandas. 

Lelaki itu tidak berbuat apa-apa, cuma merenung ke luar jendela. Matanya memerhatikan dari tingkat 20 flat jauh ke bawah. Tiada sesiapa berlegar-legar di sana. Jeritan remaja bermain bola sepak bersuka ria dan berkejar-kejaran telah lama mati. Hanya kesunyian menggaung di setiap penjuru bilik. Ada jerit tempik dalam dirinya meminta pertolongan tetapi tidak tahu hendak diminta dari siapa.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sesudah diberhentikan kerja kerana syarikat jatuh muflis, dan pemiutang mengejarnya, dia terpaksa mengurung diri dalam bilik. Duit simpanannya sudah habis. Sudah beberapa hari dia cuma mampu menghirup air mentah dari paip singki tandas. Kekasihnya meninggalkannya sejurus dia kehilangan kerja dan kemudian jadi kekasih seorang anak VIP, baru dilihatnya di Facebook, memuat naik gambar bersuka ria di Langkawi. Aneh. Perdana Menteri telah membuat pengumuman di televisyen agar semua orang berkurung di rumah. Tindakan akan diambil kalau melanggar perintah. 

Ah, celaka, aku akan terperangkap dalam hari-hari kurungan yang sunyi! 

Lelaki itu mengetuk-ngetuk meja sambil menggemakan irama Auld Lang Syne dalam kerongkongnya tanpa mengeluarkan suara. Tiba-tiba ada ketukan pada pintu bilik. Lelaki itu berpaling. Debaran mendetak. Peluh menitik. Ketukan semakin kuat.

(3)

“Tolong aku, Ziya! Segala-galanya jadi belati, menikam, mencarik nafas dan dagingku. Aku dihimpit kenangan, diterjah kesunyian yang menikam-nikam jantungku. Deritanya menolak sengsara menjadi karma yang menarah badanku.”

Seekor ular datang menyeringai dengan pandangan tajam. Kegelapan menukarkan wajahnya menjadi gergasi. Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Ada jeritan terlontar, kemudian diam. Sunyi darah mengalirkan suaranya.

(4)

“Aku diutuskan untuk menarik nyawamu.”

Lelaki itu tergamam dan berundur setapak. Seorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) berdiri di pintu dengan mengeluarkan ayat yang penuh mujarad begitu. Malaikat mautkah yang datang? Atau ada orang yang ditugaskan membunuhnya? 

Manusia X perlahan-lahan mengeluarkan sebilah pisau dari saku jubahnya. Dia masuk ke bilik lelaki tersebut sebelum menutup pintu dan menguncinya. Matanya menggelintar ke sekeliling bilik — kipas yang tidak berfungsi; katil berselerak; tong sampah penuh dan hanyir; buku dan segelas cawan di atas meja; langsir lusuh; tandas berlumut dan berdaki; dinding kehitaman (sekeping poster Hitler mati menembak dirinya ditampal di dinding); dan asbak dipenuhi abu rokok di atas lantai dengan berpuntung-puntung rokok di sekelilingnya. 

Lelaki itu berundur dan tersandar ke dinding. Biliknya tidaklah terlalu besar. Cukup tiga-empat tapak berjalan sudah bertemu dinding. Manusia X mendekati lelaki tersebut. Lelaki tersebut melihatnya penuh ketakutan. Tetapi suaranya tidak mampu dikeluarkan dari kerongkong seolah-olah sesuatu menyekat biji halkumnya. Dengan pantas Manusia X menikam perut lelaki tersebut. Darah memercik deras. 

Arghhhhhh…. lelaki itu terjaga dari tidurnya dan bangkit dengan rasa penat menjalar ke seluruh urat. Biji-biji peluh merembes ke bajunya. Dia segera sedar bahawa dia bermimpi dibunuh Manusia X dan dirinya sedang berada di atas katil yang hapak. Dia menampar-nampar pipinya, memastikan dirinya sedang terjaga di alam realiti. Dia lega seketika dan melepaskan keluhan nafas berat. Sisa penat masih terasa. 

Tiba-tiba dia perasan sesuatu. Di atas meja tergeletak sebilah pisau di atas novel The Plague. Entah bila pisau itu berada di situ. Serasa lelaki itu, dia tidak memiliki pisau sebelum itu. Dia bangun dan membelek pisau tersebut. Aneh. Serentak pintu biliknya diketuk kuat. Mata lelaki itu terbuntang luas. Jantungnya berdetak kencang. Serasa aliran darahnya semacam terhenti tiba-tiba.

(5) 

“Ziya, aku tak mampu bertahan lagi. Sunyi merenggut jantungku, aku tidak mampu bernafas dengan sempurna. Aku digelut kemurungan, aku tidak tahu apakah aku masih diperlukan lagi di dunia. Rutin-rutin hariku membunuh semangat, apakah aku punya makna hidup yang perlu kukejar sesudah terperangkap dalam ruang tidak berdinding ini. Celaka wabak yang merenggut kebebasanku. Tidak mengapalah Ziya, aku berasakan diriku tidak diperlukan lagi di dunia ini.”

Detik waktu seperti telah lumpuh. Segala-galanya terlalu zulmat dan kabur untuk difahami. Darah bercucuran merata tempat. 

(6)

Lelaki itu memegang pisau dan membelek-beleknya. Dia cuba mengingati bilakah pisau itu berada di atas meja. Setahunya dia tidak membeli apa-apa pisau sebelum ini. Apakah ertinya hidup dalam hari-hari kurungan begini? Bilik sudah jadi penjara, memerangkap kebebasannya, dan kelaparan jadi teman karibnya. Kelaparan itu seperti pisau, menyiat-nyiat perutnya perlahan-lahan, memamah urat sendinya. Barangkali dia akan lebih bahagia kalau dirinya tidak lagi merasai kesunyian dan kelaparan itu lagi. 

Lelaki itu mengambil pisau tersebut. Digenggamnya kemas. Dia sudah melihat kebahagiaan bergentayangan pada matanya. Dia ingin ke alam bahagia secepatnya.

“Tuk tuk”.

Lelaki itu berpaling ke pintu. Hatinya mempersoal siapakah itu. Ingatannya terlontar pada mimpinya tentang seorang lelaki yang datang mengetuk pintu kemudian menikamnya. Dejavu?

Dia berjalan perlahan-lahan ke arah pintu, memusing tombolnya perlahan-lahan. Tangan kanannya memegang pisau kemas yang akan digunakan untuk mempertahankan diri kalau tiba-tiba seseorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) datang hendak membunuhnya. Baginya, mati di tangan orang lain lebih sengsara berbanding di tangan sendiri. Setidak-tidaknya, diri sendiri lebih mengetahui cara terbaik dan membahagiakan untuk mati.

Pintu dibuka. Tiada sesiapa. 

Cuma, di hadapan pintu ada sebakul makanan dan sehelai nota:

“Aku adalah dirimu pada masa hadapan. Wabak telah melontarkan sengsara ke wajahmu dan kamu tidak berdaya hendak memikul kelaparan dan kesunyian. Aku hantarkan kepadamu makanan untuk kamu teruskan kehidupan. Kita tidak boleh bertemu pada hari ini, kerana kamu akan tahu siapa dirimu pada masa hadapan nanti. Jangan mengalah dengan sengsara. Akrabilah kebahagiaan dalam jiwamu. Kamu akan temuinya jika kamu berhenti menyesali dan hadapi realiti dengan kekuatanmu sendiri.”

(7)

[Suara ratapan berhenti. Tidak lagi kedengaran di mana-mana. Kesunyian mati apabila menemui harapan yang mengibarkan bendera putihnya. Bendera putih adalah kemanusiaan yang tidak akan mati di tangan orang-orang yang mengerti bahawa kelaparan adalah kezaliman yang pemerintah tidak akan peduli.]

Categories
BUDAYA RENCANA

Dunia dari kuarza merah jambu

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi Matarojit

Ketawanya nyaring tidak berhenti. Kaki Bina Sari terhincut-hincut membuka langkah tarian manakala bibirnya yang luka tersenyum sambil bercakap-cakap dalam nada yang kurang jelas.

Jiran tetangganya sekadar berani menghendap dari tingkap. Mereka mulai risau melihat kelakuan Bina Sari yang sudah hilang akal. Selepas penat menari, dia duduk bersimpuh sambil bergurau-senda dengan manusia halimunan di ruang tamu itu.

Jiran tetangga berpandangan sesama sendiri dan mula tertanya-tanya, di manakah suami Bina Sari yang berbangsa Bangladesh itu berada? Seharian mereka mencarinya di sekitar kejiranan setinggan yang terletak berhadapan sungai berkelodak lumpur yang dicemari air kumbahan najis.

Setelah dirisik, rupa-rupanya lelaki Bangladesh itu sudah ditahan pihak imigresen di pusat tahanan. Lelaki itu bersama rakan sekerja lain ditangkap di sebuah tapak pembinaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Sudah seminggu suaminya tidak kunjung pulang namun Bina Sari langsung tidak peduli. Lagipun, jika lelaki Bangladesh itu pulang ke rumah, sering kali dia memukul Bina Sari sepuas-puasnya untuk melampiaskan tekanan hidup sebagai seorang imigran yang ditindas.

Seragam sebagai tukang cuci di sebuah bangunan kerajaan sudah lama tersidai di ampaian tidak berangkat. Majikan sudah memberi amaran, jika kesan lebam jelas kelihatan di muka, Bina Sari akan diberhentikan kerja serta-merta.

Majikan itu, seorang perempuan tempatan yang gemuk gedempol memberi alasan bahawa syarikat itu tidak mahu timbul sebarang isu berkaitan dirinya. Telinga capangnya tidak sanggup mendengar suara-suara sumbang bertanya, adakah syarikat itu langsung tidak mempedulikan kebajikan pekerja?

Seorang pencuci yang lebih muda menasihatkan Bina Sari supaya mengadukan hal penderaan ini kepada pihak polis. Cadangan itu dibantah keras seorang pencuci yang lebih tua. Katanya, mereka pasti bertanyakan tentang dokumen diri Bina Sari terlebih dahulu sebelum ambil peduli dengan kesan lebam di muka dan di tubuhnya.

Hari demi hari, keadaan Bina Sari semakin tidak terurus. Suatu petang, dia turun ke halaman rumah dalam keadaan berbogel. Kanak-kanak yang sedang bermain lumpur ketawa mengekek melihat tubuh itu dipenuhi parut dan kesan libasan tali pinggang di bahagian betis dan pinggul.

“Allahuakbar!” Jerit seorang jiran lalu membalut tubuh Bina Sari dengan sehelai kain longyi berwarna hijau tua. Tubuh itu dibawa masuk ke dalam rumah lalu jiran itu memarahinya, sudah gilakah dia keluar rumah tanpa seurat benang di tubuh?

Bina Sari tersenyum dan matanya bersinar ceria. Kain itu ditanggalkan lalu dia berjalan berlenggang-lenggok seperti seorang model menggayakan busana di pentas fesyen.

“Butakah mata kamu, lihatlah busana indah di tubuhku!” jeritnya riang lalu dia mengambil sesuatu dari bawah bantal. Dia mengalungkan seuntai rantai yang diperbuat daripada tali rafia dan di tengah-tengah buah dadanya, tergantung seketul batu kuarza berwarna merah jambu yang berkilauan terang.

***

Mereka semua pernah mendengar khabar angin tentang batu kuarza berwarna merah jambu itu. Kuarza itu dikatakan bukan batu biasa sebaliknya berpuaka. Seperti saka jin, kuarza itu mahu hidup bertuankan seorang manusia.

Namun kuarza itu tidak memilih tuannya secara rawak, ia sering memilih manusia-manusia tidak bernasib baik dalam kehidupan. Entah apa kuasanya, dunia pasti menjadi lebih indah bagi manusia yang didampinginya. Neraka bertukar syurga, lumpur menjadi bubur dan duka adalah suka.

Seorang dukun lelaki tua dipanggil untuk menilik batu kuarza merah jambu itu. Mereka merayu supaya dukun itu membantu menyelamatkan Bina Sari daripada cengkaman kuarza puaka.

Dia menggeleng kerana segalanya sudah terlambat. Kuarza ini hanya mendatangi manusia yang hampir tiba dengan ajal. Masa Bina Sari sudah semakin suntuk di dunia ini. Dia simpati melihat perempuan kurus itu asyik tersengih-sengih ketika terbaring di tilam lusuh sambil matanya terbuntang luas. Ujarnya, Bina Sari sedang bergelut dengan sakaratulmaut tanpa dia sendiri sedari.

Seorang jiran mencadangkan supaya batu itu dilempar jauh ke dalam hutan atau ke dalam sungai hanyir di hadapan setinggan. Dukun lelaki sekadar menunduk, dia tahu bahawa tiada kuasa dapat menghalang ajal yang datang bersama kuarza itu. Sewaktu kecil, dukun itu turut menemui kuarza itu di atas katil ibunya. Tidak kiralah seberapa jauh dia cuba untuk menyorok kuarza itu, ia sentiasa mencari jalan untuk pulang semula ke sisi ibunya.

***

Selang beberapa hari, kawasan setinggan itu senyap-sunyi dari nyanyian Bina Sari. Seorang jiran memberanikan diri menjenguknya. Pintu kayu diketuk beberapa kali namun tidak bersahut. Dia menolak pintu tidak berkunci dan menemui wanita malang itu terbaring kaku di lantai dengan senyuman lebar di wajah.

Selepas kematian Bina Sari, jiran tetangga di kawasan setinggan tidak dapat melelapkan mata di malam hari. Mereka sering terdengar bunyi batu bergolek-golek di sekitar rumah. Dirasakan kuarza itu sedang menyelinap dari suatu sudut ke suatu sudut, kemudian ia masuk ke dalam lubang-lubang dinding dan memerhati semua manusia seperti seekor tikus. 

Dukun lelaki dipanggil sekali lagi, mereka memintanya melakukan upacara menolak bala kematian yang dibawa kuarza berwarna merah jambu itu. Mereka sanggup mengutip derma untuk membayar khidmatnya asalkan kelibat kuarza itu tidak lagi mengganggu kehidupan seharian.

Dukun itu merenung tajam muka-muka yang melihatnya penuh pengharapan. “Kuarza itu sebenarnya Malaikat Maut yang menyamar diri sebagai perhiasan indah untuk mengaburi mata mangsanya. Apa kau fikir, aku mampu untuk menghalang Malaikat Maut daripada menjalankan tugas yang sudah ditakdirkan untuknya?” 

***

Seorang ibu muda menjeram kepala anaknya yang demam panas. Puas dia memaksa namun anak kecil itu enggan membuka mulut untuk menelan bubur yang disuap. 

Dahi dan lehernya disentuh, panas masih tidak berkurang sejak semalam. Matanya asyik memandang ke luar, dia berdebar menunggu kedatangan suaminya yang masih belum pulang dari membeli ubat di farmasi.

Dia masuk sebentar ke dapur untuk mengambil air sejuk. Tiba-tiba terdengar suara anaknya ketawa kuat membuatkan hatinya sedikit lega. Mungkin suaminya sudah pulang dan membeli patung mainan untuk menghiburkan hati anak kecil itu.

Di ruang tamu, anak kecil itu asyik tersengih-sengih memandang ke luar pintu rumah. Gelas kaca di tangan ibu muda itu terlepas apabila dia terpandang sesuatu yang berkilau berwarna merah jambu di celah genggaman jari-jemari anaknya.

Sayup-sayup suara tangisan dan rintihan kedengaran di sekitar kawasan setinggan sebelum ditenggelami suara azan dari corong masjid-masjid yang berdekatan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Ibu sekuntum luka (i)

aku terjaga dengan sajak di dada
timbunan bunga melitupi kepala
lopak darah bergenang di kaki

mak, aku teringatkan kau
pagi begini bau cekodok masin
dan teh kosong semerbak di tanah ingatan

bunga ini wanginya tajam terlalu
hanyir darah menusuk hidung
di antara keduanya, kenangan menikam

walau zat pengalaman bertambah
ingatanku belum cukup digaramkan cekodok masinmu

semakin sukar membaca kenyataan
semakin lapar menuliskan dirihal
tapi sajak ini tak mengenyangkan rindu

ambillah bunga dan darah ini
aku cuma nak ke dapur

 

Abdullah Hussaini

Categories
BUDAYA RENCANA

Puisi buat Dhabitah Sabri

(mawar yang jatuh ke kolam harapan)

Sekuntum mawar
yang jatuh ke kolam rindu
melemaskan beribu jiwa
di pelantar terasing

Kau menguntumkan senyum
menyimpan seribu luka dipapan anjal yang melonjak kamu ke taman bintang- bintang di langit

Kau perisis seekor rajawali yang menjunam kolam hati tanpa memagut jantungku
kau simpan segala resah
di kolam mandianmu dalam diam kau melawan kesunyian tidak siapa tahu

Kau sekuntum mawar
yang mewangikan jiwa seribu kumbang di taman sakura
dipapan kehidupan itu
kau membebat segala luka
dihatimu

Airmata yang mengalir
membasuh segala keraguan
tanpa cintamu tak mungkin
kau berada dipuncak

Rama-rama cantik itu kamu mengitari di laman sakura
mengembangkan sayap
yang pelbagai tona tanpa lagi menoleh dan berpaling

Mamu MK Hasny

Categories
BUDAYA RENCANA

Stamina 80 tahun Goenawan

Oleh Salman Sulaiman

Ilustrasi Matarojit

Goenawan Mohamad – dia penyair besar dan eseis terkemuka Indonesia. Dia menulis di mana saja dan pada bila-bila masa. Melihat suasana pagi di Salihara, tempat dia menghidupkan seni, budaya dan sastera di pinggir Jakarta, pun dia menulis juga: “Pada terang pertama pagi, empat ekor balam hinggap di halaman atap Teater Salihara: Tuhan mengirimkan teman kze atas rumput dan batu-batu.”

Kita sebenarnya sedang banyak belajar daripadanya, bahawa menulis itu membuat kita abadi, dan bahagia. Dan membuat kita lebih kuat dan panjang umur. Kebahagiaan seorang penulis juga ialah apabila dapat melihat bukunya diterbitkan dengan sebegitu cantik – oleh DIVA Press, Penerbit Circa, PT Gramedia Pustaka Utama dan oleh Pusat Data & Analisis Tempo juga tentunya, serta oleh lain-lain penerbit besar Indonesia. 

Julai 2021, setepatnya 29 Julai; genap usianya 80 tahun. Bagi kita yang ingin banyak membaca sepertinya, dan tajam berkata-kata – dengan maksud “kritis menulis”, sepertinya juga; tentu saja Goenawan begitu menginspirasi, kerana dia sasterawan legenda yang telah dilanjutkan usia dari stamina kata-kata dan memiliki senarai karya peribadi yang sangat banyak. Paling istimewa, begitu ramai orang yang menghargai dan menyanjunginya, dan mereka inilah yang berusaha menerbitkan buku-bukunya saban tahun. Lebih menakjubkan, 12 bukunya diterbitkan pada 2011 sahaja, terdiri daripada sembilan jilid Catatan Pinggir (Caping) dan termasuk tiga buku lain: Puisi dan Antipuisi, 70 Sajak dan Don Quixote.

Gaya berbekas

Wartawan senior pendiri majalah Tempo ini juga seorang penggiat seni rupa – dia gemar melukis dan menggambari sesuatu dari sudut pandangnya sendiri, dengan gayanya yang semacam absurd, dan adakalanya kelihatan seperti mendekati realiti; namun masih abstrak. Sketsa-sketsa ciptaannya nampak mudah dan ringkas, tapi kesenimanannya tetap jelas dan berbekas. Mungkin mengambil semangat dari catan Affandi yang berjudul Ayam Petarung, dia melukis kuda. Meneliti kanvas hasil cipta Rusli dan Basuki, dia melakar kepala burung.

Dari esei yang sangat pendek kepada esei yang begitu panjang, tentang suasana pagi yang beraromakan harum kemuning hinggalah perihal suguhan pemikiran filsuf Adorno, semenjak Pariksit (1971), Asmaradana (1992), Sajak-sajak Lengkap 1961–2001 (2001), Eksotopi (2002), Visa (2008), Dirodometo (2009), Fragmen (2017) hinggalah sampai Catatan Pinggir 14 (2021) – dia tidak pernah berhenti menulis. Bermula di pinggir majalah Tempo yang asalnya sekadar catatan kecil untuk mengelak kebosanan hinggalah ia menjadi hujahan-hujahan keintelektualan dan pengalaman yang sangat disukai banyak orang. Dan dia pernah tidak tidur semalaman, hanya semata-mata bagi menyelesaikan satu esei untuk Catatan Pinggir. Dia menulis Caping untuk melatih fikirannya dan bagi mengasah akal pembaca agar merenungkan, katanya, “Otak yang tidak dilatih, jadi kaku dan tumpul.” Bacalah esei Caping kalau “merasa ingin tahu dan rasa diseksa sebentar,” katanya lagi.

Menggugat fikir

Untuk menjaga kondisi tubuh dan kekal sihat agar dapat terus menulis, dia mengamalkan senaman-latihan pagi seperti Pram, seperti Murakami. Walaupun tentang itu, dia hanya mencatatkan begini: “Lari pagi adalah cara untuk berteman dengan pohon-pohon. Kita tak menghitung jarak, tak mengukur hasil, tapi mengikuti angsana dan asam ranji.” Dia mencipta sejarah penulisan di Indonesia sebagai satu-satunya jurnalis paling lama menulis hanya untuk satu kolum iaitu esei pendeknya dalam Caping di Tempo yang ditulisnya sejak 44 tahun lalu, yang menggugat pemikiran ramai pendamba ilmu pengetahuan.

Saat usianya sebelas tahun, dia telah pun menulis sajak tentang bulan. Dan kepenyairannya tidak pernah berhenti hinggalah ke saat ini, tatkala usianya sudah pun menjangkau 80 tahun. Dirinya begitu menakjubkan; kerana akan sentiasa ada puisi yang menyentuh dari tangannya, akan muncul naskhah lakon yang mempesona di Teater Salihara – antaranya kareografi sajaknya Orfeus oleh Melati Suryodarmo, Surat-surat tentang Karna dan Tan Malaka; dan akan ada saja esei yang mengalir dari pemikiran falsafahnya. Menurutnya, dunia penciptaan adalah dunia yang gelisah. Bersendiri dalam (penciptaan karya) kesusasteraan itu ialah kemerdekaan baginya, merdeka dari masa lalu yang ingin dia lupakan. Kemerdekaan seorang penulis ialah kebebasan kreatifnya tidak dikacau-ganggu.

Dia merupakan satu contoh luar biasa seorang pengarang, seorang seniman yang serba mungkin. Seorang pencari kebenaran yang menggugat fikiran melalui tulisan dan lukisan. Seorang sutradara teater yang menghasilkan skripnya sendiri. Pujangga besar yang hidupnya memang untuk seni, sastera dan penulisan. Kerana baginya: “Karya seni adalah kerja habis-habisan. The joy is to discover the new, the unexpected and the different along the way.” 

Dia seniman sejati, dan dia pujangga besar, kerana inti hidupnya benar-benar bergulat dengan tiga paksi kesenimanan dan kesasterawanan iaitu tulisan, lukisan dan persembahan. Dan dia barangkali tidak akan menulis memoir tebal seperti Arena Wati, kerana entah berapa ribu tulisannya itu sudah cukup untuk meriwayatkan seluruh hidupnya yang sedemikian jenuh dengan esei dan kata-kata; barangkali?

Categories
BUDAYA RENCANA

Di anjung hotel terapung

i.
pagi buram di anjung hotel terapung lima bintang. kuintai ikan-ikan dan karang dan angin dan matahari suam berbalam namun tak pernah karam tak pernah tenggelam.

ii.
hotel ini telah kubayar harga heningnya. berlakon menjadi angin, menjadi matahari atau bulan dan saban masa cuba berjenaka atau dengan rakus menjeling kecewa namun tertawa usiaku tak juga menjelma muda.

iii.
kuperasan ibu ikan mencium anak-anaknya lalu berkata,” hari ini kita bukan lagi ikan-ikan, tidak juga menumpang kepada karang-karang tetapi kitalah tuan menjaga satu sudut dari pameran.”

Ghazali Sulong

Categories
BUDAYA RENCANA

Mak

Oleh Aiman Nazirmuddin

Ilustrasi Matarojit

Liam Gallagher pernah pesan. Kata dia, mimpi adalah pinjaman dan esok kita kena pulangkan sekali dengan kesedihan.

Aku terjaga. Terkejut. Jantung jadi laju. Mata aku tepat memandang kipas yang berpusing. Bunyinya memenuhi ruang sampai ke lubang telinga. Pekat dan memecah kesunyian. Krik, krik, krik. Bunyi macam ada skru longgar. Aku pandang jam, 4.50 pagi. Aku perasan bantal aku basah. Ada air mata yang jatuh.

Aku kesat mata kanan guna tangan kiri. Benar, rasa basah. Air mata ini buat aku ingat kenapa aku terjaga secara mengejut.

Aku mimpi mak lagi. Kami berjumpa di awangan pada suatu siang. Aku lupa mak duduk atau berdiri. Tapi dia berada betul dekat depan aku. Boleh jadi jaraknya sedepa. Aku tatap dia penuh mesra. Semesra kenangan yang aku pegang selepas mak diambil tuhan. Wajahnya aman, rasa tenang. Kulitnya lembut, aku nak sangat sentuh, tapi aku tak berkuasa dalam percaturan mimpi. 

Kami saling memandang lama. Menatap setiap inci wajah. Ada kedut-kedut kenangan. Inilah manusia yang membesarkan aku. Yang memberi sepenuh raga kasih sayang dan seluas sekolah kehidupan. Mengajar aku dari bertatih sampai boleh berjalan. Dari mengeja sampai aku lancar. Yang setiap kali aku jatuh, wajah ini akan pesan, “Semua benda boleh baik.” Jadi bila mak mati, separuh aku ikut mati. 

Tak lama lepas itu, mak bersuara. Kata dia, “Aiman, kirim salam semua.” Ada garau di belakang suara. Mak senyum.

Ayat mak pendek, tapi mendalam. Masa itu, aku tak sempat balas apa-apa bila mak cakap macam itu. Dan lantai tiba-tiba menjadi terlalu ringan, aku mula jatuh dari awangan. Aku menangis. Tak tahu sebab apa. Boleh jadi takut akan jatuh atau aku tak bersedia lagi nak berpisah dengan mak. 

Aku terjaga. Terkejut. Jantung jadi laju. Aku sedar, itu adalah mimpi dan aku adalah realiti. 

Aku memandang kipas yang dari tadi tidak berhenti berbunyi. Walaupun bising, tapi bunyinya tidak sampai jengkel. Krik,krik, krik. 5.00 pagi.

“Aiman, kirim salam semua!” Ayat itu berlegar di atas kepala. Berpusing-pusing meminta jawapan. Ayat mak itu penuh soalan dan tanggungjawab. Perkataan ‘semua’ itu betul menekan di hujung fikiran. Tak pasti siapa ‘semua’ yang mak maksudkan. Tapi bagi seorang anak, aku rasa mak maksudkan ahli keluarga aku. ‘Semua’ bagi mak adalah dari abah sampai ke adik paling bongsu. Mungkin itulah tujuan salam yang mak cuba tuju. 

Aku cuba untuk pejamkan mata. Cuba matikan fikiran daripada berjalan menyelusuri idea yang baru. Aku nak sambung tidur. Tak mahu bersedih dalam gelap. Mahu fikir soal mimpi mak bila aku bangun balik nanti. Tapi otak ini ligat. Dia ambil jalan lain menuju kenangan. Membawa aku ke pangkuan sayu yang sudah lama tak kunjung datang. Imaginasi aku mengenang-ngenang. Dari zaman kecil anak, hingga membawa ke besar. Mak perempuan nan bercinta. Sungguh baik dalam menjaga. 

Perlahan-lahan, kenangan mula jadi beban. Ada sedih di hujung rasa. Ada air mata yang mula bergenang. 5.17 pagi. Krik, krik, krik. Bunyi kipas.

Kesedihan adalah dinding di antara dua taman. Boleh jadi ia baik dan boleh jadi ia buruk. Kerana kita terikat dengan setiap pilihan. Apa yang kita ambil akan menentukan nasib yang lain dalam kehidupan menjelang. Kesedihan inilah nanti yang kita gendong sehari-harian. Kadang-kadang kita penat, cuba juga hulur pada orang. Ada yang sudi bawa, tapi tahan sampai separuh jalan saja. Ada juga yang singgah, tapi tak sudi untuk bawa. 

Aku ingat lagi. Pada hari kematian mak, semua orang mengucapkan takziah. Ada yang datang salam, sebahagian pula peluk kita dengan erat. Tanda mereka juga berduka cita. Di bahagian lain pula, ada manusia-manusia berkumpul bercerita tentang mak. Dan sebahagiannya pula asyik mengulang yasin di hadapan jenazah mak yang terletak cantik di ruang tamu rumah. 

Rumah hari itu jadi bungkam. Sekitar rumah penuh dengan muka-muka yang kita pernah jumpa dan bertegur sapa. Orang-orang ini aku bertemu sepanjang aku membesar di tangan mak. Bila dengar mereka ucap yang mereka juga turut berdukacita dan harap kita terus kuat. Kita ambil dan hadam ucapan mereka dengan erat. Seolah-olah terasa kasih sayang dari orang-orang yang pernah baik dan simpati dengan mak.

Beberapa tahun selepas kematian mak. Ada satu rasa percaya yang kuat bahawa suatu hari nanti kesedihan ini akan hilang. Diri aku akan berada di luar rasa kesedihan. Tetapi rupanya selepas sepuluh tahun kemudian. Ketika cuaca bertukar ganti. Aku rasa silap dalam meneka-neka sifat kesedihan. 

Air mata yang bergenang ketika ini sangat sukar untuk dihuraikan. Kesedihan yang bertandang tadi rupanya sudah bercampur dalam satu cawan yang penuh dengan perisa. Ada baik, buruk, syukur, kecewa, marah, bahagia, geram. Aku rasa semua benda. Perisa itu semua diadun dalam satu cawan kesedihan. Sehingga aku sendiri tak pasti, yang mana satu perlu aku gendong dan bawa.

Realiti rupanya bermain lebih dari itu. Harapan mereka untuk kita kuat itu sebenarnya berat dan memenatkan. Benda ini bukan sekadar cerita seorang anak yang kehilangan ibunya. Ia lebih besar dari itu, lebih luas dari sekadar harapan untuk kita kuat. 

Sepanjang sepuluh tahun ini. Rupanya-rupanya, menjadi seorang anak yang kehilangan ibunya. Kita jadi belajar. Bahawa dia bukan sekadar kehilangan ibunya. Tetapi dia kehilangan tempat untuk dia berteduh. Dia kehilangan tangan untuk disambut. Dia kehilangan tali yang menariknya dari jatuh. Dia kehilangan sentuhan-sentuhan yang membuatkan dia kenal kasih sayang. 

Dan untuk berada dalam satu ruang yang separuh – kerana separuh lagi mak sudah bawa ke kuburan – adalah berat dan memenatkan. Secara fizikalnya mak sudah tiada. Tapi secara psikologinya, mak masih berlegar-legar di setiap tempat yang kita tuju. Walaupun agak berat untuk menerima, tetapi jauh dalam lubuk hati aku sudah capai satu rasa selesa.

Selepas bertahun-tahun, aku jadi belajar bahawa rasa sedih dan hilang akan berubah bentuk. Ia akan bermain seiring peredaran waktu. Semakin banyak aku luangkan masa berfikir dengan kenangan, semakin sakit aku jatuh dalam kesedihan. Kerana mak adalah sebuah rumah. Rumah yang wujud di sekitarnya. Sekarang dia sudah tiada dan aku tertanya-tanya, adakah aku masih mampu untuk pulang?

5.58 pagi. Krik, krik, krik. Bunyi kipas. Aku duduk di hadapan katil sambil melihat tingkap yang tidak tertutup rapat. Suasana sunyi, pagi itu lirih.

Categories
BUDAYA RENCANA

Teori konspirasi Frankie Latit

Oleh Ilya Alias

Ilustrasi Matarojit

AH! Apakah ayat terbaik untuk menggambarkan keadaan emosi, fizikal serta kewarasan mindaku saban waktu ini. Setiap ketika, bulan bagaikan naik meskipun hari siang, dan aku persis kucing di tengah-tengah jalan raya yang melahap deruman enjin kenderaan yang lalu lalang; menyesakkan! Tingkap rumah yang baru dihuni beberapa minggu yang lalu masih berhabuk. Penangan virus Covid-19 sangat mendesak. Aku kontang idea untuk meneruskan penulisan manuskrip novel yang sentiasa dihambat oleh editor. Berkali-kali jugalah aku meminta simpati agar diberikan kelonggaran masa kerana serebrum aku seakan terikat untuk mengambangkan idea dan kata-kata. Bahkan, untuk menulis sebuah cerpen pun aku tidak mampu! Mujurlah aku sempat berhijrah ke sebuah apartment baru di tengah-tengah kota. Sejak aku memiliki kunci rumah ini, seluruh kawasan sekitar bagaikan kena sumpah dan berubah kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan. Namun, semua itu langsung tidak memberi kesan kerana ketegangan emosiku sudah tidak dapat dibendung. Apakah ini merupakan fasa kegagalanku sebagai seorang penulis? 

Pagi musim panas tanpa angin ini, aku bertekad akan mengemas rumah. Aku tidak betah lagi menghirup atmosfera habuk dan mungkin juga dengan cara ini, aku dapat meminjam aura penghuni rumah ini yang terdahulu. Aku mula dengan menilik barang-barang yang penuh di dalam kotak dalam sebuah bilik kecil. Segalanya berupa buku dan kertas. Ada juga sebuah mesin taip versi lama yang dibalut kemas. Aku kian tertarik melihat nama yang terukir pada mesin taip tersebut, Frankie Latit. Ya, aku belum kisahkan bahawa aku tidak memilih untuk menyewa rumah ini secara suka-suka. Seorang penulis muda yang terkenal ketika zamannya, Frankie Latit pernah menghuni rumah ini beberapa tahun yang lalu ketika dia masih menuntut di ibu kota. Aku seperti anak kecil yang mendapat gula-gula kapas apabila melihat beberapa naskhah manuskrip lama yang disimpan kemas di dalam kotak-kotak koko besar dan penuh habuk. Aku membuka tingkap untuk membebaskan sebahagian habuk yang sakan menari di udara. Kebanyakan manuskrip tersebut ditulis dengan tulisan tangan dan aku masih dapat membaca sebahagian karyanya. Pandanganku tertancap pada helaian kertas yang disimpan rapi dalam sebuah fail nipis berwarna hijau terang. Helaian-helaian kertas tersebut sudah agak lusuh dimakan waktu. Aku bersila sambil meneliti helaian kertas yang aku kira sangat mengagumkan. Ianya sebuah cerpen yang mengangkat konspirasi kewujudan xenofobia. Aku tidak lama di dalam bilik kecil itu. Nampaknya, jadual untuk membersihkan rumah terpaksa aku ubah. Aku berjalan ke sofa, dan untuk kali pertama menghuni rumah ini, inilah saatnya aku merasa deru bayu yang berpuput laju melalui tingkap di ruang tamu.   

Hatiku terasa penuh dan pastinya ini perasaan yang dialami oleh Thomas Edison apabila tenang mengatakan hal ini kepada anaknya ketika semua keringatnya musnah dijilat api di West Orange pada 10 Disember 1914; 

“Benar, premis kita semuanya bertukar abu, pasti atas kesalahan yang pernah kita lakukan. Esok kita akan mula semula.”

Aku cuba mengawal perasaan teruja dengan mengeluarkan satu tin kopi segera sejuk dari peti ais. Aku duduk bersila di atas sofa dengan penuh debar hendak memulakan pembacaan pada helaian karya yang magis ini. 

Konspirasi yang dibawa oleh penulis ini memang hebat dan disulam dengan unsur-unsur medikal, yang memang menjadi impianku untuk menulis hal-hal begitu. Sejak kali pertama aku menulis, seringkali rakan-rakanku berceramah agar aku mempunyai identiti kepengarangan aku sendiri. Bagaimana? Aku tidak mempunyai latar pendidikan yang hebat, kenal ilmu sains dan biologi, atau ilmu-ilmu ekonomi yang boleh dijadikan kekuatan karya. Kebanyakan karya yang pernah aku tulis segalanya mengangkat isu-isu marhaen serta kehidupan manusia secara total. Aku pernah memaksa diri untuk membaca dan mendalami fakta-fakta mengenai budaya masyarakat di Borneo, dan hal-hal lain yang lebih serius, namun tidak berhasil. Seolah-olah bacaanku tidak lekat dalam kepala di saat aku mahu memuntahkannya sebagai sebuah karya. 

Aku menarik nafas dalam-dalam, menyambung bacaan yang masih suku perjalanan. Naskhah ini ditulis tangan dengan pen dakwat basah, namun tulisannya masih jelas dan langsung tidak terjejas oleh masa. Berbeza dengan naskhah dan helaian karyanya yang lain. Hanya karya ini sahaja yang masih elok benar, barangkali takdirnya untuk bertemuku. Aku semakin teruja apabila melihat sulaman unsur-unsur medikal dengan budaya yang diterapkan oleh penulis yang sejak dahulu aku cemburui bakatnya. Keningku seakan bertaut tatkala menghadam intipati karya ini yang mengangkat isu kedatangan pendatang asing ke tanah air kita.  Kehadiran mereka telah memberi impak negatif kepada psikologi anak-anak generasi baru. Aku menggigit bibir apabila kemuncaknya, diberikan persoalan, apakah keadaan ini bakal menjadi pandemik yang melanda negara? Terus fikiranku berkelintar akan kes kematian Covid-19 yang kian mencanak naik. Apakah penulis ini mempunyai akal magis untuk mentafsir masa depan dan menyulamnya dalam bentuk sebuah karya satira? Aku membelek-belek setiap helaian. Nampaknya, tiada tajuk karya yang ditulis bersama. Aku menarik nafas dalam-dalam.  

Usai menghadam naskhah tersebut, meninggalkan aku dengan perasaan yang langsung aku tidak gemar. Aku menghirup kopi sekali gus sehingga habis. Debar di dada kian ketara. Aku meletakkan semula naskah di atas sofa, merenung apakah keputusan paling sempurna yang mesti aku lakukan. 

Aku mahukan karya ini menjadi milikku, itu sesuatu yang pasti. Aku mahu  nama yang tertera sebagai penulis karya ini ialah diriku, tetapi apakah dosa dan sumpahan yang bakal aku terima sekiranya bulat-bulat mengirimkan karya tersebut kepada editor. Sudah hampir suku tahun penaku sunyi tanpa buah karya. Aku bagaikan tikus yang terjumpa labu di tengah-tengah lubang najis, kelaparan dan tamak. Ah, kepalaku sakit!

Seharian aku cuba mempertimbangkan keputusan yang baik. Bunyi bip yang muncul di tengah-tengah kegalauan memberikan aku kata putus.

Assalamualaikum Ilya, sudah ada cerpen terbaru untuk disiarkan? Lama kami menanti, selepas ini mungkin tiada lagi slot karya untuk kamu sekiranya kosong begini. 

Ada, Tuan. Sekarang juga saya hantarkan. 

Dan, tanpa segan, aku mengirimkan karya tersebut yang aku fikir sesuai tajuknya; Teori konspirasi Frankie Latit!