Categories
BUDAYA RENCANA

Homaj dalam biru terang

—mengikuti Saloma, Miles Davis, John Coltrane dan Max Roach

jangan lelah, kawan-kawan:
cinta agung ada dalam warna
harian. nila dalam zamrud.

walaupun malam adalah seraungan
rebab ditarik; bulan bercahayakan
teriak serunai—cinta agung datang

dalam macam-macam bentuk.
macam-macam rona. tiap masa.
ruang pun mengamuk dan menjadi

lebih panjang. makin dalam. lagi
luas. macam cinta agung. semua
kebiruan. segergasi langkah raya.

kiblat kita bukan new york. tapi aku
dengar keagungan cinta dari sana.
aku paling dengar dengan air mata

kebebasjiwaan malaya: ipoh. besut.
bandar tasik selatan. pulau duyung.
tanjung asam. bukit damansara—setiap hari.

pecah menjadi hari lebih kecil:
setiap kecaiannya bunga telang
warna seharian. setiap kelopaknya

kulit rebana menanti dipalu. dipalu.
berpaluan. bertabuh. dengarkan.
dengan air mata; salak agung cinta.

 

Jack Malik

Categories
BUDAYA RENCANA

Pada mukjizat

siapakah yang memecahkan
curiga di mata orang -orang
percaya?

pada mereka yang mengetuk
paginya untuk meramahi
embun atau jelaga hitam
yang dijanjikan kicau
merdu burung

tika kawanan rumput kering
menghijau pada pecahan hujan
ombak berbau lembut
di lautan yang maha derasnya

mereka ; orang-orang percaya
batu kecil di hadapan jalan
akan terbentang menjadi gunung

Clariessa Kesulai
Sarawak

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Semut berjalan satu-satu

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi MATAROJIT

SAFWAN terbaring merenung siling. Kipas siling berpusing perlahan, menunggu masa untuk berhenti pada hari yang panas itu kerana sudah lama dia tidak membayar bil elektrik. Kain putih tergantung di jendela. Mungkin manusia yang ternampak nanti akan bersimpati.

Tiga hari ini dia hanya menjamah biskut dan air kosong. Duit simpanan sudah lama susut. Adik-beradik lain yang sudah berkeluarga enggan diganggu, masing-masing punya masalah sendiri.

Perutnya berbunyi kerana terlalu lapar. Dia teringat kisah sewaktu sekolah rendah dahulu. Ketika bulan puasa, mereka semua duduk di dalam kelas pada waktu rehat. Di sebelah mejanya, ada seorang budak lelaki bernama Hambali. Bapanya dimasukkan ke penjara kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang di sempadan negeri.

Hambali mengadu kelaparan kerana sudah lama dia hanya menjamah nasi putih bergaram dan air kosong di rumah.

Ustazah Mahayah menasihati Hambali dan pelajar lain supaya bersabar. “Dahulu Bilal Bin Rabah diseksa dan kelaparan di tengah padang pasir terik membakar kulit. Imannya kuat dan teguh, dia kekal menyebut nama Tuhan yang Maha Esa. Kenapa kita yang duduk selesa di bilik darjah berkipas ini mahu merungut pula?” ujarnya panjang lebar memberi tazkirah.

Hambali terdiam. Dia memandang siling, kipas berputar laju. Memang benar kipas menyejukkan tubuh. Namun itu tidak bermakna ia mampu mengenyangkan perut yang lapar dan merawat tekak yang dahaga.

Perlahan-lahan mata Hambali turun memandangnya sambil berbisik, “Tetapi ustazah, kami bukan Bilal…”

***

Pintu rumah diketuk membuatkan Safwan terjaga dari tidur. Dia membuka mata dan merasakan keanehan pada dirinya. Keadaan sekeliling menjadi besar, dan semua barang di bilik bersaiz gergasi.

Safwan menjerit. Suaranya halus nyaring, lalu dia memegang tubuh yang berubah bentuk. Dia bergerak laju menuju ke cermin kecil. Di pantulan cermin, dia lihat dia sudah bertukar menjadi seekor semut.

Safwan berasa cemas, dirasakan dia masih terperangkap dalam mimpi aneh. Bunyi ketukan pintu bertalu-talu, lalu dia bergerak ke sana. Namun tombol pintu terlalu jauh untuk dicapai dan dia senang-senang boleh menyelinap keluar melalui bawah pintu.

Ada dua lelaki berdiri di depan rumah membawa barangan keperluan asas seperti beras, telur dan sardin.

“Mana orangnya?” soal seorang lelaki. Kawannya sekadar mengangkat bahu. Safwan memanggil mereka namun tidak dihiraukan, lalu dua lelaki itu berjalan pergi dari situ.

Dia termengah-mengah cuba mengejar namun mustahil dapat menandingi bukaan langkah dua gergasi itu.

“Cukuplah Safwan, mereka tidak dapat mendengar kamu,” tegur satu suara. Di sebelah, dia melihat seekor semut besar hitam bersama-sama tujuh ekor semut kecil. Mereka duduk dalam keadaan berbaris.

“Siapa kamu? Macam mana kamu tahu nama aku?” soalnya, ketakutan.

Kepala semut hitam itu bergerak-gerak, “Aku jiranmu, Kak Gayah. Dan ini adalah anak-anak aku.” 

Safwan terkedu lalu berkata, “Adakah saya sudah jadi gila? Adakah kelaparan telah meragut kewarasan saya?”

“Tidak,” jawab Kak Gayah dengan nada sayu. “Cuma terdetik di hatiku, alangkah bagusnya jika aku dan anak-anak menjadi semut. Kami penat berlapar dan berkurung dalam ruang yang begitu sempit. Apabila tersedar, tubuh kami jadi begini,” ceritanya kepada Safwan.

Segala yang kabur mulai jelas. Dia akui dia turut terdetik perkara yang sama ketika melihat beberapa ekor semut mengangkut serpihan biskut yang jatuh ke lantai bilik.

“Mari kita bergerak ke rumah orang kaya. Mereka pasti mempunyai banyak lebihan makanan di lantai dapur,” ajak Kak Gayah. Safwan berjalan menuruti, dan sepanjang perjalanan itu dia teringatkan tentang kisah masa lalu. 

Selepas tamat waktu rehat di bilik darjah, Ustazah Mahayah memulakan kelas dengan menceritakan kisah-kisah nabi kepada mereka.

“Dihantarkan seekor nyamuk untuk masuk ke dalam hidung Raja Namrud membuatkan dia merana selama 40 hari sebelum hari kematian. Bayangkan nyamuk sekecil itu mampu melawan seorang pemimpin yang zalim.”

***

Mereka semua bergerak sebaris seperti sedang berkawad. Mereka melalui sebuah hospital yang dipenuhi dengan manusia sakit dan sukar bernafas. Di celah-celah tubuh yang terbaring di lantai, ada beberapa ekor semut merah sedang berkumpul dan bercakap sesama sendiri.

Safwan memanggil kumpulan semut itu dan panggilan itu disahut. 

“Kami adalah petugas kesihatan yang terlalu kepenatan. Lalu kami tertidur sebentar dan sedar-sedar sahaja, kami semua sudah menjadi semut,” cerita salah seekor semut merah yang kegelisahan.

Safwan segera memujuknya supaya tidak berasa takut dengan nasib mereka.

“Ayuh ikut kami ke rumah pemimpin negara. Dia gagal melakukan tanggungjawab dengan baik. Jadi kita harus mengajarnya dengan cara masuk ke dalam telinga. Biar suara-suara tidak puas hati ini bergema dalam otak itu siang dan malam,” ajak Safwan.

Semut-semut merah bersetuju lalu membentuk barisan kawad baru dan mengikut jejak Safwan. 

Mereka melalui sebuah pos kawalan terbiar di jalan raya. Helaian uniform polis dan askar bergelimpangan di jalanan. Beberapa ekor kerengga berpinggang ramping sedang duduk di bawah khemah.

Safwan menegur mereka dan teguran itu dijawab.

“Kami semua sudah penat duduk berkawal di pos ini siang dan malam. Saya sudah lama tidak balik dan bertemu keluarga di kampung,” adu salah seekor kerengga itu. Tubuhnya sasa dan suaranya besar.

Lalu Safwan mengajak mereka turut serta ke rumah pemimpin untuk memprotes kezaliman. Pada mulanya mereka teragak-agak kerana takut ditangkap. Tetapi apabila difikirkan semula, mereka semua sudah menjadi kerengga. Tiada satu mahkamah di dunia dapat mendakwa mereka untuk jenayah itu.

Mereka berkawad dalam kumpulan menuju ke rumah pemimpin. Sepanjang perjalanan, mereka mengutip sisa makanan bertaburan. Untungnya mempunyai tubuh sekecil semut, hanya beberapa gigitan makanan sudah mampu mengenyangkan perut.

Rumah pemimpin itu senyap sunyi. Ahli keluarganya entah ke mana, mungkin sudah melarikan diri ke luar negara.

Dalam formasi tiga baris, semut-semut bergerak masuk ke dalam rumah agam. Tangga-tangga tinggi dinaiki dengan penuh hati-hati. Di lorong rumah, ada banyak lopak-lopak air di lantai. Mereka berjalan sebaris dan cuba mengelak titisan air. Jika ada semut tergelincir masuk ke dalamnya, mereka cepat-cepat berpegangan tangan lalu membentuk apungan semut di permukaannya.

Safwan tiba di pintu bilik tidur utama yang terbuka luas. Dia mengajak semua semut bergerak pantas masuk ke bilik untuk melakukan serangan hendap kepada pemimpin mereka.

Sebaik sahaja mereka tiba di atas katil, yang ada hanyalah sehelai baju kemeja putih berlengan panjang dan seluar korduroi hitam. 

Di atas bantal, mereka lihat seekor hama sedang tidur lena.

Categories
BUDAYA RENCANA

Dera

setiap kali api mengembang di kepalamu
tercipta jalanan miring, landasan tren
dan ungu lampu-lampu di tubuhku
umpama hentian, segala bahang kausinggahkan

setiap kali haiwan liar tersangkar di dadamu
tercetak tapak-tapak kaki
tempelan acuan tangan
dan pulasan jemari di ragaku
seperti becak, segala yang kaulintas
menyisakan bekas

orang menamakan rumah sebagai syurga
tapi kuingin jauh dari kamar
rohku sedang di luar
mencari laut yang tak ada gelora
meraba udara yang tak bergaul nafas durjana
sebelum khabarku terhampar di akhbar:
-takdir direnggut darah sendiri.

 

Siti Alimah

Categories
BUDAYA RENCANA

Apophenia

i.
sesal mengental kabus.
kelmarin masih.

gelita. tetapi udara berat dengan lebih
dari sekadar malam yang seluruh.
segala siluet
tak bernama
tak ternamakan menunggal,
melohonghitamkan
dada. lagi dan semula.

tujuan memancang cahaya.
esok masih.

membutakan. banyak ketika pilihan
tak menentukan apa-apa lebih
dari kerawakan nama Yunus:
menganga kaleidoskop dada
dari jernih putih terterjemah
kemungkinan corakwarna.

 

ii.
dari sekian air, titis hening pada pipi.
mengapakah kedewasaan selalu
membuat perlu alasan untuk apasaja?
atas kesanggupan terus mencintai hidup,
tangga penrose duka-asa—
hari ini kutemukan lagi keberanian
buat memanggil kesia-siaan
dengan namanya.

 

Meor Izzat Mohamad
Maghribi

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Timbang kilo

Oleh Md Fariq Khir

Ilustrasi MATAROJIT

DIA datang lagi dengan bagasi-bagasi. Dengan kotak-kotak. Dua orang kawan atau orang suruhan ada sekali. Buku-buku tu semua akan disumbat ke dalam bagasi-bagasi dan kotak-kotak tu.

Banyak nak kena angkat dan tak muat pun. Dua kereta MPV dan satu trak 4×4. Penuh semua. Kerusi depan kerusi belakang penuh. Kalau boleh masuk bahagian enjin mereka akan letak. Tu pun satu kotak kecik dipangku riba setiap pemandu. Tak muat. Mereka dah tahu memang tak muat sebab tu awal-awal lagi mereka dah bagitau minggu depan mereka akan datang lagi.

Dua hari lepas dia ada datang. Waktu tu dia datang sorang. Anak kepada pemilik buku ni ingat kawan lama bapak dia datang melawat tapi yang datang tu orang muda. Dia fikir datang ziarah nak menghormati si mati. Memang ya. Tapi ada hajat lain. Hajat yang terutama walau ia yang terakhir diberitahu.

Dia nak beli semua buku yang ada dalam rumah tu. Bukan beli sebijik-sebijik. Beli semua. Kalau boleh timbang kilo tapi nasib baik rumah tu tak ada penimbang. Anak dia berat hati tapi pemuda tu kata saya orang sastra. Beri saja kepada saya. Biar orang sastra yang uruskan buku-buku ni. Buku-buku ni encik sekeluarga baca ke.

Dia diam. Dia tak jawab. Memang dia tak baca pun. Adalah masa waktu kecik dia belek-belek buku bapak dia. Tu pun kena marah. Bapak dia tak suka buku dia kena usik. Dia belek-belek pun nak tengok lukisan-lukisan cantik dalam ensiklopedia. Bukan dia tak boleh baca bahasa Inggeris tapi dia memang malas membaca. Ensiklopedia Melayu pun dia belek tapi tak baca. Marah-marah bapak dia pun ada juga dia belikan buku dekat anak dia sorang tu. Sama je. Tak baca jugak.

Dia kata macamana mak. Ibu berat hati tapi ayah pun dah mati mak pun dah tua. Buku-buku ni takkan mak nak bawak masuk kubur. Mana nak muat kubur mak. Encik ni pun orang sastra ya. Ya makcik, saya ada kedai buku sendiri dekat Kuala Lumpur. Kecik je tapi mewah dengan buku-buku sastra dunia.

Mereka berbahasa basi entah apa lagi. Lepas tu pemuda tu mengundur diri untuk balik dan sempat mengutarakan hajatnya sekali lagi. Dia hantar sampai ke depan pintu dan masuk ke rumah. Di atas meja cawan pemuda itu masih penuh dengan teh. Tak tersentuh.

Esok subuhkala buta bagi kawasan Kuala Lumpur dan sewaktu dengannya pemuda itu menghantar teks macamana. Encik sekeluarga baca ke… Takkan mak nak bawak masuk kubur… terngiang-ngiang di kepalanya. Zuhur baru dia balas dan kata boleh. Okay saya bertolak sekarang kata pemuda. Boleh kirakan dulu ada berapa buku semua. Dia tak jawab.

Mereka tiba tiga orang dengan lima penimbang. Besar-besar. Baru dan berkilat. Sebab mereka nak nak dia dan ibunya tolong timbang sekali. Berapa satu kg encik nak beli. 20 sen sekg. Dia terkejut. Kenapa murah sangat. Timbang kilo merugikan saya. Satu buku dua ringgit dia kata. Pemuda itu mengeluh sebentar. Merenung ke depan beberapa saat dan kata okay kalau itu yang encik nak.

Semuanya 6432 ringgit. Diskaun sikit 6000 boleh kata pemuda. Saya datang dari jauh. Tol lagi minyak lagi. Haih yalah kata dia. Dan pembayaran pun dibuat via pindahan dalam talian.

Laju mereka buat kerja. Dia pun ada tolong sumbat dan angkat kotak-kotak dan bagasi-bagasi ke dalam kenderaan. Pemuda dan kawan atau orang suruhannya itu pergi dan berjanji untuk datang lagi. Lagi dua minggu. Tak jadi minggu depan. Ada hal. Kelima-lima penimbang dihadiahkan sebab kenderaan mereka tak muat.

Beberapa hari setelah pemuda itu datang semula ada orang mesejnya di FB. Encik ni anak kepada penulis yang tulis buku ni ya. Di bawahnya ada gambar buku terjemahan penulis Ireland. Ya kata dia. Saya mahasiswa dari universiti negeri encik. Nak buat kajian sikit pasal kehidupan bapak encik tapi sayang dia meninggal awal dari perancangan saya dan kawan-kawan. Takziah untuk encik dan keluarga. Terima kasih kata dia. Kajian macamana tu. Nak temuramah encik sekeluarga dan nak tengok-tengok koleksi buku dia. Nak buat dokumentasi sikit. Boleh je tapi buku-buku dia saya dah jual semua. Oh ya ke. Tak apa kata mahasiswa. Kita dokumentasi rak dia. Bila nak datang kata dia. Hari ni boleh kata mahasiswa. Lepas Zuhur dia kata.

Tengahari itu mereka berbual-bual. Lima orang. Tiga mahasiswa, dia dan emaknya lanjut sampai ke petang. Mana rak-rak buku tu. Dia kata ada dekat atas. Dia berdiri mengajak mereka naik. Ini kali pertama dia ke ruang baca bapaknya sejak jual beli itu.

Rak-rak mencakar siling. Berdebu tanpa buku. Klik. Bunyi kamera. Salah seorang mahasiswa datang mendekat. Menghulur tangannya ke dalam ruang kosong rak dan waktu ia dikeluarkan kembali di dalam genggamannya ada seensiklopedia. Cantik lukisan dalam buku ni kata mahasiswa. Dia datang melihat dan buku beralih tangan.

Ya memang cantik.

Kemudian dia terdengar suara bapaknya memanggil. Ayah ada beli buku untuk kamu. Dia turun memeluk kaki bapaknya. Bapaknya usap kepalanya. Dia ambik buku yang dibeli untuknya.

Dan dia baca. Dia mula membaca.

Categories
BUDAYA RENCANA

Dari Hotel Bel Air

Oleh Nur Adila

Ilustrasi Matarojit

Dari Hotel Bel Air, saya mengambil teksi ke Kafe Tortoni. Sejurus tiba, saya mengibarkan tiket dan berbasa-basi dengan pelayan kafe yang ramah di pintu masuk. Saya diiringi masuk ke kafe klasik ala Parisian itu yang diterangi lampu jingga romantik. Kafe ini pernah menjadi La Peña – tempat berkumpulnya para pelukis, pemikir, penulis dan dan ahli filsuf Amerika Selatan sedari dekad 1920-an. 

Saya mengetik gambar patung pemikir José Ortega y Gasset dan Jorge Luis Borges yang sedang duduk. “Exactly like it was before,” pelayan muda yang mengiringi tadi begitu lewah mendiskripsi. Saya ke Tortoni untuk menonton persembahan tango. Tidak sah ke Buenos Aires jika tidak menonton tarian tango, bukan? Saya mengajak teman-teman lain – masing-masing diplomat muda dari Turki, Tunisia dan Guatemala – untuk menemani. Tetapi kesemuanya menolak kerana mahu berehat. 

Tenaga kami diperah habis petang tadi apabila kami terpaksa turun bas yang pegun sebelum menempuh kerumunan demonstrasi aman besar-besaran di tengah kota Buenos Aires. Pilihan raya umum sudah mampir dan Buenos Aires menyendeng menyokong pakatan politik sedia ada Juntos por el Cambio. 

“Bangsa Argentina bangsa ekspresif. Kami selalu punya alasan turun demonstrasi setiap hari. Apatah lagi untuk politik,” German, teman saya dari Kementerian Luar Negeri dan Agama Argentina menerangkan situasi. 

Sí, se puede!”, saya membalas nakal dengan meminjam slogan demonstran ‘Ya, Kita Boleh!’ ala kempen Obama dahulu. 

Di Tortoni, saya diberikan tempat duduk paling hadapan dalam dewan gelap itu. Saya terlalu awal. Saya ditanya jika mahu mencicip jus anggur dahulu sementara menunggu. 

Complimentaria,” kira-kira begitu katanya. 

Saya menolak dan meminta sedikit espresso. Tidak beberapa lama kemudian, sebelum kopi yang saya pinta tiba, pelayan kafe membawa sepasang lelaki dan wanita – Franc dan Maria – ke meja saya. 

“Kalian akan duduk sekali di meja ini untuk persembahan malam ini.” 

Masa begitu mewah merahmati kami ruang luas untuk berkenal-kenalan. Franc dan Maria dirasakan seperti teman lama, seperti dua orang ibu dan bapa saudara muda yang begitu melayan anak buah berceloteh di pagi hari raya. Meski Inggerisnya kurang fasih, Maria memaksa lidahnya terus ramah. Dia bercerita: Aku menemani suamiku Franc, jurutera majlis bandar raya Sepanyol yang punya urusan dengan Buenos Aires. Kerana tidak punya anak, Maria mengatakan mereka ‘dimudahkan’ Tuhan untuk terus berbulan madu meski kedua-duanya sudah hampir 50 tahun. Ada sedikit jeda setelahnya. Kami berdua sahaja menawan dunia, katanya sambil mengucil gelak. Franc pula selalu terbabas tema cerita tiba-tiba meminta saya mempertimbangkan cadangannya melawat air terjun raksasa Iguazu di sempadan Argentina-Brazil. Hanya beberapa jam saja dari sini, dan bayangkan kuasa hidroelektriknya! – Franc menambah.

Saya membalas, di malam tango juga mahu bicara hal tenaga dan kejuruteraan? Kami ketawa. Apabila kami bercakap soal status Kafe Tortoni sebagai La Peña, saya dengan teruja menunjuki mereka siri lukisan Juanito Laguna oleh Antonio Berni, seorang pelukis angkatan Neuvo Realismo yang banyak tersimpan dalam telefon saya. Franc bilang dia tahu tentang Antonio Berni dan siri lukisan ini – Berni merakam kapitalisme dan industrialisasi yang begitu menekan Buenos Aires sejak 1950-an melalui pemaparan watak seorang anak lelaki bernama Juanito Laguna. 

Pembangunan sewenangnya membaham keadilan ekonomi di negara sosialis ini, saya menokok resah. Di mana-mana juga sama, sambung Maria kesal. Saya tidak sempat menyebut satu lagi watak dalam siri lukisan Berni iaitu watak pelacur, Ramona Montiel. Saya suka watak itu yang mengingatkan saya kepada Salina karangan A Samad Said. Tango adalah budaya yang dihidupkan dunia pelacuran, Maria menokok. Mungkin kepalanya juga sedang terkenangkan Ramona Montiel. 

Persembahan tango bermula. Franc dan Maria meneguk jus anggur. Mereka membayarkan satu jar air kosong dan semangkuk kekacang untuk saya. Kami bertukar rasa setelah persembahan tango yang galak itu tamat. Wanita begitu diobjektifikasi dalam tango, saya mengeluarkan topi feminis. Maria ketawa tetapi Franc bersetuju dengan serius. Sejarah memang tak adil pada wanita, katanya, tetapi kita harus bergambar di pentas, sambungnya. 

Saya memeluk Maria erat sebelum kami berpisah di luar Kafe Tortoni malam itu. Mereka mengajak saya ke Sepanyol. Saya menjemput mereka ke Malaysia. Kami berjanji mahu saling menghantar khabar. Saya bilang, ah mengapa tujuan pertemuan adalah perpisahan? Mereka ketawa. Maria memeluk saya sekali lagi. Rambut panjangnya lebat dan lembut membenam dahi saya. 

Jam sudah terlalu lewat dan mereka berdua ditelan likat malam. Pelayan kafe yang ramah tadi nampaknya menunggu dan mahu menemani saya mendapatkan teksi. Kami di hadapan Kafe Tortoni yang terang-benderang. Pelayan kafe meminta nombor telefon saya. Saya tiba-tiba defensif dan meski 31 jam jauh dari Malaysia, saya menjawab seperti kebanyakan perempuan Melayu: Saya sudah punya suami yang setia menunggu di rumah. 

Uber tiba dan bergegas membawa saya pulang ke hotel. Teman-teman lain nampaknya risau saya pulang lewat dan sedang lepak-lepak sambil menanti saya di restoran hotel. Saya seraya bercerita tentang malam tango saya di Kafe Tortoni, dan amigos baru dari Sepanyol kepada teman-teman seperti anak yang galak. Harapnya kalian cemburu, saya mengusik. Teman dari Guatemala mencuit dan bertanya apakah saya mengambil e-mel dan nombor telefon mereka atau vice versa? Ada sedikit jeda setelahnya. 

Lebih setahun setelah malam di Argentina, pada satu pagi di Wisma Putra, saya terdetik untuk singgah di bilik seorang teman yang baru pulang dari penugasan tiga tahunnya di Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol. Ketika itu juga, saya dimasukkan dalam Pasukan Petugas Covid-19 untuk kementerian yang antara lain tanggungjawabnya mengumpulkan maklumat status pandemik yang ketika itu paling berleluasa di negara-negara Eropah termasuk Sepanyol. 

Saya bertanya pengurusan Covid-19 di Sepanyol. Teman saya hanya mendengus sesal. Katanya – bangsa Eropah hanya menghargai keremajaan dan kemudaan. Menjadi tua adalah merugikan dalam mendapatkan khidmat kesihatan. Apatah lagi ketika Covid-19. Saya pulang ke meja dan membuka galeri gambar telefon bimbit.

Saya mencari wajah dua teman. Saya merindui mereka seperti merindui masakan umi. Emosi tidak bergulir di lidah tetapi begitu mendekam deria hati. Saya berasa kehilangan. Saya berasa mahu menggapai tapi tak sampai. Saya pungguk yang tak akan terbang ke bulan, apatah lagi ke Sepanyol. Moga-moga mereka sihat dan selamat. 

Satu hari nanti, moga-moga, saya akan bertemu semula Franc dan Maria, yang selalu menziarahi ingatan dan mimpi saya. Saya mengutus doa kebaikan kepada mereka. Saya mahu mereka terus menikmati ‘kemudahan’ yang Tuhan kurniakan dan terus menawan dunia, seperti mereka menawan nubari (dan penyesalan) saya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Vektor seorang Viktor

Oleh Azrin Fauzi

Ilustrasi Matarojit

1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan. Diam. Profesor Viktor Piatu makin mendekat ke titik O. Makin mendekat. Tetapi untuk tiba di hujung sana masih jauh. Masih terlalu jauh. [Tersangat jauh.] “Tersangat jauh?” [Tersangat.] “Tapi mendekat, kan?” [Akan kudekatkan. Walau masih jauh.] “Sejauh mana?” [Sejauh mata memandang.] “Begitu jauh? Tapi aku tak dapat memandang apa-apa.” [Pandanglah ke arah O.] “Kenapa?” [Kerana kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Sudah kukatakan, aku tak dapat melihat!” [Kau belum boleh melihat.] “Bila boleh kulihat?” [Bila kau tiba di sana.] “Di ‘sana’ tu di mana? Di… O?” [Seperti yang sudah kukatakan. Yang baru saja kaukatakan] “Jauh lagikah?” [Sejauh… di antara dua kata.] “Kata apa?” Diam. Engkau membalas pertanyaan Profesor Viktor Piatu dengan diam. Hanya dengan diam engkau boleh mengira. Untuk menemukan angka-angka di luar bahasa. Untuk mereka angka-angka dengan bahasa. Angka-angka yang akan memangkas sesaran (bukannya jarak) di antara Profesor Viktor Piatu dengan O. Yang akan mendekatkan. Akan menemukan. Menyatukan. 1 kaki lagi ke kanan, 1 kaki lagi ke depan. Engkau mengenali Profesor Viktor Piatu hanya melalui gerak langkahnya. Lebih mengenali jejak-jejaknya daripada sepasang kakinya sendiri. Yang mesti tiba di titik O. Akan tiba. Yang engkau pun tidak pasti bila. Kerana waktu sehabis-habisnya dihabiskan untuk mengira. Hanya dengan vektor yang sempurna Profesor Viktor Piatu akan sampai ke sana. Akan tiba di sana. Betul-betul tiba. Mesti betul lagi tepat magnitud dan arahnya. Dengan sesaran sepanjang beberapa √2 kaki lagi ke arah O, kaukira segala-galanya akan berakhir. Walaupun kautahu segala-galanya belum pun bermula. Kerana siapa kata O itu titik akhirnya? Dan engkau pun berkira-kira. Engkau tidak begitu pasti sudah √2 yang keberapa Profesor Viktor Piatu melangkah (diungkap sebagai x√2)? Dan sejauh mana lagi untuk ia tiba di titik O (diungkap sebagai x√2 + y)? Lalu engkau berkira-kira akan bagaimana untuk menambahkan nilai x sekali gus mengurangkan nilai y tetapi segala-galanya menuju ke ruang hampa. Viktor memeluk Viktor. Dipejamkan sepasang mata yang telah dibutakan paksi-x dan paksi-y. “Kenapa engkau beria-ia mengatur geriku?” [Viktor, Viktor… kau tak ingat?] Untuk entah kali keberapa kaujelaskan kepadanya: [Kau telah terlibat dalam sebuah kecelakaan tatkala pulang ke apartmenmu di pinggir kota.] “Atau sesudah letupan sebuah makmal?” [Atau engkau terlupa menekan suis untuk mematikan… untuk mematikan… hasrat sebelum bergegas keluar dari apartmenmu?] “Keluar dari makmalku?” [Untuk menghadiri sebuah majlis koktel anjuran datuk bandar di dada kota.] “Ah, masa laluku boleh saja kaureka-reka! Bukankah sejarah sering bermain di atas lidah si pemenang?” Walau kautahu engkau bukannya pemenang. Kerana bukanlah kemenangan yang kaucari. Engkau hanya ingin mengira. Terus mengira vektor seorang Viktor. Katakanlah magnitud vektornya ialah sisi sendeng kepada sebuah segi tiga bersudut tepat. 1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan pula ialah sisi melintang dan menegaknya. Oh, engkau teringat akan kata-kata seseorang yang sudah kaulupa siapa: “Geometri tak seharusnya terlalu bergantung pada gambar rajah. Kerana akan melesukan imaginasi.” Dan engkau terus mengira. Kerana itu yang engkau inginkan. Untuk menemukan sisi sendeng segi tiga itu, untuk menemukan magnitud vektornya, iaitu punca kuasa dua bagi (panjang sisi melintang)2 + (panjang sisi menegak)2, menjadikan nilainya √__. Magnitud yang menjadi sesaran, berserta dengan arahnya ke titik O, menjadikan vektor Profesor Viktor Piatu itulah yang—”Cukup!” [Kenapa?] “Biarkan aku di sini. Sendiri.” [Tapi kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Kekalkan aku di sini. Berhenti mengira!” [Tapi kenapa?] “Kerana… kerana suaramu ramai. Engkau di mana?” [Aku di mana-mana. Aku ingin terus mengira.] “Aku dah tak berdaya. Berhenti.” [Agar kau terus di sini?] “Kalau begini, aku tak mau melihat, tak mau mendengar, tak mau apa-apa. Aku tak mau ke mana-mana. Apa salahkah aku di sini?” [Kenapa kau di sini?] “…” [Viktor, Viktor… apa sudah kaulupa?] “Di sela-sela batuk dan bicara… kuhirup isi tiram mentah dengan sedikit perahan lemon… sebelum dipanggil untuk sebuah tugasan memanipulasi data.” [Atau dipanggil untuk sebuah tawaran yang tidak akan] “kerana tidak mampu” [kaulepaskan? Untuk menjadi sukarelawan] “menjadi korban!” [dalam sebuah ujikaji penawar kepada suatu penyakit?] Di atas hamparan grid tak berpenghujung, engkau membiarkan Viktor memeluk Viktor. Dalam kegelapannya. Dalam kedinginan. Kebiruan. Kegagalan? “We apologize for interrupting this program,” beritahu suatu gema yang tidak diduga. Untuk entah kali keberapa Profesor Viktor Piatu tidak tiba juga di titik O. Dan aku tidak menyalahkan sesiapa. Termasuklah engkau. Termasuk diriku. Barangkali aku terlupa yang engkau turut memiliki vektor sendiri. Di mana-mana. Dan vektor itulah yang mesti juga diambil kira. Meski aku tidak mengenalimu dan engkau pun begitu. Mungkin. Semata-mata untuk Profesor Viktor Piatu tiba di sana. Dengan vektor paling sempurna. Yang tepat magnitud dan arahnya. Tidak lagi tertanya-tanya di antara dua kata. Pertanyaan yang jauh dari jawapannya. Sejauh engkau dengan aku. Oh, mengapa engkau berdiam, membisu? […] Mengapa? […] Profesor Viktor Piatu boleh diselamatkan. [Mesti diselamatkan.] Walau pernah beberapa kali kutegaskan sebaliknya. “Sistemnya diserang virus! Diserang virus!” teriakku tatkala menemukan sekujur tubuh pucat-pasi di atas lantai berjubin hitam-putih, di mana setiap satu jubinnya berukuran 1 kaki persegi. [Mana mungkin kulupa akan kata-kata terakhirnya:  “Bawaku ke titik O, kalaupun waktu itu aku bukan lagi aku. Bawaku ke situ, untuk kembali.”] Suatu amanat yang telah diprogram oleh Profesor Viktor Piatu sendiri. Suatu ketika dahulu. Tidak lama dahulu. Tetapi benarkah? Kadangkala buatku tertanya-tanya… [Tentang Viktor.] Ya. Viktor. [Viktor di mana?] …benarkah Profesor Viktor Piatu itu ada? Adakah ia ditemui atau direka olehmu? [Oleh kita.] Oleh kita? [Oleh kita! Dengan angka.] Dengan bahasa… barangkali aku yang sudah tidak lagi mengenal angka. Ada hitungan yang tergantung, belum selesai dikira. [Viktor di mana?] Profesor Viktor Piatu seharusnya tidak ke mana-mana. Mana mungkin ia tersesat di atas garis-garis koordinat. Mana mungkin jejak-jejaknya hilang di persimpangan paksi-x dan paksi-y. Garis-garis yang saling bersilang dengannya. [Menjadikan ia ada. Ada dalam tiada. Akan kita bawa titik O kepada ia.] Kalaupun terpaksa meruntuhkan seluruh algoritma? [Memusnahkan semula semua algoritma.] “Reset,” menggema lagi, “Reset!” 0 kaki ke kanan, 0 kaki ke depan. Diam. Maka engkau dengan aku, masih jauhkah di antaranya?

Categories
BUDAYA RENCANA

Menunggu bayang-bayang tumbuh di perut malam

Seperti esak matahari yang tak sempat menjadi air mata, kulihat sejelata lidah lemas dalam liur sendiri. Karam dalam tekak sendiri. Teriak yang sempat membutirkan bahasa, disambar kasar kuku-kuku dari angkasa. Senja itu kumimpi—mimpi sehabis seribusatu malam—tangan-tangan lesu tertanggal dari tubuh-tubuh kaku, merangkak perlahan dalam gelumang selut, mengheret tulang-tulang runcing dari rusuk-rusuk reput. Mata mereka menunggu bayang-bayang tumbuh di perut malam. Tik tik tik.

Pagi esoknya kusaksi: kepala seorang pembesar berdebu di kaki pasar.

 

Syafiq Ghazali

Categories
BUDAYA RENCANA

Kejadian

Kau melihat cakrawala
segala burung udara
yang tahu akan pohon di halaman rumahmu
dari luar, angin memecahkanmu
dengan keras,
tubuhmu yang retak berdarah
seperti kimirzi bertukar seputih bulu domba

kau hanya berasa tajam
ketika termakan pedang
yang tidak pernah terbayang
akan kulit serta uratmu, walau sekali

atas tanah yang terhampar ini
abu menjelaskan kepadamu
tentang api yang menamakannya.

 

Clariessa Kesulai

Categories
BUDAYA RENCANA

Menyaring nasib

Kereta demi kereta
berhenti di suatu meja pandu lalu.
orangorang menunggu giliran-
menyaring nasib dan kemungkinan.

seorang perempuan bersut biru
memberi isyarat
memintaku maju sedikit ke hadapan.

matahari di puncak bahang;
lapislapis skrub membaluti tubuh, tebal dan
labuh. begitu tangan dan kakinya tersarung
getah, tetap ia tenang dan betah.

hawa kereta dingin di skala tiga;
dia yang berkedap hangat di luar
aku di dalam yang berpeluh kuyup!

siang itu,
entah siapa menyaring siapa.

Aina Nabila Ahmad
Shah Alam

Categories
BUDAYA RENCANA

Koyak

Oleh Ruhaini Matdarin

Ilustrasi Matarojit

Perjalanan pulang selama dua jam dari Kota Kinabalu ke Beaufort terasa begitu singkat kerana kepulangannya bersama-sama dengan buah hati yang dinikahi tiga hari lalu. Udara lembab kerana musim tengkujuh menyebabkan keinginannya untuk bermesra dengan isteri semakin membuak-buak. Sejak bernikah dia belum mendapat kesempatan berada dekat dengan isterinya seperti sekarang, kerana ruang dalam rumah orang tua isterinya yang kecil dan padat. Dia tersenyum mengenang selama empat malam mereka tidur berasingan, isterinya tidur di kamar bersama-sama dua orang adik perempuannya dan dia tidur di ruang tamu ditemani ayah mentua serta abang-abang isterinya yang tidak pernah berhenti berbual tentang apa-apa sahaja sehingga dinihari. 

Si isteri mulai bertumpu ke luar jalan ketika mereka memasuki kawasan pekan, membiarkan si suami bercakap-cakap tentang rumah warisan yang sekian lama menunggu mereka pulang untuk menghuninya. Si suami bercerita tentang bagaimana dia meluangkan waktu selama berminggu-minggu mengecat dan membaik pulih apa-apa yang perlu sebagai persiapan membawa calon ibu kepada anak-anaknya masuk ke dalam rumah yang sudah ditukar warna lebih ceria supaya si isteri selesa menghabiskan usia dan mereka menua bersama-sama waktu di rumah itu dengan beberapa orang zuriat – dia memasang angan-angan dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. 

Sepanjang pemanduan 70-90 km sejam (kenderaan itu uzur dan bergegar jika dipandu laju) menuju ke kampung halaman orang tuanya, dia berkisah tentang rumah yang sudah hampir empat tahun tidak berpenghuni, terletak di hujung kampung, dekat dengan semak belukar tetapi selama hayatnya dia belum pernah mendengar arwah bapanya merungut tentang haiwan berbisa yang pernah masuk ke dalam rumah mereka. Arwah bapaku memasang pendinding di sekeliling rumah; katanya kepada si isteri yang senyum nipis mencicipi jagung manis buat mengusir kesepian dalam ruang kenderaan yang penyaman udaranya berbau seperti besi berkarat sehingga mendorong wanita itu menurunkan sedikit kaca tingkap dan si suami yang menyedarinya segera menutup penyaman udara bagi mengalirkan udara segar dari luar.

“Sekejap lagi kita sampai ke rumah kita, Neng,” suaranya bergetar menahan rasa teruja – dan kerana dia menahan kencing yang sudah di hujung-hujung, seraya menambah kelajuan pemanduan ketika memasuki denai yang basah. “Neng sejuk?”

Si isteri menggeleng seraya menurunkan habis kaca tingkap, kepalanya dikeluarkan dan tangan kanannya dibolak-balik ke udara bagi merasa angin yang mencium kulitnya yang coklat gelap. Senja datang dengan cepat ke tempat tersebut kerana cahaya ditelan rimbunan daun-daun dari ratusan pokok agam di kiri dan kanan mereka dan kicauan burung mengiringi kenderaan tua itu yang terbatuk-batuk melawan jalan yang basah, berlubang sini-sana dan banyak kali dia berhenti keluar untuk mengalihkan hadangan ranting-ranting tua yang besarnya seperti saiz paha manusia dewasa yang menghidap obesiti. 

Dia tidak sabar-sabar ingin memulakan kehidupan baharu dan lari jauh daripada masa silamnya (yang pahit) di ibu kota. Dan, hari ini impiannya menjadi kenyataan sejurus sahaja kenderaan dipandunya memasuki halaman rumah separuh papan dan separuh batu dua tingkat yang bersaiz sederhana tetapi memandangkan ia satu-satunya rumah di kawasan tersebut, ia kelihatan agam sekali gus menyeramkan kerana di belakangnya belukar setinggi bangunan pencakar langit, meskipun rumah itu berpagar tetapi papan-papan pagar yang setinggi paras pinggang manusia dewasa dilitupi oleh tumbuhan menjalar yang kelihatan seperti ular-ular dahan, meliuk-liuk ditiup angin. 

“Abang kata rumah abang yang paling cantik di kampung ini?” 

“Tidakkah begitu?”

Si isteri termengkelan dan terpaku beberapa ketika di tempat duduknya meskipun si suami telah membantu membukakan pintu kenderaan. Disebabkan ada tanda-tanda hujan lebat bakal turun, si suami membawa keluar beg pakaian serta oleh-oleh dalam bekas yang dititipkan oleh keluarga mertuanya, semuanya diletak di depan pintu, dia mendapatkan si isteri dalam kenderaan dan mengajaknya masuk ke dalam rumah kerana rintik-rintik hujan sudah jatuh ke tanah. Sejurus sahaja daun pintu terkuak, bau tumisan dari arah dapur menerobos hidung mereka, dan radio lama (kepunyaan arwah datuknya) terpasang di meja kayu dekat jendela di sudut kiri ruang tamu. Dia memetik suis lampu, gelap ditelan terang, habuk serta puntung rokok bersepah merata-rata. 

Si suami berlari ke dapur, menutup api pada dapur gas sambil terbatuk kerana bau bawang putih hangus menusuk hidungnya. Paip air yang mencurah di sinki ditutup, matanya membuntang melihat kulit telur, tin sardin, plastik makanan serta pinggan mangkuk yang bertimpa-timpa di atas meja penyimpanan. Dia menghamun dalam hati tetapi hanya sekejap kerana pekikan si isteri mendorongnya berlari semula ke ruang tamu, seorang lelaki yang menutupi wajah dengan seluar dalam – lelaki itu berseluar pendek dan bersinglet dan memakai selipar rumah miliknya, meletak pisau pemotong daging ke leher isterinya dan mengacah-acah bakal menyakiti wanita itu sekiranya dia mara selangkah lagi. 

Dia angkat kedua-dua tangan seperti orang membaca ikrar. “Apa-apa hal kita boleh bincang.”

“Bincang katamu?”

Suara lelaki itu menyebabkan dia mematung di tempatnya berdiri. Dunia di belakangnya mengecut, entah kenapa dia memikirkan tentang pengakhiran kepada permulaan yang begitu singkat. Tidak semena-mena lelaki itu menolak isterinya dengan kuat sehingga terdorong laju ke arahnya dan dia juga terdorong dua langkah ke belakang bagi mengelak isterinya jatuh bersama-samanya, seraya menanggalkan seluar dalam lusuh kekuningan yang dijadikan topeng muka. Lelaki itu senyum sinis menyerlahkan kedutan pada wajahnya sehinggakan parut-parut yang bersilang pada pipi kirinya terangkat bersama-sama senyumannya yang memancarkan niat jahat. 

“Kau bawa aku berbincang di rumah aku sendiri?” 

Si isteri yang dalam pelukan si suami perlahan-lahan melepaskan diri dan memandang wajah si suami yang jelas terperanjat dengan pertanyaan serta kenyataan yang meluncur laju dari mulut lelaki berbau tembakau di depan mereka. 

“Abang kata ini rumah abang?” si isteri mulai menangis.

Si suami menarik kedua-dua tangan si isteri dan mendorongnya ke bilik stor bersebelahan dapur, menolak tubuh rincing wanita itu ke dalam, lalu menguncinya dan kembali ke ruang tamu. Merenung tajam lelaki di depannya yang kelihatannya tidak peduli dengan suasana tegang antara dia dan isterinya. 

“Isteri kau tahu kau bekas banduan?”

Dentuman guruh menyebabkan dinding rumah bergetar, dan mereka saling berpandangan, dalam hujan yang turun lebat. Kedua-duanya mengelak untuk mengenang bahawa mereka saling mengenali ketika berada dalam penjara dan bebas pada waktu hampir sama.

“Kau jangan rosakkan apa-apa yang baru aku bina.”

“Aku cuma tumpang berteduh di rumah ini bukan merompak, lagipun aku tak tahu ini rumah siapa, kosong terbiar. Sejak kita bebas, keluargaku dan masyarakat menolak aku dari hidup mereka padahal aku mahu berubah.”

Sunyi paling sepi mengoyak suasana.