Categories
EKONOMI

Malaysia, Indonesia bekerjasama lindungi industri minyak sawit

JAKARTA 11 OGOS: Malaysia dan Indonesia hari ini mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama bagi mempromosikan produk sawit dan menangani bersama serangan terhadap industri minyak sawit oleh Eropah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita, dalam satu sidang media bersama berkata, usaha menangani isu itu akan menjadi keutamaan bagi kedua-dua kementerian tersebut.

“Kedua-dua negara akan, antara lainnya, meningkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit bagi mempromosikan produk sawit,” kata Leiking yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia bermula hari ini.

Pada Januari tahun ini, Parlimen Eropah mengundi untuk menghentikan secara berperingkat biodiesel yang menggunakan minyak sawit menjelang 2021.

Leiking berkata lawatan beliau itu adalah susulan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama dua hari ke Jakarta pada Jun lepas bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Enggartiasto berkata Malaysia dan Indonesia menghasilkan 80 peratus daripada minyak sawit global dan kedua-dua negara merupakan dua pengeluar terbesar dunia.

“Kami akan bekerjasama untuk menangani serangan itu dan komited mempromosikan bersama produk minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan yang ketiga terbesar dalam ASEAN.
Perdagangan dua hala hampir berganda daripada AS$9.02 bilion (AS$1=RM4.08) pada 2006 kepada AS$16.89 bilion tahun lepas.

“Sepanjang dekad yang lalu, pelaburan Malaysia adalah dalam sektor-sektor utama seperti perbankan, perladangan, pembinaan, jalan bertol, tenaga serta telekomunikasi.

“Kita berharap lawatan kerja ini akan diterjemahkan kepada kejayaan ekonomi yang lebih besar bagi kedua-dua negara,” kata kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Malaysia dan Indonesia sepakat tangani kempen Eropah burukkan industri minyak sawit

JAKARTA, 30 JUN: Malaysia dan Indonesia hari ini, sepakat untuk menangkis kempen negatif Eropah berhubung industri minyak sawit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sebagai dua pengeluar utama komoditi itu, Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama melawan kempen yang dijalankan Eropah memburukkan industri negara.

“Eksport minyak sawit kini diancam oleh Eropah dan kita perlu bersama melawan hujah mereka kononnya banyak hutan ditebang yang memberi kesan besar kepada cuaca dan alam sekitar,” katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Istana Presiden Bogor, di sini.

Dr Mahathir berkata, tentangan Eropah itu dilihat lebih berkaitan ekonomi dan bukannya kesan alam sekitar akibat penerokaan tanah untuk tanaman sawit.

Beliau berkata, jika berkaitan alam sekitar, negara Eropah yang sebenarnya tidak lagi mempunyai kawasan yang dilitupi hutan kerana hampir semuanya sudah ditebang.

“Apabila kita perlukan kawasan penanaman sawit yang lebih besar, mereka menentangnya,” katanya.

Sementara itu, Jokowi meminta kerajaan Malaysia menimbangkan permintaan Indonesia menyediakan sekolah untuk anak pekerja dari negara itu di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menyentuh keperluan mengadakan kerjasama erat dalam menangani isu berkaitan sempadan dan pengeluaran kereta bersama.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir lakukan lawatan rasmi ke Indonesia esok

NASIONAL 27 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula esok merupakan lawatan pertama beliau ke negara Asia Tenggara selepas menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, 10 Mei lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan media berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pegawai dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi di Istana Bogor pada pagi Jumaat.

“Ini disusuli dengan Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Presiden bagi meraikan Dr Mahathir dan delegasi Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang dijadual tiba di Jakarta, 6 petang esok juga akan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia di Jakarta pada sebelah malam.

Lawatan ini akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia.

Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama terhadap Malaysia dan Indonesia.

Indonesia adalah satu daripada negara jiran yang paling rapat dan terpenting untuk Malaysia.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.63 bilion (AS$16.89 juta), menyaksikan pertumbuhan 22 peratus berbanding 2016.

Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar di kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Categories
GLOBAL

Umat Islam di Thailand, Indonesia & Singapura sambut 1 Syawal hari ini

PATTANI 15 JUN: Umat Islam di Thailand menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini setelah pihak berkuasa agama mengisytiharkan anak bulan telah kelihatan di selatan negara itu petang semalam

Perisytiharan tarikh 1 Syawal itu serentak dengan Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Pengumuman rasmi tarikh sambutan Aidilfitri itu dibacakan oleh Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakumpol, yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi televisyen tempatan, NBT Thailand, malam tadi.

Petang semalam, kira-kira 1,000 umat Islam daripada empat wilayah di selatan Thailand berkumpul di Bukit Parik, daerah Yaha di wilayah Yala untuk melihat anak bulan bagi penentuan tarikh sambutan Aidilfitri.

Anak bulan telah kelihatan kira-kira 6.45 petang semalam (waktu tempatan).

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Indonesia tuntut jawapan dalam seminggu daripada Facebook

JAKARTA 21 APR: Indonesia memberi masa seminggu kepada Facebook untuk memberikan lebih banyak maklumat berkaitan bagaimana data peribadi sejuta ra­yatnya disalahgunakan dan langkah firma jaringan sosial itu untuk menghalang penyelewengan serupa da­ripada berulang, kata Kementerian Komunikasi Indonesia.

Lebih 115 juta rakyat Indonesia menggunakan Facebook, manakala pihak berkuasa negara Asia Tenggara itu memberi tekanan kepada media sosial itu untuk menjelaskan bagaimana data peribadi itu ‘dituai’ oleh firma perunding, Cambridge Analytica melalui kuiz perso­naliti.

Seorang pegawai Facebook meminta maaf kepada Parlimen Indonesia pada sesi pendengaran awam minggu ini.

Menurutnya, data milik 1,096,666 rakyat Indonesia atau 1.26 peratus daripada jumlah global itu mungkin terjejas akibat skandal itu.

Dalam satu kenyataan petang kelmarin, kementerian itu berkata, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada unit perniagaan antarabangsa utama syarikat berkenaan, Facebook Ireland Ltd, sebagai maklum balas kepada surat bertarikh 10 April daripada ketua unit perlindungan data Facebook.

Dalam suratnya, Kementerian Komunikasi menuntut maklumat dan dokumen terperinci berhubung sebarang penyalahgunaan termasuk sama ada data Facebook dikongsi dengan pihak ketiga seperti CubeYou dan Aggregate IQ.

Facebook menyatakan bahawa ia telah menggantung firma perunding politik Kanada, Aggregate IQ daripada platformnya susulan laporan firma itu mungkin mempunyai akses data peribadi pengguna Facebook secara tidak wajar.

Menurut saluran berita CNBC, Facebook turut menggantung CubeYou untuk menjalankan siasatan bagaimana firma analisis data itu mengumpulkan maklumat pengguna melalui kuiz di Facebook.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

MB: Derita rakyat kebanggaan pemimpin Umno-BN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sinis memuat naik laporan dari majalah terkemuka Indonesia, TEMPO, yang memaparkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di muka hadapannya.

Menerusi laman twitternya, Mohamed Azmin mempersoalkan ‘kehilangan’ hartawan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low iaitu individu utama dalam skandal 1MDB.

“Derita rakyat, kebanggaan pemimpin Umno-BN. Rakyat dibebankan dengan hutang, mereka pesta di gunung emas. Di mana Jho Low?,” soalnya.

TEMPO yang diasaskan penulis, Goenawan Mohamad, adalah majalah sosio-politik terkemuka, di Indonesia.

Majalah itu menyoroti usaha menutup skandal 1MDB oleh Kerajaan Malaysia walaupun siasatan dilakukan beberapa negara asing.

Liputan seperti itu sudah tentu tidak dikeluarkan dalam berita arus perdana, di negara ini.

Majalah mingguan itu turut menampilkan beberapa artikel di bahagian dalam majalah itu termasuk bertajuk “Lancar di luar, mandek di dalam”.

Mandek dalam bahasa Indonesia bermaksud ‘tersekat’ atau ‘sangkut’.

Laporan itu memetik Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Loong, yang mengatakan usaha membangkitkan soalan berkaitan 1MDB di Parlimen ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selain itu, ia turut membabitkan pihak berkuasa Malaysia termasuk Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, daripada sebarang salah laku berkaitan skandal terbabit.

Ia menyatakan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lalu tidak mengakibatkan sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Skandal 1MDB menjadi berita utama di Indonesia selepas tindakan menyita kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan jutawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, di Benoa, Bali, pada 28 Februari lalu.

Pada November lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, sekurang-kurangnya empat pegawai bank didapati bersalah dan dipenjara di Singapura kerana mempunyai kaitan dengan 1MDB manakala sekurang-kurangnya tiga negara lain iaitu Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat sedang meneliti aktiviti yang didakwa membabitkan pengubahan wang haram syarikat berkenaan.

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Jokowi jadi imam, presiden Afghanistan makmum

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 30 JAN: Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa kunjungannya ke Afghanistan pada Isnin sempat menjadi Imam Solat dengan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani menjadi makmum bersama pimpinan dan kenamaan lain.

Agensi Berita Indonesia DETIK.COM melaporkan dari video Biro Setpres, Selasa (30/1/2018), mulanya Jokowi dan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani sempat bertukar kopiah.

Dilaporkan Jokowi memberikan kopiah untuk Ghani, kemudian Ghani memberikan ikat kepala untuk Jokowi.

Kemudian keduanya sempat berpelukan, dan tersenyum satu sama lain. Kemudian mereka berjalan menuju masjid.

Usai menunaikan salat, Jokowi sempat menyapa para jemaah yang ada di musala. Ia terlihat berbincang dengan sejumlah anak-anak.

Kemudian Jokowi dan Ghani terlihat meninggalkan lokasi untuk melanjutkan pertemuan bilateral.

Pertemuan antara kedua pemimpin itu turut membincangkan peranan yang boleh dimainkan Indonesia untuk mewujudkan keamanan di Afghanistan.

Jokowi turut mencadangkan pembentukan jawatankuasa bersama antara Indonesia, Pakistan dan Afghanistan bagi mewujudkan keamanan di wilayah itu.

Lawatan Presiden Indonesia ke Afghanistan itu adalah pertama kali sejak kali pertama Presiden Indonesia Sukarno ke negara itu pada 1961.

 

SUMBER: DETIK.COM
FOTO KREDIT: Jokowi jadi imam salat di Afghanistan (Foto: Screenshot video BPMI)

Categories
GLOBAL

Ribuan warga Indonesia protes di luar Kedutaan Myanmar

JAKARTA 6 SEPT: Ribuan warga Indonesia hari ini berhimpun di luar Kedutaan Myanmar di sini, menuntut negara itu menamatkan segera keganasan ke atas minoriti Rohingya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan penunjuk perasaan, ramai memakai jubah putih dan berkopiah, berjalan untuk berkumpul di luar kedutaan terbabit di pinggir ibu kota ini.

Penindasan ke atas Rohingya, yang dianggap pendatang haram dan kebanyakannya dinafikan kerakyatan di Myanmar, menjadi punca kemarahan di Indonesia dan seluruh dunia Islam.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan memegang sepanduk bertulis ‘Berhenti membunuh Muslim Rohingya’ berkumpul mengutuk situasi kemanusiaan semakin buruk di Rakhine.

21371396_2083884578320618_5064062887619980150_n“Saya fikir ini bukan hanya isu agama, namun lebih kepada kemanusiaan. Apa yang berlaku di sana amat kejam,” kata Tita Fatmawati, seorang guru dari Bogor kepada AFP.

Jurucakap polis ibu kota ini berkata, kira-kira 6,000 polis dan tentera bersenjata dihantar berkawal di luar kedutaan, yang dikepung dengan kawad duri.

=EZY=

Categories
GLOBAL

China tuntut Jakarta batal nama Laut Natuna Utara

JAKARTA 3 SEPT: China menuntut agar Indonesia membatalkan keputusan untuk menamakan semula kawasan maritimnya di bahagian barat daya Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara, lapor Channel NewsAsia.

Difahamkan Kementerian Luar China sudah menghantar kenyataan rasmi kepada Kedutaan Indonesia di Beijing menyatakan bantahan terhadap tindakan Jakarta melancarkan peta rasmi terbaharu gugusan kepulauan negara itu sekali gus menamakan semula kawasan terbabit.

Berdasarkan surat bertarikh 25 Ogos lalu, China berkata tindakan Indonesia menukar ‘nama yang sudah diterima di peringkat antarabangsa’ mengakibatkan “komplikasi dan memburukkan lagi pertikaian, sekali gus menjejaskan keamanan dan kestabilan”.

laut-natuna-utara“Hubungan China-Indonesia berkembang dengan sihat dan stabil, dan pertikaian di Laut China Selatan berterusan. Tindakan Indonesia menukar nama secara unilateral tidak kondusif dalam usaha mengekalkan keadaan yang sangat baik ini,” kata Kementerian Luar China.

Tambah Beijing, China dan Indonesia berdepan pertindihan tuntutan maritim di barat daya Laut China Selatan, dan tindakan menamakan semula kawasan itu tidak akan mengubah hakikatnya.

Indonesia tidak pernah membuat sebarang tuntutan terhadap beberapa bahagian di Laut China Selatan, seperti yang dipertikaikan oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam terhadap China.

Namun, perairan yang kini dipanggil Laut Natuna Utara bertindih dengan Sembilan Garis Putus yang diisytiharkan China secara unilateral, membabitkan hampir keseluruhan Laut China Selatan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Polis janji kawalan ketat perlawanan Malaysia vs Indonesia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Polis melakukan pemeriksaan ketat kepada 80,000 penyokong yang dijangka hadir ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan pertemuan separuh akhir bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dan Indonesia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam kenyataan berkata, penyokong dinasihatkan mengikut arahan ditetapkan dan jika gagal mematuhi arahan mereka bakal berdepan tindakan.

“Polis memperketatkan kawalan termasuk menahan penyokong membawa bahan larangan seperti bahan letupan dan senjata tajam mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

“Pemeriksaan badan yang ketat dibuat pada setiap pintu masuk bagi mengelakkan membawa masuk bahan-bahan terlarang ke dalam stadium untuk tujuan keselamatan semua pihak.

sukan sea kl“Jika sewaktu pemeriksaan badan dibuat dan pihak polis menjumpai bahan-bahan larangan, penyokong tersebut akan ditahan serta-merta dan tiada lagi amaran akan diberi,” katanya.

Menurutnya, anggota polis juga akan ditempatkan di tempat duduk penyokong di dalam stadium bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Selain bahan letupan, pihak polis akan menahan penyokong membawa pemetik api, payung dan botol air minuman ke dalam stadium namun mereka akan dibenarkan masuk kecuali penonton membawa bahan letup.

Penyokong amula dibenarkan masuk ke dalam stadium seawal jam 4 petang mengikut pintu masuk ditetapkan.

Penyokong Indonesia dibenarkan melalui Pintu A manakala penyokong Malaysia melalui Pintu Masuk B, C dan D.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Indonesia beli 11 jet Sukhoi SU-35, komoditi sebagai pembayaran

GLOBAL 23 OGOS: Sebanyak 11 jet pejuang Sukhoi SU-35 dibeli Indonesia daripada Rusia bernilai AS$1.14 bilion (RM4.88 bilion) dengan menjadikan pertukaran komoditi untuk pembelian itu.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Indonesia dalam rangka memodenkan angkatan udaranya selepas berlakunya beberapa siri kemalangan membabitkan tentera udara.

Indonesia berjanji untuk menghantar komoditi bernilai sehingga AS$570 juta (RM2.44 billion) sebagai tambahan tunai untuk membayar harga pesawat pejuang Sukhoi SU-35 itu.

Pesawat itu dijangka dihantar secara berperingkat bermula dari tempoh dua tahun dari sekarang.

Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita, dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu, berkata maklumat lanjut mengenai jenis dan jumlah komoditi masih dalam rundingan.

Sebelum ini, beliau berkata eksport yang terbabit termasuklah minyak sawit, teh dan kopi.

Perjanjian itu dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi antara syarikat dagangan Indonesia, PT Perusahaan Perdagangan Indonesia dan konglomerat Russia, Rostec.

=EZY=

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Jokowi mahu isu bendera tidak diperbesarkan

JAKARTA 20 OGOS: Presiden Joko Widodo hari ini meminta semua pihak agar tidak memperbesar-besarkan isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Media-media dalam talian hari ini memetik Presiden Republik Indonesia itu sebagai berkata walaupun perkara berkenaan sangat dikesali namun rakyat negaranya diminta tidak bersikap berlebihan berhubung isu itu.

“Tidak usah dibesarkan-besarkan,” katanya seperti yang dipetik oleh Detik.com Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Malaysia haruslah memohon maaf secara rasmi kepada Indonesia.

“Kita menunggu permintaan maaf daripada pemerintah Malaysia, kerana menyangkut sebuah kebanggaan, nasionalisme daripada bangsa kita Indonesia.

Kita tunggu permintaan maaf rasmi,” kata presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu.

Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc) dalam kenyataan awal hari ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Menurut Masoc, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi Masoc akan membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya Imam Nahrawi, hari ini, untuk memohon maaf bagi pihak jawatankuasa itu.

SUMBER: BERNAMA