Categories
SELANGOR

Exco: Rapat jurang pendapatan, rangka program komprehensif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Jurang antara kelas menengah dan bawahan perlu dirapatkan, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri merangka program yang lebih komprehensif bagi meningkatkan ekonomi rakyat Selangor.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, hal itu kerana perbezaan jurang akan menyebabkan golongan sederhana tidak dapat menikmati faedah dilaksanakan menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kita tidak boleh gunakan kaum sebagai pendekatan mengklasifikasikan jurang kekayaan.

“Ada India yang kaya dan ada yang miskin sama juga dengan Melayu dan Cina ada juga yang terlalu kaya dan miskin.

“Bagi saya jurang antara kelas menengah dan bawahan perlu dirapatkan dan ia boleh dilaksanakan dengan meningkatkan pendapatan mereka dalam masa sama mengurangkan kos kehidupan,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Facebook, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan Kerajaan Negeri menyebabkan penghijrahan besar rakyat negeri lain ke Selangor.

“Di bawah portfolio usahawan dan pembangunan luar bandar, terdapat bantuan bina kios perniagaan malah Program Hijrah menawarkan pinjaman tanpa faedah membantu ribuan peniaga di luar sana selama ini.

“Kalau bab peluang pekerjaan, jika ada yang kata tiada peluang pekerjaan mengapa orang begitu ramai dari pelosok negeri berhijrah ke Selangor,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Khairuddin: Rakyat Paya Jaras restui penghijrahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan kejayaan beliau mempertahankan kerusi itu kerana pengundi merestui langkah beliau berhijrah ke parti KEADILAN.

Mohd Khairuddin berkata, beliau bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, malahan berjaya meningkatkan majoriti pada PRU14 kali ini.

“Ini menunjukkan rakyat tak kisah saya bertanding atas tiket parti apa tetapi apa yang penting saya mampu berkhidmat kepada masyarakat di sini,” katanya.

Jelasnya, selain itu, kekuatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin yang peduli rakyat turut membantu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zein Isma Ismail dan calon PAS, Hanafi Zulkapli.

Beliau turut menyifatkan langkah Mohamed Azmin memperkukuh dan memperluaskan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebagai garis panduan kerja ADN untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Apabila IPR diturunkan kepada ADN, mereka perlu buat program untuk pastikan kumpulan sasaran terima inisiatif sekali gus menunjukkan hala tuju kepada setiap ADN di Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Khairuddin diumumkan menang di kerusi Paya Jaras dengan majoriti 12,072 undi berbanding 5,522 pada PRU-13.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jadi PM, tapi bas pun tak boleh baiki – MB

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Rakyat Selangor beruntung kerana menerima pelbagai manfaat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan rasa puas hati dengan kejayaan Selangor menyantuni rakyat secara adil dan telus.

Katanya, beliau tidak peduli dengan cacian daripada mana-mana pihak asalkan Selangor maju, makmur serta rakyat menerima pelbagai manfaat.

“Contohnya manfaat bas percuma Smart Selangor, kita sudah ada lebih 100 bas di seluruh daerah, bas berhawa dingin, ada wifi, sangat hebat.

“Malah, tuan-puan tidak akan jumpa bas sebegini di Pekan, Pahang. Jadi Perdana Menteri (PM) tetapi bas pun tak boleh nak baiki,” katanya.

Beliau berkata, istimewanya bas di Selangor apabila ada segelintir penumpang naik sehingga tidak mahu turun membuktikan betapa selesanya bas berkenaan.

“Tetapi, bas di Pekan ada yang tiada pintu dan ada juga tingkap pecah sedangkan bas kita serba lengkap, inilah Selangor yang peduli nasib rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak sehebat Selangor apabila negeri termaju itu berjaya melaksanakan Skim Peduli Sihat.

“Kita belanja RM80 juta demi mahukan rakyat mendapat servis rawatan kesihatan terbaik berbanding BN cuma sediakan klinik 1 Malaysia.

“Program Peduli Sihat anda boleh dapat rawatan terus daripada doktor tetapi klinik 1 Malaysia tiada doktor, ada jururawat dan panadol sahaja.

“Jika datang diberinya panadol tiga biji, 10 biji, 20 biji. Lama-lama bukan mati sebab penyakit tetapi mati sebab tercekik panadol,” selorohnya.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, inilah yang dikatakan perbezaan antara kerajaan yang ditadbir PAKATAN dan BN.

“Kerajaan ini yang sering dimaki, dihina, diserang setiap jam 8 malam tetapi kerajaan inilah yang peduli kesihatan rakyat dan memperkenalkan program Skim Peduli Sihat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dulu BN kutuk, sekarang diam-diam tiru program IPR

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 APR: KEADILAN secara sinis membidas Barisan Nasional (BN) yang kini dilihat meniru beberapa program membantu rakyat seperti yang dilakukan di Selangor.

Penyandang Kerusi N16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Amirudin Shari berkata, sedangkan dahulu BN mendakwa Selangor bakal muflis dengan hanya melaksanakan program 20m3 air percuma.

Katanya, disebalik kritikan, BN turut meniru program diilhamkan Kerajaan Selangor seperti pemberian bas percuma dan air percuma di beberapa negeri ditadbir mereka.

“Tiada negeri yang mampu melawan rekod kita. Disamping kita pacu dan jana kemajuan, Selangor masih menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kalau dulu Barisan Nasional (BN) kata populis, cuma nak menang pilihan raya tetapi selepas 10 tahun ditadbir dengan cermat, Kerajaan bersih, pemimpin amanah hingga rizab dari RM400 juta menjadi RM4 bilion,” katanya pada program Pelancaran Relawan Gombak Kita Setia, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan hampir RM3 bilion buat rakyat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, modul pentadbiran ditonjolkan Selangor sejak 10 tahun lalu merupakan contoh terbaik untuk Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya bagi mentadbir negara selain menyeru rakyat terus memberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Categories
SELANGOR

Sultan berkenan idea IPR Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Kemajuan sesebuah negeri tidak diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi perlu menekankan indeks kebahagiaan sesebuah masyarakat bagi menentukan kejayaan kerajaan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, antara petanda kebahagiaan adalah alam sekitar hijau dan sihat, kebajikan rakyat terjamin, tahap kesihatan berkualiti dan indeks rasuah yang rendah.

“Beta berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberikan perhatian penting terhadap pertumbuhan ekonomi tetapi juga terus memelihara alam sekitar, melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

“Kerajaan Beta juga berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam pentadbiran,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelas baginda, antara skim IPR itu termasuklah Skim Rawatan Jantung Selangor melalui kerjasama pintar dan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah.

Titah baginda, tidak terkecuali program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberi pengiktirafan terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

“Beta turut berkenan dengan kejayaan Kerajaan Negeri membangunkan hampir 25,000 perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku untuk rakyat jelata.

“Beta juga amat sukacita apabila 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di negeri Beta adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000. Demikianlah seharusnya dasar perumahan rakyat dilaksanakan,” titahnya lagi.

Categories
SELANGOR

Kos sara hidup tinggi, syukur Selangor ada IPR

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 JAN: Peningkatan kos sara hidup yang tinggi membuatkan masyarakat semakin sedar akan manfaat program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Mohd Zahir, 46, yang bekerja sendiri berkata, pelaksanaan program itu banyak membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan.

“Saya amat berpuas hati dengan apa yang dilakukan Kerajaan Negeri pada masa kini namun saya minta syarat permohonan IPR dilonggarkan pada 2018 supaya lebih ramai lagi boleh menerima manfaat sama.

“Diharapkan pemerintahan yang ada pada masa ini dikekalkan momentumnya sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui Selangor Kini dalam Konsert Ambang 2018 Gempak Selangor di Dataran Kemerdekaan, malam tadi.

Sementara itu, Rohaiza Fuad, 30, berkata, program IPR banyak membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk meningkatkan taraf ekonomi.

“Saya amat bersyukur kerana Selangor memberikan banyak manfaat dan bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan taraf kemiskinan di negeri ini.

“Semoga program ini akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Bagi penceramah bebas, Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, sebagai seorang ibu, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat melaksanakan pelbagai program menjurus kepada anak-anak remaja pada masa kini.

“2018 ini, saya ingin melihat banyak program berbentuk jati diri remaja dapat direalisasikan bagi memastikan anak-anak remaja ini dapat membentuk sahsiah diri yang hebat.

“Ini kerana mereka adalah pelapis generasi akan datang dan saya bimbang mereka akan terpengaruh dengan arus globalisasi di mana ramai anak-anak remaja kini lebih terpengaruh dengan gajet,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor fokus kebajikan rakyat dalam belanjawannya

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 OKT: Walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar kemisikinam di Selangor jatuh kepada kosong peratus, Kerajaan Negeri tetap tekad memfokuskan usaha meningkatkan lagi kebajikan rakyatnya.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata hal ini berikutan masih banyak golongan yang perlu ditingkat taraf hidupnya khasnya golongan B40.

“Kalau kita lihat keputusan kaji selidik di tweeter Dato’ Menteri Besar di mana 54 peratus mahu kebajikan diberikan keutamaan dalam belajawan, sebenarnya memang itu yg berlaku di bawah dan ini maknanya rakyat memerlukan suntikan kerajaan dalam hal-hal kebajikan.

“Sebelum ini, Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menjurus kepada kebajikan untuk rakyat terutama golongan B-40,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Jelasnya, sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan berbilion ringgit dalam skim IPR untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat negeri itu.

Katanya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga sentiasa memberi perhatian khusus dalam usaha meningkatkan kebajikan rakyat yang akhirnya membawa kepada kosong kemiskinan seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Negara.

“Hingga kini dah berbilion kita berbelanja untuk IPR iaitu kebajikan dan ini maknanya sampai kepada rakyat.

“Dah berjuta rakyat merasai IPR ini dan alhamdulillah pentadbiran Kerajaan Negeri melihat perkara ini sesuatu yang penting setiap tahun,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

553 terima insentif IPR bernilai RM1.65 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 12 OGOS : Seramai 553 penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menerima bantuan agihan kewangan RM1.65 juta melibatkan usahasama 43 agensi di peringkat Kerajaan Negeri.

Bantuan disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Padang Kampung Baru, Batu Caves Gombak di sini, pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan sebagai komitmen memastikan masyarakat memerlukan terus dibantu di bawah program berkebajikan negeri.

IMG_9598“Sehingga Disember 2016, sejumlah RM1.9 bilion hasil kekayaan negeri diagihkan kepada 5.9 juta rakyat Selangor hasil daripada kejayaan program ini dengan 1.3 juta purata pengguna turut menikmati manfaat daripada program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Inisiatif Peduli Rakyat menerusi usahasama Kumpulan Perangsang dan Yayasan Hijrah Selangor.

Antara inisiatif IPR termasuklah Dasar Kad Peduli Sihat, Skim Air Percuma, Bas Selangorku, Wifi Percuma, Rumah Mampu Milik Selangorku, Skim Mesra Usia Emas dan Skim Hijrah Selangor.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut menyempurnakan penyerahan bantuan kepada 150 penerima skim mikrokredit Hijrah Selangor dan 48 peserta program Zero to Hero melibatkan bantuan kewangan RM1.38 juta.

Sementara itu, RM190,000 turut disampaikan kepada 130 penerima fasa pertama dan kedua di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan penyampaian RM32,000 kepada 64 penerima Insentif Perkahwinan Belia.

Selain itu, Mohamed Azmin turut menyerahkan bantuan kepada 25 penerima Skim Peduli Sihat bernilai RM25,000 11 tadika di bawah program Skim Bantuan Tadika Selangor TUNAS sebanyak RM17,960 dan 100 penerima Selangor Food Stamp bernilai RM5,000.

Categories
SELANGOR

15,000 warga DUN Seri Andalas terima manfaat IPR

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL: 15,000 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas menerima pelbagai manfaat daripada pelaksanaan dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sejak ia dilaksanakan.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Dr Xavier Jayakumar berkata, pencapaian itu diraih hasil usaha keras pentadbiran negeri dan pusat khidmat DUN turun padang menyantuni rakyat.

“Kita banyak mencapai perubahan terutamanya pelaksanaan di bawah program IPR membabitkan penglibatan masyarakat Seri Andalas.

XAVIER TURUN PADANG“Berpandukan jangkaan, seramai 15,000 warga Seri Analas sudah dibantu di bawah program kebajikan IPR bersama Kerajaan Negeri.

“Tentunya ini pendekatan yang sangat bermanfaat kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelumnya, Dr Xavier ditemui pada program Aidilfitri peringkat DUN Seri Andalas, baru-baru ini.

Terdahulu, IPR merupakan penjenamaan dasar baru yang dulunya dikenali sebagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Untuk rekod sebanyak 17 program IPR ditawarkan kepada rakyat Selangor sejak ia mula dilaksanakan pada 2008.

Antaranya dasar pemberian air percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Kesihatan Wanita, Skim Hijrah dan Insentif Perkahwinan Belia.

Selain itu, pelaksanaan program bantuan Food Stamp, Rumah Selangorku, khidmat Bas Smart Selangor, Wifi Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.