Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan perlu tanggung kompaun jika langgar SOP PKP

SHAH ALAM, 7 JUN: Tindakan kompaun akan dikenakan ke atas majikan atau syarikat yang memaksa pekerja bertugas melebihi masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata denda itu tidak melibatkan pekerja berikutan mereka terpaksa akur kepada arahan majikan.

“Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah, maka kompaun kepada majikan juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan serta tatacara operasi piawai (SOP) PKP 3.0.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 41 kompaun dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP sejak 1 Jun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Bukan minuman asas, operasi kilang arak ditutup ketika PKP

SHAH ALAM, 1 JUN: Operasi kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup serta-merta sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini.

Menteri kanan keselamatan berkata arahan itu berikutan ia tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

“Walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas sahaja,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

“Oleh yang demikian, kilang minuman keras tidak termasuk di dalam kategori keperluan asas. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju supaya semua kilang-kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta.”

Dalam kenyataan yang sama, Ismail juga menjelaskan bekalan makanan di peringkat peruncit dan pemborong adalah stabil dan mencukupi.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 717 pemantauan terhadap 11 jenis barangan melibatkan peruncit (522), pemborong (164) dan pengilang (31).

Kementerian itu juga melakukan 1,590 pemeriksaan khas dan mendapati semua premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster rentas negeri naik antara April hingga Mei

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 19 kluster dicatatkan daripada keseluruhan 50 kluster akibat rentas negeri sejak awal tahun ini, melibatkan 6,291 kes.

“Dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

“Daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata beberapa kawasan termasuk mukim, pangsapuri, taman perumahan serta perkampungan di Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 28 Mei hingga 10 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi niaga dihadkan hingga 8 malam mulai 25 Mei

SHAH ALAM, 22 MEI: Waktu operasi perniagaan di seluruh Semenanjung dan Labuan dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa Selasa ini, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan kedai makan, pasar raya, kendera saji, gerai, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka, dobi, pandu lalu dan e-panggilan.

Beliau menjelaskan arahan sama turut dikenakan bagi  stesen minyak kecuali di lebuh raya yang kekal beroperasi 24 jam.

“Hanya farmasi dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam. Pasar malam bermula 4 petang dibenarkan hingga 8 malam,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan operasi perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata berkuat kuasa 25 Mei juga, hampir tujuh juta pekerja sektor awam dan swasta bekerja dari rumah.

“Sebanyak 80 peratus kakitangan awam dan 40 peratus pekerja swasta akan bekerja dari rumah.

“Kesan ini membolehkan kita kawal aktiviti harian rakyat,” katanya.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) lain diketatkan:

-Penggunaan imbasan MySejahtera
-Jumlah pengunjung di pasar raya dihadkan
-Pemeriksaan agresif penguat kuasa
-Pemeriksaan secara bersepadu di tempat awam
-Meningkatkan pengoperasi Ops pada hari minggu dan cuti umum
-Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi kenal pasti kawasan berisiko dan akan ditutup serta-merta berdasarkan penilaian
-Kapasiti dan operasi pengangkutan awam dikurangkan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes wabak boleh cecah 10,000 sehari jika abai SOP

SHAH ALAM, 6 MEI: Jangkitan Covid-19 boleh mencecah 10,000 kes sehari selepas sambutan Aidilfitri jika rakyat alpa dan gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Menteri kanan keselamatan berkata perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menganggarkan kes boleh melonjak seperti di India, lapor Berita Harian.

“Situasi ini boleh berlaku jika tidak ada intervensi dan SOP tidak diikuti lagi oleh rakyat.

“Jika sampai 10,000 kes sehari, kita mungkin jadi seperti India. Kita tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan dan sebagainya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tindakan terbaik bagi melindungi nyawa meski menimbulkan kemarahan rakyat.

“Kita (kerajaan) tidak mahu dianggap tidak bertanggungjawab jika perkara buruk berlaku kepada rakyat,” katanya mengulas pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada halangan berhbung keputusan Kerajaan Selangor menutup bazar Ramadan di enam daerah negeri itu.

Jelasnya, Majlis Keselamatan Negara menetapkan tidak akan menutup semua premis perniagaan serentak, sebaliknya bertindak jika mengesan penularan kes Covid-19.

Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang dikenakan semula PKP mulai hari ini hingga 17 Mei, sementara Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting mulai esok

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan sehingga 7 Mei susulan kenaikan kes dalam kalangan pelajar.

“Sehingga 23 April, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan 473 saringan dan daripada jumlah itu, seramai 71 pelajar disahkan positif Covid-19.

“KKM mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya dalam sidang media petang ini.

Beliau berkata penguatkuasaan PKPD bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 28 April

SHAH ALAM, 12 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual berakhir pada Rabu dilanjutkan sehingga 28 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) berkata arahan sama turut dikuat kuasa di Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“PKPB Sarawak pula berkuat kuasa pada 13 hingga 26 April,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Tambahnya, pergerakan rentas negeri antara kawasan PKPB juga masih dilarang.

Sementara itu, PKP Pemulihan di Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan dilanjutkan sehingga 28 April.

Grafik Twitter Majlis Keselamatan Negara
Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya sembilan individu ditahan ingkar SOP perintah kawalan

SHAH ALAM, 31 MAC: Seramai sembilan individu ditahan semalam susulan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri kanan (keselamatan) berkata kesalahan membabitkan tujuh aktiviti pusat hiburan dan dua lagi tiada penjarakan fizikal.

“Kesemua mereka turut dikompaun atas kesalahan yang dilakukan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan Op Benteng pula berjaya menahan 19 warga asing tanpa izin dan mengesan sebanyak 117 buah bot di perairan negara melalui aktiviti penglihatan.

Berhubung saringan wajib pekerja warga asing, Ismail Sabri berkata seramai 5,189 individu menjalani ujian Covid-19 semalam. Sembilan daripadanya positif.

“Secara keseluruhan, seramai 664,946 pekerja warga asing telah menjalani saringan Covid-19 yang melibatkan 34,524 majikan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri masih dilarang meski dalam zon hijau

KUALA NERUS, 20 MAC: Aktiviti rentas negeri masih tidak dapat dibenarkan meskipun antara kawasan hijau, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, kebenaran merentas negeri hanya diberikan secara bersyarat iaitu perjalanan bagi tujuan pelancongan melalui agensi pelancongan dan bukan perjalanan secara individu memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi ‘sensitif’ berhubung kebenaran rentas negeri kerana aktiviti itu pada Disember lepas pernah merekodkan 32 kluster baharu Covid-19.

“Sekarang ini hanya perjalanan melalui agensi pelancongan sahaja yang dibenarkan sebab kita akan tahu perincian perjalanan. Kalau pergi dengan syarikat pelancongan, perjalanan mereka akan dimaklumkan kepada polis, polis akan tahu kawasan mana mereka pergi dan jadual perjalanan mereka pun sudah ada.

“Tetapi kalau kita benarkan pergi sendiri, contohnya Perak kawasan hijau, Kedah kawasan hijau, Langkawi pun (kawasan) hijau. Katakan orang Perak hendak ke Langkawi, dia terpaksa melalui Pulau Pinang. Bagaimana kita hendak tahu dia betul-betul ke Langkawi? Siapa tahu sekiranya dia bercuti ke Pulau Pinang,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus di sini hari ini.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan tiada sesiapa pun termasuk golongan berstatus VIP akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan atau tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.

Beliau berkata sebelum ini pun, tindakan undang-undang telah dikenakan terhadap beberapa golongan VIP seperti menteri dan timbalan menteri kerana didapati melanggar SOP.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini, seramai 21,791 anggota tentera telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama melibatkan anggota yang bertugas di barisan hadapan seperti di sekatan jalan raya serta yang bertugas di luar negara seperti Lubnan dan Filipina.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar bekerja dari rumah masih terpakai – menteri

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dasar bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun kesemua negeri kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran pegawai di kawasan PKPB adalah pada tahap 30 peratus, manakala bagi kawasan PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing.

“Pihak MITI dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan bagi pelaksanaan dasar itu untuk industri terlibat dan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran mengadakan acara siaran langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP serta penggambaran luar studio bagi industri kreatif negara, bermula esok.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan termasuk kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara di kawasan PKPB manakala bagi kawasan PKPP, jumlah kehadiran adalah mengikut keluasan premis dan tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi kebenaran penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif serta perlu mematuhi syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai SOP bagi kebenaran tersebut boleh dirujuk di laman sesawang KKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Latihan berpusat Liga Malaysia, hoki dan takraw dibenar mulai 15 Februari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kerajaan membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai 15 Februari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah perbincangan dan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu ‘kuarantin di kem’ dan ‘kuarantin di rumah’ seperti yang telah ditetapkan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata penelitian akhir sedang dibuat dan keputusan akan diumum dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga membuat keputusan membenarkan operasi sektor industri kreatif bermula esok.

Senarai aktiviti terlibat adalah produksi animasi/muzik, pascaproduksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio dan penggambaran praproduksi.

Turut dibenarkan penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitcom, livestreaming, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Katanya, SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my/

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai pakaian, alatan sukan dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula esok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyahkuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis, memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Kedai pakaian pula perlu sediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Mengenai kebenaran makan di kedai makan, Ismail Sabri berkata ia hanya terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter di restoran serta pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan.

Katanya, butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kebenaran bagi kedai barangan dan perkhidmatan fotografi serta penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

Katanya, penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen.