Categories
AGENDA NASIONAL

Bina 7,374 rumah mampu milik bantu warga ATM

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kerajaan bercadang membina 7,374 unit rumah di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat bagi membantu warga Kementerian Pertahanan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rumah SASaR ATM mampu milik akan dijual dengan harga dalam lingkungan RM150,000 sehingga RM250,000, manakala unit premium akan dijual pada harga RM350,000 hingga RM400,000.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos lalu bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina rumah berkenaan di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.

“Unit mampu milik akan dibina di Kem Genting Klang manakala unit premium akan dibina di Kem Wardieburn. Harga adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Ismail Sabri turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat kementerian itu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 2,367 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedang dibina di seluruh negara tahun ini bagi menambah bilangan RKAT sedia ada bertujuan menampung keperluan anggota ATM.

Menurut beliau, pembinaan dilakukan di Kem Oran (Perlis), Kem Tok Jalai (Kedah), Kem Syed Sirajuddin (Negeri Sembilan), Kem Tumbi (Kelantan), Kem Batu 10 dan Kem Sri Miri (Sarawak), dan Kem Lok Kawi (Sabah).

“Bagi kerja penyelenggaraan RKAT pula, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM150 juta menerusi Bajet 2020 selain turut menerima suntikan RM50 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRE), dan juga akan digunakan untuk melaksanakan penyelenggaraan bangunan am dan teknikal.

“Sehingga kini sebanyak 3,113 unit RKAT sedang diselenggara dan dinaik taraf, yang dijangka siap sepenuhnya sebelum Oktober tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 akan dilancarkan esok sehingga hujung tahun ini dan menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta.

“Dengan tema ‘Penghormatan Atas Pengorbanan’, objektif utama kempen adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jasa pahlawan tanah air selain memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan anak muda,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masyarakat akur, disiplin guna pelitup muka, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Masyarakat umumnya akur dengan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berkuat kuasa mulai hari ini.

Pemerhatian Bernama di sekitar ibu kota hari ini mendapati masyarakat sudah mula serius memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan dengan memakainya sebaik sahaja keluar dari kenderaan masing-masing.

Jurujual, M. Sri Mathavan, 18, berkata keluarganya yang agak besar dan mempunyai adik kecil di rumah merupakan faktor yang mendorong beliau untuk sentiasa beringat memakai pelitup muka semasa bekerja.

“Saya ada tujuh adik-beradik dan adik bongsu saya masih bayi, saya bimbang akan bawa Covid-19 ke rumah, jadi saya ikut semua saranan yang ditetapkan kerajaan seperti cuci tangan dan mandi sebelum berkumpul bersama mereka.

“Apa yang kerajaan buat ini adalah tepat, semestinya saya akan patuh kerana tidak mampu untuk membayar denda itu. Setiap hari saya akan bawa bersama sekurang-kurangnya tiga pelitup muka,” katanya.

Senada dengan Sri Mathavan, seorang peniaga kedai jam, Ng Nam Fooi, 62, berkata penguatkuasaan pelitup muka adalah bagi menjamin keselamatan orang ramai.

“Setiap hari saya berurusan dengan pelanggan. Ini memerlukan saya untuk memakai pelitup muka. Sebelum penguatkuasaan ini dilakukan lagi, saya telah memakainya setiap hari ketika bekerja atau berada di tempat awam.

“Ketika ini, bekalan pelitup muka untuk keluarga mencukupi iaitu kami mempunyai 50 keping pelitup muka. Jika bekalan ini berkurangan, saya akan segera menambahnya mengikut keperluan. Setakat ini, harga pelitup muka yang saya beli adalah berpatutan dan penjual tidak mengaut keuntungan yang berlebihan,” katanya.

Puteri Nur Anisa Megat Ismail, 29, pula berkata kebersihan dan kesihatan menjadi keutamaan kepada diri serta keluarganya pada ketika ini.

“Masing-masing kena ingat dan kawalan kendiri itu penting kerana wabak ini musuh paling bahaya dan digeruni. Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengenangkan yang tinggal sebumbung dengan saya adalah ibu yang berusia 65 tahun. Anak saudara saya berusia empat tahun juga sering ke rumah,” katanya.

Bagi mengambil langkah kebersihan dan keselamatan, beliau sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan dan membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam.

Sementara itu, di George Town, PULAU PINANG, orang ramai didapati mematuhi arahan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan tumpuan seperti pasar awam dan kedai-kedai makanan.

Seorang pengunjung Pasar Awam Jelutong, Tan Lean Yee, 54, berkata beliau berasa lebih selamat dengan semua pengunjung memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Sebelum ini, saya agak risau bila berkunjung ke tempat orang ramai kerana ada yang tidak memakai pelitup muka namun hari ini, saya dapati selain tempat makanan, semua orang telah mula memakai pelitup muka,” katanya.

Pada 23 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak tumpuan umum susulan kes jangkitan pandemik Covid-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

Ismail Sabri dilaporkan berkata orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP operasi Taska, Tadika diketahui hari ini

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kedua dalam fasa keempat, menyaksikan kerajaan terus berusaha keras untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Hari ini, rakyat bakal mengetahui tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan pembukaan operasi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sepanjang PKP keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

Selain isu berkenaan, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa pada mesyuarat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan membincangkan SOP berkaitan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini selain nasib penganjuran aktiviti sukan seperti Liga Malaysia (Liga-M).

PKP fasa keempat turut memperlihatkan kelonggaran yang diberi kerajaan dengan membenarkan dua individu dari rumah yang sama dan keluarga terdekat, bergerak dalam satu kenderaan untuk keluar membeli makanan dan barang keperluan harian.

Sebelum ini, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan bergerak untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP fasa keempat juga menyaksikan kerajaan membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer (km) untuk mendapatkan barang keperluan serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan, jika keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat dalam radius 10km dari kediaman mereka.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar PKP kerana kerajaan sentiasa bersikap adil dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan dikenakan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menitikberatkan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini ke atas mana-mana sektor, susulan beberapa sektor ekonomi sudah mula beroperasi pada fasa keempat PKP.

Sama ada taska, restoran atau institusi berkaitan ekonomi sekalipun, mereka perlu mengutamakan garis panduan yang ditetapkan dan perkembangan ini akan dipantau KKM sebelum membenarkan sektor lain seperti pendidikan dan sosial pula dibuka untuk beroperasi.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tony : Ismail Sabri Giat Siasat SUARAM, Syarikat Umno-BN Dilepaskan


KUALA LUMPUR 17 OKT: Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa menggunakan kuasanya untuk menyiasat pengkritik pentadbiran Umno-BN tetapi melindungi syarikat kroni Umno-BN yang melanggar undang-undang.

MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Ismail Sabri seharusnya berasa malu kerana gagal mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat tersebut yang tidak menyediakan laporan kewangan sejak 2007.

Akan tetapi Ismail Sabri sanggup mengarahkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suaram) kerana memiliki akaun meragukan.

Pada masa sama, Tony mendakwa laporan audit 2011 menunjukkan SSM gagal mengutip kompaun berjumlah RM 554.94 juta daripada syarikat yang melanggar undanga-undang SSM.

Antara syarikat yang didakwa gagal menyediakan laporan kewangan adalah YGP Holdings yang mana pengarahnya adalah MP Rembau, Khairy Jamaluddin dan MP Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki ahli keluarga bekas Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil juga didapati tidak menghantar laporan kewangan.

Dakwanya lagi, Industri Aeroangkasa Kebangsaan dan Pertahanan Sdn Bhd turut gagal menyediakan laporan kewangan sejak Disember 2007.

Syarikat ini dianugerahkan lesen subsidiari oleh Kerajaan Malaysia bagi menjalankan penerbangan di Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak.

“Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan SSM gagal untuk mengutip saman kompaun walaupun pengarah syarikat tersebut berhutang melebihi setengah juta ringgit.

“Selain itu juga, kes-kes yang dirujuk oleh SSM cawangan Kuala Lumpur untuk pendakwaan yang diterima hanya 1.5 peratus dengan nilai RM 8.59 juta denda kompaun, dan sebanyak RM 554.94 juta tidak dikutip,” katanya di sidang media di Parlimen hari ini.

Suaram adalah sebuah NGO yang berkempen agar pembelian senjata daripada Perancis yang bernilai berjuta-juta ringgit oleh Malaysia disiasat kerana terdapat unsur-unsur rasuah.

Kempen terbaru adalah penyiasatan pembelian dua kapal selam Scorpene yang bernilai RM 452 juta oleh Malaysia yang didakwa melibatkan rasuah dan penjualan rahsia Kerajaan Pusat.

Kes Scorpene sedang disiasat di dalam mahkamah Perancis dan Suaram mendakwa seorang bekas pembantu khas Najib terlibat di dalam kes tersebut.

Dakwa Tony, terdapat lebih daripada beratus-ratus syarikat lain yang secara terang-terangan melanggar Akta Syarikat 1965 namun tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM).

Sebagai contoh,katanya, laporan audit tersebut menunjukkan seorang pengarah telah mendaftarkan sebanyak 683 syarikat dan menerima 185 kompaun berjumlah RM 640,000 namun tiada tindakan diambil oleh SSM.

“Lebih menghairankan, pengarah-pengarah syarikat ini masih aktif mendaftarkan syarikat-syarikat baru tanpa menghadapi sebarang masalah,” katanya  sambil menambah terdapat empat kes sepertinya menurut laporan audit itu.