Categories
AGENDA NASIONAL

PKP lanjut: Rentas negeri, aktiviti sosial masih dilarang

SHAH ALAM, 2 FEB: Perjalanan rentas negeri di seluruh negara masih tidak dibenarkan sehingga 18 Februari susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri kanan keselamatan berkata keputusan menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan kenaikan kes Covid-19 dan kluster baharu.

“Apabila kita benarkan (rentas negeri) dahulu, ia menyumbang kepada peningkatan kes wabak dan merekodkan 31 kluster baharu,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, aktiviti sosial seperti kenduri kahwin dan perhimpunan juga tidak dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

Kerajaan melanjutkan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak sehingga 18 Februari susulan kes Covid-19 yang kekal mencatatkan empat angka.

 

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Cemerlang guna pelitup muka tapi abai penjarakan fizikal

Oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Esok genaplah setahun negara dibadai pandemik Covid-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Januari 2020.

Ketika gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula berlaku melibatkan penularan tempatan, dengan kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lepas dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, dan setelah beberapa bulan apabila jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKP) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.

Namun akibat sedikit kealpaan sahaja, virus itu kembali mengganas untuk gelombang ketiga dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober lepas, dan apabila kes semakin meningkat tahun ini, kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.

Sehingga semalam (23 Januari), kumulatif kes dilaporkan adalah 180,455 kes dengan kes aktif 42,769, bermakna negara dijangka terus mencatatkan angka harian tinggi dan 667 kematian telah dicatatkan.

Satu hakikat yang perlu diakui, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, advokasi dan peraturan baharu dilaksana dalam negara dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan tempoh ini juga menyaksikan rakyat Malaysia hampir setiap hari dimaklumkan secara langsung perkembangan terkini Covid-19 terutama oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selepas setahun isu Covid-19 menjadi cabaran utama negara, bukan sahaja dalam aspek kesihatan tetapi kesannya kepada ekonomi.

Papan tanda peringatan untuk mengekang penularan Covid-19 diletakkan di sebuah pusat membeli-belah sebagai langkah pencegahan ketika tinjauan pada 29 September 2020. Foto BERNAMA

Baru-baru ini semasa temu bual eksklusif dengan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Thivyamalini Ramalu di pejabat beliau, Ismail Sabri selaku menteri yang bertanggungjawab dalam isu membendung Covid-19 daripada aspek bukan kesihatan berkongsi pandangan dan pengalaman beliau tentang cabaran mengurus pandemik itu terutama dalam hal pelaksanaan SOP ketika PKP, PKPB dan PKPP.

Berikut ialah transkrip temu bual itu:-

Bernama: Wabak Covid-19 telah setahun melanda Malaysia. Sejak Mac tahun lepas kerajaan telah laksanakan PKP, diikuti PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP). Pada awalnya usaha itu nampak berjaya mengurangkan kes namun ia kembali kritikal sehingga PKP terpaksa dilaksanakan semula. Apakah punca peningkatan jangkitan?

Ismail Sabri: Waktu itu (Mac 2020), rakyat terlalu takut dengan Covid-19. Bila kerajaan kata ‘duduk rumah jangan keluar’, hampir semua rakyat patuh dan pelanggaran SOP kurang. Tapi lama kelamaan, (mungkin) rakyat rasa kehidupan ini sudah normal kerana tiada PKP dan kerajaan pun mula beri kelonggaran secara beransur-ansur.

Hampir semua sektor ekonomi dibuka malah aktiviti sosial seperti kenduri dan aktiviti sukan dibenarkan menyebabkan mungkin rakyat sudah rasa selamat daripada Covid-19. Walaupun arahan pemakaian pelitup muka dipatuhi namun aktiviti berkumpulan secara besar-besaran tetap berlaku, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penjarakan fizikal hampir tidak berlaku. Waktu itu juga salah satu punca kes meningkat di Sabah adalah kerana pendatang asing dan merebak dalam komuniti seterusnya ke Semenanjung selepas PRN tamat.

Bernama: Bagaimana kadar kepatuhan rakyat terhadap SOP PKP?

Ismail Sabri: Berdasarkan kajian yang dibuat Universiti Teknologi Mara, hampir 95 peratus rakyat patuh SOP bagi pemakaian pelitup muka. Ia bagaikan menjadi budaya baharu, bahkan di kampung sekali pun perkara itu dititikberatkan. Tetapi KKM berpendapat pelitup muka semata-mata tanpa penjarakan fizikal adalah tidak mencukupi. Kita lihat kebanyakan tempat seperti restoran contohnya, penjarakan fizikal tiada. Inilah paling bahaya.

Bernama: Ramai berpendapat kes kembali meningkat apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan termasuk untuk melancong. Bagaimana pendapat Datuk Seri dalam hal ini?

Ismail Sabri: Mungkin ada melibatkan kes rentas negeri tapi dari segi penyumbang terbesar kes adalah pekerja asing di sektor perkilangan, dan sebab itu mereka diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19. Keduanya ialah pekerja di tapak binaan. Jadi, kita fokus kepada permasalahan tersebut dengan menyediakan tempat tinggal kondusif untuk pekerja dan sebagainya. Bagi kes Covid-19 akibat rentas negeri, ia hanya salah satu daripada penyumbang kes dan bukan penyumbang terbesar.

Bernama: Bagaimana Covid-19 dilihat dapat mendisiplinkan rakyat selain mengadaptasi norma baharu?

Ismail Sabri: Boleh dikatakan rakyat sudah ada kesedaran, lihat sahaja di ‘mall’, kurang orang dan mereka tahu jika tiada keperluan, tidak perlu keluar rumah apatah lagi membawa anak kecil bersama.

Setakat ini, pemakaian pelitup muka nampak jelas dan kita lihat rakyat mula menukar cara hidup dengan lebih berdisiplin, contohnya seperti tunduk hormat bagi elakkan berjabat tangan atau perkara yang mengelakkan sentuhan.

Yang menjadi isunya ialah penjarakan fizikal, kerana mereka yakin (anggap) jika pakai ‘mask’ dan berdekatan antara satu sama lain adalah tidak berisiko.

Bernama: SOP penjarakan fizikal jelas sukar untuk dipatuhi dan apa tindakan pihak berwajib dalam mewujudkan kesedaran mengenainya?

Ismail Sabri: Pertamanya, kita hanya boleh ingatkan rakyat. Walaupun diingatkan oleh saya dan DG (Dr Noor Hisham) mengenai pematuhan SOP, setiap hari akan ada puluhan orang yang dikenakan tindakan akibat gagal patuh SOP. Keduanya, adalah tindakan undang-undang yang mana ia ada hukumannya tersendiri dan ketiga ialah kesedaran diri. Anggota polis ada juga berlembut dan ada budi bicara, namun kadang-kadang tiada pilihan menyebabkan rakyat dikenakan hukuman.

Bernama: Mengenai sempadan, bila jangkaan pintu masuk negara akan dibuka kepada negara luar?

Ismail Sabri: Kita tidak akan buka sempadan dengan begitu cepat kerana negara lain turut berdepan pandemik Covid-19. Walaupun baru-baru ini kerajaan bercadang untuk buka sempadan untuk beberapa negara luar melalui gelembung perjalanan zon hijau, tapi kita tangguh dulu cadangan tersebut.

Ini kerana Malaysia yang bercadang untuk membenarkan inisiatif itu tapi bagaimana pula dengan negara lain yang tidak akan benarkan orang Malaysia untuk melancong ke negara mereka? Amerika Syarikat turut mengeluarkan arahan agar rakyatnya mempertimbangkan melancong ke negara kita akibat kes Covid-19 tinggi.

Saya ingat sempadan ini paling akhir untuk dibuka kerana jika tidak, kes dari negara luar akan masuk dan menular dalam negara. Contohnya kita masih menyekat pelajar dari United Kingdom yang belajar di negara ini. Pelajar lain yang dibenarkan masuk pula melalui SOP yang ketat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi kedai makan dilanjut hingga 10 malam mulai esok

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan bersetuju melanjutkan operasi kedai makan dan restoran sehingga jam 10 malam mulai esok, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat hasil pertimbangan kerajaan terhadap aduan pengusaha kedai dan orang awam.

“Ada yang merungut pulang kerja lewat dan tidak sempat membeli makanan malahan ada juga dalam kalangan peniaga merintih kerana kebanyakan pelanggan mereka ramai pada waktu malam, contohnya penjual burger.

“Justeru, mengambil kira rungutan itu kita setuju melanjutkan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam di semua negeri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru-baru ini ahli parlimen pembangkang menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan kedai makanan beroperasi mengikut lesen perniagaan tidak terhad setakat jam 8 malam.

Gesaan itu bertujuan memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan pekerja penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Selangor, KL disambung hingga 4 Februari

SHAH ALAM, 21 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri termasuk Selangor yang dijadual berakhir pada 26 Januari dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perintah itu membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Kelantan, Melaka, Johor dan Sabah.

“Ia adalah hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung trend peningkatan kes positif Covid-19.

“Ini bermakna seluruh negara dikenakan PKP kecuali Sarawak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM boleh tahan, ambil tindakan pesalah ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutamanya di kawasan PKP bermula Sabtu ini.

Beliau berkata kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kerana melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan. Tetapi selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negeri lain di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) kepada ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak boleh sekat rakyat Malaysia pulang dari luar negara

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Kerajaan tidak boleh menyekat rakyat Malaysia dari negara yang melaporkan strain baharu Covid-19 daripada pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata itu adalah jaminan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malah, ketika kes Covid-19 tinggi di India, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga dibenarkan pulang, katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan menyekat kemasukan pengembara termasuk rakyat Malaysia dari negara yang merekodkan strain baharu Covid-19 seperti United Kingdom, Afrika Selatan dan Hong Kong.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun rakyat Malaysia yang pulang dari negara terbabit perlu menjalani kuarantin dan mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat.

Beliau juga menegaskan hingga kini sempadan negara masih belum dibuka kepada pelancong asing.

Pada September lepas, kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia dan senarai itu termasuk Afrika Selatan dan United Kingdom.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengenakan SOP lebih ketat bagi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sekiranya mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati tahap pematuhan rakyat rendah.

“Jika rakyat gagal mematuhinya dan KKM berasakan perlu kembalikan SOP asal (seperti semasa PKP) iaitu lebih ketat, saya tidak menolak perkara itu berlaku (dilaksanakan),” katanya.

Ismail Sabri berkata KKM juga menjalankan pemantauan kepatuhan SOP setiap dua minggu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Himpunan rai tahun baharu tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata sambutan yang biasanya disambut secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran Covid-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini.

“Sambutan ada pelbagai cara, ada sambutan secara bersendirian, bersama keluarga di rumah dan sebagainya tetapi secara perhimpunan memang tidak dibenarkan kali ini.

“Ini kerana ia akan melibatkan perhimpunan yang penjarakan fizikalnya tidak dapat dikawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat ini, tiada cadangan untuk mewujudkan semula sekatan merentas negeri dan daerah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ia hanya akan dilaksanakan apabila disarankan kementerian itu.

“Kita belum ada perbincangan yang terperinci. Kita akan dapatkan pandangan KKM dan keputusan akan dibuat selepas kita dapat pandangan nasihat mereka.

“Setakat ini, masih kekal seperti diumumkan iaitu perjalanan rentas negeri dan daerah masih dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 7 Disember lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB seluruh Selangor dilanjut hingga 14 Januari 2021

SHAH ALAM, 28 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual berakhir hujung bulan ini dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021.

Menteri kanan keselamatan berkata langkah tersebut susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu yang mencatatkan 29,272 kes antara 14 hingga 27 Disember.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan arahan sama turut dikuat kuasa di Kuala Lumpur dan Sabah.

“Bagi tempoh 14 hari hari bermula 14 Disember, Selangor merekodkan sebanyak 8,194 kes baharu dan kesemua sembilan daerah negeri ini menjadi zon merah.

“Atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPB di seluruh Selangor sehingga 14 Januari 2021,” katanya dalam sidang media hari ini.

PKPB di Selangor sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember kecuali Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Zoo, taman tema dibenarkan beroperasi mulai esok

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) bermula esok.

Menteri kanan keselamatan berkata kebenaran meliputi persidangan dan pameran, produk pelancongan, pameran hasil seni serta taman tema dan pusat hiburan keluarga.

“Bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung bagi sektor yang dilonggarkan ini tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal.

“Bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ia dibenarkan tanpa kehadiran penonton,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media.

Berikut pecahan bagi pembukaan sektor yang dibenarkan:

1. Persidangan dan pameran
– Mesyuarat korporat
– Insentif
– Konvensyen
– Pameran
– Karnival kraf
– Pameran pelancongan

2. Produk pelancongan
– Zoo
– Ladang
– Taman ekstrem
– Taman rekreasi
– Akuarium

3. Pameran hasil seni, budaya & warisan
– Muzium
– Galeri Seni
– Perpustakaan
– Pusat/Kampung kebudayaan dan seni warisan
– Pentas persembahan budaya
– Pameran pusat pendidikan

4. Taman tema dan pusat hiburan keluarga
– Taman tema/taman tema air
– Arked permainan
– Gimnasium permainan kanak-kanak
– Hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan teknologi
– Hiburan pendidikan

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas daerah, negeri dibenar bermula Isnin kecuali kawasan PKPD

SHAH ALAM, 5 DIS: Pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara dibenarkan bermula 7 Disember, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu dikecualikan untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bermula Isnin (7 Disember), polis tidak lagi melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam sidang media hari ini.

“Perlu ada keseimbangan antara keperluan ekonomi dan menjaga kesihatan. Seperti yang kita tahu pada 31 Disember ini, PKP Pemulihan akan berakhir tetapi kita masih belum tahu sama ada akan disambung atau sebaliknya.”

Sementara itu, beliau berkata semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.

Ismail Sabri juga berharap masyarakat terus menjaga keselamatan diri dan mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 20 Disember kecuali tiga daerah

SHAH ALAM, 5 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual tamat esok disambung sehingga 20 Disember ini, maklum menteri kanan keselamatan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dikecualikan daripada perintah itu.

“Keputusan diambil berdasarkan penilaian risiko jangkitan Covid-19, namun tiga lagi daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mempunyai kes terkawal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata PKPB turut dilanjutkan di Kuala Lumpur sementara Putrajaya ditamatkan bermula tengah malam esok.

PKPB di Selangor dilaksana secara berperingkat bermula 14 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang cadangan benarkan guru rentas negeri

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kerajaan bersedia menimbang untuk membenarkan guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah serta Sarawak dan sebaliknya pulang ke kampung memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka dijadualkan hanya bermula awal tahun depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rentas negeri ini ada pengecualiannya, selain kecemasan, bagi guru yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang kita benarkan pulang untuk menjenguk keluarga dengan kebenaran polis.

“Tetapi bagi yang bujang kita akan beritahu KPM (Kementerian Pendidikan) berbincang dengan PDRM supaya benarkan juga mereka balik dan tidak perlu berada di sana (tempat mengajar),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan sesi akademik secara bersemuka untuk semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara ditangguhkan hingga Januari tahun depan berikutan penularan gelombang ketiga Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA

Sehubungan itu, aktiviti pembelajaran dan pengajaran hanya diadakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang meneliti tatacara operasi piawai (SOP) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membenarkan aktiviti pelancongan antara kawasan hijau di negara ini.

“Sebagai contoh, orang Sabak Bernam nak melancong ke Pulau Langkawi atau sebaliknya, kedua-duanya kawasan hijau, jadi polis perlu sediakan surat kebenaran bagi menentukan mereka ini benar-benar dari daerah hijau, ini semua kita sedang kaji,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata mereka masih perlu mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan termasuk jumlah individu yang dibenarkan di dalam sesebuah kenderaan jika melancong ke zon hijau yang terletak di negeri di bawah PKPB.

Jika kes Covid-19 di negeri berkenaan terkawal dan status bertukar kepada hijau, negeri itu akan dikeluarkan daripada senarai PKPB apabila tempoh penguatkuasaan tamat dan aktiviti pelancongan boleh dilakukan seperti biasa, katanya.

-BERNAMA