Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar SPM, STAM, UBPA boleh semak jadual waktu peperiksaan – KPM

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan jadual waktu peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) Tahun 2021.

Kementerian itu memaklumkan jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula semalam.

“Sehubungan dengan itu, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

KPM turut menasihati calon untuk merujuk garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dimuat naik di portal rasminya (https://www.moe.gov.my/) bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, kementerian itu memaklumkan ketiga-tiga peperiksaan itu akan dilaksanakan pada Februari dan Mac tahun depan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kehadiran pelajar ke sekolah ikut kaedah penggiliran – KPM

PUTRAJAYA, 9 NOV: Kehadiran murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan kelas peralihan bagi Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pada 21 dan 22 Nov ini adalah mengikut kaedah penggiliran.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaedah penggiliran itu turut melibatkan kehadiran pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di lima negeri tersebut.

“Kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran. Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga,” menurut kenyataan itu.

Semalam, KPM memaklumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 21 dan 22 Nov.

Di Kedah, pengoperasian itu bermula pada 21 Nov, manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah adalah pada 22 Nov.

Institusi pendidikan di bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah kementerian itu bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Sementara itu, KPM berkata pihaknya sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka, sejak dibuka semula pada 3 Okt lepas.

Menurut kementerian itu pengoperasian sekolah didapati berjalan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik Covid-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran,” menurut kenyataan itu.

Pada 5 Nov lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa semalam (8 Nov).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dari KPM paling ramai belum terima vaksin

PUTRAJAYA, 8 NOV: Penjawat awam di Kementerian Pendidikan dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika ini masih mengemas kini data penjawat awam yang masih belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, JPA sedang memadankan data-data mereka yang belum divaksinasi menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat hari ini, data sedang dikemas kini dan JPA akan padankan balik apakah alasan-alasan yang diberikan untuk mereka dikecualikan daripada vaksinasi.

“Alasan yang diberikan ini kemudiannya akan dirujuk oleh setiap ketua jabatan… jadi ketua jabatan perlu turun ke bawah melihat dan memahami apa alasan yang diberikan untuk tidak divaksinasi,” katanya ketika ditemui selepas Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 hari ini.

JPA dalam pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 Nov, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Pada 1 Nov lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru serta merta bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan JPA yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Mohd Khairul Adib berkata setakat ini, tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19.

“Kita faham, ada yang khuatir, takut terima vaksin, dan ada yang tak boleh terima kerana mereka pesakit kanser, baru lepas bersalin dan dijangkiti Covid-19. Kumpulan ini diberi pengecualian,” katanya.

Beliau berkata ketua jabatan juga perlu membuat keputusan yang baik berhubung isu berkenaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terhadap masyarakat tidak terjejas.

“Kadang-kadang ketua jabatan terpaksa bertegas kerana perlu perkhidmatan yang ada, tidak terjejas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar hadir ke sekolah tanpa penggiliran tertakluk kajian, analisis

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kehadiran pelajar ke sekolah tanpa penggiliran bagi kumpulan pelajar lain akan dilaksana tertakluk kepada kajian dan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pada masa ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sekolah yang telah mencapai kadar 90 peratus vaksinasi lengkap atau lebih bagi pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran bermula 8 November ini.

“Dalam konteks ini, kita tidak buat keputusan secara semberono nak bawa masuk mana-mana kumpulan (ke sekolah) sehinggalah kita duduk berbincang dengan KKM, MKN dengan mengambil kira keadaan semasa. Sekiranya keadaan mengizinkan maka akan ada lagi kumpulan lain mungkin akan dimasukkan tanpa penggiliran.

“Namun ia tertakluk kepada kajian dan analisis sedang dilaksanakan pihak kementerian. Sebaiknya memanglah kita di pihak kementerian tak nak ada penggiliran, namun keadaan pada waktu ini memerlukan untuk diadakan penggiliran sehinggalah sampai satu ketika kita bincang dengan KKM rasa lebih selamat, insya-Allah kita buat tanpa penggiliran bila sampai masanya,” katanya.

Radzi berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Yayasan Didik Negara oleh Farm Fresh Milk Sdn Bhd di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan pembukaan sekolah, beliau berkata secara keseluruhan ia berjalan lancar dan kehadiran pelajar ke sekolah menunjukkan peningkatan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Jika kita lihat secara keseluruhannya, ia satu perancangan yang cukup teliti. Kita buka (sekolah) sedikit demi sedikit bagi memastikan kita dapat memantau keadaan supaya garis panduan yang telah ditetapkan itu dapat dipatuhi dengan baik.

“Alhamdulillah jika kita lihat sehingga hari ini dengan kemasukan terbaharu lebih 1.3 juta murid segalanya berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.

Menurutnya setakat ini tidak ada perkara berbangkit berkaitan pembukaan sekolah dan melihat kepada jumlah kehadiran yang baik di sekolah serta pengoperasian pada waktu ini, beliau yakin ia akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Institusi pendidikan KPM di Lembah Klang, Melaka kekal dibuka 4 Okt

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal dibuka pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian itu menetapkan sekiranya sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Pada 29 September, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke Fasa Tiga manakala Kedah beralih ke Fasa Dua berkuatkuasa 1 Oktober.

“Oleh itu pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan (Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021.

“Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” menurut kenyataan itu.

Pengoperasian Fasa Dua pula melibatkan Murid Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Ini turut melibatkan murid Tingkatan Enam Semester Dua, International Baccalaureate Diploma Tahun Dua, Program Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

Bagi pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di Kedah, kekal pada 10 Oktober untuk kelas Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) manakala ketetapan pengoperasian Fasa Dua PPN termasuk Kolej Vokasional hanya akan bermula 17 Oktober.

KPM memaklumkan pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Zon Selatan negeri Sarawak juga kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa Dua PPN.

Ini susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa Tiga PPN berkuatkuasa 1 Oktober namun pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan negeri Fasa Tiga PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober.

Bagaimanapun KPM memaklumkan semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa.

Oleh itu, semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menurut KPM.

KPM dalam kenyataan sama memaklumkan institusi pendidikan bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM turut menyaran ketetapan ini digunakan di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM kaji semula laksana program sarapan percuma kepada murid

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula pelaksanaan Program Sarapan (PSP) Percuma untuk murid sekolah rendah yang cuba diperkenalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji mana-mana bersesuaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) yang bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksana program sarapan percuma susulan lebih ramai keluarga terjejas susulan pandemik Covid-19.

PSP sepatutnya bermula Januari tahun lalu namun tidak dilaksanakan susulan perubahan kerajaan PAKATAN kepada Perikatan Nasional pada waktu itu.

Program itu dimulakan secara rintis di beberapa sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 selama 64 hari persekolahan.

Menjawab soalan asal Maszlee, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan dasar mengutamakan pengambilan pelajar dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) ke sekolah berasrama penuh yang diperkenal pada 2018.

“Pada waktu itu ditetapkan 60 peratus penawaran kepada pelajar B40 namun pada 2019 jumlahnya hanya 37.9 peratus dan 36.5 peratus pada 2020.

“Tahun ini jumlahnya meningkat 51.4 peratus, antara faktornya adalah strategi kementerian memperkenal kaedah permohonan secara berpusat yang membolehkan lebih ramai mendapat tempat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.

“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik Covid-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.

Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua tadika swasta berdaftar di bawah KPM boleh beroperasi

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Pengoperasian tadika mulai Jumaat lepas adalah termasuk semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Seperti mana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu lepas, KPM menjelaskan bahawa kelonggaran berkenaan merangkumi negeri dalam Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta untuk murid berumur empat hingga enam tahun membabitkan ibu bapa atau penjaganya yang bekerja.

“Pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ismail Sabri ketika mengumumkan kelonggaran tatacara operasi piawai PPN untuk beberapa sektor turut memaklumkan bahawa tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Dua PPN.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah secara semuka ikut fasa PPN, keadah penggiliran

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata sesi persekolahan 2021 juga akan dilanjutkan sehingga Mac 2022 bagi memastikan intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dilaksanakan berikutan pelajar telah lama tidak ke sekolah.

Selain itu, pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Dalam sidang media di sini hari ini, Radzi berkata semua sekolah di negeri dalam Fasa Satu PPN tidak akan dibuka dalam tempoh itu dan pelajar akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri dalam Fasa Dua PPN pula, murid berkeperluan khas dibenarkan hadir tanpa penggiliran dan murid sekolah rendah akan meneruskan PdPR.

Bagi sekolah menengah di negeri dalam Fasa Dua, hanya murid tingkatan enam semester dua, program prauniversiti semester tiga di sekolah sukan dan murid kelas peperiksaan antarabangsa dibenarkan hadir.

Dalam Fasa Tiga PPN, pembukaan sekolah diperluaskan kepada murid prasekolah dan tadika swasta yang boleh hadir tanpa penggiliran, manakala sekolah menengah turut melibatkan murid kelas peperiksaan awam di asrama penuh (tanpa penggiliran) dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian atau swasta yang dibenarkan secara penggiliran.

“Bagi Fasa Empat PPN pula, murid sekolah rendah iaitu Tahap Satu (Tahun 1,2,3) dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 Okt dan murid Tahap Dua (Tahun 4,5,6) dibenarkan juga secara penggiliran bermula 31 Okt.

“Bermula 17 Okt juga, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh dibenarkan hadir tanpa penggiliran manakala murid tingkatan sama bagi sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran sementara kelas peralihan dan Tingkatan Satu serta Dua adalah secara PdPR,” katanya.

Mengenai pembukaan kolej vokasional, Radzi berkata ia akan dibuka bermula Fasa Dua PPN dan kehadiran pelajar akan dibahagi secara penggiliran mengikut peperiksaan berdasarkan semester masing-masing.

Berkaitan Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi, kaedah PdPR akan dilaksanakan pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN, pelajar yang lengkap divaksin diberi pilihan untuk hadir ke kampus manakala yang belum divaksin akan meneruskan kaedah PdPR.

Selain itu, Radzi berkata institut pendidikan swasta (IPS) kategori pusat akan beroperasi secara PdPR pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga PPN, IPS bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun beroperasi sepenuhnya dan IPS kategori pusat beroperasi secara penggiliran dengan 50 peratus kapasiti kelas.

Pada Fasa Empat PPN pula, operasi secara penggiliran akan ditingkatkan kepada 70 peratus kapasiti kelas bermula 17 Okt manakala operasi secara kapasiti penuh dengan penjarakan fizikal dibenarkan mulai 31 Okt.

Mengenai sekolah dan institut pendidikan di bawah kementerian yang terletak di lokasi gelembung perjalanan’, beliau berkata pembukaan sekolah adalah mengikut Fasa Empat PPN.

Buat masa ini, negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa Empat ialah Labuan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PPN fasa tiga: KPM pertimbang pandangan pelbagai pihak sebelum buka sekolah

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah mengenai sesi persekolahan akan dipertimbang sebelum pelan komprehensif pembukaan sekolah dimuktamadkan bagi negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut catatan melalui Facebook beliau semalam, Radzi memaklumkan saranan dan cadangan yang diberi akan diteliti dan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

“Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara. Insya-Allah. KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau turut menyertai satu sesi libat urus melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari Negeri Sembilan hari ini berhubung perkara itu.

Ahad lepas, Radzi mengadakan siri pertama perbincangan bersemuka dengan wakil PIBG sekolah menengah dan rendah, guru besar serta pengetua di Labuan mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Okt nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,517 pelajar hilang tempat bergantung akibat Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 1,517 pelajar di seluruh negara menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat kematian seorang ibu bapa atau kedua-duanya sekali berpunca daripada Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata jumlah direkodkan antara Mac tahun lalu hingga Ogos ini dianggap mendukacitakan dan memerlukan langkap pembelaan sewajarnya, lapor Harian Metro.

“Walaupun angka ini dianggap kecil berbanding lima juta pelajar di seluruh negara ketika ini namun isu kebajikan semua anak-anak mangsa Covid-19 ini tetap diambil perhatian serius.

“KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sentiasa peka terhadap nasib pelajar yang kehilangan ibu bapa ini,” katanya.

KPM memaklumkan pihaknya turut menubuhkan pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan dan bantuan segera disalurkan kepada golongan terbabit.

“Pelbagai bantuan akan disalurkan dengan segera antaranya bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi mereka yang layak serta penempatan pelajar ke asrama di bawah kelolaan KPM,” katanya.

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tangani segera murid kurang motivasi belajar dalam talian

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini ditulis bersempena sambutan ulang tahun ke-65 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini, bertemakan ‘Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman’.

Artikel turut membincangkan cara terbaik untuk mengatasi burnout dan kehilangan motivasi pelajar untuk terus belajar dan membaca akibat kelesuan pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang kini diguna pakai oleh sistem persekolahan negara dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19, dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu learning burnout atau hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.

Isu ini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar ketinggalan dalam pembelajaran yang mana berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas kumpulan B40 di kawasan pangsapuri di sekitar ibu negara, didapati enam daripada 10 murid hilang motivasi untuk mengikuti PdPR.

Mengulas perkara itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata isu keciciran pembelajaran dan learning burnout perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tertinggal dalam pelajaran dan seterusnya mewujudkan lost generation.

(Lost generation merujuk kepada kohort murid yang keciciran pendidikan sehingga menyebabkan tahap pencapaian pendidikan mereka lebih rendah berbanding kumpulan sebelumnya. Antara punca terjadi lost generation ialah kehilangan waktu pembelajaran untuk tempoh yang lama akibat peperangan, bencana alam yang besar atau penularan wabak penyakit berjangkit berpanjangan)

PERLU KEMBALIKAN SEMANGAT PELAJAR

Menurut Dr Anuar, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikeluarkan pada 11 Oktober 2020, kadar keciciran murid sekolah rendah meningkat kepada 0.13 peratus pada tahun berkenaan berbanding 0.12 peratus pada 2019, sementara kadar keciciran pelajar sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus bagi tempoh sama.

Bagaimanapun beliau yakin angka itu akan terus meningkat, mengambil kira keadaan pandemik yang semakin serius serta tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

“Di Malaysia, umum mengetahui ada pelbagai kaedah pembelajaran digunakan, iaitu secara dalam talian, luar talian (offline), edaran nota serta TV Pendidikan. Namun dalam situasi negara sekarang, PdPR dalam talian lebih diutamakan.

“Isu yang timbul ialah negara kita sebenarnya masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan PdPR dalam talian. Ada dua sebab, iaitu ketidakmampuan dari segi penyediaan peranti yang sesuai dan mencukupi serta capaian Internet kurang memuaskan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, KPM sendiri melaporkan masalah peranti merupakan antara isu utama yang dihadapi oleh kira-kira 1.85 juta pelajar pada masa ini.

Selain itu, Dr Anuar berkata pelajar juga dikatakan tertekan dengan situasi pembelajaran semasa.

Kajian Fakulti Pendidikan UKM yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor bagi 2020 menunjukkan 70 hingga 80 peratus guru melaporkan antara cabaran utama melaksanakan PdPR ialah mendapatkan perhatian/fokus pelajar serta kadar kehadiran tidak mencapai 80 peratus.

Menurut kajian itu, masalah tumpuan pelajar tersebut dikaitkan dengan keadaan persekitaran rumah yang tidak kondusif.

UBAH PENDEKATAN

Bimbang potensi pelajar terbantut disebabkan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna, Dr Anuar menyarankan agar pelaksanaan PdPR diubah daripada berbentuk sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran, iaitu tidak ada lagi konsep kehadiran kelas secara seragam sebaliknya menekankan aspek engagement atau penglibatan mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

“Keutamaan kini seharusnya diberikan kepada subjek teras sahaja bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru, di samping mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting. Ini dalam masa yang sama dapat merawat learning burnout yang sedang berlaku dalam kalangan murid kita,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah PdPR diuruskan secara lebih profesional dan teratur, iaitu semua maklumat aktiviti dan rekod pelaporan PdPR dipusatkan ke dalam satu sistem yang mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan.

WUJUDKAN e-SEKOLAH

“Saya cadangkan supaya kita wujudkan satu web atau aplikasi e-Sekolah sebagai pusat segala aktiviti PdPR. Boleh mulakan di sekolah masing masing. Ini adalah sekolah maya (hanya fokus pada urusan PdPR). Wujudkan dashboard yang mudah digunakan agar ibu bapa dan pelajar boleh menggunakan e-Sekolah. Ramai guru yang mahir bangunkan laman web. Ada juga ibu bapa yang boleh bantu bangunkan web ini, malah jika boleh dibangunkan dalam bentuk aplikasi lebih baik.

“Dalam web yang sama, kita juga boleh wujudkan button dashboard mengikut mata pelajaran dan tingkatan. Pengumuman guru boleh dibuat mengikut kumpulan PdPR. Pelajar atau ibu bapa hanya perlu tekan button nama guru untuk dapatkan maklumat atau apa juga makluman berkaitan aktiviti PdPR anak-anak mereka.

“Selepas selesai pengajaran secara dalam talian atau buat rakaman video untuk offline, guru-guru boleh masukkan pautan video pengajaran mereka dan soalan latihan dalam dashboard berserta tarikh penghantaran. Berikan tempoh yang sesuai untuk pelajar menjawab soalan latihan. Jika murid-murid masih kurang faham mereka boleh ulang tonton video pengajaran guru. Masukkan juga pautan sumber-sumber tambahan pembelajaran untuk setiap topik. Jika sekolah menggunakan platform Google Classroom (GC), maka masukkan semua pautan GC dalam web e-Sekolah,” cadang beliau.

Jelas beliau, e-Sekolah juga membolehkan pelajar berkongsi pautan video aktiviti harian mereka dengan rakan sekelas.

“e-Sekolah boleh menjadi alat membina persahabatan antara mereka sekalipun tidak hadir di sekolah,” katanya yang berharap saranan itu dapat mengurangkan beban dan burnout yang terpaksa ditanggung pihak berkenaan, khususnya murid, guru dan ibu bapa akibat kekangan dalam PdPR, serta mengembalikan semula semangat belajar dan membaca murid.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata pemerhatian pihaknya mendapati semakin ramai guru berjaya menguasai kemahiran PdPR, selain ada antara mereka mempamerkan kreativiti dalam pengajaran.

“Kita gunakan PdPR demi keselamatan anak murid kita. Di sinilah kita lihat terserlah pelbagai cara kreatif guru dalam melaksanakan PdPR. Tapi nanti, jika sekolah dibuka (semula), guru-guru sebagai profesional sudah tentu akan terus memikirkan cara untuk menjalankan intervensi lain di samping langkah pemulihan bagi membantu anak didik,” katanya.

Pada masa sama, Tan meminta KPM agar terus berganding bahu dengan masyarakat, khususnya persatuan ibu bapa dan guru, bagi mencari jalan terbaik dalam memastikan pelajar mempunyai akses yang mudah untuk berhubung dengan guru.

– BERNAMA