Categories
AGENDA NASIONAL

Kantin, koperasi sekolah dikecualikan bayar sewa enam bulan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa itu termasuk kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, pihak kementerian menjelaskan pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

“KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Sektor pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat pada Fasa Tiga dalam PPN yang dijangka bermula September 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lantik lebih 18,000 guru baharu mulai Julai

SHAH ALAM, 20 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengambilan khas guru gred DG41 secara besar-besaran membabitkan 18,702 orang mulai 7 Julai.

Menteri Kanannya Datuk Dr Radzi Jidin berkata kaedah itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru selain memberi peluang graduan memperoleh pekerjaan.

Beliau berkata penempatan mereka yang layak pula akan dibuat secara berperingkat bermula Oktober.

“Kita akan bekerjasama dengan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) bagi memastikan pengambilan ini berjalan lancar dan teratur,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Radzi berkata Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor diberi keutamaan berikutan keempat-empat negeri tersebut berdepan masalah kekurangan guru paling kritikal ketika ini.

Beliau menambah mata pelajaran yang kurang guru ialah bahasa inggeris, sejarah, pendidikan khas, pendidikan islam dan teknologi maklumat dan komunikasi bagi sekolah rendah.

Manakala, bagi sekolah menengah pula ialah bahasa melayu, bahasa inggeris, pendidikan khas, pendidikan islam dan reka bentuk dan teknologi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan setuju beri vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas.

“Bagi vaksinasi guru, sehingga kini lebih 90,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Radzi turut berkongsi satu video ringkas di mana Khairy memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Khairy berkata demikian dalam forum bertajuk ‘The Path to Herd Immunity: Up Close with YB Khairy Jamaluddin’ anjuran The Oxford & Cambridge Society Malaysia menerusi dalam talian, semalam.

Khairy berkata menurut data yang diterima daripada Kementerian Pendidikan (KPM) terdapat 357,000 pelajar Tingkatan Lima dan 47,000 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima.

“Anak-anak yang menghadapi peperiksaan awam perlu kembali ke sekolah untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Kami bekerjasama dengan KPM untuk memberi tumpuan pada tahun peperiksaan terlebih dahulu untuk memberi inokulasi kepada guru, kakitangan sokongan sekolah serta pelajar tahun peperiksaan,” katanya dalam forum itu.

Forum itu turut dimuat naik di YouTube.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM nafi skala gred SPM tular milik Lembaga Peperiksaan

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan skala gred SPM yang tular di media sosial ketika ini milik Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Menerusi kenyataan, KPM berkata skala itu seolah-olah menggambarkan gred permarkahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan boleh mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon peperiksaan.

“Perkara ini mencemar imej dan kredibiliti LPM sebagai badan pentaksiran negara serta menggugat ketenteraman awam.

“Susulan itu laporan polis dibuat pada jam 10.31 malam tadi selain laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, akaun Facebook milik MamaMia Mia memuat naik jadual skala markah SPM disertai status ‘Patut aku pelik budak2 sekarang berderet A’ selain tanda pagar #bilasekolahdipolitikkan.

Kelmarin Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata seramai 9,411 calon SPM 2020 memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 8,876 calon tahun sebelumnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPM perlu jelaskan serahan kontrak TV Pendidikan kepada Media Prima

SHAH ALAM, 24 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menjelaskan isu penyerahan kontrak TV Pendidikan kepada syarikat swasta Media Prima Berhad (Media Prima) menerusi DidikTV sejak Februari lalu.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata penyiaran itu sebaiknya diberi kepada penyiar rasmi negara, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) kerana tidak melibatkan kos serta memiliki fasiliti lengkap.

“Apakah rasional dan keuntungan diterima rakyat dalam tindakan KPM membuat bayaran kepada Media Prima sedangkan boleh menggunakan stesen TV kerajaan ketika darurat ini.

“Kerajaan juga perlu jelaskan nilai kontrak memandangkan terdapat laporan kos berjumlah RM70 juta diperuntuk sepanjang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan Jawatan Kuasa Pendidikan PAKATAN semalam.

Jawatan kuasa dipengerusikan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan juga perlu memberi penerangan terperinci berhubung kontrak yang masih belum ditandatangani antara KPM dan DidikTV itu.

“Hala tuju TV Pendidikan berserta platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dan EduwebTV yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu dijelaskan.

“Bilangan penonton DidikTV sehingga kini dan berbaloikah dengan kos dilaburkan harus diberitahu. Diharapkan menteri serta timbalannya tidak memperjudikan pendidikan negara dan masa depan anak bangsa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup esok dan lusa.

KPM menerusi kenyataan hari ini memutuskan demikian berikutan penutupan semua sekolah di bawah KPM di Selangor pada tarikh sama.

“Keputusan KPM untuk menutup sekolah adalah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti dan pergerakan antara negeri memandangkan kedudukan kedua-dua wilayah ini yang bersempadanan dengan daerah-daerah dalam negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan dalam tempoh penutupan tersebut, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid.

Sementara itu, pergerakan pulang murid asrama sempena cuti hari raya Aidilfitri, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang ditetapkan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa atau penjaga.

KPM turut memaklumkan semua sekolah di bawah kementerian itu di Selangor akan ditutup pada tarikh sama berdasarkan syor Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS).

Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira tempoh persekolahan yang hanya berbaki dua hari sebelum sekolah ditutup sempena cuti Aidilfitri tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tetapkan empat kaedah perjalanan pulang pelajar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan empat kaedah perjalanan untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan KPM hari ini, kaedah itu ialah dengan menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

“Pelajar juga dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar KTE dan pelajar KV,” menurut kenyataan itu.

Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa.

Menurut KPM, kebenaran itu adalah untuk dua orang iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.

Merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin dan murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.

KPM menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang kesal KPM gagal persiap PdPR

SHAH ALAM, 24 APRIL: Pakatan pembangkang kesal Kerajaan Persekutuan gagal mempersiapkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila sekolah ditutup akibat Covid-19.

Sejumlah ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan sekolah hilang arah dan punca apabila berlaku peningkatan kes.

“Sebelum ini sekolah dibuka secara tergesa-gesa tanpa penerangan jelas mengenai tatacara operasi piawai (SOP) sekiranya berdepan kes.

“Arahan hanya dibuat pada 21 April bahawa sekolah perlu ditutup sekurang-kurangnya dua hari sedangkan beberapa kes sebelumnya sekolah memutuskan menutup kelas terjejas sahaja,” kata mereka menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang juga Pengerusi jawatankuasa pendidikan PAKATAN.

Turut menyokong Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tampin Hasan Baharom, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Mereka juga menggesa Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dan timbalan (Muslimin Yahya serta Mah Hang Soon) segera berundur kerana gagal melaksanakan tugas.

“Kemarahan rakyat terutamanya guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa terhadap kerajaan serta KPM dapat dilihat di peringkat bawahan mahu pun media sosial,” katanya.

Mereka juga membangkitkan isu pemberian 150,000 komputer riba untuk PdPR yang masih tidak kelihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM diminta keluarkan garis panduan tutup sekolah

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Kerajaan Negeri meminta Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan penutupan sekolah sekiranya berlaku perebakan Covid-19 dalam kalangan guru dan murid.

Dato’ Menteri Besar berkata tatacara itu penting bagi memudahkan pentadbir sekolah menyelaraskan tindakan susulan peningkatan kes melibatkan kluster pendidikan.

“Jawatankuasa khas bagi pengawalan perebakan kes melibatkan sekolah di Selangor sedang menunggu arahan terbaharu Kementerian Pendidikan.

“Kita hendak tahu adakah satu kes sekolah sudah kena tutup atau tunggu 400 kes baru tutup, itu garis panduan yang kita tunggu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bantuan Bina Rumah di Kampung Baru Pasir Penambang di sini hari ini.

Amirudin berkata jawatankuasa dianggotai Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Unit Bencana sedang mengenal pasti kawasan berisiko tinggi mencetuskan perebakan Covid-19 dalam komuniti.

“Kita sedang kumpul data guru, pelajar dan ibu bapa terlibat, Insya-Allah saringan bersasar segera dilaksanakan,” katanya.

Terkini, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok sehingga 7 Mei susulan kenaikan kes dalam kalangan pelajar.

Sebelum ini, sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai Isnin bagi mengekang perebakan Covid-19.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung wabak.

Categories
AGENDA NASIONAL

PIBGN cadang PPD jadi pusat sehenti selesai masalah PdPR, DidikTV

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai ‘one stop centre’ atau pusat sehenti dalam menyelesaikan dan menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta DidikTV KPM.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini berikutan PPD adalah medium terbaik untuk berhubung dengan ibu bapa yang menghadapi kerumitan dan membawa masalah setempat kepada pihak atasan dengan segera.

“Saya cadangkan KPM boleh mewujudkan talian hotline dan diuruskan oleh kakitangan berdedikasi yang ditugaskan khusus untuk menangani dan mengatasi apa sahaja perkara ini (PdPR dan DidikTV) di peringkat daerah berbanding dipusatkan di negeri atau peringkat kebangsaan.

“Ini cara penyelesaian yang baik untuk membantu ibu bapa di pedalaman. Misalnya, wakil rakyat mudah dihubungi di peringkat daerah, jadi hanya PPD yang mempunyai akses mudah kepada ibu bapa, seterusnya membawa perkara tersebut ke peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai persediaan terhadap PdPR sekiranya sekolah ditutup semula berikutan jangkitan Covid-19 di institusi tersebut.

Sejak seminggu lepas, dilaporkan terdapat jangkitan Covid-19 di sekolah yang menyebabkan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Selangor pada Isnin lepas telah mengeluarkan arahan supaya 19 sekolah di negeri itu ditutup selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali berpendapat KPM perlu mempertimbangkan supaya semua sekolah di seluruh negara ditutup sementara selama dua minggu memandangkan terdapat banyak petunjuk negatif yang mengancam kesihatan dan keselamatan warga sekolah.

“Tetapi ibu bapa janganlah rasa gentar dan curiga kerana saya percaya ini yang sebaiknya, kita memikirkan dari segi keselamatan serta nyawa anak kita dan pada masa yang sama kita tidak mengetepikan pendidikan. Jadi buat masa ini, inilah cara yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berpendapat adalah tidak adil jika sekolah ditutup sepenuhnya kerana laporan menunjukkan jangkitan Covid-19 tidak datang daripada sekolah, tetapi jangkitan dalam komuniti menerusi ibu bapa atau penjaga pelajar.

Sebaliknya, beliau berkata sokongan daripada semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing, dapat meningkatkan lagi pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah.

“PIBG dan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan seharusnya menjadi pihak terakhir yang meminta penutupan sekolah disebabkan beberapa kes terpencil. Mereka tidak perlu menekan butang panik dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Sebaliknya, dalam situasi seperti ini, mereka perlu membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan pematuhan SOP di sekolah dan mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya dan menambah ahli PIBG boleh memantau pergerakan pelajar atau ibu bapa semasa datang dan balik sekolah, secara sukarela.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekiranya sekolah diarahkan tutup dan dibuka sekali lagi, KPM diharap dapat menyediakan SOP untuk membuka sekolah secara bergilir sahaja, seperti yang disarankan tahun lepas.

Katanya, penggiliran jadual jelas dapat mengawal bilangan pelajar dan kakitangan ke sekolah untuk tempoh tertentu apabila separuh pelajar ke sekolah dan separuh lagi PdPR mengikut tahap.

“Agak telah menjadi norma baharu PdPR ini, ibu bapa pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Memandangkan kes jangkitan Covid-19 kian menaik, kebarangkaliannya sekolah terpaksa ditutup semula adalah tinggi. PdPR adalah langkah terakhir kerana tiada pilihan lain. Hendak atau tidak, ibu bapa pun tiada pilihan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2020 tamat selepas tertangguh akibat wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Sesudah tamatnya kertas peperiksaan subjek Sains Komputer hari ini, maka berakhirlah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang tertangguh sejak tahun lepas akibat wabak Covid-19.

Pelbagai gelagat pelajar dapat disaksikan, antaranya melakukan sujud syukur, bertepuk gemuruh serta bersyukur setelah berjaya menjawab kesemua kertas peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki tahun lepas.

Di KUALA LUMPUR, pusat peperiksaan SPM 2020 di Victoria Institution walaupun hanya 15 calon yang menduduki peperiksaan pada hari terakhir SPM 2020, namun pusat peperiksaan itu tetap gamat dengan sorakan calon menandakan berakhirnya peperiksaan utama negara itu.

Lebih mencuri perhatian, kesemua calon yang menduduki peperiksaan subjek Sains Komputer di sini, melakukan sujud syukur sebaik sahaja tamat peperiksaan itu sebagai tanda syukur dan meraikan ‘perjuangan’ mereka dalam SPM2020.

Seorang pelajar Sekolah Victoria Institution di Kuala Lumpur mengaminkan bacaan doa kesyukuran setelah selesai menjawab kertas soalan Sains Komputer pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Bagi Syed Fikri Syaddad Syed Izwan,18, dia mengakui walaupun berasa kurang selesa dengan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika menjawab peperiksaan, namun baginya itulah cabaran dalam membiasakan amalan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rasa kurang selesa juga (pakai pelitup muka) tapi inilah cabaran dan juga satu kenangan buat kami sebagai kumpulan pertama SPM dengan pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) ketat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

DI NEGERI SEMBILAN, cabaran ketika menduduki peperiksaan dalam suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19 membuatkan kebanyakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini, melipat gandakan usaha untuk menjawab peperiksaan SPM dengan lebih baik.

Ahmad Syafi Ahmad Sahfengi, 18, berkata cabaran ketika menjawab peperiksaan SPM pada tahun ini memerlukan dirinya berusaha lebih susulan banyak menghabiskan masa belajar hanya dalam talian sebelum menjelang hari peperiksaan SPM.

Muhd Afeeq Haiqal, 18, pula berkata suasana peperiksaan sememangnya berbeza tahun ini apabila tiada pelajar yang berkumpul dan berbincang selepas keluar dari dewan peperiksaan.

Di KEDAH, wakil pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Muhd Arman Mohd Sobri, 18, dalam ucapannya berkata dia dan rakan-rakan seperjuangannya sangat berharap agar keputusan yang akan diperolehi mampu membanggakan semua pihak.

Pelajar ceria selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir hari ini pada Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Noor Azman Abdul Rahman berkata walaupun sedang berdepan pandemik Covid-19, semua pelajar berjaya menduduki peperiksaan SPM.

“Bukan mudah untuk menduduki peperiksaan SPM kali ini kerana sejak Mac tahun lalu, pelajar tidak boleh ke sekolah. Cabaran untuk mengajar dan belajar ini sukar kerana perlu menggunakan cara pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pengurusan SPM 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Di KELANTAN, seorang pelajar perakaunan, Alyaa Maisarah Mohd Zamani, 17, melahirkan rasa gembira SPM akhirnya sampai ke penghujung biarpun terpaksa menjawab peperiksaan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Rasa bahagia… akhirnya semuanya tamat selepas beberapa kali ditangguhkan. Sepanjang peperiksaan memang tidak selesa perlu menjawab dalam keadaan perlu memakai pelitup separuh muka,” katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 di SMK Salor, Kota Bharu.

Di TERENGGANU, Ketua Pengawas peperiksaan SPM di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Muhammad Othman berkata antara cabaran yang dihadapi sepanjang menjaga peperiksaan pada kali ini adalah SOP yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan calon dan pengawas.

“Sepanjang 10 tahun menjadi pengawas peperiksaan, SPM 2020 ini adalah yang paling tidak boleh dilupakan. Antara yang perlu dipatuhi adalah kami perlu memakai sarung tangan setiap kali mengedarkan kertas soalan dan perlu menukar sarung tangan yang baru setiap kali mengutip kertas peperiksaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 dilaksanakan sekolah itu.

Ketua Pelajar SMK Sultan Sulaiman Muhammad Khalil Muzammil Mohamad Yusof,18, berasa bersyukur kerana akhirnya selesai menduduki SPM dan menganggapnya sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana menjadi antara calon pertama menduduki SPM dengan norma baharu.

Di PERLIS, pelajar SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Goh Guang Wei, 18, berkata walaupun agak tertekan apabila peperiksaan SPM ditunda sebanyak dua kali, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

Turut berkongsi pengalaman Amirul Azri Zamri, 18, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat menjawab kesemua tujuh kertas peperiksaan yang diduduki dan kini bercadang untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM.

Di PAHANG, calon SPM di SMK (LKTP) Jengka 2 Anis Zulaikha A.Mujaini, 18, turut merasa lega kerana akhirnya berjaya menamatkan sesi persekolahan selepas tidak dapat menduduki peperiksaan penting itu tahun lalu mengikut jadual asal.

“Dahulu setiap masa berdebar dan tertanya-tanya bila saya boleh mengambil SPM kerana saya mahu belajar ke peringkat lebih tinggi dan sudah tentu untuk memohon institusi pengajian tinggi memerlukan keputusan SPM. Lega juga apabila semuanya berjalan lancar dan tamat hari ini,” katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, seorang wakil pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Luqmanul Hakeem Mohd Nurr, 18, menyifatkan peperiksaan SPM amat mencabar baginya kerana beberapa kali tertangguh untuk menduduki peperiksaan berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Di PULAU PINANG, Ketua Pengawas Peperiksaan, Mohd Zulfadli Jusoh berkata dari segi moral para pelajar tidak terdapat sebarang masalah dan tiada yang menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi memandangkan tidak banyak perubahan dalam pengurusan peperiksaan.

“Kalau peperiksaan sebelum ini, pelajar akan dijarakkan satu meter (m), cuma kerana SOP Covid-19, jarak itu ditambah ke 1.5m,” katanya.

Di LABUAN, wakil pelajar SPM SMK Mutiara Muhd Amsyar Dzulqarnain Amirulla berkata dengan masa yang lebih mencukupi dan sistem PDPR akan membolehkan mereka memperolehi keputusan yang cemerlang.

Di PERAK, R. Ruthannie, 18, pelajar SMK Jelapang Jaya, di Ipoh, berkata beliau berasa gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan peperiksaan itu yang tertangguh sejak tahun lepas dan berterima kasih kepada ibu bapanya kerana banyak memberi sokongan dan galakan supaya saya tidak berputus asa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Adzman Talib berkata pihak Kementerian Pendidikan akan terus memantau SOP untuk pelajar yang dibenarkan menduduki peperiksaan selepas disahkan bebas Covid-19.

“Jika ada keperluan mengubah SOP yang lain, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan meneliti, berhati-hati dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara untuk pastikan semua pelajar menduduki peperiksaan dengan cukup selamat dan kesihatan mereka terjaga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarikh daftar pelajar tingkatan satu dan empat sekolah khusus 6 April

PUTRAJAYA, 17 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan tarikh pendaftaran murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ke Sekolah Khusus untuk tahun 2021 adalah pada 6 April depan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah selesai melaksanakan proses pentaksiran kemasukan murid ke Sekolah Khusus bagi tahun 2021.

Sekolah Khusus adalah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

Menurut KPM, semakan tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus bagi Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (1SVM) boleh dibuat pada 19 dan 23 Mac.

Tarikh semakan bagi Tingkatan 1 ke SBP dan SMKA adalah pada 19 Mac ini, diikuti Tingkatan 4 SBP, SMKA dan SMT serta Tahun 1 SVM KV pada 23 Mac manakala tarikh semakan temu duga bagi kemasukan ke Tingkatan 4 MTD pula pada 23 Mac.

Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my bagi Tingkatan 1 dan https//:spskt4.moe.gov.my bagi Tingkatan 4, manakala tarikh pendaftaran ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my/.

– BERNAMA