Categories
NASIONAL SELANGOR

Pendaftaran Online Tambah Pelajar UNISEL

SHAH ALAM, 18 OKT : Universiti Selangor (Unisel) telah meningkatkan pertambahan pelajar yang memberangsangkan selepas mempraktikan pendaftaran dalam talian atau ?online?.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, kaedah itu menyaksikan kemasukan pelajar ke universiti itu meningkat dengan pantas sehingga institusi itu risau tidak dapat menampung pertambahan pelajar.

Beliau berkata, kaedah itu telah menampung kemerosotan kemasukkan yang dicatat pada 2009 dan 2010.

Menurutnya, kemasukan pelajar ke universiti tersebut pada tahun ini adalah seramai 11,880 pelajar manakala tahun 2011 mencatat kemasukkan 9,902 pelajar.

“Kejayaan diraih seperti dilapor oleh akhbar-akhbar mengatakan bahawa laporan audit negara pada 2009 dan 2010 menunjukkan penurunan pelajar dan pendapatan itu memang betul dan kita telah banyak membuat pembaharuan bagi mengatasinya.?

“Selain kejayaan-kejayaan dibuat pelajar kita di peringkat nasional dan antarabangsa dan data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mendedahkan kebolehpasaran pelajar kita yang antara tertinggi di dalam negara kita,? katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, Unisel juga akan membuat pengambilan pelajar baru pada 5 Januari tahun depan.

Tambahnya, dianggarkan 70 ke 80 peratus pelajar menggunakan kaedah permohonan online.

Daripada 11,880 pelajar itu, katanya, lebih 5,000 ditempatkan di kampus Shah Alam manakala lebih 6,000 lagi di kampus Bestari Jaya.

“Saya risau pada tahun depan kita tidak mempunyai ruang bagi menampung kemasukan pelajar. Bukan risau tidak cukup pelajar masuk,” katanya yang menjangkakan pertambahan pelajar akan terus meningkat ke Unisel dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Bajet Umno-BN Pinggir Agenda Generasi Muda

SHAH ALAM 5 OKT : Pelaksanaan Bajet 2013 oleh Umno-BN akan mengakibatkan masa depan generasi muda terpinggir dan dibebani hutang negara apabila ditambah dengan Liabiliti Luar Jangka sebanyak lebih RM700 bilion.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, ia meliputi kegagalan generasi muda dalam pemilikan aset rumah kerana nisbah di antara gaji purata tahunan dan harga rumah sepatutnya mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya, ia sepatutnya berada pada kadar lima kali gaji tahunan, bagaimanapun kini ia sudah 15 kali gaji tahunan.

“Apabila sebut isu perumahan mampu milik, saya berasa hampa kerajaan tidak mengambil kira konsep Sewa Hingga Milik tanpa faedah untuk pembiayaan skim Perumahan Awam.

“Contohnya, Projek Perumahan Rakyat (PA-PPR) yang akan meneruskan prinsip menambahkan dan bukan mengurangkan pendapatan bolehguna (disposable income) memandangkan ramai penduduk di Lembah Pantai adalah dikategorikan sebagai ?self-employed?,” katanya dalam ucapannya di Parlimen.

Izzah menambah ia berbeza dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) yang lebih bersifat mampan dan struktural dengan penubuhan satu Lembaga Perumahan Negara bersertakan beberapa kaedah seperti skim separa-milik rakyat miskin, bina dan jual serta rumah sewa awam.

Selain itu, golongan muda juga akan dibebani dengan hutang pinjaman pengajian tinggi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) sedangkan kualiti pendidikan dan kelayakan untuk diambil kerja masih rendah dan tidak terjamin.

Setakat ini, 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Mereka ini akan diganggu kerana ?diperintahkan? untuk membayar hutang. Memang benar, Islam mewajibkan untuk membayar hutang.

“Namun, sebuah kerajaan yang baik akan cuba sedaya upaya untuk melunaskan hutang rakyat di bawah seliaannya dan ini yang akan PR nanti apabila kita memegang tampuk pemerintahan Negara,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009, menjelaskan tahap kewangan PTPTN akan menghadapi aliran tunai defisit RM45.89 bilion menjelang tahun 2016.

“Pengurusannya begitu teruk sehinggakan baki pengeluaran pembiayaan kasar berjumlah 24.42 bilion tidak dapat disahkan kerana wujudnya perbezaan antara lejar am dan senarai nama peminjam,” katanya.

Tambahnya, generasi Muda juga akan terpaksa berhutang membeli kereta yang harga tinggi akibat cukai berganda kerana sistem pengangkutan awam masih pincang.

“Inilah yang dimaksudkan bila saya sebut bajet ini bukan sahaja menghadapi defisit fiskal tapi juga defisit moral,” katanya.

Mengulas lanjut isu rebet telefon, Izzah berkata dengan pemberian Rebet Telefon sebanyak RM200 dilihat hanya mengkayakan kroni pimpinan mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Perkenaan Terima Dana Wakaf Untuk Bina Universiti Islam Malaysia

SHAH ALAM 7 SEPT : Sesuai dengan kedudukannya sebagai pihak yang menjaga kepetingan Islam di negara ini, Majlis Raja-raja Melayu berkenaan menubuhkan Universiti Islam Malaysia(UIM) yang bertaraf Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA).

Lebih istimewa ia dibina berteraskan dana dan harta wakaf bagi menyambung tradisi yang diperkenalkan pada tahun 1955 sebagai Kolej Islam Malaya.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menerima sumbangan wakaf daripada tujuh wakil dalam satu Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf yang diadakan di Istana Kayangan di sini pagi tadi.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Mohd Yusof Noor berkata, pemilihan Sultan Selangor untuk menerima dana adalah atas dasar menghormati jasa dan perkenan nenda baginda suatu waktu dahulu.

“Ini adalah penghormatan MUIM kepada Kerabat Diraja Selangor bagi pihak Almarhum Sultan Hisamuddin yang berkenan memakafkan tanah dan istana baginda di Kampung Jawa, Klang bagi pembinaan kampus pertama Kolej Islam Malaya pada tahun 1955,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas majlis tersebut.

Penyumbang dana wakaf terbesar ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sejumlah RM5 juta yang disampaikan wakilnya, Tun Ahmad Sarji.

Selain itu, dana wakaf juga disumbangkan Shahpadu Corporation Sdn Bhd dengan RM100, 000 diwakili Shafiz Shahrani, bekas pelajar Kolej Islam Malaya berjumlah RM30, 675 diwakili Datuk Dr Haron Din serta Waris dan Warga Petaling Jaya sebanyak RM17, 000 diwakili Rashadah Khamis.

Turut memberi sumbangan ialah Alumni Kolej Islam (ALKIS) dengan jumlah sebanyak RM11, 000 diwakili Datuk Sallehuddin Ishak, Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBSKIM) dengan RM10, 000 disampaikan wakilnya, Datuk Abdul Manaf Ahmad serta bekas Ketua Pelajar Tahun 1975 diwakili Puzi Dahman dengan jumlah RM 10, 000.

Sementara itu, Mohd Yusuf dalam kenyataannya turut memberitahu UIM akan menggunakan model pentadbiran di bawah Majlis Raja-raja Melayu sepertimana yang dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kampus yang menelan belanja sekitar RM 300 juta ini bertempat di Cyberjaya dan dijangka memulakan sesi akademik pertama pada tahun hadapan.

“Jika kampus tidak dapat disiapkan, kita sudah mempunyai rancangan untuk menyewa bangunan berhampiran tapak untuk sesi pengajian pelajar.

“Kursus pengajian yang ditawarkan bagaimanapun terhad kepada kursus di peringkat Sarjana dan PHD (Doktor Falsafah) sahaja, jadi kita jangkakan pelajar hanya sekitar 1, 000 orang, bergantung kepada permohonan kelak,” jelasnya.