Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Penstrukturan Untuk Rakyat, Langat 2 Untuk Kroni

SEPANG 4 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru Kerajaan Pusat mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat dalam isu air Selangor.

Jelasnya, jika Kerajaan Pusat terus enggan membenarkan penstrukturan semula air seperti yang dicadangkan Kerajaan Negeri, ini bermakna mereka mengutamakan kepentingan individu berbanding rakyat.

“Itu adalah pilihan Kerajaan Pusat samada membuat keputusan untuk keutamaan rakyat atau terus berkeras meneruskan Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka dan membebankan rakyat.

“Daripada keputusan itu juga, rakyat sudah tentu dapat menilai siapa yang lebih utama di mata Kerajaan Pusat,” jelasnya dalam satu sidang media selepas Majlis Pemberian Hak Milik Individu kepada penduduk Taman Murni di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat menerusi menteri kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar mendakwa Selangor akan berhadapan dengan krisis air jika projek pemindahan air Langat 2 tidak diteruskan di Selangor.

Akan tetapi Kerajaan Selangor berpendirian bahawa masalah bekalan air terawat adalah berpunca daripada kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menguruskan pembekalan dan pengagihan.

Kerajaan Negeri hanya akan meluluskan Langat 2 jika ia dapat mengambil alih operasi air terawat daripada Syabas.

Tetapi ini ditentang oleh Kerajaan Pusat yang mahukan Langat 2 walaupun ia akan menelan belanja RM 6 bilion.

Abdul Khalid juga mempelawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui kepada forum air Selangor bagi mendengar penerangan berkenaan status bekalan air.

“Saya menjemput Datuk Seri Peter Chin untuk memberi penerangan di dalam forum air yang Kerajaan Negeri anjurkan nanti.

“Kita sudah menghantar surat jemputan tapi setakat ini tiada sebarang balasan daripadanya dan itu memang itu sudah biasa berlaku,” sindir beliau.

Kerajaan Negeri akan mengadakan forum di seluruh peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula Selasa ini khusus bagi menjelaskan kepada rakyat Selangor tentang isu air.

Categories
SELANGOR

Talian Bebas Tol Bagi Atasi Masalah Air

SHAH ALAM 25 JUL : Orang ramai yang mengalami masalah gangguan air boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2824 untuk tindakan segera Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan menyediakan tangki-tangki ke kawasan-kawasan yang bertahun-tahun mengalami kekurangan air, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tangki dan talian aduan tersebut antara inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi gangguan bekalan air yang disebabkan kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengurus air terawat.

“Talian ini dahulunya disediakan untuk aduan masalah sampah awal tahun lalu dan kini kita membuka talian untuk aduan masalah air,” ujarnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Selain itu, beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri akan menghantar pasukan pemantau untuk bertemu rakyat dalam menghadapi isu air ini.

“Saya meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama dengan anggota EXCO Negeri bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air,? tambah beliau.

Dalam isu berkaitan, Abdul Khalid berkata sebarang permohonan berkaitan Projek Langat 2 harus dirujuk terus dan mendapat kelulusan hanya daripada Menteri Besar.

“Kita tidak masuk campur urusan Kerajaan Pusat jika mereka ingin meneruskan namun mereka tetap perlu berdepan kelulusan kita dalam perkara tertentu.?

Pada Julai 16, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Pusat sanggup mengeluarkan dana bagi menyiapkan projek pemindahan air Langat 2.

Kerajaan Selangor berpendirian projek RM 6 bilion menelan belanja yang terlalu tinggi dan hanya patut dilakukan selepas Kerajaan Negeri mengambilalih industri air Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Langat 2 : Saranan Menteri Pusat Akan Bebankan Pengguna Dengan Tariff Tinggi


SHAH ALAM, 14 JULAI : Membina loji dan projek pemindahan air Langat 2 sebelum kenaikan tariff  air dibincangkan mampu melonjakkan harga air sebanyak 70 peratus.

Oleh itu, perlaksanaan projek itu perlu ditangguhkan sehingga kuasa pengurusan seluruh industri air dikembalikan daripada syarikat konsensi kepada kerajaan negeri, kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Xavier menyifatkan saranan dua Menteri Kerajaan Pusat Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar agar Langat 2 disegerakan dan perbincangan tariff dilakukan kemudian, sebagai ?tidak bertanggungjawab?.

Kenyataan Peter (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Noh (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dianggap seolah-olah untuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“SYABAS adalah sebuah syarikat ‘profit making’ kerana selepas projek ini siap, SYABAS akan mengenakan tarif air yang tinggi sehingga 70 peratus kepada rakyat Selangor bagi membayar balik kos projek ini,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Di satu forum air pada Julai 12, Noh berkata beliau dan kerajaan pusat sedia untuk berbincang mengenai kenaikan tariff air sekiranya Kerajaan Selangor meluluskan projek Langat 2 dahulu.

Di laporkan sebelum ini bahawa Kerajaan Selangor mahu pengurusan industri air seperti pengedaran, operasi rawatan dan kuasa menentukan harga dikembalikan ke kerajaan negeri seperti termaktub di dalam Akta Perkhidmatan Air 2006.

Kerajaan Negeri sedang mendesak Kerajaan Pusat supaya proses tersebut berlaku sebelum Langat 2, yang akan menelan kos RM6 bilion, dilaksanakan.

“Peter Chin seharusnya menggunakan kuasanya untuk menguatkuasa akta tersebut bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini,” kata Dr Xavier  yang juga terlibat dalam menyelesaikan isu air di Selangor.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa tujuh empangan yang membekalkan air mentah di negeri ini mencukupi dan tiada keperluan bagi mengambil air daripada Pahang seperti yang akan dilakukan oleh Langat 2.

Katanya, Kerajaan Negeri terpaksa membayar royalti air kira-kira RM 60 juta setiap tahun kepada Pahang sekiranya projek ini diteruskan.

Menurutnya, Selangor memahami bahawa Kerajaan Pusat didesak oleh Japan International Cooperative Agency (JICA) iaitu pihak yang memberi pinjaman untuk projek ini.

“Kerajaan Negeri faham bahawa sebahagian dana pinjaman kos projek ini telah digunakan dan berpendapat tiada sebab ianya harus diteruskan tanpa memikirkan ianya akan membebankan rakyat Selangor,” ujarnya.

Selain itu, rakyat Selangor akan melakukan ‘referendum’ samada mahukan projek Langat Dua ini diteruskan atau tidak di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“Saya minta menteri-menteri yang ‘beriya-iya’ mendesak mahukan projek itu disegerakan agar belajar bersabar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Pakar Air : Data Yang Menyokong Langat 2 Tidak Tepat, Lemah

SHAH ALAM 14 JUN : Laporan yang digunakan untuk justifikasikan projek mega Langat 2 bagi memindah air mentah dari Pahang ke Selangor, tidak tepat and mengandungi kelemahan.

Malah laporan itu, Kajian Sumber Air Negara 2000 (NWRS2000), tidak mencerminkan tahap penggunaan air sebenar di Selangor dan didakwa cuba memperbesarkan tahap permintaan air bagi mewajarkan projek berharga RM 6 billion itu.

Menurut Dr Lee Jin dari pertubuhan Coalition for Sustainable Water Management (CSWM) statistik permintaan air di Selangor yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat ini jauh tersasar dari realiti sebenar.

“Kajian NWRS menunjukkan beberapa kelemahan seperti angka bagi permintaan air perkapita sengaja ditambah.

“Kaedah untuk menganggar permintaan alam industri air dan pertumbuhan ekonomi turut menampakkan kecacatan.

“Ia sengaja dilakukan untuk meningkatkan keraguan terhadap daya maju perancangan Negeri Selangor untuk ambil alih pengurusan air dan cubaan mewajarkan projek pemindahan Air Mentah Pahang-selangor.

“Pada tahun 2009, CWSM menjalankan analisis laporan NWRS 2000 kerana Pakatan Rakyat tidak percaya anggaran permintaan air yang digunakan untuk mewajarkan pemindahan air dari Pahang ke Selangor,” ujar Dr Lee Jin dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Forum Air Selangor baru baru ini.

Kerajaan Pusat sendang mendesak Selangor untuk meluluskan projek Langat 2 kerana ia mendakwa Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami masalah bekalan air pada masa akan datang.

Manakala Kerajaan Selangor berpendirian projek tersebut terlalu mahal dan tidak diperlukan kerana Selangor mempunyai kebolehan untuk membekalkan air dengan cukup jika industri air distruktur semula.

Malah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah berkata harga air akan melonjak sebanyak 100 peratus jika Langat 2 dibina. Manakala penstrukturan semula lebih menjimatkan dan harga air tidak akan naik lebih dari 12 peratus.

Forum yang dihadiri kira-kira 200 jemputan itu memperlihatkan sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan oleh pakar industri air dan agensi pengurusan air Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Forum itu bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan penyusunan semula industri air di selangor seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Turut hadir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Klang Charles Santiago, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Anjur Forum Khas Bincang Isu Air

SHAH ALAM, 15 MEI : Kerajaan Selangor akan menganjurkan satu forum khas dalam tempoh terdekat yang melibatkan badan profesional tempatan dan atarabangsa berhubung kaedah terbaik mengurus air di negeri ini termasuk kawasan semenanjung.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan yang turut membabitkan Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) itu bakal mengetengahkan isu-isu berkaitan operasi air termasuk jumlah dan penjagaan kualitinya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk memastikan rakyat di negeri ini terus menerima perkhidmatan air terbaik dengan harga berpatutan.

“Sepuluh tahun lalu, terdapat perbincangan untuk menghubungkan semua empangan di Semenanjung melalui Empangan Kenyir bagi penyediaan bekalan air. Pengiraan menunjukkan kos yang menghubungkan ini adalah jauh lebih murah daripada membina sebuah empangan di Pahang (Langat 2).

“Rakyat Selangor harus mendapat perkhidmatan air terbaik. Lebih cekap pengurusan air itu, lebih murah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Bukan tidak mahu bayar langsung, tetapi kos itu perlulah sesuai,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah Peringkat Negeri Selangor di Dewan Sri Bankuet Intekma Resort & Convention Center, di sini tengah hari tadi.

Dalam isu yang berkaitan, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri belum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Apa yang penting katanya, kerajaan pusat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara.

“Kita akan teruskan tindakan itu jika kita mendapati kebuntuan berhubung isu pengurusan air masih berlaku dan tidak praktikal. Tetapi apa yang penting sebenarnya, usaha kita untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan hak pengguna itu terus dijaga,” katanya.

Laman Berita The Malaysian Insider hari ini memaklumkan Selangor bakal mengambil tindakan undang-undang ke atasi Peter sekiranya beliau enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk memecahkan kebuntuan isu penswastaan aset air di negeri ini.

ends