Categories
SELANGOR

Warga emas perlu ambil peluang daftar SMUE

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Rakyat di Selangor berusia 60 tahun ke atas disarankan mendaftar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi memastikan bantuan RM2,500 dapat disalurkan kepada waris terdekat untuk mengurangkan kos pengurusan kematian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, sekiranya mereka sudah melepasi had umur tetapi tidak mendaftar, ia akan menimbulkan kesukaran menuntut wang pendahuluan RM1,000.

“Apabila meninggal dunia, waris boleh menuntut di Pusat Khidmat DUN dan RM2,500 dibayar dalam dua fasa.

“Fasa pertama waris akan menerima RM1,000 dan baki akan dibayar dalam fasa kedua,” katanya laporan Sinar Harian.

Menurutnya, bantuan tersebut dapat digunakan untuk pengurusan jenazah dan pengebumian selain menyelesaikan sebahagian hutang si mati.

SMUE merupakan antara program terkandung dalam Inisatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

Sehingga 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri sudah membayar RM201,088 juta kepada waris berdaftar.

Categories
SELANGOR

Caj parkir tinggi, keluhan pengguna dipeduli

OLEH NAEEM RAFFI

BATANG KALI, 18 JULAI: Bertindak diatas keluhan pengguna yang terkesan dengan kadar caj parkir kenderaan di Stesen KTM di sini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong turun ke lokasi.

Katanya, caj RM4 bagi kereta dan RM1 bagi motosikal sekali masuk yang dilaksanakan lebih sebulan itu bukan sahaja tinggi, malah kutipan bayaran itu tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Sehubungan itu, pihaknya sudah menulis sepucuk surat kepada Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai untuk tindakan lanjut.

“KTMB tidak memohon lesen perniagaan daripada MDHS bagi mengutip bayaran parkir. KTMB merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Pusat sepatutnya menjadi teladan kepada syarikat lain,” tulis dalam surat berkenaan.

Mengulas lanjut, Kee Hiong berkata, kawasan komersil Bandar Batang Kali yang terletak bersebelahan stesen KTM itu kini berdepan masalah parkir ekoran pengguna perkhidmatan komuter memilih lokasi itu sebagai alternatif untuk memakir kenderaan mereka.

“Kebanyakkan pengguna KTM yang tidak mampu membayar pakir terpaksa pakir di kawasan lain sejak KTMB melaksanakan kutipan itu.

“Kawasan komersil ini menjadi alternatif kepada pengguna memandangkan ia tidak menggenakan bayaran. Perkara ini menimbulkan masalah pakir kepada peniaga dan penghuni kawasan komersil tersebut,” katanya.

Kee Hiong menambah, caj parkir tidak sepatutnya dikenakan memandangkan ia merupakan kemudahan pengguna pengangkutan awam.

Ia juga merencatkan usaha menarik pengguna memilih kemudahan awam untuk berulang-alik kerja bagi menjimat masa dan kos.7932f1a7-45d5-42e4-927c-238dcde16fdd

Categories
SELANGOR

SPR didakwa tidak adil kepada penolong pendaftar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 3 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa bersikap tidak adil kepada sebahagian penolong pendaftar di Selangor apabila membekalkan borang pendaftaran pengundi tidak mencukupi.

Sikap pilih kasih itu didakwa dialami kumpulan dalam kalangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dengan pegawai SPR ‘lebih mengutamakan’ Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menuntut penjelasan diberikan SPR terhadap insiden berlaku.

“Pegawai SPR bertanya sama ada mereka dari JKKK atau JKKKP, sekali gus menimbulkan persoalan apa bezanya penolong pendaftar dari kedua-dua kumpulan ini?

“Adakah borang pendaftaran akan tiba-tiba mencukupi jika mereka dari JKKKP?

lee kee hiong“SPR harus bertindak adil kepada semua penolong pendaftar tanpa mengira latar belakang politik mereka,” katanya.

Difahamkan, perkara itu dihadapi Pengerusi JKKK Kampung Pasir Kerling, Yusoff Stak dan Pengerusi JKKK Ampang Pecah, Rihajuddin Anwarkhan @ Tajol yang mendakwa hanya dibekalkan 100 borang pendaftaran pengundi berbanding 1,000 yang diminta.

“Saya amat kesal SPR tidak menyediakan borang pendaftaran mencukupi untuk penolong pendaftar menjalankan tugas.

“Perkara sedemikian tidak harus berlaku memandangkan masih terdapat 4.4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas belum berdaftar sebagai pengundi,” kata Kee Hiong.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan ADN BN tukar alamat mengundi dipertikai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Tindakan Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional (BN), Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menukar alamat ke Batang Kali supaya beliau boleh mengundi di tempat asalnya dipersoalkan.

ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, Mat Nadzari sepatutnya membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini yang menukar alamatnya secara tiba-tiba ke Kuala Kubu Bahru.

“Mengapa beliau menukar alamat sendiri tetapi tidak membantah proses ‘belah bahagi’ yang tidak munasabah ini?

“Alamat juga tidak dinyatakan dengan jelas dan hanya Sungai Kamin, sedangkan kawasan itu adalah perumahan lama yang wujud sejak 30 tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berkata, selain Mat Nadzari, lebih 50 pengundi turut menukar alamat ke perkampungan itu.

Pada 21 Oktober 2016, peguam yang mewakili tiga pengundi di DUN Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu memfailkan semakan kehakiman di Mahkahmah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon membatalkan hasil proses ‘belah bahagi’ dilakukan SPR, pada 29 April 2016 dan disiarkan di Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 197.

lee kee hiongProses ‘belah bahagi’ dilakukan SPR menerusi Seksyen 7(2) Akta Pilihanraya 1958.

Dalam persempadanan semula diumumkan SPR pada 15 September 2016, sempadan P94 Hulu Selangor yang termasuk DUN Batang Kali dan KKB tidak terjejas.

Ini bermakna bantahan pengundi yang dipindahkan dari Batang Kali ke KKB dan sebaliknya di bawah proses ‘belah bahagi’ tidak akan didengar ketika berlakunya semakan juga pendengaran awam terhadap persempadanan semula.

Sementara itu, dalam persempadanan semula yang berlaku dalam Parlimen Hulu Selangor itu, seramai 5,590 pengundi dipindahkan ke DUN Kuala Kubu Bharu dari DUN Batang Kali, manakala wujud penukaran 56 pengundi dari DUN Kuala Kubu Bharu ke DUN Batang Kali.

Mengulas lanjut, Kee Hiong berkata, pihaknya akan membuat rayuan semakan kehakiman semula selepas ditolak SPR atas alasan teknikal.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tekanan air rendah di Rasa perlu tindakan segera

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 OGOS: Masalah tekanan air rendah di Rasa, Kuala Kubu Bharu yang berlarutan sejak sekian lama mendapat perhatian serius Ahli Dewan Negeri (ADN), Lee Kee Hiong.

Katanya, tekanan air rendah juga menjadi penyebab satu kejadian kebakaran membabitkan dua rumah di Pekan Rasa gagal diselamatkan bomba, pada 22 Ogos lalu.

Kee Hiong menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melakukan kerja penggantian paip baru dalam kadar segera ekoran yang sedia ada terlalu uzur dan mudah pecah.

lee kee hiong“Saya pernah menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah dan memohon penggantian paip penghubung sepanjang 11.39 kilometer itu kepada paip jenis HDPE (saiz 160mm), pada 16 Februari lalu.

“Surat itu sudah dipanjangkan kepada SYABAS dan sehingga kini tiada sebarang kerja penggantian dilakukan,” katanya.

Katanya, masalah tekanan air rendah bukan sahaja mengganggu rutin kehidupan penduduk, malahan menjejaskan operasi sekolah.

Beliau berkata, SJKC Rasa tidak dapat memindahkan murid ke bangunan baru sebaliknya terpaksa menggunakan blok lama yang kian uzur dan diancam anai-anai.

“Pengurusan SJKC Rasa sedang mencari penyelesaian menyambung paip penghubung sendiri bagi mendapatkan bekalan air memandangkan bangunan baru itu siap sepenuhnya lebih setahun.

“Saya berharap perkara ini diatasi segera dalam memastikan keselesaan penduduk, melancarkan semua operasi dan persediaan sekirannya berlaku kebakaran,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SPR digesa tingkat sistem, elak proses bantahan pemilih dicabuli

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menambah baik proses bantahan pendaftaran pemilih supaya medium itu tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan bagi menafikan hak rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihanraya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata tindakan tegas juga perlu diambil SPR terhadap individu yang mengemukakan bantahan itu tetapi enggan hadir Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

“SPR harus mengambil tindakan tegas terhadap pembantah yang tidak hadir supaya mereka tidak berhak membantah orang berdaftar dengan SPR pada masa akan datang.” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Kee Hiong berkata demikian sebagai mengulas tindakan Azman Jaidi sebagai pembantah yang gagal hadir ke Sesi Pendengaran Awam untuk mengemukakan bukti bantahan terhadap 19 orang yang dimasukan ke dalam daftar pemilih tambahan.

lee kee hiong” Azman sepatutnya hadir memberikan bukti kukuh kenapa membantah. Adakah beliau (Azman) membantah secara sewenang-wenangnya dengan tujuan politik bagi menafikan hak mengundi 19 orang itu?

” Saya dapati 19 orang kena bantah adalah penduduk Hulu Selangor. Jelas sekali perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang kena bantah,” katanya.

Pada masa yang sama, Kee Hiong mahu SPR mengenakan cagaran wang setiap borang bantahan dikemukakan pembantah supaya proses bantahan pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.

Katanya, hal itu akan mengurangkan kes bantahan sengaja ditimbulkan pembantah sekali gus mengekang perbuatan bantahan tanpa sebarang alasan kukuh.

“SPR harus menyemak alasan bantahan dengan teliti sebelum mengadakan Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

“Kebanyakan alasan diberikan pembantah adalah alamat orang yang dibantah diragui tetapi pembantah tidak mengemukakan bukti bagaimana beliau meragui alamat rumah itu,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN terkejut kawasan undi berpindah

OLEH LIZAWATI MADFA

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Perpindahan kawasan pengundian ternyata memberi kejutan kepada pengundi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang terlibat.

Dua penggal bergelar ADN Kuala Kubu Bharu , Lee Kee Hiong mendakwa pengundi di kawasannya kini bertambah 26 peratus.

“Bukan seorang dua, tetapi 5,600 pengundi baru di Kula Kubu Bharu.

lee kee hiong“Harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat beri penjelasan bagaimana pengundi di Batang Kali kini jadi pengundi DUN Kuala Kubu Bharu tanpa pengetahuan mereka,” kata Kee Hiong.

Terdahulu, Kee Hiong menyertai serahan memorandum Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) kepada SPR di Wisma SPR, hari ini.

Sementara itu, pengundi, Rozemey Zainudin, kesal dan terkejut namanya dipindahkan ke DUN Kuala Kubu Bharu daripada kawasan undiannya sebelum ini, Batang Kali.

“Bukan saya sahaja, malahan kawan lain juga turut dipindah tanpa pengetahuan.

“Kami bantah sekerasnya dan berharap dikembalikan ke kawasan DUN asal kami, Batang Kali,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MDHS disaran tangguh sistem letak kereta berbayar

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) disarankan menangguhkan pelaksanaan sistem letak kereta berbayar sehingga memperolehi pilihan lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong, berkata beliau kesal dengan kenyataan MDHS berhubung isu pelaksanaan parkir berbayar di pekan itu.

Katanya beliau terkejut apabila MDHS kononnya terpaksa menanggung kerugian kepada syarikat konsesi bernilai jutaan ringgit.

bukit beruntung2“Syarikat mendapat keuntungan tanpa melaksanakan perkhidmatan sekiranya sehingga tamat tempoh perjanjian MDHS masih belum melaksanakan sistem letak kereta berbayar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mempersoalkan perjanjian ditandatangani MDHS pada 1999 bagi tempoh 20 tahun itu seolah-olah berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.

“Adakah tempoh konsesi selama 20 tahun dalam perjanjian itu berkuatkuasa pada tarikh pelaksanaan dan bukannya tarikh perjanjian ditandatangani.

“Seterusnya, memandangkan MDHS tidak melaksanakan sistem letak kereta berbayar itu pada 17 tahun lepas. Adakah ini bermaksud sekiranya ia dilaksanakan pada tahun ini maka ianya hanya tamat pada 2036?,” soalnya.

Katanya, persoalan itu perlu mendapat penerangan jelas dan semua pihak berhak mengetahui perjanjian konsesi terbabit.

“Saya menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar memohon agar Kerajaan Selangor membuat pengelasan semula atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi agar perjanjian itu.

“Kita mahu dokumen perjanjian itu tidak lagi tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan perjanjian konsesi,” katanya.

Beliau berkata dengan mengkelaskan semula dokumen itu, orang ramai dapat meneliti semua aspek perjanjian konsesi itu dan memberi pandangan atau cadangan terbaik bagi mengelakkan MDHS mengalami kerugian besar.

Katanya, beliau sentiasa menyokong MDHS mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri apabila merasa keberatan menampung kos perkhidmatan pembersihan berjumlah RM146,100 sebulan iaitu RM1.68 juta setahun.

“Difahamkan lebih 2,000 penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu membantah pelaksanaan sistem letak kereta berbayar di pekan Kuala Kubu Bharu.

“MDHS perlu menjadi PBT peduli rakyat, mengambil kira pandangan ramai dan lebih mesra apabila hendak melaksanakan sesuatu dasar baru,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Isu parkir berbayar KKB dibawa dalam mesyuarat MDHS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Penangguhan pelaksanaan sistem parkir berbayar di pekan Kuala Kubu Bharu akan dibentangkan dalam mesyuarat penuh bulanan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), 25 Mac ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Lee Kee Hiong, berkata keputusan itu susulan bantahan penduduk terhadap pelaksanaan sistem berbayar yang dijangka dilaksanakan pada 1 Jun depan.

Katanya, Ahli Majlis yang terbabit bersetuju membentangkan usul penangguhan itu dengan tiga alasan rasional dan peduli rakyat.

Lee Kee Hiong a“Sebelum ini saya dimaklumkan MDHS akan melaksanakan sistem parkir berbayar dengan melantik sebuah syarikat swasta untuk mengutip bayaran.

“Saya menggesa Ahli Majlis yang bersetuju untuk mengkaji semula pelaksanaannya di pekan koboi ini.

“Dua kali berbincang dengan mereka baru keputusan dibawa semula ke mesyuarat penuh bulanan diambil kira,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berkata, tiga alasan yang akan dibentangkan itu membabitkan ekonomi pekan KKB yang belum berkembang dan belum mencapai tahap pengangkutan bandar.

Selain itu, katanya, bangunan lama yang dibina pada 1930 adalah rumah kediaman di tingkat atas dan pelaksanaan ini akan menafikan hak penduduk meletak kereta seperti kediaman di tempat lain.

“Pekan KKB dikenali sebagai pekan koboi, jadi tidak perlu dilaksanakan sistem ini bagi tujuan kawalan ketika waktu puncak parkir masih kosong,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

WiFi Smart Selangor perlu diperluas seiring permintaan tinggi

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Cadangan pemasangan 2,500 hotspot WiFi Smart Selangor menjelang Disember tahun ini di sambut baik.

Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bahru), berkata Kerajaan Selangor perlu memperluaskan kemudahan wifi percuma itu di masa hadapan.

Katanya, usaha terbabit perlu dilakukan secara berperingkat seiring negara maju seperti Singapura.

Lee Kee Hiong“Pemasangan kemudahan itu perlu dipertingkat memandangkan permintaaan wifi percuma adalah tinggi.

“Singapura sudah memasang 10,000 hotspot dan 10,000 hotspot lagi pada 2016 bagi mencapai jumlah 20,000 hotspot.

“Populasi penduduk Selangor agak sama dengan Singapura. Maka, jumlah hotspot WiFi Smart Selangor tidak boleh jauh ketinggalan dengan jumlah hotspot Wireless@SG,” katanya.

Kee Hiong berkata, Kerajaan Negeri juga perlu memilih operator berkelayakan bagi menjamin kemudahan itu sentiasa berfungsi baik demi menjaga imej Smart Selangor.

WIFI Selangorku (7)“Saya juga menyeru Kerajaan Pusat membelanjakan RM1.2 billion untuk tambah baik infrastruktur telekomunikasi pada 2016.

“Ia membabitkan semua kawasan di Selangor supaya kelajuan WiFi Smart Selangor boleh mencapai 30 Mbps,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Wujud dasar bantu bekas pekerja ladang miliki rumah

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri diharap mewujudkan dasar membantu bekas pekerja ladang tidak berkemampuan memiliki kediaman.

Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bahru), berkata saranan itu bersandarkan kepada nasib 84 bekas pekerja ladang di Kuala Kubu Bahru dan Permatang yang kehilangan tempat berteduh apabila pemilik ladang baru tidak membenarkan mereka terus menghuni rumah pekerja.

Lee Kee Hiong“Antara pekerja ladang itu dari Ladang Bukit Tagar, Ladang Minyak dan Ladang Sungai Tinggi. Bekas pekerja ladang amat risau kerana mereka tidak mempunyai rumah di luar ladang.

“Usia mereka melebihi 55 tahun selepas bekerja di ladang berpuluh-puluh tahun,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2016.

Belanjawan Selangor 2016 mengariskan sejumlah RM1.5 juta untuk kebajikan pekerja dan bekas pekerja ladang bagi mencorak kehidupan masa hadapan mereka.

“RM1 juta daripada jumlah peruntukan itu digunakan untuk meneruskan Program bantuan Rumah Kerajaan Prihatin,” kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 pada 30 Oktober lalu.

-nR-

Categories
SELANGOR

Orang ramai dinasihat berhati-hati beriadah di Sungai Chiling

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA KUBU BAHRU, 19 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang dibenarkan untuk ke air terjun kawasan Sungai Chiling bagi mengelakkan insiden terperangkap berulang.

Adunnya, Lee Kee Hiong berkata hal itu kerana sekiranya tidak diendah, pengunjung terdedah dengan lonjakan air deras serta hidupan liar pada sebelah malam.

“Pengunjung yang berada di kawasan itu perlu keluar sebelum jam 5 petang jika tidak mereka tersangkut di lintasan kerana air deras menyebabkan mereka tidak dapat keluar.

Sungai Chiling“Oleh kerana itu, kawasan itu hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Kawasan itu juga merbahaya pada waktu malam kerana ia merupakan kawasan hidupan habitat liar,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, sekurang-kurangnya 12 lelaki dan dua wanita terperangkap dalam insiden lonjakan air ketika berada di kawasan Sungai Chiling itu.

Mereka dikatakan melakukan aktiviti mendaki bukit di lokasi itu ketika kejadian berlaku dan berjaya dikeluarkan pada jam 4 pagi tadi dengan menggunakan laluan alternatif ke lokasi mangsa.

Mengulas insiden itu, Kee Hiong berkata keadaan cuaca tidak menentu juga merupakan faktor kepala air berlaku.

Sungai Chiling“Kawasan terbabit juga tidak mudah untuk dimasuki pihak Bomba bagi kerja pencarian, oleh itu pengunjung perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap sistem pengukuran jarak jauh (telemetri) yang mahu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengesan kehadiran air deras dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Ia penting untuk orang ramai yang berada di bawah menyedari kehadiran kepala air seterusnya memberi amaran supaya pengunjung meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Tahun lalu, seramai 80 pengunjung Santuari Kelah Sungai Chiling cemas apabila terperangkap lebih empat jam susulan arus air sungai menjadi deras secara mendadak.

Mereka mulanya dikatakan menyeberangi sungai itu ke kawasan di seberang sungai namun gagal berpatah balik apabila paras sungai menjadi semakin dalam dan deras.

EZY