Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: Satu mata kembali lonjak Liverpool di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 FEB: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas terikat tanpa jaringan 0-0 berdepan Manchester United di Old Trafford, semalam.

Babak pertama menyaksikan empat pertukaran pemain dilakukan dengan tiga daripadanya milik United selepas Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard mengalami kecederaan otot sementara Roberto Firmino dikeluarkan Liverpool selepas cedera buku lali.

Liverpool terlebih dahulu berpeluang di hadapan selepas dihadiahkan sepakan percuma seawal minit pertama susulan tindakan penjaga gol United, David De Gea tertampan tolakan ke belakang rakan sepasukan, Ashley Young dalam kotak penalti.

James Milner gagal melakukan penyudah tepat dan perkara sama turut dilalui Mohamed Salah apabila sepakan percumanya tidak menepati sasaran pada pertengahan babak pertama.

Peluang terbaik United membuka jaringan adalah pada minit ke-40 menerusi Jesse Lingard yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak lebih cepat menyekat bola.

Bersambung babak kedua, tidak banyak gerakan bahaya dilakukan kedua-dua pasukan walaupun Liverpool lebih menguasai kawalan bola.

United mempunyai peluang terbaik pada penghujung permainan tetapi Chris Smalling gagal melakukan sebarang sentuhan terhadap hahtaran Romelu Lukaku sekali gus perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Kelebihan satu mata itu menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp mengatasi Manchester City di tangga kedua dengan mengutip 66 mata selepas 27 perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Premier League

Categories
SUKANKINI

Liverpool ikat Leicester, kekal di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 31 JAN: Liverpool melebarkan jurang di puncak liga dengan kelebihan lima mata di hadapan Manchester City selepas mencatatkan keputusan seri 1-1, berdepan Leicester City awal pagi tadi.

Sadio Mane meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga selepas berjaya melakukan rembatan rendah menewaskan penjaga gol lawan, Kesper Schmeichel.

Liverpool yang menguasai permainan cuba mengasak bagi menambah jaringan menerusi Roberto Firmino dan Mohamed Salah tetapi gagal menemui sentuhan.

Sebaliknya, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada penghujung babak pertama menerusi tampanan Harry Maguire yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool.

Bersambung babak kedua, Leicester hampir menggandakan jaringan pada minit ke-52 menerusi situasi kelam kabut di hadapan gawang Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak cemerlang menampan bola di atas garisan gol.

Tiada tambahan jaringan sehingga tamat perlawanan dan Liverpool kini mengumpul 61 mata selepas 24 perlawanan.

Kredit Foto: Premier League

 

 

Categories
SUKANKINI

Liverpool terus kebal atau Man City jadi pemusnah?

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 JAN: Awal pagi esok bakal menyaksikan pertembungan penting dua kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Liverpool di Stadium Eitihad yang pastinya dinantikan semua peminat bola sepak Eropah.

Perlawanan itu penting kerana Liverpool selaku pendahulu liga masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan musim ini mengumpul 54 mata selepas 20 perlawanan sementara Manchester City ketinggalan tujuh mata di tangga ketiga dengan 47 mata.

Dua kemenangan pada ‘Boxing Day’ buat The Reds berjaya melebarkan jurang mata mereka di tangga teratas sementara kekalahan 1-2 kepada Leicister City merubah nasib The Citizen.

Kelebihan dilihat memihak kepada pasukan kendalian Jurgen Klopp susulan kejayaan mencatatkan tiga daripada empat kemenangan ke atas skuad Pep Guardiola pada saingan musim lalu dengan salah satu daripadanya dilakar di Stadium Eitihad pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Klopp dalam kenyataannya mengakui pasukkanya bakal berdepan laluan sukar di gelanggang lawan tetapi mereka akan sedaya upaya pulang membawa mata berharga selepas berada pada landasan tepat bagi mengakhiri kemarau kejuaraan liga hampir 30 tahun.

Bagi Guardiola, hanya kemenangan bakal mengembalikan keyakinan mereka meneruskan saingan mempertahankan kejuaraan liga dimenangi musim lalu selain mengenepikan saingan sengit pasukan di tangga kedua, Tottenham Hotspurs yang berkelebihan satu mata.

Barisan pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil Van Dijk dilihat kebal apabila hanya bolos lapan kali berbanding 16 kali dihadapi Manchester City walaupun menjadi pasukan yang menjaringkan gol terbanyak setakat ini dengan 54 gol.

Liverpool pastinya mahu mengelak aib tewas 5-0 awal musim lalu kepada City dan lebih parah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Sadio Mane dibuang padang apabila mengasari penjaga gol, Ederson.

Tetapi kekalahan itu berjaya ditebus dengan kemenangan 4-3 di Anfield sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan liga.

Dalam pusingan pertama saingan liga musim ini, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam aksi di Anfield walaupun Manchetser City berpeluang membawa pulang tiga mata penuh selepas Riyad Mahrez gagal menyempurnakan sepakan penalti di penghujung perlawanan.

Categories
SUKANKINI

Liverpool lakar rekod baharu catat enam kemenangan berturut

LIVERPOOL 23 SEPT: Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan musim ini dengan cukup sempurna apabila membantu Liverpool melakar rekod enam kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas selepas membenam Southampton 3-0 di Anfield.

Gol sendiri Wesley Hoedt pada minit ke-10, diikuti jaringan Joel Matip (minit ke-21) dan Salah, tiga minit memasuki waktu kecederaan babak pertama membolehkan Reds mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan musim ini (termasuk satu aksi Liga Juara-Juara).

Reds juga muncul kelab keempat berjaya memulakan kempen Liga Perdana dengan enam kemenangan berturut-turut, menyamai rekod Newcastle United (1994), Manchester City (2016) dan Chelsea pada 2005 serta 2009.

Kemenangan itu mengembalikan skuad bimbingan Jurgen Klopp di tangga teratas liga, namun kedudukan mereka mampu dipintas seandainya Chelsea menumpaskan West Ham menerusi jaringan besar, esok.

Ini adalah kali pertama sejak 1990/1991, Liverpool berjaya memulakan kempen musim baharu dengan tujuh kemenangan berturut-turut.

SUMBER: AGENSI

Categories
SUKANKINI

EPL: Mo Salah kekalkan momentum kemenangan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 26 OGOS: Jaringan tunggal Mohamed Salah sudah cukup untuk melonjakkan Liverpool ke takhta Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Brighton & Hove Albanion 1-0 awal pagi tadi.

Liverpool menguasai permainan dilihat bergelut untuk merobek gawang lawan dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield.

Roberto Firmino nyaris membuka jaringan buat The Reds pada minit kelapan tetapi tampanannya berjaya dihalang penjaga gol, Mathew Ryan.

Trent Alexander-Arnold turut menguji gawang Brighton sembilan minit kemudian menerusi sepakan percuma yang sekadar menggegar palang gol.

Jaringan yang dicari Liverpool akhirnya menjelma pada minit ke-22 menerusi rembatan terus Salah yang berjaya melepasi kawalan pertahanan selepas menerima tolakkan Firmino bagi kedudukan 1-0.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan serangan untuk mencari gol kedua tetapi disiplin bertahan tinggi dipamerkan pemain Brighton.

Brighton juga berpeluang untuk meledak jaringan di minit akhir permainan menerusi tandukan Glenn Murray tetapi Alisson Becker bertindak lebih pantas menampan bola keluar.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Jurgen Klopp tanpa melepaskan sebarang gol setakat ini.

Kredit Foto: Facebook Liverpool FC

Categories
SUKANKINI

Gareth Bale pastikan kejuaraan UCL ke-13 buat Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

KYIV, 27 MEI: Gareth Bale muncul wira Real Madrid apabila berjaya meledak dua gol bagi membantu pasukannya menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine awal pagi tadi.

Tampil sebagai pemain gantian menggantikan Isco pada minit ke-61, perubahan tektikal permainan dilakukan Zinedine Zidane berjaya memerangkap skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Aksi babak pertama menyaksikan Liverpool mengasak ke gawang Real Madrid sejurus sepak mula tetapi benteng pertahanan diketuai Serigo Ramos berjaya menyerap asakan.

Peluang terbaik Real Madrid untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi percubaan Cristiano Ronaldo melewati gawang gol.

Selang lapan minit kemudian, giliran Liverpool mencipta peluang menerusi rembatan Trent Alexander-Arnold tetapi Kaylor Navas lebih bersedia menafikan percubaan itu.

Malang buat The Reds selepas setengah jam permainan apabila kehilangan penyerang, Mohamed Salah apabila beliau mengalami kecederaan bahu kiri selepas dikasari Ramos lima minit sebelum itu.

Salah terpaksa dikeluarkan bagi mengelakkan keadaan lebih buruk memandangkan beliau bakal beraksi bersama Mesir dalam Piala Dunia Rusia bulan hadapan dan digantikan dengan Adam Lallana.

Nasib sama turut menimpa Real Madrid apabila kehilangan pertahanan sebelah kanan Dani Carvahal yang mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-35 lalu digantikan dengan Nacho.

Kecederaan itu dilihat meranapkan impian beliau untuk terbang ke Rusia bersama pasukan Spain bulan hadapan.

Real Madrid sepatutnya mendahului perlawanan hasil haringan Karim Benzema pada minit ke-42 tetapi dibatalkan kerana offside.

Ronaldo berjaya melepaskan tandukan kencang hantaran Isco dan berjaya ditepis penjaga gol, Loris Karius tetapi cubaan susulan daripada Benzema tidak membawa makna apabila jaringan itu dibatalkan penjaga garisan.

Masuk masa tambahan babak pertama, Nacho dan Benzema melakukan percubaan ke gawang Liverpool tetapi gagal mencipta jaringan bagi kedudukan 0-0 pada babak pertama.

Akhirnya pada minit ke-50 Real Madrid berjaya dihadapan hasil jaringan Karim Benzema.

Berpunca kesilapan Karius yang tergopoh-gapah mahu membaling bola, Benzema yang menghulurkan kaki berjaya menampannya dan terus ke gawang Liverpool bagi kedudukan 1-0z

Kegembiraan Real Madrid tidak bertahan lama apabila empat minit kemudian Sadio Mane menjadikan kedudukan 1-1 buat Liverpool selepas menampan tandukan Dejan Lovren hasil sepakan penjuru James Milner.

Gareth Bale kembali meletakkan Real Madrid 2-1 dihadapan menerusi sepakan gunting kaki kiri yang berjaya menyambut hantaran Marcelo dan terus menerjah gawang Liverpool pada minit ke-64.

Mane hampir mengubah kedudukan pada minit ke-69 namun rembatan kaki kiri beliau singgah ke pintu gol Real Madrid.

Benzema hampir menambah derita Liverpool pada minit ke-81 menerusi satu tampanan deras yang berjaya ditepis Karius.

Karius terus menjadi duri dalam daging Liverpool apabila melepaskan gol ketiga buat Real Madrid hasil percubaan jarak jauh Bale pada minit ke-83 selepas gagal mengawal kemas dan terus menerjah gawang sendiri.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Real berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu dan keempat dalam tempoh lima tahun.

Sementara bagi Liverpool, ini merupakan kekalahan final kali ketiga di bawah kendalian Klopp selepas kali terakhir menjulang trofi UCL pada 2005.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Salah cemerlang bantu Liverpool atasi Roma 5-2

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 APR: Mohamed Salah terus mempamerkan kecemerlangan apabila membantu Liverpool menewaskan kelab lamanya, Roma 5-2 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield, awal pagi tadi.

Baru sahaja dinobatkan selaku Pemain Terbaik PFA, Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan 1-0 seawal minit ke-36 apabila berjaya melakukan rembatan tepat menewaskan penjaga gol, Alisson Becker.

Salah menggandakan jaringan buat The Reds pada penghujung babak pertama apabila menyudahkan lorongan Roberto Firmino sebelum menewaskan Alisson sekali lagi bagi kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menjadikan kedudukan 3-0 selepas mudah menampan hantaran Mohamed Salah pada minit ke-56.

Masuk minit ke-61, giliran Mohamed Salah membantu Firmino menjadikan kedudukan 4-0 apabila hantarannya mudah disambut penyerang dari Brazil itu.

Kedudukan Liverpool menjadi lebih selesa pada minit ke-69 apabila mendahului 5-0 menerusi Firmino yang menjaringkan gol keduanya selepas menanduk sepakan penjuru James Milner.

Edin Dzeko merapatkan kedudukan 5-1 buat Roma di minit ke-81!apabila berjaya mengawal hantaran Radja Nainggolan sebelum mudah menewaskan Loris Karius di gawang Liverpool.

Kedudukan menjadi 5-2 buat Roma pada minit ke-85 selepas Diego Perotti mudah menyempurnakan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir kedua di Itali, 3 Mei hadapan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Mohamed Salah dinobat Pemain Terbaik PFA

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 23 APR: Pemain Liverpool, Mohamed Salah memenangi Anugerah Pemain Terbaik PFA selepas mempamerkan aksi cemerlang musim ini bersama The Reds.

Penyerang kelahiran Mesir berusia 25 tahun itu kini sudah meledak 31 goal dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak berhijrah dari Roma, Jun lalu.

Beliau mengenepikan cabaran pemain tengah Manchester City dan Belgium, Kevin De Bruyne di tangga kedua dan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.

“Ia satu penghormatan untuk memenanginya terutama diundi oleh pemain lain. Saya bangga dan gembira dengan musim istimewa.

“Saya tidak mendapat peluang di Chelsea. Tetapi saya kembali (ke Liga Perdana Inggeris) untuk mempamerkan cara bola sepak saya. Saya bangga dan gembira,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan rakan sepasukan atas bantuan diberikan selepas meledak 41 jaringan dalam semua kejohanan bersama Liverpool.

Dengam baki tiga lagi perlawanan liga dan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Mo Salah berpeluang mengatasi rekod jaringan Alan Shearer, Cirstiano Ronaldo dan bekas pemain Liverpool, Luis Suarez.

Kredit Foto: Skysports.com

Categories
SUKANKINI

Liverpool lancar ‘Home kit’ 2018/19

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 19 APR: Liverpool menjadi kelab Liga Perdana Inggeris pertama melancarkan jersi bagi musim 2018/2019 dengan warna merah kekal menjadi pilihan ‘Home Kit’.

Perkara itu diumumkan menerusi laman rasmi Liverpool.com sekitar jam 4.00 petang (waktu Malaysia), hari ini .

Jersi keluaran New Balance dengan tema ‘This Means More’ itu dijual pada harga £50.00 (RM276) untuk lengan pendek dan £60.00 (RM331) bagi lengan panjang.

Warna merah ‘Home Kit’ itu dipadankan dengan warna kuning untuk penjaga gol dan dijual pada harga sama manakala tempahan boleh dibuat menerusi store.liverpoolfc.com/kit/home-kit.

Pembelian menerusi tempahan awal turut berpeluang mendapat kad hadiah ‘Home Kit’ bernilai £10 secara percuma.

Difahamkan, The Reds mungkin akan mula menggunakan jersi ini sekiranya mereka layak beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Kredit Foto: Liverpool FC

Categories
SUKANKINI

UCL: Liverpool-Man City siapa lebih hebat?

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 APR: Pertemua dua kelab dari England, Liverpool dan Manchester City dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok pastinya menjadi tumpuan ramai.

Jugen Klopp dan Pep Guardiola pastinya mencongak strategi membawa kelebihan ke perlawanan timbal balik memandangkan kedua pasukan berjaya melakar kemenangan dalam pertembungan liga musim ini.

Manchester City terlebih dahulu membelasah Liverpool 5-0 di Eithad pada pusingan pertama sebelum The Reds mencalarkan rekod tanpa kalah The Citizen di Anfiled dengan kemenangan 4-3.

Berdasarkan rekod pertemuan dua jurulatih itu, kelebihan memihak kepada Guardiola yang menang enam daripada 12 pertemuan berbanding lima kemenangan buat Klopp.

Dari segi pasukan, Liverpool pastinya bermegah dengan lima kejuaraan eropah selain mempunyai rekod gemilang khususnya kebangkitan luar jangka dalam perlawanan UCL berbanding City yang mahu melangkah ke perlawanan akhir selepas berbelanja besar beberapa tahun kebelakangan ini.

Kedua pasukan turun dengan jentera serangan mantap dengan Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah mewakili Liverpool sementara Kevin De Bruyne, Leroy Sane dan Gabriel Jesus di pihak City bersedia merobek pertahanan lawan.

Malang buat kedua pasukan apabila kehilangan tonggak utama dengan Liverpool bakal melupakan khidmat pertahanan, Joel Matip sehingga penghujung musim ini sementara Sergio Arguero tidak berada dalam senarai kunjungan ke Anfield.

Ramalan: Liverpool 3-1 Manchester City

Categories
SUKANKINI

Mohamed Salah pastikan kebangkitan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 1 APR: Jaringan Mohamed Salah pada penghujung permainan menyelamatkan peluang Liverpool untuk mengejar kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris apabila membantu pasukannya menewaskan Crystal Palace, 1-2 semalam.

The Reds tampil dengan kesebelasan terbaik, bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal tuan rumah menerusi sepakan penalti Luka Milivojevic, pada minit ke-13.

Penjaga gol Liverpool, Loris Karius sebelum itu mengasari Wilfred Zaha dan pengadil Neil Swarbrick tidak teragak-agak memghadiahkan penalti kepada Palace.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menyamakan kedudukan 1-1 buat Liverpool apabila mudah menampan hantaran ke tengah James Milner, pada minit ke-49.

Palace berpeluang kembali di hadapan menerusi dua peluang keemasan Christian Benteke tetapi gagal disempurnakan kepada jaringan.

Sebaliknya, Salah memanfaatkan peluang di hadapan kotak penalti apabila tenang merembat ke gawang Palace bagi memastikan The Reds mendahului 1-2, pada minit ke-84 bagi gol peribadi ke-29 dalam saingan liga musim ini.

Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad bimbingan Jurgen Klopp mengumpul 66 mata selepas 32 perlawanan.

Categories
SUKANKINI

FAM-Liverpool FC bincang jalin kerjasama pembangunan bola

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 MAC: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liverpool FC mengadakan perbincangan dalam usaha jalinan kerjasama bagi pembangunan bola sepak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata perbincangan antara kedua pihak menyentuh pelbagai aspek seperti akar umbi, penghantaran pemain, pentadbiran dan sebagainya.

“Hasil perbincangan ini akan dibawa Tatt Tam dan Kelvin Leung kepada pengurusan induk kelab dari England itu sebelum mereka akan kembali ke Wisma FAM bagi membentangkan bentuk kerjasama akan dijalinkan nanti,” katanya dalam kenyataan FAM.

Hamidin menerima kunjungan hormat dan mengadakan perbincangan itu bersama Ketua Jualan Perkongsian Asia Liverpool FC, Tatt Tam dan Pengurus Pembangunan Perkongsian Liverpool FC, Kelvin Leung ke Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam dan Pengarah Urusannya, San Boon Wah.

=EZY=