Categories
NASIONAL

Kedah Akan Terus Dikuasai PAS

SHAH ALAM, 24 MEI : PAS yakin akan kekal mentadbir Kedah selepas Pilihanraya Umum ke-13 walau apa pun calon ternama yang akan diletakkan oleh Umno-BN seperti Timbalan Menteri Perdaganan dan Industri Antarabangsa Datuk Mukhriz Mahathir.

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata Pas tidak gentar dengan spekulasi yang Umno-BN akan mencalonkan Mukhriz sebagai calon Menteri Besar di Kedah bagi meraih populariti daripada keluarga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Tidak kisahlah Umno-BN hendak meletakkan sesiapa sahaja calon mereka tetapi akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan melalui pilihanraya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Kedah semakin baik ditadbir menerusi pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan menafikan yang negeri itu lemah di bawah Pakatan Rakyat.

Sebelum in, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur meramalkan Kedah akan jatuh ke tangan Umno-BN berikutan krisis Exco Kerajaan Kedah yang dipimpin Pas.

Ramalan itu juga berdasarkan ura-ura yang Pas berbalah dengan pemimpin DAP Kedah tentang agihan kerusi DUN.

Terbaru, sebuah akhbar pro-Umno-BN memaparkan artikel bahawa Mukhriz, yang juga Timbalan Perhubungan Umno-BN Kedah, mungkin akan di calonkan sebagai Menteri Besar.

Mahfuz berkata, ramalan Tengku Adnan mengenai kekalahan PAS Kedah dalam PRU-13 akan datang adalah retorik semata-mata.

“Dia tidak tahu perkembangan semasa Kedah selain hanya bergantung kepada isu-isu lama yang dimainkan semula kerana ketandusan isu,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata, persefahaman diantara rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat baik dan soal perebutan kerusi tidak timbul kerana persetujuan sudah dibuat dan Umno-BN sengaja mempopularkan perkara ini.

Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu ketika dihubungi berkata rakyat lebih mementingkan kredibiti seorang pemimpin berbanding populariti individu semata-mata.

Beliau menafikan bahawa populariti PAS Kedah semakin merosot sambil menyatakan Umno-BN bebas meletakkan sesiapa sahaja calon mereka.

 

Categories
NASIONAL

Nasaruddin: Kaitkan Kes Hina Raja – Umno/BN Tandus Isu

SHAH ALAM 16 APR : Dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sengaja digembar-gemburkan untuk mengaburi mata rakyat daripada pendedahan demi pendedahan kecacatan Umno/BN selain turut bertindak sebagai senjata perkauman menjelang Pilihanraya Umum akan datang ini.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi menjelaskan mainan politik murahan sebegini sememangnya sudah dijangka memandangkan Umno/BN ketandusan idea untuk mencari kelemahan Pakatan Rakyat.

“Inilah alternatif terdesak mereka bagi mengalih pandangan rakyat daripada segala penyelewengan dan kepincangan kerajaan pimpinan mereka ketika ini.

“Isu yang cuba dibangkitkan ini juga adalah antara isu mudah untuk menarik perhatian rakyat kerana ini isu sensitif berkaitan institusi Kesultanan dan Raja-raja Melayu.

“Namun, dakwaan yang dibuat itu tidak disertakan dengan bukti walhal menjadi prinsipnya sesuatu tuduhan itu mestilah dinyatakan dengan bukti dan sokongan, bukan sekadar kata-kata seperti budak-budak sekolah yang tidak matang,” ulas Nasrudin ketika dihubungi melalui panggilan telefon petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasrudin berkata, Umno/BN sendiri dalam catatan sejarah telah berulang kali melakukan kebiadapan terhadap Institusi di Raja.

“Contoh paling jelas ialah sewaktu pemerintahan Tun Dr. Mahathir sehingga golongan Raja-raja pada ketika itu begitu terpukul dan malu dengan tindakan beliau sewenang-wenangnya menidakkan bidang kuasa Sultan.

“Begitu juga keadaan yang berlaku di Kelantan suatu ketika dahulu mengenai krisis pertabalan Sultan selain ucapan provokasi mereka terhadap Sultan. Ini semua kebiadapan yang jelas oleh Umno/BN,” sambung Nasrudin.

Beliau turut yakin Pakatan tiada masalah mengenai cadangan untuk diadakan Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang dilemparkan Umno/BN asalkan ianya dilakukan secara telus dan adil.

“Jika benar ingin disiasat, harap ia dijalankan dengan saluran yang betul dan tiada motif politik menjatuhkan atau menganiaya pihak lain.

“Bagaimanapun, saya yakin pimpinan Pakatan tidak melakukan perkara seperti didakwa kerana sejak awal kami meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap Raja-raja berasaskan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara,” akhiri Nasrudin.

Categories
NASIONAL

Budaya Rasuah Punca Najib Takut Isytihar Harta Kabinet

SHAH ALAM, 1 MAC: Budaya mengumpulkan harta melalui rasuah, kronisme dan salahguna kuasa menjadi punca utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang untuk melaksanakan pengisytiharan harta anggota pentadbiran pusat khususnya Menteri-Menteri Kabinet kepada awam.

Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri 2, Pulau Pinang, Prof Dr P.Ramasamy ketika dihubungi TVS sebentar tadi.

“Mengapa BN masih tak isytihar harta dari dulu lagi sedangkan kerajaan Pulau Pinang yang ada sekarang baru empat tahun tadbir negeri ini dah melaksanakan pengisytiharan harta Ketua Menteri, timbalannya dan exco-exco lain.

“Mungkin ada banyak benda yang mahu dirahsiakan oleh PM hinggakan bimbang untuk mengisytiharkan harta dan pendapatan dia dan menteri-menteri kabinet lain kepada awam?

“Bila harta-harta menteri kabinet didedahkan sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat umum apabila ada menteri yang didapati memiliki harta dan pendapatan yang melampau.

“Tentu sumber kekayaan itu dipersoalkan rakyat, adakah datangnya dari sumber rasuah, kronisme atau salahguna kuasa,” beritahu beliau.

Bagaimanapun menurut Ramasamy, langkah mengisytiharkan harta yang disebut oleh Najib baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita minta PM berikan maklumat harta serta pendapatan dengan dimulakan oleh menteri-menteri kabinet termasuk beliau dan lepas itu diikuti oleh semua ahli-ahli parlimen.

“Ia memang tak mustahil untuk dilaksanakan, tetapi soalnya samada PM mahu laksanakan atau tidak dan jangan cuma cakap sahaja.

“Kuasa ada di tangan PM, jadi terserah pada dia samada betul-betul nak laksanakan atau tak,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa pada masa ini menteri-menteri kabinet hanya diarahkan membuat pengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri dan tidak kepada umum.

Pada masa ini dokumen pengisytiharan harta menteri-menteri berada di dalam simpanan Najib di Pejabat Perdana Memteri itu.

Arahan tersebut pertama kali dilaksanakan ketika era mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui pentadbiran negara ini.

Mengulas isu yang sama, Ramasamy tidak menolak kemungkinan isu pengistiharan harta tersebut boleh dijadikan sebagi ugutan terhadap mana-mana anggota kabinet tidak sehaluan dengan Perdana Menteri sebagimana dilakukan ketika era Dr Mahathir.

“Boleh jadi juga, sebab bila rahsia seseorang ada di tangan kita, ia boleh dijadikan senjata supaya orang ikut cakap kita,” ujar Ramasamy lagi.

Dalam perkembangan yang sama baru-baru ini Menteri DiJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan reaksi bahawa tindakan pengistiharan harta tersebut boleh memberi risiko keselamatan kepada jamaah menteri.

Reaksi yang sama juga diberikan oleh Dr Mathathir.

Categories
NASIONAL

PM Perlu Perjelas Projek Kepada Kroni

SHAH ALAM, 21 FEB: Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pemberian projek melibatkan pemberian konsesi RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kepada Keluarga Bekas Ketua Hakim Negara dan Penasihat Undang-Undang UMNO.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan medianya berkata pemberian konsesi tersebut melibatkan Penasihat Undang-Undang Umno Datuk Hafarizam Harun yang pernah mewakili Datuk Seri Zamry Kadir ketika kemelut krisis perundangan di Perak pada 2009.

Harafizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Sementara isteri Tun Zaki Azmi pula merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya .

Pemberian konsasi kepada dua syarikat milik Harafizam tersebut didakwa sebagai ‘habuan’ ekoran kejayaan BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang dilantik secara mengejud bagi memudahkan Perak dikembalikan kepada BN.

Menurut Nurul Izzah kontroversi penganugerahan konsesi tersebut dan Perdana Menteri mestilah respon segera berkenaan isu-isu berikut;ini:

1. Pendirian PM berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009:

“Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.”

Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini.

2. Mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail. Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?

3. Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi?

4. Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?

Menurut Nurul Izzah, agihan projek kepada kroni ini Program Transformasi Kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang rakyat untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dengan memastikan ketelusan di dalam pemberian kontrak merupakan janji kosong.

MP Lembah Pantai itu menggesa jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak ‘bail-out’ dan penswastaan semula sebagaimana berlaku ketika Era Dr Mahathir.

Sementara itu Di dalam smsnya kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

Menjawab kenyataan tersebut Nurul Izzah berkata rekod buruk kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini jelas tidak berubah.

Katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.

Categories
NASIONAL

Hubungan Dagang Malaysia-Israel Guna 4 Pelabuhan Israel

SHAH ALAM, 20 FEB: Malaysia dan Israel menjalin hubungan dagang menerusi empat pelabuhan di negara zionis tersebut melalui Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas, Johor.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Baharin atau lebih dikenali dengan Chegu Bad berkata menerusi carian laman web www.linescape.com pihaknya telah menemukan beberapa transaksi.

Menurut Chegu Bad hubungan dagang tersebut didakwa melibatkan syarikat perkapalan ZIM (yang punya kepentingan Israel) dengan menggunakan pelabuhan Haifa (Israel) terus ke Pelabuhan Klang.

“Terdapat juga laluan perdagangan lain antara Israel-Malaysia termasuklah melibatkan beberapa pelabuhan utama kedua-dua buah negara yang kononnya tidak mempunyai hubungan diplomatik.

“Antaranya ialah Haifa(Israel)-Pelabuhan Klang, Ashdod(Israel)-Pelabuhan Klang dan Ashdod(Israel)-Tanjung Pelepas dan Ashdod(Israel)- WestPort Klang.” kata beliau.

Menurut beliau sikap hipokrit kerajaan Malaysia membuktikan helah politik untuk menipu rakyat negara ini sedangkan hakikatnya Malaysia- Israel merupakan rakan dagang yang baik.

“Dr. Mahathir minggu lepas konon mengatakan betapa data permedagangan Israel – Malaysia dibekalkan oleh Israel kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sebuah tuduhan terdesak serta memperkukuhkan lagi amalan fitnah yang diamalkan Mahathir selama ini.

“Sedangkan data kemasukan perdagangan Israel melalui kapal ZIM ini hanya memerlukan carian di ruang awam maka terdedahlah hipokrasi regim Umno.” jelas beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Sehubungan itu SAMM meminta rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang prihatin dengan nasib Palestin menuntut jawapan dari kerajaan mengenai pendedahan terbaru tersebut.

Pada 8 Febuari 2012 lalu, SAMM telah membuat pendedahan awal mengenai wujudnya dagangan Sawit terus oleh syarikat tempatan dan penghantaran secara terus dilakukan dari Johor ke Israel.

Namun tiada jawapan rasmi dari kerajaan. Pada hari yang sama SAMM telah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa serta salinan ke Perdana Menteri dan pihak media untuk memberikan respon mengenai perkara ini.

Sementara dalam ‘Index Mundi’ dan IMF menunjukkan bagaimana penjualan minyak sawit Malaysia dalam matawang New Israeli Syeqel dan harga minyak sawit Malaysia telah di senaraikan dalam futures trading (harga masa depan) sehingga Januari 2012.

Melalui index tersebut mencatatkan Syarikat Sime Darby dari Malaysia terlibat dalam urusan penjualan minyak sawit tersebut.

Sime Darby adalah syarikat milik kerajaan (GLC) hasil penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby yang menimbulkan kontroversi pada awal tahun 2000 lalu.