Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir beberapa negeri cecah 47,038 orang petang ini

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di beberapa negeri mencecah seramai 47,038 orang petang ini .

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di 290 pusat pemindahan meningkat sedikit kepada 27,090 orang setakat pukul 2 petang ini berbanding 27,073 mangsa pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Temerloh merekodkan mangsa banjir tertinggi iaitu 10,882 orang diikuti Maran (3,515), Lipis (2,528), Jerantut (2,065), Raub (1,998), Kuantan (1,957), Pekan (1,880), Bera (1,264) dan Rompin (1,001).

Portal berkenaan turut memaklumkan paras air Sungai Pahang di Bera, Jerantut, Maran, Pekan dan Temerloh, melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam laman Twitternya memaklumkan penutupan laluan di KM84.6 Karak-Temerloh menghala Timur, selain KM113 dan KM115 (Temerloh-Lanchang) masih belum dibuka sejak Selasa lalu. Turut ditutup, laluan di KM126 Chenor-Temerloh bagi kedua-dua arah.

Penduduk yang terjejas banjir menggunakan sampan untuk ke jalan utama bagi membeli barangan keperluan harian sebelum pulang ke rumah ketika tinjauan di Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu pada 8 Januari 2021. Foto BERNAMA

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 13,092 orang di 50 pusat pemindahan setakat 3 petang ini berbanding 12,899 orang pada 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,211 orang diikuti Dungun (1,745) dan Hulu Terengganu (136).

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di enam jajahan di KELANTAN menunjukkan penurunan kepada 5,597 orang pada petang ini berbanding 6,319 orang pagi tadi dan ditempatkan di 66 pusat pemindahan.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 2 petang ini, Kuala Krai masih kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,837 orang diikuti Pasir Mas (1,680), Tanah Merah (537), Gua Musang (365), Jeli (156) dan Kota Bharu (22).

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan setakat pukul 2.00 petang ini, tujuh sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Sebahagian penduduk Kampung Kubang Sawa, Tumpat, Kelantan dan kawasan sekitar terpaksa menaiki bot untuk melakukan kegiatan harian selepas kampung mereka dilanda banjir pada 8 Januari 2021. Foto BERNAMA

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan menurun kepada 1,259 orang setakat pukul 3.30 petang ini, berbanding 1,422 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata Kluang masih mencatatkan mangsa tertinggi seramai 578 orang diikuti Mersing (335), Kota Tinggi (185), Segamat (89) dan Johor Bahru (72).

Vidyananthan berkata setakat ini Jalan Haji Suhud di Johor Bahru serta Jalan Tanah Abang di Mersing ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan ketika ini.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di tiga daerah terjejas berkurang kepada 196 orang pada pukul 3.00 petang ini berbanding 359 orang pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa teramai adalah di daerah Hilir Perak iaitu 171 orang, Hulu Perak (16) manakala di Perak Tengah seramai sembilan orang.

Menurut infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 2 petang ini, Sungai Perak di Kuala Kenderong dan Tasik Temengor dalam daerah Hulu Perak serta di Kampung Gajah, Perak Tengah berada pada tahap amaran selepas masing-masing mencatatkan bacaan 112.39 meter (m), 247.02 m dan 6.60 m.

Di Sabah pula, semua 35 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 12 tengah hari tadi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir surut, tiga pusat pemindahan negeri ditutup

SHAH ALAM, 6 JAN: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang menempatkan seramai 170 mangsa banjir ditutup semalam.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata penutupan melibatkan Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, kedua-duanya di Hulu Selangor.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Kuala Selangor pula ditutup tengah hari tadi selepas banjir surut sepenuhnya.

“Setakat ini hanya satu PPS masih dibuka iaitu Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pasukan petugas bencana bersedia terhadap sebarang kemungkinan jika kejadian banjir berulang susulan cuaca tidak menentu.

Pada Ahad, beberapa kampung dilanda banjir berikutan hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Insiden tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Risiko banjir berulang, mangsa mungkin kembali ke pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut, mungkin akan kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan terdapat risiko berlakunya kejadian gelombang banjir berulang, ketika Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata kejadian banjir juga mungkin berlaku sekali lagi, sepanjang musim tengkujuh ini, walaupun cuaca semakin baik, sejak semalam.

“Terdapat kemungkinan berlaku hujan lebat di Kelantan dan Terengganu pada 8 dan 9 Januari,” katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama TV, Ruang Bicara bertajuk Monsun Timur Laut 2021: Peka dan Waspada yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor mengangkat barang seperti tikar, selimut, bantal dan barang keperluan lain untuk diedarkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Norhafifi Ismail menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan ketika musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, terdapat kemungkinan berlaku banjir, tanah runtuh, jalan putus yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya terkandas. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika pengguna jalan raya tidak membawa bekalan makanan dan minuman dalam perjalanan,” katanya.

Norhafifi berkata langkah mengurangkan pergerakan adalah bersesuaian dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya orang ramai tidak keluar rumah bagi perkara yang tidak mustahak untuk membendung penularan Covid-19.

Sehingga malam tadi, keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke PPS semakin berkurangan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS Pahang merekodkan sedikit peningkatan iaitu 18,217 orang malam tadi berbanding 17,747 orang pada waktu siang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir Johor, Pahang terus meningkat tengah hari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan, dilaporkan semakin meningkat setakat tengah hari ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,248 mangsa daripada 1,628 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga yang direkodkan pagi tadi melibatkan tujuh daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,452 orang diikuti Kluang dengan 1,867 orang dan Kota Tinggi seramai 1,125 mangsa.

Beliau berkata pusat pemindahan yang dibuka kekal 56 buah dengan 19 di Kluang, Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (lima), Mersing dan Batu Pahat masing-masing dua serta satu di Pontian.

Setakat ini, 85 kampung, beberapa taman perumahan serta ladang kelapa sawit dan laluan kenderaan antara yang terjejas dan dinaiki air di tujuh daerah berkenaan.

Di sekitar Mersing dan Kota Tinggi, hujan didapati berterusan sejak semalam sehingga sekarang, manakala Johor Bahru dan Kluang, hujan renyai-renyai dan mendung.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat tengah hari ini kepada 447 penduduk daripada 119 keluarga, berbanding 65 penduduk daripada 19 keluarga pagi tadi.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 1 tengah hari, Temerloh, Raub dan Jerantut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, susulan hujan lebat berterusan sejak malam semalam.

Portal berkenaan memaklumkan, 11 mangsa daripada dua keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Belia Paya Luas dan Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Gau di Temerloh.

Di Raub, seramai 28 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Surau Kampung Peruas manakala tiga mangsa daripada tiga keluarga di Balai UMNO Kampung Batu Talam.

Selain itu, seramai 114 mangsa daripada 23 keluarga di Jerantut dipindahkan ke Dewan JKKK Felda Kota Gelanggi Satu, manakala di Maran seramai 76 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di Surau Sungai Jerik dan 44 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Jara.

Sementara itu, empat pusat pemindahan telah dibuka di Rompin yang menempatkan 44 mangsa daripada 12 keluarga di Balai Raya Bukit Lepas, Sekolah Kebangsaan Pontian (12 mangsa, tiga keluarga), Dewan Orang Ramai Bukit Ibam (enam mangsa, dua keluarga), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam (171 mangsa, 48 keluarga).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan sekitar bandar Kuantan ditutup, berikutan pusat bandar sudah mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Anggota keselamatan turut kelihatan mula melakukan persediaan bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, selain melakukan rondaan sekitar daerah ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir jejas tujuh daerah Johor, mangsa melonjak kepada hampir 6,000

JOHOR BAHRU, 3 JAN: Banjir di Johor kini menjejaskan tujuh daerah dengan jumlah mangsa meningkat kepada 5,818 orang daripada 1,540 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,780 mangsa daripada 500 keluarga, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Mersing dan Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas banjir menyusuli Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.

Beliau berkata sebanyak 28 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 56 PPS beroperasi setakat pagi ini iaitu dua di Mersing, Pontian (satu), Kluang (19), Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (lima) dan dua di Batu Pahat.

Keadaan Kampung Laut di Batu 10 Skudai dari atas yang diambil di parkir kereta Tingkat 4, Skudai Parade pada 2 Januari 2021. Foto: BERNAMA

“Di Mersing, seramai 57 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu dan SK Air Papan, pagi tadi. PPS SK Tenglu menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Tenglu, manakala 41 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Air Papan ditempatkan di PPS SK Air Papan.

“Sementara di Pontian, enam mangsa dari satu keluarga dari Kampung Ulu Pulai ditempatkan di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai yang dibuka pukul 10 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata setakat ini lima PPS sedia ada merekodkan peningkatan jumlah mangsa dengan Kluang seramai 1,826 mangsa, Kota Tinggi (868), Johor Bahru (2,452), Kulai (581) dan Batu Pahat (28).

Katanya, laluan FT003 (Jalan Johor Bahru-Kota Mersing) kini ditutup kepada semua kenderaan berikutan ditenggelami air dengan kedalaman 0.2 meter.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,271

JOHOR BAHRU, 14 JULAI: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 707 orang daripada 164 keluarga malam tadi, dengan Batu Pahat merupakan daerah terbaru dilanda bencana alam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampurna menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Punggor, Kampung Sungai Punggor Kecil dan Kampung Parit Mengkudu.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah membabitkan 267 orang daripada 63 keluarga di tiga PPS di Tangkak, Muar (lapan PPS membabitkan 818 mangsa daripada 215 keluarga); dan Pontian (tiga PPS dengan 171 mangsa daripada 49 keluarga).

“Di Muar, satu lagi PPS iaitu di SK Ismail Satu dibuka pada 11 malam tadi bagi menempatkan penduduk dari Kampung Kelantan dan Kampung Dato’ Sri Amar Diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko dilanda banjir berikutan cuaca mendung ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,210

KOTA KINABALU, 29 JUN: Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat tengah hari ini apabila 1,210 mangsa daripada 375 keluarga ditempatkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah setakat 12 tengah hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa 323 mangsa daripada 102 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Belud dan 634 mangsa daripada 192 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Tenom.

“Selain itu, 62 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di satu PPS di Papar, 19 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di satu PPS di Penampang dan 49 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di satu PPS di Beaufort,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 11 daerah melibatkan 152 kampung di Sabah terjejas akibat hujan lebat Sabtu lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor: 1,210 mangsa terjejas di lima daerah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Seramai 1,210 orang daripada 288 keluarga di lima daerah di negeri ini terjejas akibat banjir setakat 8 pagi ini berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata lima daerah yang terjejas adalah Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian.

Berikutan itu kesemua mangsa telah dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menurut beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Pontian mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 349 orang daripada 85 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang, SK Parit Hj Adnan, SK Kampung Sawah dan SK Seri Bunian.

Ia diikuti Batu Pahat seramai 343 orang daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu SK Agama Air Putih, Balai Raya Kampung Peserai dan Sekolah Agama Tiga Serangkai.

“Di Muar pula, seramai 276 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, SK Parit Nawi, SK Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali dan SK Batu 18,” katanya.

Beliau berkata 207 mangsa daripada 59 keluarga di Kluang pula ditempatkan di empat PPS iaitu SK Simpang, SK Sri Kencana Simpang Renggam, SMK Dato Abdul Rahman Andak dan Sekolah Agama Komplek Penghulu.

“Seramai 35 keluarga daripada empat keluarga di Tangkak pula ditempatkan di SK Parit Bunga dan SK Tanjung Gading 5,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Runtuhan depan mata, penunggang motosikal cedera ringan

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, pada 26 November lalu, memusnahkan deretan gerai makanan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di seberang jalan kawasan perumahan berkenaan.

Salah seorang peniaga, Ishak Ali, 48, memaklumkan kejadian pada kira-kira jam 1 pagi itu berlaku di depan matanya sejurus beliau sampai di situ, dari Rawang.

“Biasanya kawasan di situ terang tetapi gelap ketika itu dan saya lihat tiang elektrik tumbang.

ishak“Keadaan terjadi pantas dengan jalan terbelah, pokok tumbang, gerai dan semua yang lain jatuh tetapi saya bernasib baik kerana selamat,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau ditemui di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini, bersama beberapa mangsa lain yang turut ditimpa musibah berkenaan.

Ishak yang sudah menetap dan berniaga lebih 10 tahun di situ menjelaskan semua empat gerai makanan termasuk yang disewanya daripada MPHS musnah dan sedikit sebanyak menjejaskan mata pencariannya.

Katanya, beliau sekeluarga akan berkampung di sekolah itu sehingga mendapat arahan dibenarkan pulang ke rumah sendiri selepas kerja baik pulih selesai.

mangsa-tertimbusManakala, Mohd Fareez Hanuddin, 21, pula mengalami kecederaan kecil di bahagian pergelangan tangan dan kaki akibat terseliuh apabila terjatuh di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Saya terjatuh ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari kerja. Kawasan di situ tidak seperti biasa kerana gelap dan apa berlaku agak pantas dan saya gagal mengelak daripada jatuh ke dalam runtuhan itu,” kata pekerja pusat gimnasium itu.

Bagaimanapun, Fareez diselamatkan orang ramai dengan cepat serta mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang dan hanya motosikalnya sahaja yang musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, pengusaha bengkel, Azzahar Alif Abdullah, 44, berkata kemudahan di pusat penempatan itu baik, namun beliau dan keluarga tidak pasti berapa lama mereka akan ditempatkan di situ.

“Pihak berkuasa berkaitan memberikan kerjasama baik, namun kejadian itu agak menjejaskan kerja saya yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan secara sendiri.

“Ini kerana tak pasti berapa lama dan diharap segalanya berakhir dengan cepat,” kata bapa tujuh anak itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir lega langkah awal Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAPAR, 17 OKT: Persiapan awal yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi membantu mangsa banjir air pasang besar di sekitar Kampung Tok Muda, di sini, pada 15 Oktober lalu, melegakan golongan terbabit.

Beberapa mangsa yang sempat ditemui SelangorKini berkata, persiapan awal itu memudahkan mereka berpindah lebih awal dan mampu mengurangkan kerugian harta benda.

“Awal lagi kami dah dimaklumkan. Jadi, kami dapat bersiap sebelum berpindah dan barang sudah diletakkan di tempat tinggi supaya tidak rosak.

air-pasang-morib“Nak pindah ke pusat pemindahan ini juga tidak kelam-kabut dan segalanya sudah tersedia dengan keperluan seperti makanan dan tempat tidur yang selesa dan,” kata penduduk Kampung Tok Muda, Ahmad Azahari Soraji.

Penyelia sebuah syarikat swasta, 45, itu berkata, kedudukan rumahnya yang terletak betul-betul di kawasan berisiko tinggi untuk dinaiki air menyebabkan beliau dan ahli keluarga lain seramai tujuh orang memutuskan untuk mengikut nasihat pihak bertanggungjawab.

Abdul Kahar Saroji, 49, pula memuji kepekaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mengambil berat terhadap mangsa banjir, di sana.

“Sejak kami dilanda banjir banyak kali YB (Yang Berhormat) turun bertemu kami untuk membantu memudahkan pemindahan mangsa ke sini,” kata peniaga terbabit.

air-pasangApabila ditanya nilai kerugiannya, Abdul Kahar menjangkakan apa ditanggung adalah jauh lebih rendah berbanding sebelumnya ekoran persiapan awal yang dibuat.

“Saya belum tengok lagi keadaan rumah pagi ini tetapi jangkakan tak teruk macam dahulu sebab kami dah diberitahu awal, jadi kebanyakan barang dah diletakkan di tempat tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khariah Azlina Khairuddin, 21, pula mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memastikan keselesaan mangsa banjir.

“Alhamdulillah, kami disediakan tempat yang selesa cukup dengan kemudahan. Malam tadi juga saya dapat tidur dengan nyenyak sekali,” kata kakitangan swasata itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga ahli keluarga mangsa pertama Zika disahkan negatif

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 4 SEP: Tiga ahli keluarga mangsa jangkitan Zika minggu lalu disahkan negatif daripada virus berkenaan selepas membuat ujian darah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azmi Muji berkata, tiga individu berkenaan dari Bandar Botanic Klang adalah suami, anak lelaki dan kakak kepada wanita berusia 58 tahun itu.

WhatsApp Image 2016-09-04 at 9.51.17 AM (1)“Keputusan diterima selepas ujian darah diambil pejabat kesihatan daerah bagi memastikan ahli keluarga lain selamat daripada virus tersebut.

“Mangsa yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan dalam keadaan stabil dan beransur pulih,” katanya pada sidang media selepas Program Gotong Royong di sini, semalam.

Azmi berkata, tindakan susulan akan dijalan dengan membuat pemeriksaan ke atas rakan mangsa yang pernah dilawati dan tempat dikunjungi beliau selepas pulang dari Singapura.

Pada 2 September lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan satu kes jangkitan virus Zika tempatan pertama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mangsa wanita itu disahkan positif dijangkiti virus berkenaan seminggu selepas melawat anaknya yang juga mangsa Zika di Singapura.

-NFN-

Categories
SELANGOR

LZS pantas bantu mangsa kebakaran

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Sebuah rumah dilaporkan hangus terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Parit 10 Barat, Sungai Besar, semalam.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Facebook berkata, agensi itu menghulurkan bantuan zakat kecemasan RM500 bagi meringankan beban ketika menziarahi rumah mangsa.

13051674_10154028976181221_440160233840593709_n“Insha Allah bantuan selebihnya akan diproses selepas semua dokumen lengkap.

“LZS berharap semoga mangsa, Masduki Siam sekeluarga tabah dengan dugaan Allah SWT ini,” katanya.

Difahamkan, kebakaran berlaku lebih kurang jam 1.30 petang yang melibatkan hampir keseluruhan rumah musnah.

-NFN-