Categories
NASIONAL

Surat Jusuf Kalla Bukti Tidak Pernah Diwawancara Berita Harian

yusufkalla

SHAH ALAM 19 JULAI : Mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu surat menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perolehan dana asing melancarkan perhimpunan Blackout 505.

Dalam satu surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarang akhbar Berita Harian (BH), Jusuf bertegas tidak pernah diwawancara berhubung isu berkenaan dan menyanggah berita yang diterbitkan akhbar tersebut pada 28 Jun 2013 dengan tajuk ‘Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505’.

“Saya ingin jelaskan bahwa tidak pernah ada wawancara khas antara Azharri Siddiq dengan saya, kerana Azharri datang untuk membawa surat permintaan ketemu 8 jurnalis Malaysia yang saya tolak.

“Pertemuan tersebut (1 Jun 2013) hanya silaturrahim singkat kerana diatur seorang anggota Parlimen Indonesia.

“Apa yang ditulis sebagai interview di Berita Harian tidak realistis, karena itu Azharri sudah meminta maaf kepada saya beberapa kali,” ujar Jusuf dalam surat yang bertarikh 18 Julai 2013 yang turut diberi salinannya kepada Anwar.

Pada 16 Julai lepas, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memutuskan untuk menyaman akhbar BH berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan kononnya dipetik daripada satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Anwar, di Dewan Rakyat pada Selasa lalu turut memberitahu menerima panggilan dan kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada Jusuf yang kesal kenyataannya diputar belit.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini sedangkan penjelasan serta bantahan telah dibuat oleh Jusuf sendiri.

 

Categories
NASIONAL

Fitnah Dana Asing, Anwar Mahu Saman BH

anwar black505 padang merbok 02

KUALA LUMPUR 16 JULAI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan akan menyaman akhbar Berita Harian (BH) berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan pada 29 Jun lalu memetik satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Menurut Anwar, beliau dihubungi Jusuf melalui telefon dan memberitahu tidak menyangka kenyataannya akan diputar belit sedemikian.

“Tulisan itu tak benar, tidak datang dari saya, saya akan bantah,” kata Anwar ketika membacakan kiriman pesanan ringkas (SMS) Jusuf di dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar turut mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, Jusuf menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif BH, Ketua Pengarang BH, Eksekutif BH dan Ketua Pengarang Kumpulan BH dan New Strait Times.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada pembetulan dan penjelasan,” katanya lagi.

Justeru, Anwar menyatakan peguamnya dan Jusuf akan mengambil tindakan undang-undang terhadap BH yang memfitnah kedua-dua mereka.

Categories
NASIONAL

Anwar : Tiada Pertemuan Dengan Najib, Jusof Kalla

anwar taman ampang 1 mei 03

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat dalam perbincangan kerajaan perpaduan semasa beliau melawat Indonesia baru-baru ini.

Menurut Anwar beliau ke Indonesia atas jemputan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan bukan untuk bertemu mantan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tegas Anwar PKR komited untuk terus bersama Pakatan Rakyat bagi meneruskan agenda reformasi.

“Saya ke Indonesia bukan untuk bertemu Jusof Kalla tetapi berjumpa dengan SBY.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai penipuan pilihan raya baru-baru ini.

“Saya menafikan bahawa saya menerima sebarang cadangan (pertemuan) daripada Najib,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Anwar melalui laman Twitter milik beliau, telah menafikan sebarang ura-ura beliau bertemu Najib ketika berada di Indonesia.

Menurut Anwar pertemuan di Bali itu merupakan ‘Pertemuan dengan Presiden Indonesia termasuk isu PRU-Pemilu Malaysia’.