Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 jalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di rumah

JOHOR BAHRU, 28 JUAI: Seorang pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Bayan, Kampung Kenangan Tun Syed Nasir di Tangkak, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.48 pagi.

Beliau berkata kematian pesakit itu, Zuraimi Abd Aziz, 51, disedari oleh anak saudaranya ketika menghantar bekalan makanan apabila menemukan mangsa yang dipercayai tinggal seorang diri di rumah berkunci itu, tidak sedarkan diri.

“Anak saudara mangsa berasa curiga kerana bekalan makanan yang dihantar sebelum ini masih belum disentuh, menyebabkannya bertindak menjenguk melalui tingkap dan menyedari bapa saudaranya sudah terbaring.

“Anak saudaranya kemudian bertindak menghubungi pihak berkuasa dan menyerahkan kunci kediaman kepada bomba untuk melihat keadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pegawai perubatan yang datang kemudian mengesahkan mangsa positif Covid-19 dan telah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Remaja 13 tahun maut akibat Covid-19, Selangor catat bilangan tertinggi

SHAH ALAM, 10 JUN: Remaja perempuan berusia 13 tahun antara 73 kematian dicatatkan akibat Covid-19 hari ini, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian ke-3680 itu merupakan penghidap penyakit buah pinggang kronik dan Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurutnya, lima kematian hari ini turut melibatkan golongan muda berusia dari 27 hingga 36 tahun yang berpenyakit obesiti, kencing manis, darah tinggi, asma dan buah pinggang.

Selain itu, warga emas berusia 104 tahun menghidap penyakit dislipidemia merupakan mangsa tertua serta meninggal dunia di Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang.

Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 29 kes diikuti Johor (11), Negeri Sembilan (lapan); Kedah, Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang (empat), Pahang (tiga), Kelantan (dua) serta Melaka, Sabah, Terengganu dan Perak (satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 60 individu maut akibat Covid-19 ada kencing manis, darah tinggi

SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 60 daripada 82 individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda membabitkan wanita berusia 39 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan kebanyakan mangsa, majoritinya lanjut usia, ada pelbagai latar belakang penyakit lain seperti buah pinggang kronik dan jantung.

Beliau berkata tiga negeri yang merekodkan kematian dua angka ialah Selangor (23), Johor (17) dan Negeri Sembilan (11).

Kuala Lumpur mencatatkan lapan kes, Kedah (lima), masing-masing empat kes di Sarawak, Perak, dan Kelantan, Labuan (dua) serta satu di Sabah, Melaka, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 3,460 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 23 kluster baharu dengan 16 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Seramai 383 orang positif Covid-19 daripada 2,632 yang disaring.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan muda ada penyakit, obesiti antara 109 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Tujuh individu berusia antara 20 hingga 40 tahun yang menghidap pelbagai penyakit termasuk obesiti antara 109 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan hari ini.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan semua warga tempatan itu adalah dua wanita dan lima lelaki berusia antara 27 hingga 39 tahun.

Jelas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa menghidap penyakit tiroid, dislipidemia, kencing manis, darah tinggi, obesiti, jantung dan cerebral palsy (kelumpuhan otak).

Kematian melibatkan wanita berusia 38 dan 39 tahun manakala lelaki berusia antara 27 hingga 36 tahun. Kes direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Baki 102 kematian pula merupakan individu berusia 41 hingga 98 tahun termasuk tiga warga asing.

Hari ini Selangor merekodkan 33 kematian diikuti Johor (22), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (sembilan), Kelantan (enam), Kedah dan Melaka (lima), Perak (empat), Labuan (tiga), Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang (dua) serta Terengganu dan Wilayah Persekutuan (satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua warga emas usia 101 tahun antara 86 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 4 JUN: Dua warga emas wanita berusia 101 tahun antara 86 maut di Malaysia hari ini akibat jangkitan Covid-19, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan warga emas pertama meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur namun tidak dinyatakan latar belakang penyakit yang dihidapi.

Seorang lagi mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dengan sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan dislipidaemia.

Majoriti kes kematian hari ini melibatkan individu lanjut usia selain mempunyai sejarah penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

Senarai kematian di Selangor kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 kes diikuti Johor (14), Negeri Sembilan (13), Kuala Lumpur (tujuh) dan Kedah (empat).

Selain itu, masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, Pahang, Perak, Labuan dan Pulau Pinang; Kelantan dan Terengganu (dua), Perlis (satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki maut akibat letupan tong gas pada malam raya

IPOH, 13 MEI: Seorang lelaki menemui ajal pada malam Aidilfitri apabila tong gas meletup di sebuah bengkel rumah di Jalan Parit Amerikan, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia lingkungan lewat 20-an itu pada 12.01 tengah malam.

“Kami segera mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat sebaik menerima panggilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setibanya jentera bersama pasukan di tempat kejadian mendapati berlaku letupan dipercayai akibat proses memindahkan bahan dari tong besar ke tong yang lebih kecil di bengkel berkenaan.

Katanya, ketika kejadian mangsa berada seorang diri di bengkel itu dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan komander operasi supaya membuat kerja pemantauan dan menutup semua injap tabung seterusnya memastikan tiada bahan berbahaya di kawasan berkenaan dan operasi tamat pada 1.24 pagi,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, tiga cedera parah dihempap perancah besi binaan SUKE

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh dalam kejadian di Desa Tun Razak, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian 5.58 petang tadi, van tersebut sedang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dua mangsa terbabit disahkan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kesemua mangsa adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun

“Pemandu van berkenaan dikeluarkan pada pukul 8.55 malam dan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada 9.27 malam.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata terdahulu pihaknya menerima laporan sebuah treler yang membawa muatan telah melangggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Katanya, pemandu treler terbabit yang juga warga tempatan telah membuat laporan polis dan akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan kren.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang kemungkinan berlaku runtuhan kedua.

“Bomba terpaksa menggunakan tiga kren untuk mengangkat struktur runtuhan yang menimpa van berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Kejadian itu telah menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna dan kesesakan berlaku sepanjang kira-kira dua kilometer.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi antara sembilan maut pacuan empat roda terhumban dalam sungai

KUCHING, 1 JAN: Dua wanita, tiga remaja, tiga kanak-kanak serta seorang bayi lelaki berusia empat bulan disahkan meninggal dunia dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda (4WD) terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Friso, kira-kira 120 kilometer dari sini, pada 3 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mereka dikenal pasti sebagai Ronany Ting, 33, yang memandu 4WD itu serta penumpang Siti Aisha Abdullah, 36.

Turut terkorban ialah Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Bayi lelaki itu pula dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

“Pengesahan kematian mangsa telah dibuat oleh (seorang) pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Beladin,” kata jurucakap itu.

Menurut jurucakap itu, kesemua mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Sibu, kira-kira 200km dari lokasi tragedi, ke bandar raya Kuching sebelum kejadian.

“Punca kejadian kemalangan kenderaan tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Feri Triso merupakan perkhidmatan penghubung kepada projek jalan pesisir Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Second Trunk Road yang merentasi beberapa batang sungai yang lebar dan menjadi pilihan pengguna jalan raya di negeri ini berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang masih belum siap.

Jarak di antara tebing ke tebing Sungai Batang Lupar di mana Feri Triso itu beroperasi ialah kira-kira lima km dan sebuah projek bagi membina sebuah jambatan merentasi sungai berkenaan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga maut hidu gas loji kumbahan di Pantai Dalam

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Tiga lelaki maut selepas terhidu gas semasa melakukan kerja-kerja pembersihan sebuah loji kumbahan di Jalan Pantai Permai 1, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang Bangladesh itu adalah pekerja kontraktor pembersihan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan kejadian dilapor pada pukul 2.41 petang, melibatkan enam lelaki yang merupakan pekerja pembersihan mengalami masalah pernafasan akibat terhidu gas dalam loji kumbahan itu.

“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba, manakala empat lagi mangsa masih berada di dalam tangki loji itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bomba turut melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi, bagi memastikan kualiti udara dalam keadaan selamat.

“Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu tiga lelaki yang maut dikeluarkan daripada loji itu oleh anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pasukan Hazmat melakukan proses dekontaminasi sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penunggang basikal wanita maut dirempuh lori

PUTRAJAYA, 19 DIS: Seorang wanita maut apabila basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dari arah belakang di atas jambatan berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 kira-kira 9.40 pagi.

Saksi kejadian, Mohd Shukri @ Budiman Hassan, 43, berkata ketika kejadian itu berlaku, kenderaannya berada di belakang lori terbabit yang dibawa perlahan.

“Tiba-Tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.

“Bila saya turun, rupanya objek yang saya mulanya sangka terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri berkata beliau kemudian mendekati mangsa serta memeriksa nadinya dan mendapati nadi wanita itu amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintenden S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Beliau berkata mayat mangsa yang berusia 34 tahun itu dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

“Kita telah menahan pemandu lori dan lori tersebut untuk siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah kesalahan trafik mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berbasikal: Lebih 50 maut dalam kemalangan setakat Oktober

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata selain daripada 56 kematian, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan.

Beliau berkata bagi tempoh sepanjang tahun lepas, JSPT merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah manakala 59 cedera ringan.

“Sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal serta pengguna jalan raya yang lain.

Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, JSPT menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman menegaskan aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran pergerakan lalu lintas kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka ini amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

JSPT turut menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan yang kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika pergi dan balik kerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan rak di bumbung sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

Beliau berkata mana-mana orang yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di atas jalan raya boleh diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Antaranya Seksyen 54 (1) APJ 1987 iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan, Seksyen 79(2) APJ 1987 mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Pemain JDT Syafiq Ahmad kemalangan, anak antara tiga maut

NIBONG TEBAL, 6 DIS: Bayi lelaki pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad yang baru berusia 22 hari antara tiga yang maut dalam kemalangan awal pagi ini yang turut menyaksikan penyerang JDT itu berserta dua lagi ahli keluarganya cedera.

Dua lagi yang maut dalam nahas kira-kira 5.30 pagi di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Syafiq, 25, serta seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, namun isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.

Jurucakap itu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 5.36 pagi dan sepasukan anggota berserta sebuah jentera digegaskan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, didapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dalam keadaan remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan. Terdapat enam mangsa dengan tiga daripada mereka tersepit di dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap itu, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat manakala yang cedera pula dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Bernama difahamkan kenderaan tersebut dipandu oleh Muhammad Syafiq.

Sumber polis daripada Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan mengesahkan kejadian.

-BERNAMA