Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bersatu hati tegakkan keadilan, hayati semangat merdeka

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat bersatu hati menegakkan keadilan bagi menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi sejak 59 tahun lalu.

Katanya, sebagai generasi pasca kemerdekaan, rakyat bertanggungjawab mengekalkan keamanaan dengan semua bangsa serta melakar kejayaan lebih gemilang.

“Kemerdekaan mesti disambut dengan pengisian dengan makna yang boleh memaknai erti kemerdekaan sebenar.

“Kita perlu kembali dengan semangat kemerdekaan seperti yang termaktub dalam permahsyuran kemerdekaan.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman menegaskan, Persekutuan Tanah Melayu kekal menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan kebebasan serta keadilan,” katanya.

CP2A2815-1024x683Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama dalam sambutan itu Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh serta barisan Ahli Dewan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen.

Sambutan ambang Hari Kemerdekaan berlangsung meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai lapisan bangsa dan agama dengan kemeriahan acara disediakan termasuk perarakan 63 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan NGO.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut merakamkan penghargaan khusus kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas persembahan hebat dalam perarakan kemerdekaan.

Selain itu, hadirin turut berpeluang melihat persembahan kawat senyap daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tambo dan Tempur Tanpa Senjata daripada 11 Bridged.

Menjelang detik jam 12.00 tengah malam, hadirin bersama-sama membaca ikrar Rukun Negara dan disusuli laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Dato’ Menteri Besar serta percikan bunga api hampir sepuluh minit yang memeriahkan langit bandaraya Shah Alam.

EZY

Categories
SELANGOR

Generasi muda perlu ruang corak masa depan negara

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Rakyat terutama generasi muda perlu diberi peluang dan ruang secukupnya bagi mencorak masa depan negara menjadi lebih cemerlang juga dihormati di peringkat antarabangsa.

halim Penduduk Shah Alam, Halim Kamudin, 56, berkata pendedahan itu perlu demi membina keyakinan kepada rakyat yang mewarisi kemerdekaan daripada generasi terdahulu.

“Semangat patriotisme perlu dibajai secara berterusan dalam diri rakyat supaya timbul kesedaran untuk mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi ini.

“Peluang dan ruang seluasnya perlu diberikan kepada generasi muda bagi mencurahkan idea dan kepakaran dalam mencorak masa depan negara yang kini bagai dinafikan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Penduduk Tanjung Karang, Abdul Ghafar Tajuddin, 34, pula berkata perjuangan dirintis generasi terdahulu seharusnya menjadi panduan kepada masyarakat masa kini dalam mengharungi kehidupan penuh merdeka.

ghafar“Jangan kita sia-siakan segala pengorbanan mereka demi membebaskan negara dan kebebasan yang dimiliki ini.

“Kita patut bangga kerana kemerdekaan ini memberi kebebasan dalam segala segi ke arah membina masa depan,” katanya.

Sementara itu, Khairi Kasbi, 43, pula menyifatkan kemerdekaan negara harus dipertahankan seluruh rakyat supaya pembangunan berterusan dapat dinikmati sepenuhnya.

“Tanpa berada di bawah telunjuk penjajah tentunya hidup kita lebih bebas dan bererti.

“Semangat patriotisme perlu dipahat dan dipupuk dalam diri generasi masa kini supaya kita terus bersemangat kental dalam mempertahankan negara daripada ancaman anasir luar,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM: Gema merdeka rakyat

Oleh: AMIDI ABDUL MANAN

Tanggal 31 Ogos mempunyai erti yang tersendiri kepada rakyat Malaysia. Tanggal yang menandakan lahirnya sebuah negara yang berdiri diatas kerencaman kaum, agama, budaya dan keturunan.

Asas kehormatan bangsa bermula dengan perisytiharan kehormatan diri dengan penyataan al-Quran menggunakan istilah Bani Adam leluhur yang merujuk kepada semua manusia tanpa sebarang pengecualian.

Leluhur Adam ini berkembang dengan kerencaman filial demi filial namun Allah mengingatkan asal keturunan manusia walau berbeza dari sifat (fenotip) dan terdapat pesongan genotip adalah dari satu keturunan.

Maka penekanan ayat tersebut yang menggunakan istilah Bani Adam amat terkait dengan manusia dan kemanusiaan. Karamah insaniah bukan datang hanya dari genetiknya tetapi sejauh mana kita mempertahankan sifatnya.

Menyedari hal ini, rupa bentuk yang pelbagai adalah satu fitrah tetapi kemanusiaan adalah satu ciri universal bagi setiap keturunan Adam. Kemanusiaan terbina atas kebenaran dan keadilan.

Kebenaran dan keadilan perlu dipertahankan dengan dakwah. Tanpa dakwah kita akan hilang ciri kemanusiaan kita.

Maka marilah kita bangunkan negara kita, Malaysia dengan upaya dakwah. Upaya dakwah adalah sebaik-baik wahana pembinaan bangsa Malaysia. Dakwah yang mengutamakan kebenaran dan keadilan, dakwah yang bermatlamatkan perubahan adalah agenda kita bersama untuk kesejahteraan Malaysia.

Salam kemerdekaan, salam dakwah, salam kesejahteraan.

Sejahterakan Malaysia dengan Dakwah.

# Amidi Abdul Manan adalah Presiden ABIM

Categories
SELANGOR

MB: Warisi semangat patriotisme pejuang lampau

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Semangat patriotisme yang dimiliki generasi dahulu harus diwarisi golongan muda masa kini dalam mempertahankan kemerdekaan negara, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin, berkata kalangan pejuang zaman lampau nyata mempunyai semangat patriotisme tinggi demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah asing.

IMG_20150831_000755“Kita harus mengambil kesempatan daripada sambutan kemerdekaan tahun ini untuk mengulangi ikrar dan tekad sebagai rakyat bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme terhadap negara.

“Patriotisme bukan hanya slogan dan simbol tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh kuat terhadap tingkah laku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 negara, di sini, semalam.

Beliau berkata, perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan kuasa asing bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau (Pahang), Mat Salleh (Sarawak), Tok Janggut (Kelantan) dan Raja Haji (Selangor).

Katanya, sejarah tidak boleh dipadamkan apabila Dr Burhanuddin Helmi bersama Tan Cheng Lock bekerjasama dengan semua kaum, petani, peniaga dan ulama membentuk All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) untuk menentang penjajah.

IMG_20150830_235045“Nenek moyang kita sehati sejiwa sehingga berjaya menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah sehingga hari ini.

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan atas sumbangan besar pejuang kemerdekaan khususnya anggota keselamatan termasuk tentera dan polis sehingga ada dalam kalangan mereka terkorban demi mempertahankan maruah serta kedaulatan negara,” katanya.

Katanya, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan bagi membentuk negara yang bebas merdeka memperlihatkan perjuangan  penuh dengan semangat patriotisme ditunjukkan generasi terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Konvoi semarak merdeka jelajah Hulu Selangor 29 Ogos

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 OGOS: Orang ramai berpeluang menyertai program Konvoi Berbasikal Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

MDHSProgram anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) itu dijangka melalui laluan menarik bermula di Hulu Bernam sehingga Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan, pada 29 Ogos ini.

Pada masa sama, peserta boleh menyertai pertandingan menghias basikal bagi merebut pelbagai hadiah menarik.

Selain itu, terdapat pertandingan bacaan puisi kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dan acara cabutan bertuah turut disediakan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat MDHS di talian 03-60641155.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bingkisan warna latari bandaraya Shah Alam esok

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam Alam (MBSA) menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda melalui penganjuran bingkisan seni Program Warna, pada 8 Ogos ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat, Shahrin Ahmad, berkata program itu akan bermula jam 2 petang hingga 7 malam bertempat di Laman Seni 7, di Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, di sini.

“Program itu bertujuan menanamkan semangat patriotisme dan mendidik anak muda terhadap perjuangan pemimpin negara dalam membebaskan negara dari ancaman penjajah sempena sambutan kemerdekaan.

selangor merdeka 04“Aktiviti yang dijalankan melibatkan kesenian dan kebudayaan sambil memberi peluang kepada pengunjung menikmati lukisan mural yang menghiasi dinding di sekeliling Laman Seni 7,” katanya.

Shahrin berkata, turut hadir adalah artis tempatan terdiri dari kalangan anak muda seperti The Rudean, Banana Cheese Percussion, Nada Akustika, Fazleena & The Lasykar dan Otam yang akan memeriahkan lagi program.

“Mereka akan mempersembahkan muzik tempatan, lagu patriotik dan deklamasi sajak.

“Selain itu, persembahan dari kumpulan muzik traditional Balle-Balle serta tarian dan muzik tradisional dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Selangor (JKKNS),” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi Pegawai Kebudayaan MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013-3507888 atau Shahrin Ahmad (013-3380551).

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Merdeka Presiden KEADILAN

Salam kemerdekaan, reformasi jiwa merdeka!

Reformasi Jiwa Merdeka

Assalamualaikum Warahmatullah

Salam Sejahtera dan Salam Kemerdekaan!

Kita menyambut tanggal 31 Ogos 2014 sebagai tanda penghargaan kita terhadap harga sebuah kemerdekaan dan kebebasan yang kita nikmati sejak tahun 1957. Iaitu 57 tahun yang lampau, pemimpin-pemimpin negara kita membawa tanah air yang tercinta ini, keluar dari belenggu penjajahan British.

KEADILAN sebagai sebuah parti yang berteraskan rakyat, mengajak seluruh rakyat Malaysia, supaya menghayati kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar, iaitu bukan setakat membebaskan diri dari perhambaan dari penjajahan. Bukan juga menyambutnya dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sahaja.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Kemerdekaan yang dicari sebenarnya adalah kebebasan hati dan jiwa, kebebasan diri dan anggota keluarga dari belenggu pemikiran yang rasis dan sempit, serta mempunyai kebebasan ekonomi.

Rakyat mesti dipupuk untuk melahirkan jiwa merdeka, dengan memerdekakan sepenuhnya jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman demi membina negara yang aman harmoni, hormat menghormati sesama rakyat dari kalangan pelbagai agama dan bangsa.

KEADILAN komited untuk membina sebuah negara yang mengajak memerdekakan rakyat dari tekanan kehidupan, dengan usaha untuk menyediakan prasarana ekonomi yang baik, agar sumber kekayaan negara dapat dikongsi bersama seluruh rakyat, terutama mereka yang memerlukan tanpa membataskan kedudukan bangsa dan agama.

KEADILAN mahu mengasaskan kemerdekaan berteraskan islah atau reform. Reform mestilah bermula daripada kepimpinan yang amanah, telus dan efektif serta memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat.

Tekad KEADILAN adalah untuk membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan dengan asas hak-hak rakyat bernegara yang dilindungi oleh Perlembagaan.

Dengan itu, kita dapat membina nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia. Kita mahukan sebuah negara yang merdeka dan bebas dari gejala rasuah, pembaziran dan kecuaian.

Kita berharap kita mampu membawa negara ke landasan yang betul, memelihara maruah negara, kedaulatan negara dengan ekonomi yang kukuh.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
31 Ogos 2014

Categories
BERITA UTAMA

Mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabarannya

Oleh: Rodziah Ismail

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke -57.

Merdekakah kita?

Seusia 57 tahun tentunya banyak khazanah pengalaman dan usaha yang telah merealisasikan agenda sosio-ekonomi dan politik di Malaysia.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Menuju ke arah negara maju di dunia, Malaysia yang matang tentunya mempunyai ukuran-ukuran kecemerlangan dan model-model kejayaan yang tersendiri.

Tetapi indeks-indeks yang diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa masih menunjukkan Malaysia yang ditadbir oleh Umno-BN di tahap yang tidak setaraf hasratnya menjadi negara maju.

Berikut adalah ranking Malaysia dalam :

·      Indeks Jurang Gender : tempat ke-102 dari 136 negara (2013)

·      Gini Coefficient : 46.21(2009) [20% warga Malaysia terkaya memiliki 51.45% dari jumlah pendapatan keseluruhan]

·      Status Membanteras Pemerdagangan Manusia : Tier-3 (2014)

·      Kewartawanan : 145 dari 179 negara (2013)

·      Penglibatan Politik Wanita Malaysia : 143 dari 179 negara (di belakang Mongolia, Syria, Zimbabwe, Cambodia, Bangladesh, Filipina dan Vietnam)

·      Indeks Korupsi : 53 dari 177 negara

·      % Pinjaman berbanding GDP : 56%

·      Akses Internet : hanya 60% daripada penduduk Malaysia yang mendapat akses internet

Relasi antara kaum masih menjadi isu yang dipolitikkan bagi meraih sokongan.   Dua isu yang sehingga kini masih menjadi sensitif ialah berkaitan bangsa dan agama.

Akhlak yang dianjurkan oleh agama masing-masing dalam menerbit dan mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama masih gagal disempurnakan oleh Umno-BN yang memerintah Malaysia.

Majoriti rakyat tidak mengenal apakah sebenarnya Islam itu yang menjadi agama rasmi negara Malaysia.

 Merdekakah kita?

Jurang ekonomi yang semakin lebar ditimpakan lagi dengan berbagai kos, kenaikan harga dan cukai seperti GST yang mesti dibayar oleh rakyat Malaysia, ditambah pula dengan ketirisan berpuluh bilion ringgit yang dilaporkan oleh Audit Negara dan laporan wang haram yang diraih di dalam Malaysia yang tidak pernah dijawab atau disanggah oleh Kerajaan Malaysia.

Ketirisan sedemikian menafikan hak rakyat terhadap pendapatan-pendapatan tersebut yang sewajarnya boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Merdekakah kita?

Demokrasi tulin yang belum kesampaian tampak jelas dalam isu persempadanan semula kawasan-kawasan parlimen dan DUN untuk memberi kelebihan kepada parti pemerintah, Umno-BN supaya terus berkuasa dengan memenangi pilihan raya 2018 kelak.

Protes dan pandangan rakyat yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat dari pihak Pakatan Rakyat dan NGO tidak diendahkan.

Ia mendiskriminasi sebahagian rakyat, bahkan undi popular PRU-13 lalu 51% adalah kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat dirayu untuk tetap bersama Pakatan Rakyat dengan keberadaan pimpinan yang sentiasa bersungguh untuk melaksanakan apa yang menjadi hak rakyat.

IKAT BALI merupakan suatu kolaborasi aktivis wanita serantau yang telah mendokong cita-cita bekerjasama ke arah mengukuhkan hak politik wanita dan demokrasi dengan advokasi-promosi peningkatan perwakilan wanita dalam arena politik menerusi initiatif perkongsian dan kerjasama serantau.

Selangor telah banyak berkongsi pengalaman dan polisi ke arah merealisasikan aspirasi IKAT BALI dengan model-model polisi, proses pencalonan dan pelantikan wanita-wanita untuk memenuhi minimum 30% kedudukan kepimpinan dalam pentadbiran negeri dan parti politik.

Ia adalah satu susulan kepada perakuan negara signatori seperti Malaysia yang telah menandatangani deklarasi, konvensyen dan resolusi antarabangsa berkaitan penglibatan politik wanita di negara masing-masing.

Sehubungan itu, tiada sebarang kontroversi bilamana seorang wanita dicalonkan sebagai Menteri Besar di Selangor.

Datuk Seri Wan Azizah binti Wan Ismail telah sekian lama menjadi “political savior”, memegang jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat sejak ia ditubuhkan pada 1999 dan dikelilingi oleh para penasihat terbaik dari kalangan parti dan Pakatan Rakyat.

Sifat beliau yang sentiasa tenang dan boleh dijadikan sandaran dalam berbagai isu, khususnya dalam menghadapi berbagai cabaran politik, menjadi penyatu berbagai pihak yang berbeda posisi-pandangan mereka.

Saya percaya, dengan barisan pemimpin dan penasihat yang komited dengan agenda mensejahterakan rakyat Selangor, beliau akan berusaha dan berkemampuan melaksanakan amanah sebagai Menteri besar Selangor dengan baik.

PAKATAN RAKYAT

 
“If we can survive each other, we can survive anything.”

Tidak ada hubungan dan gerakan politik yang berwawasan seperti Pakatan Rakyat yang bebas konflik dan cabaran.

Cabaran-cabaran yang menyinggah, sama ada dari dalam atau luar, sering bertujuan untuk meruntuhkan gagasan yang telah dibina dan ingin dikembangkan dengan baik oleh para ahli politik dari ketiga-tiga parti yang mendokongnya, DAP, KEADILAN dan PAS.

Setiap himpunan dari latarbelakang yang berlainan akan memerlukan keteraturan/ keselarasan/ kesesuaian dan proses-proses keserasian dan keintiman politik di semua peringkat yang tentunya mengambil masa, walaupun ia diharap segera berlaku dan bukan tertunggu-tunggu dan tidak diurus kekemasannya.

Kebersamaan bersama rakyat harus diberi tumpuan dan menjadi keutamaan. Rakyat perlu dicelikkan tentang demokrasi, politik durjana/bangsat dan mengenalpasti pemimpin yang rakus dan tidak segan silu mengambil hak dan wang rakyat.

Janganlah rakyat dikelirukan dengan pengucapan dan perbuatan yang mengelirukan mereka dan berisiko mereka akan mensetarafkan bahawa semua ahli politik adalah sama belaka.

Apa yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat adalah kepimpinan yang menaruh 100% kepercayaan bahawa Pakatan Rakyat itu sajalah ketika ini yang bisa menandingi kepolitikan Umno-BN.
Umno-BN akan sedaya upaya mereka memecahbelahkan keintiman di kalangan anggota berbeda parti dalam Pakatan Rakyat.

Mengembalikan asas perjuangan Pakatan Rakyat kepada apa yang disepakati amatlah wajar. Ia bermaksud mengurus dan meleraikan kekusutan dan bukan mengambil kesempatan  mendominasi ruang dan peluang yang terbuka kerana itu akan menghilangkan kepercayaan dan menyuburkan prasangkaan.

Keduanya, kehilangan kepercayaan dan prasangkaan, perlu dicantas oleh para aktivis politik Pakatan Rakyat secara kolektif dan sepakat, sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebolehmampuan Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Malaysia yang baru.

Beberapa isu yang saya kemukakan di atas menjadi di antara fokus sosio-ekonomi dan politik agenda reformasi yang memerlukan pra-syaratnya. Antaranya adalah kelahiran insan yang merdeka yang mampu mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabaran-cabarannya.

Manusia yang berkuasa boleh mempunyai agenda dan kemahuannya tersendiri. Hanya insan yang mengongkong dirinya terhadap prinsip dan nilai yang diredai oleh Allah swt. akan merasai kebebasan yang hakiki.

Itulah insan berkuasa yang merdeka, yang mampu mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabarannya dengan tertib, semangat, sensitiviti dan langkah tanpa menggadaikan sebarang prinsip dan nilai dan merosakkan keintegritian perjuangan reformasi.

Merdeka!

* Rodziah Ismail adalah ADUN Batu Tiga Shah Alam

Categories
SELANGOR

10,000 rai sambutan kemerdekaan ke-57 peringkat Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 OGOS : Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat Selangor di Dataran Shah Alam dirai penuh patriotik namun sederhana bagi menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan kehilangan MH370.

Bertemakan “Selangorku Sejahtera, Rakyat Terbela” penghayatan sambutan Hari Kemerdekaan dapat dirasai di Selangor meskipun negara masih berada dalam suasana sedih ekoran tragedi malang itu.

MerdekaBerbanding tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak mengadakan pertunjukan bunga api mahupun konsert meriah pada malam sambutan Ambang Merdeka kali ini sebagai tanda penghormatan kepada waris mangsa MH17.

Sebaliknya acara tahun ini dimulakan dengan majlis tahlil kemerdekaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat malam, manakala sambutan ambang merdeka hanya diisi dengan nyanyian lagu patriotik dari artis tempatan.

Selain sambutan kemerdekaan, Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Hari Belia 2014 turut diraikan dalam majlis sama.

Hujan renyai yang turun tidak langsung menghalang lebih 10,000 orang untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

Hadirin turut dijamu dengan aneka juadah Aidilfitri selain berpeluang bertemu, bersalaman dan beramah mesra dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

IMG_2086Hadir sama memeriahkan majlis, isteri keada Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan ahli Exco Selangor.

Selain nyanyian lagu patriotik, orang ramai juga berpeluang menyaksikan perarakan perbarisan dari lebih 50 kontinjen antaranya Rejimen Askar Melayu Diraja, Jabatan Imigresen Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.

Selain itu, sambutan kali ini menyuntik sedikit kelainan apabila perarakan Sahabat Grand Livina, kereta mini, basikal “tua” dan motorsikal berkuasa tinggi turut mengambil bahagian dalam perarakan merdeka.

Sebaik sahaja tepat jam 12 malam, orang ramai melaungkan seruan “merdeka” dan menyanyikan lagu Negaraku, Negeri Selangor dan Tanggal 31 yang pernah dipopularkan allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Kukuh perpaduan & pelihara keharmonian masyarakat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 OGOS : Rakyat Selangor diingatkan supaya sentiasa menjalin hubungan baik sesama kaum sebagai usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hubungan kukuh di kalangan masyarakat secara tidak langsung mampu menghindar sikap menghina atau mencela agama dan amalan budaya kaum lain.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Beliau berkata kurangnya pengetahuan serta kefahaman sebilangan rakyat terhadap agama dan budaya antara kaum boleh menyebabkan perpaduan di kalangan masyarakat sukar dicapai.

“Dalam masyarakat majmuk perpaduan adalah tunjangnya, hubungan baik antara kaum adalah keutamaannya, kerjasama dan tolak ansur adalah syaratnya manakala menghina bangsa, agama dan budaya adalah pantangnya.

“Oleh itu, semua pihak perlu terus memberi kefahaman tentang ajaran Islam agar tidak terus dihina dan dicaci kerana umat Islam sendiri dilarang menghina atau mencerca berhala atau sembahan agama selain Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ulangtahun ke-57 Kemerdekaan di Dataran Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut meminta semua pihak supaya menghormati institusi raja berperlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor (1959) termasuk menghormati pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, adil dan berintegriti.

“Saya perlu menyentuh hal ini kerana akhir-akhir ini terdapat pula pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mempersoalkan hak mutlak Sultan atau institusi beraja Selangor dan Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.

Sambutan malam kemerdekaan peringkat negeri Selangor yang bertemakan “Selangorku Sejahtera, Rakyat Terbela” disambut penuh patriotik namun sederhana dengan dihadiri kira-kira 10,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain sambutan merdeka, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Belia 2014.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM200,000 kepada Yayasan Amal Malaysia bagi membantu penduduk Palestin yang berdepan serangan rejim zionis Israel pada Julai lalu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan MB sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-57

Selangorku Sejahtera Rakyat Terbela

Assalamualikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh, dan Salam Kemerdekaan.

Alhamdulillah, dengan kehendak Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, kita berpeluang lagi menyambut  kedatangan tarikh keramat, 31 Ogos dengan rasa syukur dan bangga.

MBSA edar bendera (1) (1)Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah pembebasan Tanah Melayu atau Malaya daripada penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British;

Lantas di bumi pertiwi yang merdeka ini kita bersama meneroka dan mengurus kehidupan  duniawi yang diberkati.

Bagi diri saya dan mereka yang seusia, kami berkesempatan melalui kelumit  peristiwa menjelang kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.  Di bumi tercinta ini, dari generasi ke generasi, berputiknya cinta kita terhadap bangsa, agama dan negara.

Bagi pengetahuan rakyat khususnya warga kelahiran era pascamerdeka, sebenarnya, kira-kira 500 tahun lalu,  Kerajaan Melayu Melaka, dari tahun 1390-an hingga tahun 1511, adalah sebuah empayar yang luas dan makmur, mencakupi kawasan Tanah Melayu, Patani, Sumatera, Rokan, Siak, Inderagiri dan Jambi. Hubungan perdagangan dan diplomatiknya merangkumi Asia Tenggara, Negara-Negara Arab, Eropah, India dan China.

Namun, pertembungan kuasa-kuasa Eropah seperti Portugis, Belanda dan British, akhirnya  memberi laluan kepada Portugis untuk menawan Kerajaan Melayu Melaka pada 1411.

Pada masa yang sama Belanda  memperluas pengaruh dan kuasa di rantau Asia Tenggara dan begitu juga dengan British.

Usaha penjajah itu lantas menyedarkan raja-raja dan rakyat Melayu,  lantas mereka memulakan perjuangan secara individu dan berkumpulan, untuk membebaskan  negeri-negeri Melayu daripada terus dijajah kuasa asing.

Dalam siri perjuangan itu bukan sedikit titisan air mata dan tumpahan darah di hujung senjata yang tidak setanding dengan kelengkapan pihak penjajah.

Kemuncak perjuangan dan perundingan adalah pengisytiharan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, seterusnya  enam tahun kemudian terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963.

Merdeka adalah segala-galanya!
Merdeka adalah kebebasan jasmani dan jiwa
Merdeka adalah kebebasan minda dan kata
Merdeka adalah kebebasan mencipta dan berkarya
Merdeka adalah kebebasan memilih pemimpin
Merdeka adalah kebebasan menyisih pemimpin;

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Pelbagai pergolakan dan peristiwa turut mempengaruhi dan mendatangkan kesan terhadap pembentukan dasar, plaksanaan corak dan gaya tadbir urus negara yang diusahakan oleh kalangan pemimpin, pentadbir dan pengusaha daripada anak-anak watan.

Sedarlah bahawa kemerdekaan itu ada batas dan etika:
Rujuklah Rukunegara
Tanyalah Pujangga
Tanyalah Cendekia
Tanyalah Sasterawan Negara!

Lumrah kehidupan di negara yang merdeka, antara lain mewajarkan setiap warga bebas beragama, bebas mengemukakan pandangan, wajar mendapat layanan yang adil dan berhak menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.

Dalam hal ini, tidak harus wujud di pihak kepemimpinan kerajaan yang berkuasa untuk melebihkan habuan kepada kaum-kaum tertentu, jauh sekali bersikap menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah untuk mengayakan diri, sanak saudara atau kroni.

Seperkara lagi, isu lazim yang terus dibangkitkan setiap tiba  ulang tahun hari kemerdekaan negara ini adalah  perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini.

Antara puncanya, mungkin disebabkan kurang pengetahuan sebilangan rakyat terhadap sejarah kemerdekaan sebagaimana yang nukilkan di atas, dan  kurang kefahaman terhadap agama dan budaya antara kaum.

Dalam masyarakat majmuk, perpaduan adalah tunjangnya
hubungan baik antara kaum adalah keutamaannya
kerjasama dan tolak ansur adalah syaratnya
menghina bangsa, agama dan budaya adalah pantangnya.

Oleh itu kalangan pemimpin, pendakwah, guru, termasuk ibu bapa perlu terus  memberi kefahaman tentang ajaran Islam agar tidak terus dihina dan dicerca.

Misalnya umat Islam sendiri dilarang menghina atau mencerca  berhala atau sembahan agama selain Islam. Ajaran ini adalah juga sebenarnya bagi mematuhi peringatan Allah dalam al-Quran, surah al-An’am, ayat 108, iaitu Allah mengingatkan manusia supaya tidak mencerca sembahan agama lain kerana dikhuatiri manusia ini kelak menghina Allah disebabkan mereka kurang makluman atau pengetahuan.

Saya berharap supaya generasi sekarang dan seterusnya berusaha mengukuhkan konsep bangsa Malaysia yang padu dan tahan uji lantaran anda semua melalui proses pendidikan kebangsaan di negara merdeka.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Di negeri Selangor, penduduk majmuknya kini lebih 5.7 juta orang, iaitu jumlah tertinggi di Malaysia. Saya dan barisan pemimpin sentiasa berusaha bagi menjadikan  negeri Selangor Darul Ehsan ini menjadi contoh pentadbiran yang terkehadapan dalam hal membentuk negara bangsa yang sejiwa dan sekata.

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri  melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” dengan menyalurkan pelbagai program, skim dan insentif kepada pelbagai segmen dalam masyarakat majmuk secara adil dan saksama.

Pendek kata, sehingga kini, hampir empat juta orang rakyat Selangor dengan peruntukan melebihi RM1 billion telah menikmati limpahan kemajuan negeri ini  menerusi satu atau lebih daripada 20 program atu insentif Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Usaha ini semua adalah bertujuan mengagihkan kembali limpahan daripada kemajuan negeri kepada rakyat supaya dinikmati bersama. Bahkan usaha ini bertujuan memberi erti sebuah kemerdekaan apabila kalangan pemimpin dan seluruh rakyat bersama berusaha mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan serta kemakmuran negeri Selangor yang  termaju dan terkaya di Malaysia.

Penduduk di Selangor juga bertuah kerana dipayungi oleh pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan yang prihatin, bijaksana dan mesra rakyat jelata. Urusan perniagaan dan perdagangan bertambah maju, ajaran Islam  disanjung diimarah di masjid dan surau; manakala agama dan budaya lain turut dibiaya,  dijaga.

Seperkara lagi, saya mahu berpesan kepada rakyat negeri ini khususnya agar terus berusaha mengenal dan bersahabat dengan kaum-kaum lain kerana cara ini dapat mengukuhkan perpaduan.

Dalam al-Quran, surah al-Hujarat, ayat 13, yang antara lain bermaksud bahawa Allah menjadikan manusia lelaki dan perempuan, dan berbangsa-bangsa, supaya saling mengenal…

Kita juga perlu  menghormati institusi raja berperlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, termasuk menghormati pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, adil dan berintegriti.  Saya perlu menyentuh hal ini kerana akhir-akhir ini terdapat pula pihak tertentu yang  menggunakan  media sosial untuk  mempersoalkan hak mutlak Sultan atau institusi beraja Selangor dan Raja-Raja Melayu.
Rakyat Selangor yang saya sayangi,

Oleh itu, di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada kalangan penjawat awam dan seluruh lapisan rakyat yang bekerja bersama saya sejak Mac 2008, untuk mentadbir urus kerajaan negeri ini dengan penuh berhemat, berhemah dan berintegriti bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang kita kasihi.

Saya memohon ampun dan maaf seandainya tutur kata dan tingkah laku serta keputusan dan tindakan saya tidak disenangi atau dipersetujui oleh rakyat Selangor sekalian. Semoga Allah sentiasa memberikan perlindungan dan kesejahteraan kepada kita semua.

Sekianlah sahaja. Terima kasih. Wassalamualaikum Warahamatullahi wabarakatuh, dan Salam Perpaduan.  Selangorku Sejahtera Rakyat Terbela.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Categories
SELANGOR

Selangor anjur sambutan merdeka, rumah terbuka dan Hari Belia serentak 30 Ogos

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-57 akan dianjurkan Kerajaan Selangor pada Sabtu ini bermula jam 8.00 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata selain sambutan kemerdekaan, Kerajaan Negeri turut mengambil peluang menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang sepatutnya berlangsung 1 Syawal lalu tetapi dibatalkan susulan tragedi pesawat MH17.

MBKatanya sambutan berkenaan turut dipanjangkan ke hari berikutnya dengan penganjuran Hari Belia peringkat negeri Selangor di lokasi yang sama.

“Pelbagai acara diatur bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-57 seperti kawad perbarisan yang disertai agensi-agensi kerajaan, anak-anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan, badan beruniform, pelajar-pelajar sekolah dan badan bukan kerajaan.

“Manakala bagi sambutan Hari Belia, acara menarik yang disediakan adalah seperti sambutan ulang tahun Kereta Mini ke-55, pameran motor, sukan lasak dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Justeru katanya orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan, Rumah Terbuka Aidilfitri dan Hari Belia peringkat negeri.