Categories
AGENDA NASIONAL

MB pengerusikan mesyuarat MMKN dalam talian

SHAH ALAM, 30 SEPT: Dato’ Menteri Besar hari ini memulakan tugas dari rumah dengan mempengerusikan mesyuarat EXCO secara maya kerana masih menjalani kuarantin.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Facebook memaklumkan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa dan disesuaikan dengan norma baharu.

“Mesyuarat disertai dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang telah mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” tulisnya.

Setelah pulang dari Sabah beberapa hari lalu, Amirudin menjalani kuarantin di kediaman rasmi tetapi keputusan ujian saringan semalam menunjukkan beliau negatif, namun mengambil keputusan untuk bertugas dari rumah beberapa hari lagi.

Pejabat Dato’ Menteri Besar semalam menyatakan beliau akan memimpin mesyuarat pentadbiran negeri secara dalam talian sehingga 4 Oktober.

Kenyataan itu juga memaklumkan sebarang program beliau yang membabitkan orang ramai akan diwakilkan kepada EXCO berkenaan.

Beliau juga akan menjalani saringan Covid-19 secara berkala untuk memastikan dirinya bebas jangkitan sebelum kembali bertugas.

Amirudin berada di Sabah sejak 22 September lalu bagi membantu jentera Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya negeri.

Kementerian Kesihatan mewajibkan individu yang pulang dari Sabah antara 27 September hingga 10 Oktober melakukan saringan Covid-19 dan menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sokong operasi pemutihan Pati terbesar – MB

exco

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri menyokong langkah pihak berkuasa memburu kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara, bermula 1 September.

Operasi itu merupakan operasi pemutihan terbesar yang pernah digerakkan oleh Jabatan Imigresen.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menjadi negeri tumpuan operasi ini yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dilaporkan mempunyai jumlah pendatang asing yang sangat tinggi.

Jelasnya Kerajaan Negeri berharap operasi ini mampu membantu pihaknya mengenal pasti jumlah sebenar Pati di Selangor.

“Kita amat memerlukan kerjasama supaya darinya kita boleh menguruskan soal keselamatan dan segala sumber berkaitan dengan pendatang asing,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Dilaporkan Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi ini, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 135,000 anggota akan terlibat dalam proses pemutihan yang digerakkan di seluruh negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir

Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan menangguhkan penghantaran 95 pelajarnya ke Mesir sehingga situasi keselamatan terjamin.

Kerajaan Negeri turut memutuskan akan menempatkan pelajar terlibat yang mengikuti pengajian jurusan agama ke Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai pilihan alternatif.

Kerajaan Negeri juga menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian asasi sains di Universiti Selangor (Unisel).

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sebelum ini bersetuju untuk menaja mereka ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,”katanya.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tengahari tadi.

Kerajaan Negeri juga meminta agar pihak ibu-bapa dan orang ramai yang terlibat agar bertenang dan berdoa  semoga situasi yang berlaku di Mesir itu akan pulih dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari masa ke semasa terutama berkaitan keselamatan pelajar Selangor di Mesir,” ujar Dr Halimah lagi.

Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih rakyat digulingkan Tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa baru-baru ini.

Tindakan tersebut mendapat bantahan jutaan rakyat Mesir dengan mengadakan demontrasi besar-besaran.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila pihak tentera baru-baru ini menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan tersebut dan sekaligus menimbulkan suasana tidak selamat di negara itu.