Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Menanti, Baru Kini Jambatan Sg Delek Siap

Sg Delek 01

KLANG 29 APRIL : Penantian lebih 20 tahun penduduk sekitar Selat Klang khususnya Kampung Delek untuk mendapatkan sebuah jambatan berakhir apabila ia sudah siap sepenuhnya.

Jambatan yang diberi nama ‘Mini Serambi Mekah’ itu menelan kos sebanyak lebih RM3.4 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Klang(MPK).

Calon DUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata jambatan berkenaan akan dapat menyelesaikan banyak masalah perhubungan penduduk.

Katanya, sebelum ini penduduk hanya menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu masa.

“Jadi, bila waktu puncak pagi dan petang, ia sangat sesak malah ia tidak boleh dilalui kenderaan berat. Dengan adanya jambatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baru itu, di sini.

Sg Delek 02

Beliau berkata dengan adanya jambatan itu ia juga dapat memudahkan penduduk sekitar membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana tiada jambatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Delek, Samsul Bahri berkata keprihatinan Kerajaan Negeri itu sangat dihargai penduduk kampung.

“Saya sebagai wakil penduduk sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YB dan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, ia dapat sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemalangan selain tidak lagi terpaksa mengikut jalan jauh lebih 10 kilometer jika untuk ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Projek yang dimulakan pada awal Januari lalu itu meliputi pembinaan jambatan dan jalan sepanjang 1.2 kilometer yang mempunyai laluan dua hala.

Jambatan itu dibina di atas Sungai Telok Gadung dan Jalan Sri Perantau Kampung Delek berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan. Ia meliputi penyediaan jalan raya baru.

Sg Delek 03