Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kerajaan jangka umum pelan induk ekonomi digital Oktober

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Kerajaan menjangka mengumumkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Oktober depan sebagai satu inisiatif mengembangkan semua sektor termasuk bukan pembuatan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pada tahun lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memperkenalkan dasar Industry4WRD, tetapi ia hanya melibatkan sektor pembuatan.

“MITI telah membuat keputusan untuk mengembangkan dasar tersebut kepada bidang bukan pembuatan.

“Jadi, kerajaan telah hampir habiskan kajian mengenai Revolusi Industri 4.0 ini, dan ia akan dicantumkan dengan ekonomi digital,” katanya selepas melancarkan majlis Program “Menjana Ekonomi Digital @ Pasarman.com” di sini, hari ini.

Mustapa berkata dengan adanya pelan tersebut, sudah pastinya sektor lain akan dapat diperkembangkan dengan lebih pesat lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Konflik AS-China tidak jejas dagangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China sejak awal 2018 tidak memberikan impak besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 ialah RM80.41 bilion meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh sama 2019.

Nilai eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepada RM46.15 bilion dan import pula bernilai RM34.26 bilion meningkat 4.1 peratus.

Hampir 80 peratus eksport Malaysia ke AS disumbang produk elektrik dan elektronik, produk keluaran getah, peralatan optikal dan saintifik, produk keluaran kayu serta produk perkilangan lain.

Produk yang menyumbang kepada 76 peratus import dari AS adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan bahan kimia, mesin dan peralatan, peralatan optikal dan saintifik serta produk perkilangan logam.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

Eksport Malaysia ke China pada tempoh sama bernilai RM69.43 bilion meningkat pada kadar 8.3 peratus disokong eksport utama iaitu elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, produk petroleum, pembuatan logam serta barangan perkilangan yang lain.

Import pula menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion, di mana import utama merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan bahagian, kimia dan produk kimia, produk petroleum serta pembuatan logam.

“Prestasi perdagangan Malaysia sedikit merosot bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh sama 2019,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik Covid-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.

Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan wabak itu.

“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.

Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan Covid-19 masih berterusan, Miti menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.

Antaranya memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Memanfaatkan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeli berpotensi dengan syarikat pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan diadakan iaitu 395 pembeli asing dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan RM461.35 juta.

Selain itu menerusi tinjauan dilakukan, Matrade memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANA.

MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, seiring hasrat kerajaan meringankan beban kewangan dialami syarikat pengeksport Malaysia.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat diproses dengan geran RM14.56 juta disalurkan,” kata kementerian itu.

Menurut Miti, Matrade juga mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu platform khidmat nasihat perdagangan membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkan operasi dan perancangan eksport syarikat.

Sebagai permulaan, Matrade dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Electrical and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagi syarikat elektrikal dan elektronik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PBT Selangor tidak halang operasi syarikat diluluskan MITI

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak menghalang operasi syarikat atau kilang yang sudah mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata pihaknya tetap memantau operasi mereka supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kerajaan seperti digariskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PBT tidak akan menghalang sekiranya kilang mendapat kelulusan MITI. Bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan untuk memastikan mereka mematuhi SOP. Pemantauan juga dilakukan setiap hari sehingga tengah malam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata pihaknya menerima kira-kira 10 aduan dalam kalangan operator pengeluar barangan elektronik yang dilarang PBT untuk terus beroperasi tanpa sekatan masa, mulai hari ini.

Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi ketika PKP boleh menjalankan aktiviti secara kapasiti penuh tanpa sekatan sebarang sekatan masa.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada kewajipan syarikat berkaitan untuk mematuhi syarat SOP yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat dibenar beroperasi perlu patuhi SOP, wajib saring pekerja

SHAH ALAM, 16 APRIL: Syarikat dalam  sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajib mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), kata menteri kanan (Ekonomi).

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia termasuk memastikan semua pekerja menjalani saringan Covid-19  melalui lebih 3,000 klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara.

“Pihak syarikat tidak perlu bimbang kerana kos saringan Covid-19 bagi semua pekerja terbabit akan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Selain itu, beliau berkata industri pembinaan juga perlu patuh kepada syarat Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) termasuk mengurangkan bilangan pekerja pada tahap minimum atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah sedia ada.

Beliau berkata kebenaran operasi syarikat yang gagal mematuhi prosedur dan peraturan akan dibatalkan malah ia dianggap jenayah dan berdepan tindakan undang-undang.

“Perbuatan syarikat melanggar prosedur sepanjang PKP adalah satu kesalahan jenayah, sekali gus dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Kebenaran buka kedai gunting rambut hanya di zon hijau

SHAH ALAM, 12 APRIL: Cadangan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, hanya membabitkan kawasan zon hijau Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ketika memaklumkan perkara itu turut menjelaskan setiap pengusaha kedai gunting rambut perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

“Daripada apa yang kita dimaklumkan oleh Miti, bukan bermakna bila umum (kedai gunting rambut beroperasi) automatik akan dilaksanakan, saya difahamkan ada proses permohonan, tak semestinya yang memohon akan diterima atau ditolak.

“Keputusan akan dibuat oleh Miti, lebih-lebih lagi cadangan di kawasan zon hijau saja, bagaimanapun perinciannya akan dikeluarkan oleh Miti nanti,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menerima pandangan rakyat termasuk kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

“Miti akan teliti dan perhalusi, kita serah kepada pihak Miti, biar mereka keluarkan kenyataan untuk beri penjelasan,” katanya.

Kelmarin, Miti mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Bagaimanapun ia menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: MITI teliti semula benar operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan membenarkan khidmat gunting rambut beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu kerana tindakan tersebut bukan sahaja dipertikai malah dikritik orang ramai terutama di media sosial.

“Kita dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semua pandangan rakyat serta memperhalusi perkara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan kelonggaran ke atas sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Antara yang dibenarkan adalah seperti perkhidmatan gunting rambut, dobi, industri automotif, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan kesihatan sosial.

Categories
NASIONAL

Perdagangan Malaysia pada April dijangka bertambah baik

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Angka perdagangan Malaysia pada April dijangka bertambah baik walaupun ketegangan perdagangan global semakin buruk, khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

“Terdapat sedikit penurunan dalam prestasi keseluruhan import dan eksport Malaysia, tetapi kami mengambil perhatian bahawa kadar penurunan perdagangan pada Februari lebih tinggi daripada Mac, apabila kita lihat pada perbandingan tahun ke tahun, Mac bertambah baik berbanding Februari

“Itu mungkin menandakan angka perdagangan mungkin bertambah baik lagi pada April,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SEMICON Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Ong berkata, kenyataan terbaru Presiden AS Donald Trump berhubung rundingan perdagangan tidak akan menjejaskan jumlah sebenar perdagangan Malaysia bagi jangka pendek.

“Untuk impak selanjutnya ke atas Malaysia, kami perlu tunggu dan lihat apa dasar sebenar akan diumumkan oleh kerajaan AS dan kerajaan China daripada perspektif tarif,” katanya.

Reaksi pasaran merupakan jangka pendek dan jika esok China dan AS mengumumkan resolusi positif, pasaran akan meningkat, katanya.

Eksport Malaysia merosot 0.5 peratus kepada RM84 bilion pada Mac 2019 daripada setahun sebelumnya berikutan jualan produk elektrik dan elektronik dan barang berasaskan komoditi negara berkurangan.

Perdagangan negara pada Februari 2019 menyusut 7.2 peratus kepada RM122.15 bilion berbanding pada Februari 2018.

Ong berkata dalam jangka masa panjang, ketegangan berlarutan antara dua ekonomi besar itu adalah tidak positif kepada Malaysia kerana negara amat bergantung kepada perdagangan dengan kedua-dua negara.

“Sebarang kesan negatif terhadap perdagangan antara AS dan China akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada perdagangan Malaysia secara keseluruhan. Kami berharap akan ada keputusan positif supaya perang tarif ini dapat dielakkan, “katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud berkata agensi itu mengharapkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM13 bilion dalam segmen elektrik dan elektronik untuk 2019.

“Angka itu berdasarkan pada pelaburan domestik dan asing dan sama ada ketegangan perdagangan antara AS dan China masih merupakan isu yang berlarutan, tetapi kami tidak dapat meramalkan masa depan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Naik taraf RTO hadapi cabaran dunia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APRIL: Organisasi penyelidikan dan teknologi (RTO) disaran menaik taraf perkhidmatannya dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia masa kini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI), Hairil Yahri Yaacob berkata, beberapa tuntutan baharu perlu dipenuhi antaranya pengeluaran, penggunaan mampan, perubahan iklim, kesihatan dan keselamatan makanan.

“Bagi terus mengatasi persaingan dalam persekitaran perniagaan yang terus berubah dan berkembang ini, RTO perlu semakin maju selaras dengan usaha untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka.

“RTO mesti memperkemaskan strategi mereka dan membangunkan model perniagaan baharu supaya dapat mengekalkan operasi penyelidikan mereka.

“Mereka mesti meningkatkan tahap kecekapan, produktiviti dan kualiti mereka untuk meningkatkan daya saing,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Modal Insan SIRIM-WAITRO di Hotel Concorde, di sini.

Hairil berkata, kolaborasi dan rangkaian global untuk multikultural inovasi itu membolehkan penyelesaian baharu yang memberikan nilai tambah terhadap pembangunan ekonomi.

Menerusinya, beliau berharap pelbagai landasan untuk menjana lebih banyak peluang perniagaan akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan persekitaran perniagaan domestik serta global.

Pada masa sama, Hairil berkata, kerajaan yakin bahawa pengenalan dasar berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) akan menjadikan industri berdaya saing dalam menghadapi cabaran berkenaan terutama penggunaan teknologi kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Sebelum ini, seiring polisi kerajaan berkenaan IR 4.0, SIRIM memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk pengilangan pintar iaitu hab kerjasama bagi pemain industri, pemegang taruh, institusi penyelidikan dan pengajian tinggi untuk menjalin kerjasama ke arah IR 4.0.

Tiga program yang dilaksanakan di pusat kecemerlangan itu ialah standard kebolehpasaran, pembangunan kecekapan dan penggunaan teknologi IR4.0.

Categories
NASIONAL

Tiada had bilangan lesen import terbuka yang akan diluluskan

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Tiada had bagi bilangan Lesen Import (AP) yang akan diluluskan sepanjang tahun di bawah dasar baharu AP terbuka yang dilaksanakan bermula 1 Januari lalu, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, syarikat boleh memohon AP tambahan berdasarkan kepada prestasi jualan mereka.

“Buat masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana mereka perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian ahli,” katanya.

Pelaksanaan itu adalah sejajar dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar tersebut dengan beberapa penambahbaikan termasuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai industri itu.

Objektif dasar baharu itu untuk menggalakkan pembangunan usahawan baharu Bumiputera dalam industri automotif serta memastikan dasar terbabit terus menyumbang kepada matlamat sosio ekonomi negara.

Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan.

Kementerian itu berkata, ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI tmenerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP terbuka.

Setelah penilaian dibuat, yang turut membabotkan kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat, iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.

MITI berkata, ia akan terus memantau dan mengaudit syarikat AP terbuka.

Di bawah dasar baharu itu, jika terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik atau membekukan AP yang diperuntukkan dan diluluskan.

MITI juga akan menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperolehi AP terbuka, pada masa hadapan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.

Tahun lalu, MITI menyenarai hitam sembilan syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat AP terbuka yang ditetapkan.

Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

MITI berkata syarat semasa berhubung kelayakan sebagai syarikat AP terbuka dan senarai terkini syarikat yang dilantik sebagai syarikat AP terbuka boleh dirujuk di portalnya, www.miti.gov.my.

MITI mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas berhubung isu berkaitan penjualan AP terbuka kereta atau motosikal.

E-melkan aduan kepada [email protected] dan identiti pengadu akan dirahsiakan. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Misi MITI ke Korea Selatan jana jualan berpotensi RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Seoul, Korea Selatan dari 18-20 Oktober telah menjana jualan berpotensi bernilai RM1 bilion.

MITI berkata misi perdagangan itu yang diketuai menterinya Datuk Darell Leiking disertai 54 delegasi yang terdiri daripada ahli exco kerajaan negeri Johor, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang serta agensi pelaburan/kerajaan negeri dari Johor, Melaka, Terengganu, Sabah, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

“Sejumlah 137 mesyuarat perniagaan individu telah diaturkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini,

Misi itu juga berjaya memperoleh pelaburan berpotensi bernilai RM711.4 juta daripada empat syarikat yang kebanyakannya tertumpu dalam kepakaran kimia, elektrik dan elektronik dan perkakas rumah.

Syarikat-syarikat itu termasuklah Dongjin Semichem yang merancang melabur RM499.2 juta, Cuckoo Homesys Co. Ltd (RM104 juta), CORE Tech Co. Ltd (RM74.9 juta) dan YoungReem Tech Co. Ltd. (RM33.3 juta).

Menurut MITI, semasa misi itu, Leiking juga bertemu dengan Naib Menteri bagi Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, Cheong Seung-il dan membincangkan pelbagai kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Mereka juga membincangkan potensi kerjasama di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0 dan bidang industri halal serta sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan perkakas perubatan, kata kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

MITI akan tambah baik insentif pelaburan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menambah baik insentif pelaburan yang akan memberikan keputusan menang-menang kepada pelabur dan negara, kata menteri berkenaan Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata kerajaan dijangka mengumumkan insentif tersebut semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November ini.

“Kita mesti mengkaji beberapa insentif, namun ia mesti mengikut kemampuan kita dan baik untuk pelabur,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Pelabur Malaysia: Permulaan Baharu 2018 (Malaysia: A New Dawn Investors Conference 2018) di sini hari ini.

Ditanya mengenai bidang utama pelaburan baharu di negara ini, Darell berkata Malaysia perlu menceburi sektor ekonomi digital berikutan banyak bakat tempatan dengan idea-idea perniagaan bagi meningkatkan sektor tersebut.

“Kita melihat ramai rakyat Malaysia menjalankan perniagaan di luar negara, namun mereka kembali ke Malaysia untuk berkhidmat. Justeru, sambil mengekalkan industri sedia ada, kita juga mesti menuju ke arah ekonomi digital,” katanya.

Darell berkata MITI akan mengadakan mesyuarat berhubung pembangunan ekonomi digital tidak lama lagi apabila kementerian tersebut mempengerusikan Majlis e-Dagang Kebangsaan.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

MITI patut kemuka laporan analisis TPPA

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 OKT: Kegagalan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengemukakan laporan analisis kos dan faedah menjadi antara punca Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM) menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Bekas Eksekutif MTEM, Aliff Basri, berkata isu TPPA melangkaui aspek rakyat dan kaum meskipun badan itu merupakan antara NGO yang berperanan terhadap kepentingan usahawan kecil serta peniaga bumiputera khususnya orang Melayu.

TPPA“Kajian hasil kos faedah sudah dua tahun kita minta dan bertanya kepada MITI tetapi reaksinya lambat.

“Setelah kita desak akhirnya mereka bersetuju untuk membuat kajian berkenaan,” katanya selaku panelis dalam forum ‘TPPA: Malaysia Dijual?’ anjuran Gabungan Rakyat Merdeka.

Beliau menegaskan penolakan terhadap TPPA bukan disebabkan andaian semata-mata bahkan kenyataan yang meminta semua pihak menunggu butiran lengkap dibentangkan terlebih dahulu sebelum dipertikaikan disifatkannya tidak wajar.

Jelasnya, TPPA hanya mewujudkan cabaran persaingan sumber diantara negara membangun dan negara maju.

EZY