Categories
PBT SELANGOR

Tindakan perundangan kilang gagal buat pemutihan

KLANG, 11 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesan sebanyak 800 kilang beroperasi tanpa kebenaran di daerah ini termasuk berdekatan sungai.

Timbalan yang dipertuanya berkata semua premis tersebut gagal memenuhi syarat teknikal seperti status syarat tanah, pengezonan atau kebenaran merancang.

Menurut Elya Marini Darmin, kilang berkenaan gagal memberi kerjasama meskipun diberi tempoh sehingga Disember tahun lalu untuk menyertai program pemutihan.

“Justeru tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara bersepadu mengikut peruntukan perundangan,” katanya pada operasi meroboh kilang papan tanpa kebenaran di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang pagi tadi.

Sementara itu, beliau berkata kilang yang dibina atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan bukan punca pencemaran sungai.

Setakat November lalu, sebanyak 5,589 kilang dikesan beroperasi tanpa kebenaran di seluruh negeri dengan 869 daripadanya terletak di hilir sungai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memberi tempoh sehingga 31 Disember 2020 untuk semua kilang melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Denda RM1,000 premis niaga gagal sedia tong sampah

KLANG, 23 FEB: Peniaga yang gagal menyediakan tong sampah di premis masing-masing boleh dikompaun sehingga RM1,000, tegas Majlis Perbandaran Klang.

Pengarah Perkhidmatan Persekitarannya Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata tindakan itu bagi mengatasi masalah premis kotor yang masih berulang.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana penyediaan tong sampah antara syarat memohon lesen, justeru kita akan pantau dari semasa ke semasa selain melaksana penguatkuasaan,” katanya menambah kesalahan disabit mengikut Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, wakil rakyat Sentosa Dr Gunaraj George memaklumkan notis pemberitahuan untuk menyediakan tong sampah dihantar kepada peniaga pada 18 Februari lalu.

Jelasnya, peniaga perlu menyediakan tong bertutup dengan isi padu 240 liter dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dihantar.

Categories
PBT SELANGOR

MPK tutup 37 kilang akibat langgar SOP

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup 37 kilang susulan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang dipertuanya berkata penutupan itu hasil pemeriksaan terhadap 104 premis itu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Klang sejak Mac tahun lalu sehingga Rabu lalu.

“Pemantauan yang lebih tegas diambil ke atas kilang berkaitan memandangkan pekerja dalam sektor ini menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 yang berlaku di Klang,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemantauan pematuhan SOP diperluaskan ke kawasan perkilangan setelah sektor berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kita membuat empat penilaian risiko sebelum mengambil tindakan iaitu risiko merebaknya Covid-19 di tempat kerja atau asrama pekerja serta faktor persekitaran dan manusia.

“Seterusnya ialah amalan kawalan kendiri di kalangan pekerja dan syarikat serta prosedur tindakan setelah berlaku kes di kalangan pekerja,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, MPK tangguh buka pasar pagi, tani

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kes tertinggi dicatat di daerah itu pada Khamis dengan 652 kes dan 456 pada Selasa.

“Melihat kepada perkembangan semasa kes Covid-19 yang semakin meningkat sepanjang satu minggu ini, kami memutuskan pembukaan pasar ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Namun, pasar awam di kawasan MPK masih dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MPK sentiasa memantau perkembangan status wabak terutamanya di kawasan pentadbirannya dari semasa ke semasa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, ia hanya beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

Categories
PBT SELANGOR

MPK arah kilang tak patuh SOP tutup seminggu

SHAH ALAM, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan sebuah kilang ditutup seminggu bermula semalam berikutan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) selain berpotensi menyebabkan penularan Covid-19.

Majlis berkata tindakan diambil selepas melihat premis tersebut gagal beroperasi mengikut arahan Majlis Keselamatan Negera dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pengilang tidak memberi kerjasama dalam menangani pandemik ini. Antara kesalahan adalah tiada saringan suhu badan dan penggunaan kod QR untuk pelawat memasuki premis.

“Pihak terlibat juga gagal membuktikan amalan penjarakan fizikal satu meter sekitar tempat kerja selain penggunaan cecair pembasmi kuman yang sangat minima,” katanya menerusi Facebook.

Menurut majlis lagi, premis terbabit juga gagal membuktikan deklarasi kesihatan pekerja dan pelawat di pintu masuk utama.

“Persekitan juga tidak bersih. Pengasingan pekerja positif Covid-19 dengan pekerja lain juga kurang memuaskan dengan penilaian risiko kadar pendedahan penyakit sebanyak 5.3 peratus,” katanya.

Semalam, MPK menerusi Jabatan Kesihatan melakukan operasi pantauan pematuhan SOP dan penilaian risiko ke beberapa premis dibenar beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK tutup pasar setiap dua minggu untuk nyahkuman

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup pasar borong dan awam di kawasan pentadbirannya setiap dua minggu untuk proses nyahkuman.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan inisiatif bermula November bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kerja nyahkuman ini melibatkan keseluruhan pasar dan kedai PKNS dalam kawasan MPK,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua premis perniagaan ditutup bermula hari ini hingga Isnin melibatkan Kompleks Pasar Besar Jalan Meru dan kedai PKNS Jalan Pasar Baru.

Dr Ahmad Fadzli berkata Pasar Pelabuhan Klang ditutup pada 1, 15 dan 29 Disember, Pasar Pandamaran (2, 16 dan 30 Disember) sementara Pasar Pekan Kapar (3, 17 dan 31 Disember).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MPK digesa turun kadar peratus setuju jaya skim komuniti berpagar, berpengawal

KLANG, 18 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) disaran menurunkan kadar peratusan bersetuju dalam kalangan penduduk bagi pelaksanaan skim komuniti berpagar dan berpengawal.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata penurunan sekurang-kurangnya 75 peratus berbanding 100 peratus akan membantu persatuan komuniti memperoleh memorandum kejiranan mereka agar skim itu dapat dipohon.

“Kerajaan Negeri ambil pendekatan agar MPK melihat semula garis panduan daripada kadar peratusan sedia ada atau 80 peratus persetujuan penduduk untuk pelaksanaannya.

“Hal ini penting bagi memastikan keselamatan di sesebuah kawasan kejiranan,” kata Rodziah Ismail selepas sesi Dialog Perbincangan Permasalahan Skim Perumahan Berpagar dan Berpengawal di Bandar Botanic Club House di sini hari ini.

Pada masa sama, Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin berkata pihaknya menyambut baik saranan itu dan akan dibincangkan.

“Cadangan ini akan dibawa ke dalam mesyuarat lembaga pengarah akan datang tetapi maklumat lebih terperinci kita tunggu daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK tekad perkukuh integriti, perangi rasuah

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertekad mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerja melalui pelaksanaan program memerangi rasuah.

Yang Dipertuanya berkata program meliputi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), ikrar integriti korporat (CIP) dan ikrar bebas rasuah (IBR).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjelaskan semua program terbabit mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MoU antara MPK dan SPRM bagi membanteras rasuah secara menyeluruh sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap integriti warga kerja kami.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjawab pertanyaan media selepas pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA2020) Peringkat Selangor di Bangunan MPK, Klang pada 9 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Program CIP pula bukan semata-mata menandatangani ikrar tetapi komitmen pengurusan MPK dalam memastikan kakitangan mempunyai integriti tinggi ketika melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa PBT Perangi Rasuah peringkat MPK di Dewan Raja Mahadi di sini hari ini.

Ahmad Fadzli berkata program IBR menekankan janji pihak pengurusan dan warga kerja secara sukarela untuk memastikan setiap individu lebih bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, program memerangi rasuah akan turut diperluas kepada peniaga dan pemegang lesen bagi membentuk budaya niaga berintegriti serta beretika.

“Rasuah dan penyelewengan akan menghalang pembangunan negara selain meluaskan jurang kemiskinan serta menjejaskan hasrat meningkatkan kualiti hidup sejagat,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS, MPK gempur kilang haram sebabkan pencemaran

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur kilang haram di Telok Gong, Pelabuhan Klang kelmarin.

Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hasil siasatan mendapati sisa buangan kilang itu dibuang ke saliran sehingga menyebabkan pencemaran.

“Tahniah JAS Selangor! Operasi bersepadu dengan MPK telah menggempur kilang haram di Telok Gong.

“Kilang ini menjalankan aktiviti penghancuran dan cucian plastik terpakai. Air sisa dibuang ke alur air sehingga menyebabkan pencemaran,” katanya di Facebook hari ini.

Susulan itu, kilang berkenaan disita mengikut peruntukan Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) berkuat kuasa 11 November.

Air sisa kilang haram di di Telok Gong, Pelabuhan Klang dibuang ke alur air. JAS Selangor dan MPK melakukan serbuan pada 11 November 2020. Foto Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
Categories
AGENSI SELANGOR

Jais, pejabat agama Klang santuni petugas penjara, MPK

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyumbangkan pelitup muka kepada 227 petugas Pusat Koreksional Puncak Alam minggu lalu.

Bantuan melalui Pusat Agama Islam Daerah (Paid) Klang turut membabitkan barangan kering selain makan malam selama tiga hari kepada petugas dan keluarga.

“Pemberian ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung petugas barisan hadapan. Mereka bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19,” kata agensi di Facebook.

Jais berkata Paid Klang turut menyumbang set pelindung diri (PPE) serta peralatan pembersihan termasuk cecair pembasmi kuman kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang sentiasa berusaha mengekang penularan virus.

“Seramai 250 kakitangan MPK juga menerima pek sarapan dan makanan tengah hari sebagai tanda sokongan kepada komitmen mereka,” katanya.

Pihak Paid Klang menyerahkan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan MPK pada 4 November 2020. Foto Facebook Jais
Categories
PBT SELANGOR

Kekang Covid-19, lebih 30 lokasi dinyahkuman di Klang

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan operasi nyahkuman di 33 lokasi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sejak 29 September hingga 21 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Azmi Muji berkata proses sanitasi awam melibatkan bangunan kerajaan, sekolah, premis perumahan termasuk beberapa kawasan tumpuan yang lain.

“Sebanyak 1,920 liter sodium hypochlorite digunakan dalam melakukan pembersihan nyahkuman dan bahan ini seperti disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi laporan semalam.

Beliau juga berkata pihaknya menjalankan beberapa siri taklimat dan demonstrasi kaedah sanitasi awam di premis kediaman serta perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, aktiviti tersebut dikhususkan kepada ketua kampung, agensi kerajaan, kontraktor pembersihan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain pemilik premis perniagaan serta institut pendidikan.

“Kita mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Covid-19 dan cara mencegah serta mengawal penyakit ini sekali gus memupuk rasa tanggungjawab untuk bersama membantu membanterasnya daripada terus merebak.”

Categories
AGENDA NASIONAL

MPK pasang CCTV, pantau pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram di Jalan Kebun Nenas, di sini.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pemasangan alat itu bagi memburu individu tidak bertanggungjawab selain mengelak kawasan terbabit dicemari sampah.

“Sampah haram di sini telah dibersihkan pada Jun namun didapati kejadian terus berlaku sehingga kini.

“Kita akan memasang CCTV dan membuat rondaan serta tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terlibat,” katanya memetik laporan Kosmo.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) Muhd Ali Zakariah meninjau lokasi pembuangan sampah haram tersebut.

Ahmad Fadzli berkata kerja pembersihan akan dijalankan dan kawasan itu dipasang tali pita bagi menghalang aktiviti berkenaan.