Categories
PBT SELANGOR

33 pasar malam sekitar Klang dibuka berperingkat bermula hari ini

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebanyak 33 lokasi pasar malam sekitar Klang dibuka secara berperingkat bermula hari ini, kata pengarah komunikasi korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Norfiza Mahfiz berkata dua pasar malam yang dibuka hari ini adalah di Bandar Sultan Suleiman dan Taman Kandis Permai bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

“Sebanyak 22 lagi pasar malam pula akan dibuka esok hingga Jumaat antaranya di sekitar Kapar dan Meru.

“Sembilan lagi pasar malam termasuk di kawasan Pulau Indah dibuka pada 25 dan 26 September. Semua peniaga dan pengunjung diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), seramai 5,072 peniaga pasar pagi dan malam dibenar menjalankan perniagaan bermula Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata jumlah itu melibatkan 3,721 peniaga pasar malam serta 1,351 peniaga pasar pagi.

“Setakat ini tiada pasar yang diarah tutup sejak memulakan operasi dan pemantauan dilakukan penguat kuasa MBSA dan juga petugas jabatan pelesenan.

“MBSA mohon kerjasama daripada pengunjung supaya dapat SOP yang ditetapkan supaya dapat mencegah serta memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel, MPK meterai MoU perkukuh pembangunan komuniti

SHAH ALAM, 8 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan pembangunan komuniti di Selangor.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Unisel berkata kerjasama dua hala itu adalah inisiatif semua pusat jaringan komunitinya dalam menyalurkan kepakaran pensyarah kepada MPK dan membantu mewujudkan Klang Sejahtera.

“Usaha itu termasuk kajian impak sosial ekonomi, penjenamaan, seni kreatif, pemuliharaan alam, penjanaan ekonomi, keusahawanan dan menjadikan “muzium hidup” Klang sebagai bandar Diraja.

“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pelajar dan ahli akademik Unisel menimba pengalaman latihan industri di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh kepada SelangorKini.

Beliau berkata, universiti itu turut merancang melaksanakan cakna komuniti Jelajah Klang 2021, membangun ‘Heritage Trail’ MPK, khidmat konsultansi menerusi penyelidikan analisis impak sosial dan kerjasama pemasaran program akademik Unisel.

MOU di antara kedua-dua pihak ditandatangani Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam majlis diadakan di Unisel kampus Bestari Jaya pada Isnin lalu.

Categories
PBT SELANGOR

MPK periksa 305 premis, keluar 86 kompaun sepanjang Ogos

SHAH ALAM, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen sepanjang Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Shahrul Hazri Abdul Majid berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 305 premis dalam tempoh sama.

“Selain itu, sebanyak 18 notis penutupan diberikan di bawah Seksyen 18(1) (F) Akta 342, lima dikenakan kompaun di bawah Akta 342, empat sitaan di bawah UUK3 PTPP, tiga sitaan di bawah UUK3 (1) Pem MPK 2007 dan satu sitaan di bawah UUK3 pusat siber.

“Seramai 282 penguat kuasa digerakkan menunjukkan kesungguhan MPK dalam menegakkan undang-undang tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Shahrul Hazri lagi, berkata pihaknya melakukan dua sitaan di sekitar blok PKNS, Jalan Pasar Baru 3 Off, Jalan Meru, Klang berniaga tanpa lesen MPK semalam.

“Penguat kuasa MPK juga membantu Ibu Pejabat Polis Klang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu serbuan di premis “bitcoin” di Jalan Bestari 6A, Bandar Bestari, Klang.

“Sejumlah 149 unit “server bitcoin”  satu unit komputer dijumpai dan premis ini disita serta rampasan dibawa ke stor pejabat penguat kuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPK agih 5,800 bantuan makanan, ringan beban golongan terjejas PKP

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyumbangkan 5,800 bakul makanan berupa keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan telur kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya menyedari kesukaran dihadapi mereka yang hilang mata pencarian disebabkan sekatan pergerakan dan ekonomi.

“Menjadi tanggungjawab MPK untuk peka kebajikan penduduk serta warga kerjanya kerana mereka merupakan sebuah keluarga perlu dijaga dan disokong dalam menghadapi wabak ini,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata pihaknya turut dibantu agensi lain iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menyediakan 500 set bantuan dan 300 bakul disumbangkan Klanggroup Holdings Sdn Bhd.

“Kerjasama ini menterjemahkan usaha kerajaan bersama pihak lain untuk meringankan beban rakyat dalam saat-saat sukar,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lokasi CAC Pelabuhan Klang pilihan tepat, proses laju mudahkan pesakit

PELABUHAN KLANG, 2 OGOS: Perpindahan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dari Dewan Sukan Taman Sri Andalas ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dianggap pilihan tepat kerana memudahkan urusan pengunjung.

Amir Yahya, 30, berkata dia merasai pengalaman di dua-dua lokasi itu dan menganggap CAC baharu itu lebih terurus dan tersusun.

“Saya ke Sri Andalas untuk pakai gelang pink. Dekat sini (Pelabuhan Klang) untuk potong gelang dan dapatkan pengesahan pelepasan.

“Sana (Sri Andalas) agak sesak, parkir pun susah mungkin disebabkan lokasinya di kawasan perumahan. Sini kawasan lebih luas dan tak campur penempatan penduduk,” katanya.

Khairul Hanif Mustafa, 35, pula berkata urusan di CAC baharu itu semakin sistematik selepas beberapa hari beroperasi.

Khairul Hanif Mustafa

“Jumaat lalu saya datang pakai gelang. Mungkin sebab baharu hari pertama jadi proses agak perlahan tapi hari ini urusan potong gelang lebih tersusun. Dalam tempoh 30 minit selesai semuanya,” katanya.

Sementara itu Samsudin Abdul Nun, 49, menyarankan orang ramai supaya bersedia memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mempercepatkan urusan.

Samsudin Abdul Nun

“Saya perlu mengambil masa kerana tidak ada SELangkah. Tambahan pula saya turut membawa anak untuk potong gelang.

“Jadi mengambil masa yang agak lama tetapi petugas banyak bantu. Urusan berjalan lancar,” katanya.

Bermula Jumaat lalu, CAC daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas dipindahkan ke dewan terbabit selepas penduduk Taman Sri Andalas membantah kerana lokasinya berhampiran kawasan perumahan.

Berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengenal pasti lokasi sesuai.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
PBT SELANGOR

Biak Aedes, pemilik pasar raya kena kompuan RM1,500

SHAH ALAM, 19 JULAI : Pemilik sebuah pasar raya di Sri Gombak, Batu Caves dikompaun RM1,500 kerana membiarkan persekitaran premis menjadi tempat pembiakan Aedes.

Pengarah jabatan korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata dalam operasi pada 15 Julai lalu, premis terbabit juga diarah menghentikan operasi selama dua minggu atas kesalahan berkenaan.

Menurut Mohd Zin Masoad pemilik dikenakan satu notis kacau ganggu sebanyak RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 Seksyen 27(2) dan kompaun RM500 di bawah Seksyen 34(1).

“Penguat kuasa juga mendapati premis berkenaan tidak mematuhi tahap kebersihan yang digariskan sehingga terdapat tempat pembiakan tikus di kawasan penyimpanan dan penyusunan barang,” katanya dalam kenyataan.

Justeru Mohd Zin mengingatkan pemilik premis dan masyarakat di seluruh pentadbiran Selayang agar tidak leka dan menjaga kebersihan persekitaran dengan mengamalkan langkah 10 minit bagi menghapus tempat pembiakan Aedes.

Categories
ADN PBT SELANGOR

Langgar SOP, MPK kompaun pemilik kilang RM10,000

SHAH ALAM, 18 JUN: Pemilik sebuah kilang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata tindakan dikenakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika operasi pemeriksaan dan pemantauan SOP terhadap premis terbabit semalam.

“Hasil siasatan mendapati kilang itu tidak mendapat surat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan masih beroperasi seperti biasa.

“Justeru, MPK mengeluarkan kompaun dan akan terus memantau semua aktiviti perkilangan sepanjang PKP bagi memastikan tiada pelanggaran SOP,” kata Azmizan Zaman Huri menerusi Facebook.

Beliau berkata tindakan diambil pihak berkuasa tempatan itu mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LDKTJ) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) 2021.

Katanya, orang ramai diminta bekerjasama bagi membuat aduan kepada MPK jika mendapati ada kilang beroperasi tanpa kebenaran Miti melalui talian khas pantas Covid-19 03-33701095.

Media sebelum ini melaporkan, PBT diberi kuasa mengenakan kompaun kepada individu yang melakukan apa-apa kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Categories
PBT SELANGOR

MPK keluar empat kompaun kepada pemilik gudang haram, cemar udara

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan empat kompaun terhadap pemilik premis gudang di Jalan Kem, Pelabuhan Klang kerana beroperasi secara haram.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata premis terbabit menjalankan aktiviti menyimpan arang batu, kontena, palet bahan bakar dan sisa cangkung (tempurung sawi).

“Longgokan bahan dan aktiviti pemindahan ke kontena atau lori menyebabkan pencemaran udara kerana habuk berterbangan sehingga ke penempatan penduduk berhampiran.

“Tindakan dibuat di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK 3) Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) MPK 2007,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Ahmad Fadzli berkata Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan notis pematuhan pembersihan kerana melakukan aktiviti menyebabkan pencemaran.

“Selain itu polis daerah Klang Selatan turut menahan empat warga asing dipercayai pekerja premis mengikut Akta 342 Kanun Keseksaan.

“MPK akan memperhebatkan operasi membanteras kilang haram dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.

Pada Ahad lepas Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri membangkitkan isu operasi gudang tersebut selepas menerima rungutan penduduk setempat berhubung pencemaran udara.

Categories
PBT SELANGOR

MPK periksa lebih 2,000 premis dalam operasi cegah Covid-19

SHAH ALAM, 3 JUN: Sebanyak 2,410 premis perniagaan diperiksa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam usaha pencegahan dan pengawalan Covid-19 sejak Januari hingga Mei.

Yang Dipertua berkata sebanyak 187 notis dan 14 kompaun dikeluarkan termasuk tujuh diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sebanyak 186 sitaan juga dilaksanakan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk undang-undang kecil MPK,” kata Dr Ahmad Fadzly Ahmad Tajuddin menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan turut dijalankan di 109 premis pembuatan dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu, 73 notis serta dua kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis tersebut mengikut akta yang sama,” katanya.

MPK juga melaksanakan aktiviti sanitasi awam di lokasi tumpuan sejak Mac tahun lepas, manakala 43 lokasi dijalankan disinfeksi awam sepanjang Mei lalu.

Categories
PBT SELANGOR

MPK pelawa niaga secara dalam talian guna Klang i Plaza

KLANG, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengalu-alukan peniaga untuk untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian menerusi Klang i Plaza, kata yang dipertuanya.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad berkata PBT itu tidak dapat memenuhi kesemua permohonan untuk berniaga di tapak bazar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat yang menuntut pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Katanya pada tahun ini sebanyak 1,176 petak bazar Ramadan disediakan kepada peniaga di 41 lokasi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin

“Platform ini diperkenal sejak PKP tahun lalu dan Alhamdulillah sambutan memberangsangkan.

“Kita alu-alukan peniaga yang permohonan mereka untuk berniaga secara fizikal ditolak boleh mohon Klang i Plaza bagi meneruskan aktiviti ekonomi” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama MPK dan Arkib Negara Malaysia di Dewan Hamzah di sini, semalam.

Jelasnya MPK akan terus memperketatkan SOP bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan Peniaga: https://klangiplaza.my/ Penghantar Makanan (Runner): klangiplaza.my/mpkrunner.php dan Channel Telegram Klang i Plaza: https://t.me/klangiplaza

Tiga langkah mudah untuk mendaftar Klang i Plaza seperti berikut :

1) Daftar penyertaan (masukkan maklumat yang diminta untuk menjadi peniaga berdaftar)

2) Kemaskini My Shop (masukkan maklumat perniagaan dan komunikasi)

3) Kemaskini My Produk (masukkan maklumat produk atau perkhidmatan untuk rujukan pelanggan)

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPK di talian 03 3375 5555 sambungan 6800 @ 8307.

 

Categories
PBT SELANGOR

Sarat sejarah, Klang sasar jadi bandar warisan dunia

KLANG, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk mengumpul semula bahan dan sejarah bandar diraja berkenaan.

Yang dipertuanya berkata usaha itu bagi menjadikan Klang sebagai bandar warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Dalam usaha ke arah itu, MPK amat memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak terutama Arkib Negara Malaysia yang menyimpan pelbagai rekod dan khazanah Klang.

“MPK berbesar hati menjalin kerjasama strategik ini bagi mendapat khidmat nasihat daripada agensi bertauliah selain rekod dan bahan berkaitan bandar ini,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Beliau yang ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di Dewan Hamzah di sini berharap hubungan itu memberi dampak dan manfaat besar dalam memartabatkan sejarah bandar berkenaan.

“Saya harap agar perancangan dan hasrat MPK untuk menaik taraf bandar ini menjadi Warisan Bandar Diraja tercapai,” kata Ahmad Fadzli.

Klang yang kaya dengan nilai sejarah pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor, sebelum Shah Alam dipilih sebagai ibu negeri.

Antara lokasi bersejarah yang popular ialah Stesen Kereta Api (KTM), Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana dan Masjid Diraja Sultan Suleiman.

Selain itu, Istana Alam Shah, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Stesen Keretapi Klang, Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan dan Old Chartered Bank Building.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPK ketatkan SOP pasar, cegah penularan wabak

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memperketat tatacara operasi piawai (SOP) pasar pagi dan malam seliaannya bagi mengekang penularan Covid-19.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata tindakan susulan aduan pengunjung yang mendakwa terdapat individu tidak mematuhi arahan, lapor The Star.

Jelasnya, anggota penguat kuasa dari Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan akan membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan isu sama tidak berulang.

“Tindakan ini akan mengubah sikap sambil lewa masyarakat yang menganggap pematuhan SOP tidak wajar,” katanya menambah sebanyak 58 pasar malam dan 14 pasar pagi beroperasi di Klang.

Dr Ahmad Fadzli berkata pihaknya juga melakukan kaji selidik SOP di premis niaga terbabit mulai 12 hingga 26 Mac bagi menambah baik sistem perkhidmatan.

Menurutnya, antara kebimbangan masyarakat ialah segelintir peniaga dan pembeli tidak memakai pelitup muka dengan betul.