Categories
PBT SELANGOR

Restoran miliki tandas terbersih di Selayang berpeluang menang RM1,000

SELAYANG, 23 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menawarkan ganjaran RM1,000 kepada pemilik kedai makan yang mempunyai tandas paling bersih.

Pengarah Jabatan Korporat Mohamad Zin Masoad berkata tawaran itu dibuat sempena Pertandingan Tandas Bersih Kategori Premis Makanan Restoran pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.

“Pemenang tempat kedua pula bakal memenangi wang tunai RM700, tempat ketiga RM500 dan 10 hadiah cenderahati juga turut diberikan.

“Pertandingan ini bertujuan untuk membudayakan penjagaan tandas yang bersih, selamat dan selesa di premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin menjelaskan borang pertandingan boleh dimuat turun di laman sesawang MPS dan pemilik premis boleh membuat persediaan bermula hari ini hingga 10 April.

Tambahnya, proses pemeriksaan dan penjurian akan bermula 15 April hingga 30 Jun depan.

“Untuk maklumat lanjut, layari http://www.mps.gov.my atau hubungi Bahagian Kesihatan Awam di talian 03-6126 6080 atau 03-6126 6024,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kaji, kongsi pandangan awam untuk Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan kaji selidik dengan mendapatkan maklum balas awam untuk merangka Belanjawan 2022.

Pengarah jabatan korporatnya berkata kajian bermula dari 9 Mac hingga 9 April demi memastikan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bakal dibentangkan komprehensif serta memenuhi keperluan pemegang taruh.

“MPS berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan berkongsi pandangan bagi memastikan belanjawan disediakan mengikut keperluan semua,” kata Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Cadangan boleh dikemukakan melalui borang dalam talian di pautan https://forms.gle/yXfh9DRFQA6LbLTt6 atau melayari laman sesawang www.mps.gov.my .

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi jabatan itu di talian 03-6126 5824.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Badan pengurusan Zon 6 MPS terima enam mesin sanitasi

BATU CAVES, 22 FEB: Sebanyak enam mesin sanitasi disumbangkan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Zon 6 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan itu sebagai usaha memerangi Covid-19 yang kini berada dalam kawasan komuniti.

“Kita harap mereka dapat memanfaatkan mesin ini dan menjalankan operasi nyahcemar di kawasan pangsapuri atau kediaman demi memutuskan rantaian wabak,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Kenanga, Gombak Permai semalam.

Pada masa sama, Amirudin menjangkakan kes positif wabak di Selangor bakal menurun tiga digit sekitar Mac atau April ini sejurus tibanya vaksin.

“Bagaimanapun, kita harap masyarakat disiplin patuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan jaga penjarakan sosial. Walaupun vaksin sudah ada kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Selangor sentiasa menjadi negeri tertinggi kes baharu Covid-19 sehingga terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
PBT SELANGOR

MPS tambah satu laluan baharu Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 19 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menambah satu lagi laluan baharu bagi perkhidmatan bas Smart Selangor, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata laluan MPS4 Wangsa Permai-Hentian Stadium Selayang akan melalui Bandar Baru Selayang, Hospital Selayang, Selayang Mall, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Taman Ehsan, Aman Puri dan Wangsa Permai.

“MPS berharap rangkaian laluan baharu memberi impak positif kepada seluruh masyarakat di bawah pentadbiran MPS.

“Diharapkan juga masyarakat dapat menggunakan kemudahan awam disediakan dengan sebaiknya,” katanya menambah perkhidmatan percuma itu beroperasi sejak 1 Januari dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Mohamad Zin turut mengingatkan pengguna sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah keselamatan mencegah penularan Covid-19.

“Pastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta sentiasa membersihkan tangan sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPS sedia enam tong buang perabot terpakai, e-sisa

SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan enam tong Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal e-sisa dan perabot lama.

Pengarah jabatan korporatnya berkata program ‘Spring Cleaning’ sempena Tahun Baharu Cina meliputi enam lokasi bermula esok hingga 7 Februari.

Mohamad Zin Masoad memaklumkan lokasi terlibat ialah Kampung Desa Aman, Taman Selayang Jaya, Kampung Baru Kundang, Kampung Sungai Terentang, Kampung Lee kim Sai dan Desa Jaya.

“MPS berharap penduduk mengambil peluang ini bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan sekali gus memastikan kawasan sekitar bersih dan selesa,” katanya dalam kenyataan.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan di talian
03-61266024 atau layari www.mps.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kutip bayaran beg plastik hampir RM300,000

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip sebanyak RM292,513.50 bagi program Kutipan Caj Beg Plastik sepanjang tahun lalu.

Yang dipertuanya berkata 60 peratus daripada jumlah itu, RM175,508 disalurkan kepada Akaun Tabung Amanah Kerajaan Negeri selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Selangor, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT).

“Manakala 40 peratus lagi ke akaun tabung amanah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kegunaan program berkaitan alam sekitar,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dalam kenyataan.

Beliau berkata MPS turut menetapkan syarikat membuat kutipan caj 20 sen beg plastik perlu mendaftar di bawah program berkenaan dan boleh berbuat demikian di laman sesawangnya.

Bermula 1 Januari tahun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pelaksanaan serahan kutipan caj beg plastik kepada PBT.

Sebelum ini, perkara tersebut diuruskan syarikat peruncit dan peniaga sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata langkah itu membolehkan hasilnya dipantau dan dimanfaatkan bagi pengurusan peruntukan menjayakan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan lebih berkesan.

Categories
PBT SELANGOR

MPS sita pusat cuci kereta beroperasi ketika PKP

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebuah pusat cuci kereta di Selayang disita selepas beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata premis itu mengingkari pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) perintah tersebut.

“Tindakan sitaan dikenakan terhadap sebuah premis yang menjalankan operasi cuci kereta.

“Sepanjang tempoh PKP, aktiviti cuci kereta adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi,” katanya menerusi Facebook.

MPS berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan berhubung pematuhan SOP dan mengambil tindakan dari semasa ke semasa.

Categories
PBT SELANGOR

MPS cadang bina landskap di kawasan kilang haram diroboh

SHAH ALAM, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bercadang membangunkan landskap di semua kawasan kilang haram yang selesai dirobohkan.

Yang dipertuanya berkata perbincangan akan dibuat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri berhubung pembaharuan itu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan di lokasi berkenaan pada masa akan datang.

“Sebelum ini memang kita sudah berfikir ke arah itu (bina landskap). Kawasan ini tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana berpotensi menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab mendirikan bangunan atau premis,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan dua premis haram di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, fasa pertama perobohan struktur haram di atas tanah kerajaan dan rizab sungai di sekitar Rawang selesai selepas stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu diambil tindakan semalam.

Ia menjadikan sebanyak lapan struktur terdiri empat bengkel jentera berat, dua premis kitar semula, satu kandang lembu dan bengkel pembuatan pintu sejak 24 November lalu.

Shamsul Shahril Badliza menambah berdasarkan rekod Lembaga Urus Air Selangor (Luas), sebanyak 70 premis beroperasi sepanjang sungai akan diperiksa status tanah sebelum tindakan lanjut diambil.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kenal pasti lima struktur haram beroperasi untuk diroboh

RAWANG, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti lima struktur haram beroperasi atas tanah kerajaan dan rizab sungai untuk perobohan fasa kedua.

Yang dipertuanya berkata tindakan penguatkuasaan dijangka awal bulan hadapan berdasarkan siasatan disusuli notis pengosongan menumpukan premis didirikan tanpa kebenaran merancang berhampiran Sungai Rawang dan Sungai Gong.

“MPS serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) memandang serius isu membabitkan premis terutama kilang beroperasi secara haram di sepanjang sungai kerana berpotensi mencemarkan sungai.

“Aktiviti di premis berkaitan menyebabkan pencemaran sehingga membawa kepada henti tugas loji rawatan air utama di Selangor sekali gus menyusahkan orang awam,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril Badliza menambah pihaknya juga akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap premis atau kilang yang tidak mematuhi syarat hak pemilikan selain tanah kerajaan.

“Pematuhan syarat tanah ini melibatkan kategori zon atau kebenaran merancang dan kita akan membuat semakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis diroboh MPS disewakan RM2,000 sebulan

RAWANG, 10 DIS: Pemilik asal stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 17 yang dirobohkan hari ini dipercayai menyewakan premis itu pada kadar RM2,000 sebulan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pemilik mendirikan struktur dan beroperasi tanpa kebenaran atas rizab Sungai Rawang sejak 20 tahun lalu.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sudah beberapa kali mengeluarkan notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 untuk mengosongkan kawasan tersebut namun mereka masih enggan berbuat demikian sehingga memaksa tindakan penguatkuasaan dibuat.

“Pemilik premis memberi kerjasama baik dan tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang operasi berjalan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perobohan kedua-dua premis hari ini.

Operasi bersepadu bermula kira-kira 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu MPS, polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jengkaut merobohkan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu yang beroperasi secara haram di Batu 17, Rawang ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Shamsul Shahril juga menggesa pengusaha kilang yang berhasrat membuka penempatan supaya mematuhi peraturan dengan menyemak status tanah dan mendapatkan kebenaran merancang pembangunan.

“Mereka (pengusaha) perlu semak daripada segi syarat nyata tanah sama ada (tanah) untuk kegunaan kediaman, industri atau tanah kerajaan termasuk pengezonan meliputi perumahan dan kedai.

“Kita mengharapkan kepada sesiapa sahaja yang mahu buka kilang untuk merujuk kepada PTD dan MPS dengan bayaran semakan pelan hanya RM20,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PTD Gombak, MPS roboh stor barang lusuh, kilang buat pintu

RAWANG, 10 DIS: Dua lagi premis yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab milik Kerajaan Negeri di Batu 17, di sini dirobohkan hari ini bagi mengelak pencemaran sungai berulang.

Perobohan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu dilakukan menerusi operasi bersepadu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Kedua-dua premis didirikan dengan struktur sementara tanpa kelulusan atas tanah berkeluasan 1.976 hektar yang terletak kurang dua meter dari lembangan Sungai Selangor selain dipercayai beroperasi kira-kira 20 tahun.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor (tengah) meninjau keadaan bangunan ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kelmarin, MPS merobohkan tiga struktur meliputi bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu di Kuala Garing, di sini.

Pada 1 Disember, sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai turut disita.

Pada 24 November, tindakan sama dikenakan ke atas dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang berada hanya satu meter dari Sungai Rawang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Pada 8 September lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan rumah dan kilang haram terutama berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan sungai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita terhadap kesan terpaksa ditanggung rakyat negeri ini ekoran insiden gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
PBT SELANGOR

Premis ceroboh tanah kerajaan diroboh, elak cemar air – MPS

RAWANG, 8 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti beberapa lagi premis yang dibina atas rizab tanah kerajaan tanpa kelulusan untuk dirobohkan dalam masa terdekat.

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata tindakan perobohan memfokuskan kilang yang gagal mengosongkan premis selepas notis dikeluarkan.

“Buat masa ini, MPS bersama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sedang membuat bancian semula untuk kilang, bengkel atau bangunan dibangunkan atas tanah kerajaan.

“Keutamaan diberikan kepada tanah kerajaan kerana apa-apa sahaja premis tidak dibenarkan beroperasi (atas tanah kerajaan). Jadi, ada lagi (premis) akan dikeluarkan notis dan operasi penguatkuasaan,” katanya.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu di Kuala Garing di sini hari ini.

Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu pihak berkuasa tempatan itu termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril memaklumkan enam daripada lapan premis dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang berjaya dirobohkan menerusi operasi bersepadu dijalankan sejak 24 November lalu.

Menurutnya, tiada insiden pencemaran sungai dikesan selepas tindakan itu dibuat ke atas semua premis terbabit namun pemantauan dilakukan secara kerap bagi mengelak pencerobohan.

“MPS, PTD Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di kawasan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap premis yang melanggar peraturan,” katanya.