Categories
PBT SELANGOR

MBSA tidak benar kanak-kanak bawah 12 tahun ke pasar malam

SHAH ALAM, 24 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun berkunjung ke pasar malam atau pasar minggu di bawah pentadbirannya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata langkah itu dibuat bagi mengelak jangkitan Covid-19 kepada golongan tersebut yang juga antara individu berisiko.

“Jika ada yang membawa anak bawah 12 tahun, kita akan minta penguat kuasa memaklumkan kepada ibu bapa ini dan minta salah seorang (ibu atau bapa) sahaja masuk.

“Individu dewasa yang berkunjung ke pasar malam atau pasar minggu juga perlu lengkap vaksinasi dan mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan kerajaan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Sementara itu, berbeza dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang tidak melarang ibu bapa membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke pasar malam atau minggu.

Namun, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Ahmad Fauzi Ishak berkata pihaknya tidak menggalakkan kehadiran golongan tersebut serta berharap ibu bapa memikirkan keselamatan anak mereka.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap ibu bapa yang membawa anak ke kawasan berkenaan, cuma MPS mengingatkan agar masyarakat tidak menyalahgunakan kelonggaran diberikan,” katanya.

Pada 19 Ogos, kerajaan mengumumkan kebenaran membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam serta pasar minggu di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 20 Ogos.

Mengikut takrif kerajaan, seseorang dianggap lengkap dua dos selepas 14 hari mendapat suntikan kedua vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, atau 28 hari suntikan kedua Johnson & Johnson dan Camsino.

Untuk menikmati kemudahan tersebut, mereka harus menunjukkan bukti penerimaan dua dos melalui sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera.

 

Categories
PBT SELANGOR

Mohd Yazid dilantik yang dipertua MPS baharu

SHAH ALAM 30 JULAI: Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap dalam majlis angkat sumpah pada Selasa, beliau bertekad memberi penekanan berhubung isu kilang tanpa kebenaran, pembuangan sampah haram, kacau ganggu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya berhasrat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kerjasama diharapkan daripada barisan ahli majlis untuk menjadi perantara antara masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan bagi membolehkan MPS membuat tindakan,” katanya.

Pelantikan Mohd Yazid sebagai YDP kelapan menggantikan Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang berpindah ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau yang berusia 47 tahun merupakan pemegang Sarjana Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan mempunyai pengalaman hampir 21 tahun dalam pentadbiran awam.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah timbalan pengarah pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Categories
PBT SELANGOR

PBT Selangor tingkat edaran bantuan makanan kepada masyarakat

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor mengambil inisiatif meningkatkan pengedaran bakul makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan bantuan Bakul Prihatin dengan menyediakan 2,700 pek makanan untuk diagihkan kepada bekas kakitangannya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), operator taska dan wartawan serta jurugambar sambilan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata penambahan bantuan itu bagi memastikan tiada masyarakat terputus makanan dan diagihkan secara berperingkat bermula esok.

“Kita percaya ramai terkesan terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sumbangan makanan perlu diperluaskan supaya semua menerima manfaat.

“Bagi individu yang ingin turut sama membantu, mereka boleh membeli baucar bakul makanan bernilai RM10, RM30,RM50 di Pasaraya 99 Speedmart,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

 

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membantu golongan terkesan melalui ahli majlis dan pengurusannya agar tiada pihak tercicir menerima bantuan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata pengurusan MDKS mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti strata manakala ahli majlis menyumbang kepada penduduk.

“Sejak sumbangan ini diperkenalkan pada 14 Jun sebanyak 200 bakul makanan diagihkan. Bantuan diteruskan esok dengan 300 lagi diberikan kepada keluarga terjejas.

“Ia digerakkan melalui dua pasukan diketuai saya sendiri dan satu lagi Setiausaha MDKS, Yusli Askandar,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan bekalan bank makanan di dua lokasi iaitu Petron Taman Ehsan dan Jalan 13, Desa Jaya.

“Bank makanan itu disediakan Ahli majlis Zon 24, Fok Wai Mun bagi meringankan beban masyarakat sepanjang tempoh PKPD.

“Sekecil-kecil sumbangan ternyata besar nilainya kepada yang memerlukan. Sekiranya terdapat pihak yang ingin turut serta amat dialu-alukan,” katanya menerusi Facebook.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.

Categories
EXCO PBT SELANGOR

Penduduk Selayang digalak beri pandangan jaya draf rancangan tempatan

SHAH ALAM, 18 JUN: Penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diminta memberi pandangan dalam program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan MPS 2030.

Exco kerajaan tempatan berkata mereka boleh menyampaikan cadangan menerusi pelbagai saluran termasuk dalam talian sehingga 30 Jun ini.

“Draf rancangan tempatan itu memfokuskan kepada usaha mewujudkan bandar selamat.

“Penyertaan orang ramai penting bagi memastikan rancangan membangunkan kawasan dibuat mengikut pandangan menyeluruh,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi di sini hari ini.

MPS dalam hantaran di Facebook berkata orang ramai boleh memberikan pandangan dan mengemukakan bantahan menerusi pautan, https://drt2030.mps.gov.my/ .

Cadangan juga boleh disampaikan di Menara MPS, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor di Bangunan Darul Ehsan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT pantau ketat bazar Aidilfitri minggu terakhir Ramadan

SHAH ALAM, 7 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau ketat bazar Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata anggota penguat kuasa bersama polis melakukan rondaan sepanjang masa di enam bazar yang beroperasi luar bangunan membabitkan Seksyen 7 (dua), 23, U5 dan U20 (dua).

“Walaupun pemantauan setakat ini mendapati keadaan masih terkawal namun kawalan diteruskan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP antaranya masa operasi, jumlah pengunjung dihadkan mengikut keluasan dan larangan membawa masuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan menutup operasi bazar sekiranya penganjur gagal mematuhi syarat digariskan.

Sementara itu, ketua bahagian pengurusan penjaja dan jabatan pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pendekatan sama dilakukan ke atas satu-satunya bazar Aidilfitri di daerah tersebut iaitu di Selayang Mall yang menempatkan 30 peniaga.

Menurut Syairah Zahidi Baki, meskipun tiada jumlah anggota tetap ditugaskan di lokasi namun kawalan pematuhan SOP dijalankan dari semasa ke semasa.

“Antara syarat am permit perayaan dikeluarkan kepada penganjur adalah perlu memastikan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

“Bagaimanapun, tiada apa-apa pelanggaran dikesan sejak ia beroperasi pada awal Ramadan dengan penganjur mewujudkan penjarakan khemah dan patuh syarat lain ditetapkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengarahkan operasi bazar Ramadan di enam daerah dikenakan PKP dihentikan bermula esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai semalam hingga 17 Mei manakala Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKP Bersyarat.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS roboh pondok sembah, kedai cuci kereta haram

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin merobohkan tiga pondok sembah yang dibina tanpa kebenaran dan menimbulkan kacau ganggu.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata tindakan sekitar Taman Ehsan, Kepong dan Selayang Utama berdasarkan aduan daripada orang ramai.

“Ini merupakan operasi ketiga yang dijalankan MPS. Dua operasi sama dilaksana pada 18 dan 26 April lalu di Taman Sri Batu Caves dan Perindustrian Rawang Integrated,” katanya menambah tindakan mengikut Seksyen 46 (1) a – Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Pada masa sama, beliau berkata MPS turut merobohkan struktur binaan haram perniagaan cuci kereta di Jalan KIP 2, Taman Perindustrian KIP.

“MPS memberi amaran bahawa pemantauan dan tindakan terhadap binaan tanpa kebenaran akan terus dilaksana bagi memastikan undang-undang dan kesejahteraan persekitaran dipatuhi,” kata Mohamad Zin.

 

 

Categories
PBT SELANGOR

RTMPS 2030: Selayang sedia jadi bandar tahan impak pembangunan pesat

RAWANG, 1 MEI: Selayang bersedia menjadi sebuah bandar yang mampu menahan impak kepesatan pembangunan berlandaskan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (RTMPS 2030).

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza berkata RTMPS 2030 penting bagi membantu Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan menghasilkan keputusan lebih cepat menerusi kajian disediakan.

“Kita mempunyai wawasan pembangunan yang jelas merangkumi tiga teras utama iaitu mampan, bersih dan berdaya saing selain disokong 28 strategi dan 88 cadangan disusuli penyataan bertulis serta peta cadangan yang boleh diguna pakai bagi pembangunan kawasan Selayang sehingga 2030.

“Setiap cadangan dan tindakan RTMPS 2030 ini diselaras dengan 17 matlamat pembangunan mampan (SDG) yang meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi menghadapi isu global pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (DRTMPS 2030) di Le Gardens Pavilion di sini semalam.

Dalam acara yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pihak berkuasa tempatan itu turut melancarkan logo dan identiti baharu Agenda 21 Tempatan MPS kepada Smart Selangor Mampan 2035

Sementara itu, Shamsul berkata pihaknya mengadakan pameran selama sebulan bermula semalam bagi publisiti dan hebahan berhubung draf rancangan tersebut kepada orang ramai.

Pameran dari jam 9 pagi hingga 4 petang berlangsung di Lobi MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta PlanMalaysia Selangor.

“Selama tempoh publisiti, orang awam boleh membuat semakan dokumen DRTMPS 2030 dan mereka boleh memberi maklum balas melalui dalam talian dengan melayari laman sesawang e-publisiti,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS serah bantuan Ramadan kepada 135 ibu tunggal

SHAH ALAM, 26 APRIL: Seramai 135 ibu tunggal dari sembilan pangsapuri kos rendah di Selayang menerima sumbangan sempena Ramadan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata Program Ihya Ramadan peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mensasarkan mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Kesemua penerima yang dipilih dari 10 pangsapuri kos rendah di kawasan pentadbiran MPS menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan dan juga duit raya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

PBT berkata program berkenaan merupakan lanjutan daripada lawatan Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ke Pangsapuri Julia Bandar Baru Selayang sebelum ini.

Katanya, aktiviti itu mendapat kerjasama dari ahli majlis MPS dan tiga ahli majlis zon, selain Jabatan Perpaduan Dan Intergrasi Nasional Gombak dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bazar Ramadan Greenwood diarah tutup empat hari mulai esok

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan bazar Ramadan Greenwood, Gombak ditutup selama empat hari mulai esok sehingga Ahad kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Penutupan itu selepas mengambil kira kebajikan peniaga yang telah memasak juadah jualan hari ini, kata Pengarah Jabatan Korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata notis penutupan diserahkan kepada wakil pengelola jawatankuasa penduduk mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Wakil terbabit turut diterangkan mengenai SOP serta tindakan yang perlu dipatuhi bagi membuka semula bazar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis menetapkan beberapa SOP tambahan iaitu:

– Penggunaan kad nombor giliran kepada pengunjung
– Mewujudkan laluan sehala
– Melarang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas 65 tahun ke atas

Bermula kelmarin, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan serta Aidifitri negeri ini bagi mengelakkan timbulnya kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

“Majlis akan sentiasa memantau semua bazar. Pengunjung dan peniaga diingatkan supaya patuh ketetapan agar wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPS lancar kempen kumpul e-waste, minyak terpakai, RM500 bakal dimenangi

SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melancarkan kempen kitar semula barangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta minyak masak terpakai bermula Mac hingga Oktober depan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pihaknya akan membuat kutipan barangan tersebut mengikut Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPS berdasarkan jadual yang ditetapkan.

“Semua barangan yang dihantar perlu dikumpulkan di pejabat ahli majlis atau kawasan yang bersesuaian untuk ditimbang dan serahan wang tunai menggunakan resit rasmi MPS mengikut kadar harga pasaran semasa,” katanya menerusi Facebook.

MPS juga menganjurkan pertandingkan kutipan terbanyak antara Zon JKP bagi kategori e-waste dan minyak masak terpakai.

“Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM500 bagi johan, naib johan (RM250) dan ketiga (RM150) bagi kedua-dua kategori,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, peserta boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS di talian 03-61266024/03-61266081 atau layari laman sesawang http://www.mps.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MPS, KPDNHEP pantau pematuhan SOP bazar Ramadan Selayang

SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan lawatan ke bazar Ramadan semalam.

Kunjungan ke Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang bertujuan memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta semakan harga makanan.

“Lawatan ini bertujuan untuk pemeriksaan harga jualan dan memastikan pematuhan SOP semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dipatuhi oleh pengunjung dan peniaga.

“Selain memastikan aspek kebersihan adalah terjamin dan mematuhi syarat permit perniagaan (bazar Ramadan),” katanya di Facebook.

MPS berkata lawatan itu disertai Yang Dipertua Ahmad Zahiri Zahid Sofian, ahli majlis Zon 10, wakil KPDNHEP Gombak, pengarah Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan.

Categories
PBT SELANGOR

MPS bina penghadang elak pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Perbandaran Selayang melaksanakan kerja pembersihan dan pembinaan penghadang di dua tapak pembuangan sampah haram di Gombak semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata tindakan bagi mengelak aktiviti itu dijalankan di Jalan TIB 3/3, Taman Industri Boltan dan di Jalan SBC 8, Taman Sri Batu Caves.

Longgokan sampah yang dikesan MPS di Gombak pada 26 Mac 2021. Foto Facebook MPS

“Di lokasi kedua, MPS memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menemui rakaman aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan tersebut dan tindakan akan dikenakan kepada pihak yang terlibat.

“Orang ramai juga diminta melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing,” katanya di Facebook.

MPS menambah pihaknya terus melakukan pemantauan dan mengambil tegas kepada pihak yang terlibat dengan aktiviti tersebut.