Categories
NASIONAL

Projek MRT3 dibatalkan

PUTRAJAYA 30 MEI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembatalan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3).

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Dr Mahathir mengumumkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur.

“Kabinet bersetuju untuk membatalkan HSR dan akan dibincangkan dengan pihak Singapura kerana pembatalan ini akan melibatkan kesan kewangan yang ketara.

“MRT3 juga tidak akan diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

 

Categories
SUKANKINI

Piala FA: Peminat bola sepak Selangor dan KL disaran guna LRT dan MRT

KUALA LUMPUR 22 MAC: Peminat pasukan bola sepak Selangor dan Kuala Lumpur disaran menggunakan perkhidmatan MRT dan LRT untuk menonton perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sebelum ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dipilih sebagai venue tuan rumah pasukan Kuala Lumpur dan Selangor bagi cabaran musim tahun ini.

Rapid KL dalam satu kenyataan menasihati para penyokong Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) bagi menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain di stadium itu.

Walau dari manapun memulakan perjalanan, para peminat hanya perlu pergi ke stesen MRT SBK terdekat dan meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Cochrane untuk mengambil bas perantara T400 (Cochrane – Bandar Tun Razak) dan terus ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tambang untuk bas perantara adalah RM1 satu perjalanan.

“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut Rapid KL.

Bagi pengguna perkhidmatan LRT pula, peminat boleh turun di Stesen LRT Maluri yang berhubung dengan Stesen MRT Maluri kerana bas perantara itu turut mengambil penumpang di situ.

Peminat turut boleh menggunakan perkhidmatan parkir dan gerak (park and ride) yang disediakan di Stesen MRT dan Stesen LRT terpilih dan meneruskan perjalanan menaiki tren.

 

Categories
NASIONAL

Lebih 20 juta pengguna manfaat MRT sejak Disember 2016

KUALA LUMPUR: Lebih 20 juta pengguna direkod menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang sejak mula beroperasi, pada 16 Disember 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, hasil maklum balas orang awam, termasuk di media sosial menunjukkan kebanyakan berpuas hati terhadap perkhidmatan pengangkutan awam itu dalam melancarkan pergerakan mereka.

“Apa yang penting ialah melihat peningkatan trend positif dalam penggunaannya juga bukti pelaburan kerajaan dalam pengangkutan awam memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Azmi dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengiringi Dui Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan meninjau jaringan pengangkutan awam berasaskan rel termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel.

Turut berkenan berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Jajaran pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.

Fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang merangkumi laluan Sungai Buloh-Semantan yang mula beroperasi, pada 16 Disember 2016, manakala fasa kedua membabitkan laluan Semantan-Kajang beroperasi sejak 17 Julai 2016.

Categories
GLOBAL

25 cedera, dua tren MRT Singapura bertembung

SINGAPURA 15 NOV: Seramai 25 mangsa cedera apabila sebuah kereta api transit aliran massa (MRT) di Singapura bertembung dengan kereta api yang tidak bergerak berhampiran sebuah stesen di kawasan barat negara itu.

Akhbar Strait Times melaporkan kejadian itu berlaku pada jam 8 pagi waktu tempatan namun tiada perincian butiran diberikan.

Pengendali kereta api itu, SMRT tidak memberikan sebarang kenyataan ketika dihubungi.

Sementara itu, laman web Channel News Asia melaporkan 25 penumpang dibawa untuk menerima rawatan di hospital selepas dua tren berlanggar di stesen MRT Joo Koon.

An MRT train collided with a stationary train at Joo Koon MRT station. (Photo: Facebook/Mei Anne)

“Seramai 23 penumpang dan dua kakitangan MRT Singapura (SMRT) mengalami kecederaan ringan dan mereka dibawa ke Hospital Ng Teng Fong dan Hospital National University,” kata SMRT dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada jam 8.18 pagi ketika sebuah tren yang dalam perjalanan dari Stesen Tuas Link terhenti di Stesen Joo Koon dan seminit kemudian, tren kedua berhenti di belakang tren pertama.

“Pada jam 8.20 pagi, tren bergerak di hadapan tanpa disangka-sangka dan berlanggar dengan tren pertama,” katanya.

Berikutan itu, SMRT dan LTA berkata, mereka sedang menyiasat punca kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.33 pagi.

“Seramai 23 orang yang kebanyakannya mengalami cedera ringan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

SUMBER FOTO: CHANNEL NEWS ASIA

=EZY=

Categories
NASIONAL

MRT: Ikrar terus tingkat integriti dan tadbir urus baik

KUALA LUMPUR 18 OKT: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mempunyai tanggungjawab berat dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik setelah menjadi organisasi keretapi pertama di Malaysia membuat Ikrar Bebas-Rasuah, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.

“Apa yang pentingnya tentang ikrar, yang telah diambil secara kolektif oleh Ahli Lembaga, Barisan Kepimpinan dan warga kerja MRT Corp, adalah ikrar ini memperkukuhkan pendirian bebas-rasuah yang sering diamalkan di MRT Corp.

“Sebagai syarikat keretapi milik kerajaan yang pertama membuat Ikrar Bebas-Rasuah, MRT Corp perlu memastikan upacara ini bukan sekadar sandiwara,” kata beliau.

Beliau berkata MRT Corp telah diiktiraf di atas usaha dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam menjadi pemilik dan pemaju Projek MRT Lembah Klang dan ini bermakna tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian tersebut menjadi lebih besar sekarang.

“Kami bangga MRT Corp berjaya menetapkan penanda aras dalam proses perolehan untuk projek Kerajaan yang berbilion ringgit,” kata beliau.

Lebih 500 orang terdiri daripada ahli lembaga pengarah, barisan kepimpinan dan warga kerja MRT Corp telah mengambil Ikrar Bebas-Rasuah pada 5 Oktober 2017, berikrar untuk menghindarkan diri daripada amalan rasuah semasa menjalankan tugas mereka dalam membangunkan projek infrastruktur terbesar di Malaysia.

Ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkilfi Ahmad.

Shahril berkata komitmen MRT Corp dalam memastikan ketelusan telah bermula dari awal peringkat kewujudan syarikat itu lagi.

Beliau berkata budaya ini diamalkan bukan sahaja untuk “perkara besar” seperti proses perolehan, tetapi juga untuk langkah-langkah kecil seperti mencetak penyata kewangan walaupun tidak perlu dilakukan seperti yang demikian jika mengikut undang-undang.

“MRT Corp bukan sebuah syarikat yang tersenarai awam tetapi kami tidak pernah gagal untuk menghasilkan Laporan Kemajuan Tahunan yang memberikan laporan mengenai kemajuan projek dan keadaan kewangan.

“MRT Corp percaya bahawa ia mempunyai tugas kepada rakyat, untuk menjadi telus dan bertanggungjawab kepada mereka kerana telah diamanahkan dengan wang pembayar cukai untuk membangunkan Projek MRT Lembah Klang,”kata beliau.

Beliau berkata pada 17 Julai 2017, MRT Corp telah berjaya melaksanakan sepuluh inisiatif anti-rasuah, di bawah Ikrar Integriti Korporat.

Turut bersama semasa upacara Ikrar Bebas-Rasuah, gabungan inisiatif ini terus memperkukuhkan komitment kuat MRT Corp ke arah budaya integriti.

Untuk terus melibatkan warga kerja MRT Corp dalam pendirian anti-rasuah, Shahril berkata MRT Corp juga menyerahkan 537 borang pendaftaran yang telah diisi oleh warga kerja MRT Corp, termasuk beliau dan Barisan Kepimpinan, untuk menjadi sebahagian daripada Sahabat GERAH SPRM (GERAH) atau Gerakan Revolusi Anti Rasuah.

“Kami mahu kita semua menjadi pemangkin perubahan masyarakat untuk menolak dan membenci rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata beliau.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MRT buat hal lewat, pengguna luah tak puas hati

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 22 OGOS: Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila terpaksa berhadapan kelewatan pengangkutan awam itu pagi ini.

Ada pengguna MRT menyatakan terpaksa menghadapi kelewatan sehingga lebih sejam menggunakan MRT hari ini.

Mohd Syukri Abdullah menulis di Facebook RapidKL menyatakan: ” Hari ini saya perjalanan saya pergi kerja hampir 2 jam Kajang Mutiara Damansara.

“Nasib baik tak kena buang kerja. Next time print notis sebelum masuk gate MRT. Apa lagi nak kelentong kat office mate aku hari ini.”

MRT problem

Maral Saedi Wanie Ahmad menulis: “Why make trouble today??? stop in each station for so long time..jus imagine im from Kajang to reach to Pasar Seni??kalau lambat pergi kerja sapa yang nak dipersalahkan????”

MRT Problem1

Manakala Shaz Hunny menulis: “Ada masalah ke sekarang ni, jangan ada masalah please, lambat lagi saya nanti, KTM pun ada masalah dari semalam, siap bagitahu dan ada notis sekali.”

Malah ada pengguna yang mengadu perjalanannya untuk tempat kerja mengambil masa hampir dua jam dari Stesen Kajang ke Stesen Mutiara Damansara.

RapidKL menerusi kenyataan di Facebooknya menjelaskan isu kelewatan berlaku disebabkan masalah isyarat antara Stesen Pusat Bandar Damansara dan Stesen Phileo Damansara.

Menurut maklum balas di ruangan komen, RapidKL memberitahu insiden yang berlaku adalah di luar jangkaan dan meminta pengguna bersabar.

“Ianya berlaku di luar jangkaan dan kalau boleh, kami sendiri pun tidak mahu ianya terjadi. Mohon bersabar kerana pihak teknikal kami sedang sedaya upaya memulihkan isu ini untuk anda semua. Terima kasih,” katanya.

RapidKL turut memaklumkan pelanggan termasuk pengguna Kad Touch N Go (TnG) atau MyRapid TnG yang terjejas dan tidak mahu meneruskan perjalanan boleh mendapatkan bayaran balik.

Sementara itu, menerusi kenyataan terbaharu RapidKL, pasukan teknikal akan menangani isu yang berlaku antara Stesen Pusat Bandar Damansara dan Phileo Damansara pada jam 11 pagi.

“Proses ini akan mengambil masa kira-kira 15 minit,” kata RapidKL sambil menambah tren MRT bagi laluan lain akan bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen.

MRT RAPID

MRT Line Update : Affected customers that decided not to continue their journey & want to exit paid area,proceed to our Customer Service Counters for refund.

Customers with the MyRapid TnG Card/ TnG card need to produce their card via the paid window counter in order to receive a refund voucher and required to tap out as normal.

MRT Update: At 11am, our tech team will de-energize between Pusat Bdr Damansara – Phileo Northbound. This process will take approximately 15 minutes.

For the rest of the line, trains will be moving slower and stopping longer at stations.

11:30 am : Tech team managed to re-energize between Pusat Bdr Damansara – Phileo Northbound. Please follow updates.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Mesin bayaran token TVM tak rosak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Rapid KL menafikan dakwaan mesin bayaran tokennya (TVM) di stesen MRT Sungai Buloh tidak berfungsi seterusnya memberi jaminan bahawa semuanya dalam keadaan baik.

Rapid KL dalam kenyataannya berkata, kehadiran mendadak penumpang menyebabkan berlaku barisan panjang di TVM dan menunjukkan sambutan baik orang ramai terhadap MRT.

Katanya, token di mesin bayaran juga perlu ditambah nilai semula dan ia mengambil sedikit masa.

“Semua TVM berfungsi dengan baik, cuma membabitkan kes yang memerlukan token sudah dibeli pelanggan lebih awal dan ditambah nilai.

mrt2“Kami berdepan kehadiran ramai penumpang di stesen Sungai Buloh dan percaya peningkatan jumlah penumpang datang dari kawasan yang berhubungan dengan KTM Komuter untuk merasai pengalaman menaiki MRT, pada Ahad.

“Kami bersyukur dan berbangga dengan sokongan besar mereka selain ingin merakamkan terima kasih serta penghargaan yang tinggi atas sokongan itu,” katanya lapor BERNAMA.

Rapid KL berkata, penumpang dinasihatkan menggunakan kad MyRapid Touch n Go (TnG) yang boleh digunakan di semua rangkaian kembara Rapid KL.

“Ia bukan sahaja lebih selesa tetapi lebih penting, maka pengguna tidak perlu beratur di TVM dan menjimatkan masa,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkongsi gambar di laman Facebooknya memaparkan orang ramai beratur panjang akibat mesin token yang didakwa rosak.

Categories
NASIONAL

MRT: Gantung buaian anak berbahaya

KUALA LUMPUR 25 JULAI: Transit Aliran Massa (MRT) menyifatkan tindakan seorang ibu yang menggantung buaian anaknya di dalam pengangkutan awam itu sebagai berbahaya.

MRT dalam satu kenyataan turut menasihati semua penumpang supaya menjaga keselamatan apabila menggunakan perkhidmatan itu dan tidak merosakkan kemudahan disediakan.

Menurut MRT, sekiranya individu atau kumpulan ditangkap melakukan kerosakan kepada kemudahan awam terutamanya di stesen MRT, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kerajaan Tempatan (9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991).

Malah, pelaku vandalisme turut boleh dikenakan denda RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini,tular mengenai tindakan seorang wanita yang mengejutkan penumpang MRT apabila menggantung buaian anaknya pada pemegang tempat berdiri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jumlah penumpang harian MRT SBK lebih 140,000

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Jumlah penumpang harian Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mencatatkan 142,313 penumpang melepasi paras 140,000, sehingga 22 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata, jumlah penumpang harian tertinggi dicatatkan pada hujung minggu hari bekerja.

“Kita mencatatkan jumlah penumpang harian 90,409 pada 18 Julai lalu dan meningkat kepada 96,887, pada 19 Julai, sementara 95,009 penumpang direkodkan, pada 20 Julai.

“Kita berjaya melepasi angka 100,000 pada Jumaat, 21 Julai dengan jumlah penumpang harian mencatatkan 110,782 dan pada 22 Julai lalu mencatatkan 142,313 penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut berharap rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor akan terus menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan serta tidak lagi memandu kenderaan sendiri memasuki bandar.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas sokongan diberikan dan berharap mereka akan terus menggunakan rangkaian pengangkutan awam Rapid Rail merangkumi LRT Laluan Kelana Jaya, Ampang, Sri Petaling, monorel dan MRT SBK yang dikendalikan Rapid KL,” katanya.

Fasa Satu MRT Laluan Sungai Buloh-Semantan dilancarkan pada 15 Disember tahun lalu dan beroperasi pada hari berikut dengan mencatatkan jumlah penumpang harian 15,000.

Categories
NASIONAL

MRT Sungai Buloh-Kajang mula operasi hari ini

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Bermula jam 4 petang ini, orang ramai boleh mula menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan kedua antara Kajang dan Sungai Buloh.

Jajaran keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) membabitkan 51 kilometer merentasi 31 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah, dengan integrasi laluan LRT di Pasar Seni, Maluri dan Merdeka yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran itu turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM Komuter dan ERL di stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Perkhidmatan MRT dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan sasaran penurunan 160,000 kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.

Ini sejajar dengan sasaran tingkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan kerajaan.

*Sumber: Astro Awani

Categories
NASIONAL

Eskalator tertinggi Malaysia tarik perhatian media

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Selain keselamatan penumpang dan kecekapan operasi ketika kereta api meluncur, MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) turut meletakkan piawaian tinggi bagi memastikan keselesaan orang ramai semasa berada dalam stesennya.

Keadaan itu bukan sesuatu yang mudah dicapai ekoran projek menelan perbelanjaan berbilion ringgit berkenaan membabitkan struktur atas tanah, bawah tanah juga struktur bertingkat.

Bagaimanapun, cabaran itu akhirnya melahirkan idea unik hasil daripada kepakaran arkitek, jurutera dan semua pihak terlibat dalam pembinaannya.

Antara perkara unik menarik perhatian wakil media yang menghadiri taklimat pra pelancaran, semalam adalah eskalator terpanjang di Malaysia yang terdapat di Stesen MRT Bukit Bintang.

Eskalator sepanjang 20 meter itu menghubungkan landasan bawah ke ruang legar dengan merentasi tiga tingkat bangunan terbabit.

Manakala Stesen MRT Bukit Bintang sendiri terletak pada kedalaman 33 meter di bawah tanah.

PC (14 of 20)-2Keunikan lain yang terdapat di stesen MRT adalah bangku direka cipta pelajar tempatan melalui satu pertandingan anjuran MRT Corp.

Bangku yang disediakan bukan sahaja berbeza antara satu stesen dengan stesen lain, malah turut mempunyai reka bentuk ringkas tetapi unik dan mengandungi nilai artistik.

Selain itu, sesuai dengan kedudukan Stesen MRT Muzium Negara, orang ramai boleh menyaksikan beberapa lakaran peta menceritakan sejarah pertembungan Sungai Gombak dan Sungai Klang daripada sudut geografi pada abad 19, 20 dan 21.

Beberapa poster berkaitan sejarah pengangkutan awam di negara ini khususnya di Kuala Lumpur turut dipaparkan untuk tatapan orang ramai.

Terdahulu, selain diberikan taklimat, kira-kira 50 petugas media dibawa melawat beberapa stesen MRT Fasa Kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan menaiki MRT.

Antara stesen terbabit adalah Muzium Negara, Merdeka dan Bukit Bintang.

Categories
NASIONAL

Laluan MRT Sg Buloh-Kajang dibuka Isnin ini

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pembukaan Fasa Kedua MRT (Mass Rapid Transit) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), pada Isnin ini dijangka akan meningkatkan liputan rangkaian rel di Lembah Klang, khususnya bandar Kajang sendiri.

Pengarah Projek Laluan SBK MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Marcus Karakashian berkata, fasa membabitkan 19 stesen itu merangkumi perjalanan bahagian bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer (km) dan bahagian bertingkat selatan sepanjang 20.5km.

“Pembukaan fasa kedua ini bermakna keseluruhan Laluan SBK sepanjang 51km siap dibina dan pengguna boleh sampai ke pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Segitiga Emas atau ‘Golden Triangle’ dan kawasan Chinatown dengan mudah menggunakan Laluan SBK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada media sempena pembukaan keseluruhan laluan SBK di Hotel Le Meridian, di sini, semalam.

Katanya, jajaran SBK yang memulakan operasi serentak dengan pelancarannya itu turut membabitkan tujuh stesen pertukaran.

Marcus berkata, pembukaan laluan itu dijangka akan memberi impak positif kepada masyarakat yang mendiami kawasan penduduk padat sepanjang jajaran terbabit.

“Saya percaya ramai akan menggunakan Laluan SBK dan sudah pasti kami sendiri menggalakkan orang ramai menggunakan mod pengangkutan moden, efisien, boleh dipercayai, selamat dan mesra alam sekitar,” katanya.

Serentak pelancaran itu, MRT turut membuka tujuh kemudahan tempat meletak kereta iaitu di Stesen Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung, Sungai Jernih dan Stesen Phileo Damansara.

PC (12 of 20)-2 PC (16 of 20)-2 PC (13 of 20)-2 PC (9 of 20)-2 PC (5 of 20)-2