Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jawatankuasa Orang Asli guna WhatsApp hebah program vaksin

PETALING JAYA, 12 OGOS: Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Orang Asli Desa Temuan menggunakan aplikasi WhatsApp bagi menghebahkan program vaksin.

Pengerusinya Mohd Nizar Mohd Shahbi berkata makluman dari rumah ke rumah turut dibuat bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada menerima suntikan.

“Program ini mendapat reaksi positif penduduk kerana lokasi pemberian vaksin hampir dengan perkampungan dan mereka tidak perlu keluar,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan di sini semalam.

Program yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong dibuat bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sementara itu, salah seorang penduduk Masmona Mustafa, 29, bersyukur menerima vaksin setelah sekian lama menunggu selain memuji proses suntikan yang mudah.

“Apabila dapat tahu ada program vaksin saya tidak sabar dan datang dengan anak buah, namun anak buah tidak divaksin kerana belum cukup 18 tahun,” kata ibu beranak tiga.

Setakat ini, lebih 10,000 penduduk Orang Asli di daerah Gombak dan Petaling dari 12 perkampungan selesai menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Orang Asli wanita suntik vaksin dalam bas, lebih selesa

PETALING JAYA, 11 OGOS: Dua buah bas disediakan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan di sini untuk keselesaan Orang Asli wanita yang menerima suntikan pelalian.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Gombak dan Petaling berkata bas Rapid KL itu disediakan memandangkan lokasi dewan terlalu terbuka untuk penerima wanita.

“Program vaksin hari ini bukan sahaja melibatkan Orang Asli di Desa Temuan tetapi juga warga asing yang menyewa di perkampungan tersebut.

Rogayah Mamat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Oleh demikian kita mengambil inisiatif membuat pengasingan kerana di dewan terlalu terbuka untuk penerima wanita,” kata Rogayah Mamat.

Mengulas lanjut Rogayah memaklumkan lebih 10,000 penduduk Orang Asli di daerah Gombak dan Petaling melibatkan 12 perkampungan sudah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

“Semua Orang Asli bersedia menerima vaksin cuma segelintir daripada mereka pada awalnya enggan kerana risau dengan kesan sampingan selepas disuntik,” katanya.

Pemberian vaksin untuk penduduk Kampung Orang Asli Desa Temuan itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kerjasama Jakoa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais agih bantuan makanan ke Gombak termasuk 277 keluarga Orang Asli

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan bantuan makanan kepada 376 keluarga sekitar Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor yang terkesan akibat Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan menyebut bantuan meliputi beras, minyak, tepung dan gula turut diserahkan kepada 277 keluarga Orang Asli termasuk yang bukan beragama Islam.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM37,600 bagi membantu keluarga terkesan pandemik hingga dikategorikan sebagai asnaf sementara.

“Mais juga menggunakan dana Baitulmal bagi membantu Orang Asli yang bukan Islam. Semoga sumbangan ini meringankan beban penerima,” kata Mais di Facebooknya semalam.

Sementara itu, salah seorang penerima dari Kampung Orang Asli Batu 12 Nor Zalina Jumbai menghargai bantuan terbabit yang mampu meringankan bebannya sekeluarga.

“Saya gembira dan terharu atas sumbangan ini. Terima kasih kepada Mais kerana menghulurkan bantuan,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Sambutan positif, lebih 300 Orang Asli terima vaksin

KUALA LANGAT, 24 JULAI: Seramai 387 masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penerima vaksin bersedia sejak awal pagi untuk tujuan itu.

“Ini menggambarkan tiada lagi masyarakat luar bandar takut atau bimbang untuk diberi suntikan pelalian demi membendung penularan wabak Covid-19,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) di sini hari ini.

Pemberian vaksin untuk penduduk Kampung Orang Asli Tanjung Sepat itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata sebelum ini hampir 400 Orang Asli di Kampung Bukit Bangkong, Tanjung Sepat turut menerima manfaat sama.

“Sambutan di kedua-dua tempat agak baik dan kita harap lebih ramai masyarakat Orang Asli mengambil peluang ini. Usaha akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai individu disuntik demi mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Borhan berkata inisiatif itu juga turut terbuka kepada masyarakat Orang Asli tidak mendaftar di MySejahtera tetapi mereka dibenarkan secara ‘walk-in’ ke PPV bergerak itu dengan menggunakan pendaftaran manual.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Orang Asli terima suntikan vaksin selewatnya Ogos ini

SHAH ALAM, 21 JULAI: Orang Asli seluruh negeri akan menerima suntikan vaksin Covid-19 selewat-lewatnya Ogos ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata berdasarkan rekod terdapat kira-kira 20,000 orang asli termasuk kanak-kanak di 74 kampung seluruh Selangor.

Katanya setakat ini ada diantara mereka telah divaksin sama ada menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Vaksin Selangor (Selvax).

“Kita akan pastikan semua masyarakat Orang Asli lengkap divaksin pada Ogos atau sekurang-kurangnya menerima vaksin dos pertama,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata van akan digerakkan ke perkampungan Orang Asli sekiranya mereka mempunyai masalah pengangkutan bagi memastikan tiada yang tercicir mendapat pelalian.

“Wakil rakyat juga diingatkan supaya membuat pemeriksaan kawasan masing-masing, jika ada yang belum dapat vaksin, daftar nama mereka di bawah program Selvax,” katanya.

Pada 19 Jun, Loy Sian memaklumkan Orang Asli seluruh negeri akan menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino keluaran China selewat-lewatnya September depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

2,000 Orang Asli nikmati subsidi data internet hingga 45GB sebulan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Seramai 2,000 Orang Asli  di negeri ini bakal menikmati kemudahan data internet dengan had kuota antara 15GB ke 45GB sebulan.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata inisiatif Data Internet Selangor bawah Pakej Kita Selangor 2.0 boleh dimohon mulai semalam sehingga 15 September.

“Mereka dijangka menerima kad sim bermula 1 Oktober depan,” katanya di Facebook.

Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.platselangor.com dan klik Inisiatif Bisnes Amal.

Program dengan peruntukan sebanyak RM17.5 juta itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menanggung kadar langganan bulanan melalui tawaran produk kad sim data internet dengan kuota antara 15GB ke 45GB sebulan

Antara golongan sasaran untuk menerima manfaat ialah penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang Asli teruja divaksin, rasa lebih selamat keluar bekerja

IPOH, 6 JULAI: Seorang tukang cuci Orang Asli menzahirkan rasa syukur kerana menerima suntikan vaksin Covid-19 dan berasa lebih yakin serta selamat untuk menjalankan tugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kinta, dekat sini.

Mat Ngingan Anjang, 54, adalah antara 100 penduduk Orang Asli di sekitar Hulu Kinta yang menerima vaksin sempena Program Vaksinasi Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak Ahad lepas.

“Saya bersama isteri Long Anjang dan dua anak iaitu Mohd Ikmal, 21, dan Rozilawati, 26, menunggang motosikal dari kediaman kami di Kampung Tonggang seawal 8 awal pagi bagi mendapatkan vaksin dan syukur keadaan kami adalah baik,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Chadak, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Bagi Mat Ngingan, meskipun sesi persekolahan ditutup ketika ini, suntikan vaksin Sinovac yang diterimanya itu diharap dapat melindungi dirinya dan pelajar serta guru ketika beliau menjalankan tugas di sekolah berkenaan.

Menurutnya, kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampungnya itu.

“Ada yang enggan mengambil suntikan vaksin ini kerana mereka hanya takut pada jarum dan tidak kurang juga yang pada awalnya terpengaruh dengan cerita dan dakwaan menerusi laman sosial mengenai kesan sampingan selepas menyuntik vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kini ramai yang sudah mula percaya akan kebaikan vaksin untuk diri dan keluarga mereka,” katanya sambil memuji perjalanan sistem pemberian vaksin pada program itu yang disifatkanya amat mudah dan cepat.

Pada program yang dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu, seramai 100 penduduk dari empat perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Tonggang, Kampung Suluh, Kampung Makmur dan Kampung Chadak di Hulu Kinta, Tambun menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chadak, Anjang Alang, berkata beliau adalah antara individu pertama yang menerima suntikan di perkampungan itu dan keadaan kesihatanya yang baik selepas disuntik sekali gus memberi keyakinan kepada orang lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan pihaknya bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar itu mendaftarkan diri bagi mengambil suntikan vaksin kerana terdapat segelintir yang menolak vaksin, beberapa bulan lepas.

“Saya sendiri dan ketua kampung lain pergi ke kawasan-kawasan pedalaman Orang Asli bagi menerangkan mengenai kebaikan vaksin dan bukti-buktinya dengan melihatkan ramai yang menerima vaksin selama beberapa bulan ini.

“Kini, Orang Asli yang pada mulanya menolak vaksin telah mempunyai kesedaran dan bertindak mendaftarkan diri demi menangani jangkitan wabak Covid-19 terutamanya selepas melihat galakan mengenainya di media massa,” katanya.

Justeru, Anjang berkata kerajaan diharapkan dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada Orang Asli kerana ramai yang belum menerima suntikan walaupun sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Seorang penerima warga emas Alang Alang, 63, dari Kampung Makmur berkata beliau hanya mengetahui mengenai keperluan mengambil vaksin melalui anak dan menantunya kerana tiada televisyen mahupun kemudahan media sosial untuk mengikuti perkembangan semasa.

“Menantu saya bawa ke sini menaiki kereta dan menasihatkan saya supaya mengambil suntikan vaksin untuk kesihatan dan syukurlah setakat ini, saya dalam keadaan baik dan tidak rasa sakit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Masyarakat Orang Asli manfaatkan pusat vaksin bergerak

DENGKIL, 5 JULAI: Teruja untuk menerima vaksin Covid-19, mendorong ibu tunggal Sela@Paya Akaw membawa lima anaknya untuk bersama-sama mendapatkan vaksin itu di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk komuniti Orang Asli, di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini.

Sela, 48, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan bersama-sama anaknya berusia antara 21 dan 28 tahun, hadir seawal pukul 9 pagi untuk mendapatkan vaksin jenis Sinovac di PPV bergerak itu.

“Saya gembira sebab bila dah cucuk (vaksin) ini kita dapat mengelak penyakit itu (Covid-19) dan saya rasa lebih yakin nak bekerja.

“Saya memang menggalakkan anak-anak untuk sama-sama ambil vaksin ini sebab saya tahu ia membawa kebaikan untuk kami,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

P. Kumarasan, 47, yang hadir bersama isteri dan abang iparnya berkata beliau amat berharap agar lebih ramai individu dalam komuniti Orang Asli mendapatkan vaksin.

“Kita rakyat ni kena ambil vaksin, jangan takut-takut, kena berani. Terima kasih kerajaan bagi kita vaksin,” katanya yang telah berkahwin dengan isterinya dari masyarakat Orang Asli lebih 20 tahun.

Tok Batin Kampung Sungai Buah Juli Belat pula meluahkan rasa kecewanya kerana masih ramai masyarakat Orang Asli yang enggan menerima vaksin.

Beliau yang turut menjaga dua kampung iaitu Kampung Sungai Buah Dalam dan Kampung Bukit Tunggul, berkata daripada 231 individu yang mendapat temu janji vaksin, hanya 106 orang yang hadir pada hari ini.

Beliau berkata pada peringkat awal, kurang daripada 20 orang yang bersetuju untuk divaksin dan selebihnya memberikan alasan takut dan tidak faham kepentingan vaksin Covid-19.

Katanya beliau berharap selepas ini ada wakil Kementerian Kesihatan yang boleh hadir ke perkampungan Orang Asli untuk memberi penerangan mengenai vaksin dan menjawab segala kemusykilan.

Sementara itu Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sepang Mohamed Rasaki Abdul Majid berkata berdasarkan borang maklum balas pemberian vaksin yang diedarkan kepada masyarakat Orang Asli, masih ramai yang menolak vaksin kerana mereka belum memahami sepenuhnya kepentingan vaksin.

Katanya berdasarkan rumusan borang pendaftaran vaksinasi, daripada 2,740 penduduk Orang Asli di daerah Sepang yang berusia 18 tahun ke atas yang layak menerima vaksin, hanya 879 orang menyatakan persetujuan manakala 1,861 lagi tidak bersetuju.

“Ini bermakna setakat ini 32.1 peratus sahaja bersetuju divaksin. Ia membabitkan 18 kampung Orang Asli di daerah Sepang,” katanya serta menambah pihaknya akan menggiatkan usaha mengajak masyarakat Orang Asli menerima vaksin melalui pelbagai medium termasuk menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah yang turut membuat tinjauan vaksinasi itu berkata masyarakat Orang Asli boleh menerima vaksin mereka secara ‘walk-in” ke PPV bergerak dengan menggunakan pendaftaran manual.

“Program pemberian vaksin untuk masyarakat Orang Asli akan diteruskan dalam masa seminggu ini dengan menjelajah ke setiap perkampungan Orang Asli dalam daerah Sepang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Puspawangi, Saloma curi tumpuan petugas pusat vaksin di Maran

MARAN, 3 JULAI: Dua wanita dari masyarakat Orang Asli yang hadir di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Sungai Jempul, di sini semalam mencuri tumpuan ramai petugas barisan hadapan di pusat itu kerana memiliki nama yang agak unik, membangkitkan nostalgia ramai terhadap filem-filem Melayu lama.

Puspawangi Samad, 19, dan Saloma Aji, 52, nampak ceria dan bersemangat semasa hadir ke pusat berkenaan untuk menerima suntikan vaksin.

Puspawangi berkata beliau bangga dengan nama yang dimiliki meskipun ia bagaikan nama ‘orang lama’ yang jarang digunakan.

“Saya suka dengan nama diberikan dan menganggap ia unik, setakat ini memang jarang saya jumpa dengan individu yang memiliki nama yang sama,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Mesra disapa Wangi oleh ahli keluarganya, anak kedua daripada lima beradik itu berkata nama yang diperoleh kemungkinan kerana ibu bapanya meminati filem Musang Berjanggut arahan dan lakonan seniman negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bersama seniwati Allahyarhamah Saadiah.

Berkongsi proses menerima suntikan vaksin, Puspawangi yang ditemani sepupunya Malina Aweng, 21, berkata dia lega selepas menerima suntikan pertama itu bagi melindungi dirinya dan orang lain daripada dijangkiti virus Covid-19.

“Saya tak takut pun, rasa tak sabar nak disuntik kerana vaksin memang ia baik untuk kita dan proses suntikan hanya sekejap sahaja,” kata Orang Asli suku kaum Semaq Beri itu.

Kehadiran Saloma turut memeriahkan suasana apabila ada yang mengusiknya untuk mendendangkan lagu, namun ibu kepada lapan cahaya mata itu hanya membalasnya dengan senyuman.

“Nama itu cukup orang kenali dan sudah menjadi kebiasaan menjadi tumpuan ketika berada di mana-mana, memang selalu orang berseloroh suruh nyanyi,” katanya yang memiliki nama sama dengan biduanita pertama negara.

Saloma menzahirkan rasa syukur kerana menerima suntikan vaksin selain berterima kasih kepada petugas kesihatan di PPV berkenaan.

Sementara itu Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kerjasama Tok Batin dan Jabatan Penerangan menerusi hebahan oleh van bergerak memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan mengenai kepentingan vaksin kepada penduduk Orang Asli Sungai Jempol, di sini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kira-kira 100 penduduk kampung berkenaan menerima vaksin jenis Sinovac dengan suntikan kedua dijangka diberikan pada 23 Julai.

“Setakat ini kita menerima respons yang positif dan kita akan cuba vaksinkan seramai yang mungkin penduduk di lapan kampung Orang Asli di daerah ini,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang Asli lumpuh 28 tahun terima suntikan vaksin Covid-19 di rumah

MERSING, 3 JULAI: Seorang lelaki Orang Asli yang lumpuh separuh badan sejak 28 tahun lepas meluahkan rasa syukur dan terharu apabila diberikan suntikan vaksin di rumahnya semalam.

Yatim Deron, 49, merupakan satu-satunya Orang Asli yang divaksinasi di rumah berikutan kesukarannya untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di dewan serba guna yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata kehadiran pasukan vaksinasi di rumahnya membuktikan golongan sepertinya tidak dipinggirkan.

“Memang terharu jugalah, memandangkan saya ni tak boleh jalan. Nak pergi mana-mana pun dah sukar. Bila mereka datang ke sini (untuk memberi vaksin), saya sangat berterima kasih terutama kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli yang jadi penganjurnya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Orang Asli Tanah Abang, dekat sini semalam.

Yatim yang lumpuh akibat dihempap pokok balak menerima dos pertama vaksin jenis Sinovac. Turut menerima dos pertama hari ini ialah 214 lagi Orang Asli daripada suku kaum Jakun di kampung itu.

Mengakui dia pada mulanya gementar untuk menerima suntikan vaksin kerana disogokkan dengan begitu banyak cerita negatif melalui media sosial, Yatim memutuskan menerima vaksin secara sukarela berikutan penularan wabak itu di negara ini dilihat semakin serius.

Sementara itu, penerima pertama vaksin di kampung tersebut, Lias Ajis, 40, berkata dia bersetuju divaksinasi kerana menyedari kepentingan vaksin dalam melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti virus Covid-19.

“Sekarang ini kita banyak keluar kerja. Vaksin ni untuk diri kita jugakan, lindungi diri kita dan keluarga,” kata bapa kepada dua orang anak itu yang turut meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas disuntik vaksin berkenaan.

Seramai 25 petugas kesihatan dan bukan kesihatan melaksanakan program imunisasi sehari di kampung itu menggunakan bas ekspres Mara Liner yang diubah suai sebagai PPV bergerak.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad meninjau proses pemberian vaksin di kampung itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Endau Alwiyah Talib dan Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita Orang Asli hamil antara penerima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sarat mengandung bukan halangan bagi beberapa wanita masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Rual di Jeli, Kelantan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Malah seorang ibu yang hamil enam bulan Saripah Meraju, 46, berpendapat, vaksin adalah antara ikhtiar untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit tersebut.

“Alhamdulillah. Saya memang sudah lama menunggu giliran untuk divaksin dan selepas dapat suntikan pertama ini memang saya berasa sangat gembira,” kata ibu kepada lapan anak itu.

Saripah menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer-BioNTech melalui program ‘outreach’ vaksinasi anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, serta beberapa agensi lain di Dewan Serbaguna Orang Asli, Sungai Rual.

Che Mas Rosli, 27, yang menanti kelahiran anak kedua pula berkata, pada awalnya dia berasa agak bimbang untuk divaksinasi, namun menjadi lebih yakin selepas mendengar nasihat serta penjelasan daripada pegawai kesihatan.

“Sejujurnya, pada awal saya takut juga nak ambil, tetapi ramai (pegawai kesihatan) beritahu bahawa ia tidak akan membahayakan saya dan kandungan, maka saya menjadi lebih yakin untuk mengambil suntikan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jeli Dr Amirul Azman Abu Hassan berkata, lebih 40 wanita Orang Asli yang mengandung telah menerima suntikan vaksin Pfizer menerusi program berkenaan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Rual telah dikenal pasti akan menerima vaksin Covid-19, melalui program ‘outreach’ vaksinasi atau program khidmat masyarakat, yang dilaksanakan secara berperingkat.

Di Kampar Perak, seorang bekas guru yang merupakan Orang Asli suku Semai, Apa Bengal, 72, berkata, beliau akan menjadikan dirinya contoh kepada masyarakatnya agar tidak gerun menerima suntikan vaksin, selain menangkis dakwaan berita palsu keburukan vaksin.

Beliau yang menerima dos pertama Pfizer hari ini berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli di Pos Dipang dan Kampung Sahom, belum menerima suntikan vaksin, malah ada yang belum mendaftar sebagai penerima.

Apa yang dihantar oleh anaknya kira-kira lima kilometer dari Pos Dipang untuk hadir ke program pertama ‘outreach’ di Kampar juga berharap, semua ketua-ketua kampung serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi lebih perhatian terhadap peranan mereka, memberi nasihat kepada masyarakat Orang Asli.

“Jangan bagi borang sahaja suruh isi, tetapi tidak menjelaskan apa yang perlu dilakukan dan apa itu kebaikan vaksin, sebab Orang Asli ini kebanyakkannya hanya akan tengok borang dan tidak faham apa yang perlu dilakukan,” jelasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90 pelajar Orang Asli cemerlang SPM, dua peroleh 9A

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seramai 93 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan dua daripadanya, berjaya meraih keputusan 9A.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelajar yang memperoleh keputusan 9A itu iaitu Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Selain itu, katanya lapan pelajar mencatat keputusan cemerlang 8A, 10 pelajar memperoleh (7A), lapan pelajar (6A), 31 pelajar memperoleh (5A), manakala 34 pelajar meraih keputusan 4A.

“Umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara dilanda dengan penularan pandemik Covid-19.

“Penularan pandemik ini menjejaskan persiapan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020, namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar Orang Asli tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan pelajar tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang berganding bahu dalam menyediakan pelbagai bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar Orang Asli bersaing dengan masyarakat lain.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan pelajar Orang Asli melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan, pakaian serta bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib melalui pendidikan.

“KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA