Categories
NASIONAL

Persekutuan patut malu pada Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

TEMERLOH, 7 JUL: Kerajaan Persekutuan tidak punya pilihan selain berasa malu kepada Kerajaan Selangor berhubung kepedulian tinggi dalam menjaga kebajikan rakyat walaupun melangkaui batas negeri, kata Adun Chuah, Chai Tong Chai.

Beliau merujuk kepada nasib rakyat yang terpaksa berdepan kenaikan harga barangan dan minyak atas kegagalan Kerajaan Persekutuan mengurus negara dengan baik.

Katanya, Selangor sejak dipimpin Pakatan Rakyat sentiasa cakna hal ehwal dan kebajikan rakyat seperti penganjuran Program Jelajah Ramadan, Peduli Rakyat yang menyantuni lebih 30 lokasi serata utara, selatan dan timur.

yb chai tong chai -adun chuah“Hari raya, Kerajaan Persekutuan beri hadiah dengan menaikkan harga barang dan tekanan GST. Ia berbeza dengan Selangor yang sentiasa peduli rakyat.

“Pengurusan bijak, telus dan amanah membolehkan Selangor terus maju dan hasilnya dimanfaat sepenuhnya untuk pembangunan dan rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sumbangan 200 pek agihan Ramadan kepada Ketua Cabang Temerloh, Abdul Jamil Yaakub di Pekan Lanchang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Pahang, Dasimah Zainudin, berkata bantuan pek barangan sempena Ramadan itu tepat pada masanya memandangkan kebanyakan rakyat terkesan dengan beban ekonomi ekoran kenaikan harga barangan menjelang aidilfitri.

“Kesungguhan Selangor ke Pahang menghulurkan bantuan ini tidak akan berlaku tanpa rasa ikhlas membantu rakyat asnaf.

IMG_5917“Kebanyakan penduduk Pahang adalah petani yang bergantung kepada hasil pertanian tidak menentu harga pasarannya, bahkan terpaksa menampung kos sara hidup tinggi kesan GST,” katanya.

Semua bantuan diagihkan di lapan cabang melibatkan wilayah Pahang Barat dan Pahang Tengah dan misi bantuan akan ke Kuantan bersama dua lori 10 tan dengan kekuatan 10 sukarelawan bagi mengagihkan baki 1,000 pek bantuan.

Selepas Pahang, misi akan menerjah ke Kuala Terengganu, Terengganu pada hari kedua sebelum ke Machang, Kelantan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB Pahang rakam penghargaan sumbangan banjir Kerajaan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUANTAN, 31 DIS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan tunai RM100,000 daripada Kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diberitahu Adnan sendiri melalui satu panggilan telefon, semalam.

“Pertemuan dengan Menteri Besar Pahang terpaksa diwakilkan Exco Kanan Kerajaan Negeri kerana Datuk Seri Adnan menghubungi saya memaklumkan kakak iparnya, meninggal dunia dan beliau terpaksa menguruskan jenazah untuk dibawa balik ke Bentong bagi majlis pengkebumian.

pahang“Bagaimanapun, Datuk Seri Adnan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana sumbangan itu dan beliau menghantar Exco Kanan, Datuk Shafik Fauzan Sharif untuk menerima bantuan sumbangan bagi pihak Kerajaan Pahang sebentar tadi,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah sebelum berlepas pulang ke Selangor, semalam.

Mohamed Azmin berkata, selain berterima kasih atas bantuan wang tunai, Kerajaan Pahang juga menyambut baik usaha Selangor untuk membantu kerja pemulihan dalam fasa kedua nanti.

“Kerajaan Pahang menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang bukan sahaja sekadar memberi memberikan sumbangan RM100,000, bahkan mereka gembira dengan komitmen Selangor untuk sekali lagi turun ke Pahang sebaik sahaja air turun untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman dan perumahan mereka.

“Saya memberi jaminan kita akan membantu khususnya di kawasan terkesan termasuk Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh,” katanya.

banjirMohamed Azmin dalam lawatan sehari ke Pahang turut berkesempatan melawat beberapa kawasan banjir di negeri itu termasuk Kampung Cenderawasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Mahkota.

Mohamed Azmin diiringi Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Zaidy Abdul Talib, Amiruddin Saari dan Ean Yong Hian Wah juga menyampaikan bantuan makanan asas yang dikelolakan Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) bagi pihak Kerajaan Selangor kepada mangsa di kampung terbabit.

Dalam siri lawatan sama, Mohamed Azmin terlebih dahulu melawat mangsa banjir di Terengganu dan bertemu Menteri Besarnya bagi menyampaikan bantuan banjir berjumlah RM100,000.

-NFN-

Bantuan banjir di Pantai Timur

Sinopsis:

200 petugas ditugaskan di Pahang dan Terengganu bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Categories
NASIONAL

Skuad khas AMK ke Kuantan bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR 6 DIS: Skuad khas Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dilancarkan hari ini bagi misi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang.

“Seramai 50 anggota skuad khas AMK akan bergerak ke Kuantan hari ini bagi misi kemanusiaan,” kata Setiausaha AMK, Julailey Jemadi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN.

Julailey berkata, sebuah lori 10 tan digunakan untuk menghantar bantuan termasuk makanan dan barangan keperluan asas.

“Bagi AMK Pulau Pinang dan Johor mereka ada menyumbangkan empat buah bot untuk membantu mangsa banjir di sana,” katanya.

AMK_Banjir2Memetik Keadilan Daily, beliau berkata, misi pertama dijalankan selama dua hari dan AMK merancang untuk bantuan seterusnya dalam bentuk alatan pembersihan rumah.

“Kita akan atur bantuan lain seperti pembersihan rumah dan sebagainya.

“Berkenaan negeri-negeri lain yang turut dilanda banjir, kami dalam perancangan menghantar bantuan ke sana,” kata Julailey.

Sumbangan bantuan bencana banjir AMK Malaysia boleh disalur melalui nombor akaun Maybank: 1621-7967-8902 atas nama Zara Zahari (Timbalan Bendahari AMK Malaysia) atau hubungi: 017-3910167 (Zara) untuk sebarang pertanyaan.

– FZL

Categories
SELANGOR

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa banjir di Pahang

Oleh : Siraj Mohd Zaini

SHAH ALAM 4 DIS : Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di Pahang, hari ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban ditanggung ribuan mangsa yang terbabit dalam kejadian banjir yang berlaku, dua hari lalu.

rodziah“Bantuan yang kita berikan adalah barangan, makanan dan peralatan sewaktu berada di pusat pemindahan banjir serta beberapa keperluan lain seperti peralatan sembahyang,” katanya.

Rodziah ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis PErhimpunan Penghulu, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri lain seperti Johor dan Terengganu dalam masa terdekat.

“Kita juga mendapat tahu selepas banjir di Pahang yang bermula di Kuantan sudah menjangkau ke Rompin dan saya dapati keadaan lebih teruk di Johor serta Kemaman, Terengganu. Jadi di bawah misi bantuan Selangor, kerajaan negeri tidak menafikan bahawa kita akan membantu mereka,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa bencana ribut taufan di Haiyan, Filipina serta RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Pada masa sama, Rodziah berkata, bantuan daripada pelbagai pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri serta kilang di Selangor turut diharapkan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana berkenaan.

“Kita sudah menulis surat kepada pihak berkenaan dan setakat ini, maklum balas yang diberikan mereka positif untuk membantu mangsa banjir yang berlaku di Pahang,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PR tangguh GST: Bantu tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat

azan ismail

SHAH ALAM 21 OKT: Langkah menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Peningkatan pendapatan boleh guna golongan itu menyebabkan kuasa membeli rakyat menjadi tinggi, sekali gus meningkatkan pengeluaran yang akhirnya memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Pahang, Azan Ismail, berkata pelaksanaan GST secara langsung turut membantu mengukuhkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2014 sebanyak 5.2 peratus yang diramal PR.

“Penangguhan GST bukan sahaja membantu menjaga kepentingan rakyat, tetapi realitinya mampu merangsang ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Azan berkata demikian ketika diminta mengulas ringkasan Belanjawan Alternatif PR 2014 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, perlaksanaan GST sering menjadi pilihan utama golongan menengah kerana menganggap GST kononnya mampu meringankan bebanan mereka membayar cukai kepada kerajaan.

“Golongan kaya anggap GST sistem ‘lebih adil’ kerana mahu memindahkan bebanan cukai kepada semua termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Realitinya golongan kaya sering mendapat pelbagai pengecualian cukai sama ada secara sah atau sebaliknya dengan pelbagai cara. Kita juga tahu ada syarikat besar yang mendapat pelepasan cukai sangat besar sebagai potongan ke atas sumbangan dana yang dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Azan berkata, unjuran KDNK 5.2 peratus yang dibuat PR dibuat berdasarkan kajian dan ramalan peningkatan ekonomi global.

“Saya sendiri pada mulanya agak terkejut dengan ramalam 5.2 peratus, tetapi ini bukti memperlihatkan unjuran dibuat secara bertanggungjawab berdasarkan perkembangan ekonomi global dan demi pertumbuhan positif ekonomi negara, bukan sesuka hati,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Batu dan Cat Tidak Halang Perjuangan Membela Rakyat

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Lontaran batu dan cat tidak menghalang PKR meneruskan untuk berjumpa rakyat dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang cuba digugat oleh samseng Umno-BN.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti akan tetap menggerakkan program ini sebagai salah satu kaedah menyuntik kesedaran rakyat.

Katanya, terdapat dua faktor utama yang membantu program ini berjalan dengan jayanya. Yang pertama kerjasama ahli parti atau mobilisasi rakyat dijalankan semaksimum dan faktor keselamatan merupakan dua petua kejayaan program tersebut.

“Kedua-dua petua itu merupakan faktor penting bagi menjayakan program itu secara berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

“Walaupun setakat ini ia tidak mengecewakan tetapi kita mahu momentum itu diteruskan.

“Begitu juga dari segi keselamatan, kita tidak akan diserang jika pemimpin kita ramai, jadi kita kena tingkatkan kawalan keselamatan. Kita perlu memastikan pemimpin kita selamat dan program kita berjaya,” katanya dalam program Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012 di sini hari ini.

Jelasnya, disebabkan sambutan luar biasa dari rakyat, PKR menerima reaksi yang keras dari pihak Umno-BN.

Setakat ini, Jelajah Merdeka Rakyat sudah berjaya di sembilan negeri antaranya Pahang, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

“Dalam sembilan negeri yang sudah kita jelajah, hanya Negeri Sembilan sahaja kita tidak diserang,” katanya.