Categories
AGENDA GLOBAL

UK pertama kali catat lebih 50,000 kes Covid-19 sehari

LONDON, 30 DIS: Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Selasa.

Seramai 53,135 lagi penduduk Britain diuji positif virus itu, menunjukkan peningkatan baharu setiap hari. Jumlah kes di negara ini kini sebanyak 2,382,865, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, seramai 414 lagi meninggal dunia dalam tempoh 28 hari menjadikan jumlah kematian sebanyak 71,567.

Seorang saintis pada Selasa memberi amaran kepada kerajaan, langkah pencegahan lebih ketat mesti dilaksanakan untuk mengelak “malapetaka” pada tahun baru.

Britain “memasuki fasa baharu pandemik yang sangat berbahaya” disebabkan penularan varian baharu, kata anggota Kumpulan Penasihat Ancaman Kemunculan Virus Baharu (NERVTAG), Profesor Andrew Hayward.

“Kita memerlukan tindakan pencegahan awal dan ketat, untuk mencegah bencana lebih buruk pada Januari dan Februari,” katanya kepada program Radio 4 BBC.

“Tahap sekatan sebelum ini tidak mampu berfungsi lagi, sekatan Tahap Empat mungkin diperlukan, atau mungkin lebih daripada itu”

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dijangka mengumumkan perubahan tahap sekatan pada Rabu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Noor Hisham: Asean perlu bekerjasama kawal Covid-19, minimumkan kesan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Negara-negara anggota Asean, termasuk Malaysia perlu bekerjasama dalam menangani penularan pandemik COovid-19 dan meminimumkan kesan sosio-ekonomi kepada negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebook beliau hari ini berkata kesan penularan pandemik yang meluas itu melepas sempadan negara, menjadikan kerjasama untuk membanterasnya di peringkat serantau perlu dibina menerusi rundingan dengan wilayah serantau.

“Tiada jalan pintas untuk keluar daripada pandemik ini, dan melihat kepada kadar pembangunan vaksin Covid-19 ketika ini, satu komuniti berdaya maju, yang mengambil sikap mengatur langkah untuk memelihara kepentingan antara satu sama lain, amat kritikal untuk mengawal pandemik ini.

“… dalam Asean, kita perlu memiliki standard bersama, dan mengelak duplikasi. Bersama kita berdiri teguh di rantau ini untuk menghadapi hari esok dalam keadaan lebih bersedia,” katanya.

Beliau turut menggesa negara anggota Asean untuk mejadikan keadaan semasa sentiasa berada dalam kawalan – dari segi sains mendahului politik, perkembangan sains lebih rancak dari politik; di samping terus meningkatkan komunikasi strategik dan melahirkan masyarakat yang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata demikian semasa sesi webinar bertajuk “How Can Asean Bounce Back: Fostering Public Health Safety & Economic Resilience for a Borderless Community in Asean” anjuran Institut Penyelidikan Asean CIMB (Cari).

Perbincangan berkisar kepada pengurusan Malaysia mengenai pandemik Covid-19, kerjasama dengan ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam menangani Covid-19, di samping cara bagaimana mengimbangi antara kesihatan awam dan survival ekonomi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Gelombang pertama Covid-19 di Thailand berakhir

HANOI, 9 JULAI: Gelombang pertama wabak Covid-19 di Thailand sudah berakhir selepas negara tidak melaporkan kes tempatan baharu selama 44 hari berturut-turut, kata pakar bahagian Perubatan Pencegahan Kementerian Kesihatan Awam, Jabatan Pengawalan Penyakit Dr Anupong Sujariyakul pada Rabu.

Namun, beliau tetap mengingatkan rakyat Thailand sentiasa bersiap sedia menghadapi gelombang jangkitan kedua, memandangkan penularan wabak itu masih berlaku di banyak negara di dunia, yang menyaksikan ada beberapa negara sudah mengalami gelombang kedua, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Orang ramai perlu sentiasa berwaspada pada setiap masa, memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan.

Thailand pada Rabu melaporkan tiga kes import baharu Covid-19 membabitkan rakyat yang pulang dari luar negara.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 3,197 kes Covid-19, dengan 3,074 kes sembuh dan 58 kematian. Sementara itu, 65 yang lain masih dirawat di hospital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Menyegarkan’ berada semula dalam bilik bedah – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Selepas beberapa bulan bekerja keras untuk memerangi pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kembali semula ke dalam bilik bedah.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata beliau sempat “mencuri” masa untuk melakukan pembedahan tiroidektomi untuk seorang pesakit yang menghidap “right dominant multinodular goitre” pagi ini.

“Amat “menyegarkan” berada semula dalam bilik bedah untuk menenangkan diri saya dan bertemu dengan semua staf OT (bilik bedah) saya. Saya turut diberikan taklimat mengenai aliran kerja dan SOP (tatacara operasi piawai) bagi pesakit positif Covid-19 yang perlu menjalani pembedahan.

“Setiap hari memberi pembelajaran dan cabaran baharu untuk kami membuat persediaan untuk menghadapi situasi paling teruk, dan saya kagum dengan keikhlasan, kekuatan dan kreativiti dipamerkan petugas barisan hadapan kita.

Foto Sumber: Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Tatkala berdepan dengan situasi pandemik, ia memberi banyak pengajaran bernilai tentang perpaduan dan solidariti. Adalah penting untuk kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan memastikan kebersihan diri,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata disebabkan pandemik itu, beliau dan petugas barisan hadapan dapat menjalin jaringan hubungan dengan lebih baik antara satu sama lain dan terus berusaha untuk menerokai idea dan inovasi baharu.

“Kita kini dalam fasa pemulihan; bagaimanapun, cabaran sebenar bermula sekarang iaitu untuk rakyat mematuhi SOP.

“Rakyat mampu melakukan perkara yang mustahil kerana kini sudah ada harapan dan masa depan cerah untuk memutuskan penularan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham muncul di televisyen pada 5 petang setiap hari, untuk memberikan perkembangan terkini dan berita berkaitan Covid-19 yang ditunggu-tunggu orang ramai.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Status PKP Bersyarat dijangka diketahui hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perkembangan selanjutnya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui melalui perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual berlangsung hari ini.

Namun begitu apa jua keputusan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial, dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan sejak 18 Mac lepas sudah memasuki hari ke-54, tindakan yang diambil kerajaan itu sememangya membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal serta melandaikan keluk kes Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan PKPB yang dilaksanakan pada 4 Mei lepas bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula walaupun PKP keempat sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Ekoran pelaksanaan itu, pusat membeli-belah sudah boleh beroperasi, orang ramai boleh mengunjungi restoran untuk menjamu selera dan kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang, namun kesemua itu masih perlu mematuhi Tatacara Operasi Piawai (SOP).

Justeru itu, tiada istilah ‘merdeka’ dalam situasi ini kerana selagi vaksin merawat pandemik maut itu tidak ditemui, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita menang ‘peperangan’ virus ini.

Sedikit berbeza semalam, setelah hampir lima bulan bekerja tanpa henti memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 kepada rakyat, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga antara orang terpenting dalam menangani pandemik itu diberikan ‘cuti’ oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media.

Namun pihak KKM masih memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi kenyataan media dengan laporan jumlah kumulatif kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan telah dibenar pulang daripada wad mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes baharu direkodkan.

Sekali lagi diingatkan Covid-19 bukan perkara remeh, tanamlah normal baharu itu dalam diri ketika keluar dari rumah, orang ramai digalakkan memakai pelitup separuh muka ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19 walaupun ia tidak diwajibkan.

Amalkan kawalan kendiri dan elakkan bersesak-sesak dengan orang ramai, tidak kira di mana sahaja anda berada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Polis Kuala Lumpur tingkat langkah cegah

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Polis Kuala Lumpur mengambil langkah berjaga-jaga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, dengan mempertingkatkan langkah pencegahan susulan penularan Covid-19, kata ketua polis Kuala Lumpur

Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini berikutan seorang anggotanya yang bertugas di IPK Kuala Lumpur, dipercayai mempunyai simptom Covid-19.

Beliau berkata ketika ini anggota berkenaan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan Covid-19, dan masih menunggu keputusan ujian.

“Walaupun kami belum tahu keputusan pemeriksaan kesihatan anggota itu, tetapi kami telah membuat perancangan dan mengambil tindakan cepat dengan menjalankan operasi sanitasi di lif-lif dan kawasan sekitar IPK.

“Selain itu, majlis yang melibatkan orang ramai juga akan dikurangkan, sebagai langkah pencegahan Covid-19 dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang bertugas di IPK Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mazlan turut menasihati semua pegawai dan anggota polis supaya menggunakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman dengan lebih kerap, kerana operasi pencegahan jenayah masih diteruskan.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Amerika had perjalanan dari Eropah

WASHINGTON, 12 MAC: Amerika Syarikat (AS) akan mengehadkan semua perjalanan dari negara Eropah kecuali United Kingdom (UK), bermula tengah malam Jumaat untuk membendung penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Donald Trump berkata sekatan itu akan “disesuaikan mengikut keadaan semasa” dan pengecualian hanya untuk rakyat AS “yang telah menjalani pemeriksaan sepatutnya.”

“Kami mengambil langkah keselamatan itu pada awalnya ke atas negara China sekarang Eropah pula,” katanya pada Rabu.

Negara terlibat termasuk Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway , Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.

Sebelum ini, larangan sama dikuatkuasakan ke atas China dan Iran masing-masing pada Januari dan Februari.

Tindakan itu serentak dengan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dan pengisytiharan darurat di AS.

Rumah Putih berkata Presiden turut membatalkan acaranya di Colorado dan Nevada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2450/2500 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Ringgit menyusut daripada kenaikan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan kebimbangan berterusan terhadap pandemik COVID-19 telah mendorong pelabur beralih daripada aset berisiko, kata peniaga.

Pada jam 9.25 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2450/2500 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2350 ketika ditutup pada Rabu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) malam tadi mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik memandangkan virus itu pantas merebak ke seluruh dunia dengan jumlah kes meningkat kepada 121,000 orang setakat malam tadi.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0400/0444 daripada 3.0425/0468 ketika ditutup pada Rabu namun turun berbanding yen Jepun kepada 4.0786/0846 daripada 4.0263/0322.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.4523/4600 daripada 5.4812/4894 semalam tetapi rendah berbanding euro kepada 4.7956/8017 daripada 4.7812/7877.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

WHO isytihar Covid-19 pandemik

GENEVA, 12 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik susulan penularan wabak tersebut semakin membimbangkan.

Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar merentasi sempadan hingga ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata virus tersebut menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dengan meragut 4,291 nyawa sehingga sekarang dan angka terbabit dijangka akan meningkat, lapor Agensi.

“Kami tidak pernah melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus sebelum ini selain bimbang tindakan tidak mencukupi untuk memerangi penularan Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi namun menggesa semua pihak mengambil tindakan agresif mengekang wabak tersebut.

Jumlah kes Covid-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian setakat ini.