Categories
ADN SELANGOR

DUN Paya Jaras peruntuk RM300,000 bantu penduduk terkesan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sejumlah RM300,000 dibelanjakan bagi membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Wakil rakyat Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya memberikan bantuan kepada semua pihak sama ada warga tempatan mahu pun bukan warganegara.

“Cabaran kita adalah bukan sahaja pengundi dan rakyat Malaysia tetapi warga asing yang memiliki pasport atau kosong.

“Warga asing juga terkesan akibat pandemik dan mereka juga perlu dibantu supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pada program vaksinasi atlet dan pengusaha industri sukan Selangor di Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maal Hijrah disambut sederhana, penuh kesyukuran dalam suasana pandemik

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Selama dua tahun berturut-turut, Maal Hijrah 2021/1443 disambut dalam suasana cukup sederhana namun penuh kesyukuran meskipun negara masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti,’ sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Di Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam mendepani pandemik Covid-19 dan bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta.

Dalam titah baginda secara hidbrid sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan hari ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umat Islam dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan Covid-19 menerusi PPN yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Muhyiddin juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik itu.

Tokoh Ma’al Hijrah 1443H/2021M Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bergambar selepas sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 9 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Semalam turut menyaksikan bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan manakala Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sambutan Maal Hijrah tahun ini diharap dapat memberikan motivasi kepada rakyat untuk sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua supaya sama-sama memupuk semangat ukhwah dan penyatuan, sebarkan kebaikan dan bersama membangunkan Negeri Sembilan yang berdaya maju, diberkati dan harmoni dan mendoakan agar keadaan kembali normal seperti sedia kala,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online secara dalam talian hari ini.

Di Selangor, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan menyeru umat Islam agar mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran zaman dan berharap semua masyarakat sedia berubah ke arah yang terbaik tahun baru ini.

Di Pulau Pinang, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh, 70, yang juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Pulau Pinang, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri itu.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak secara maya malam ini, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, Abdul Halim Abdul Hamid, 66, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ulamak.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata cabaran pandemik Covid-19 perlu diambil iktibar oleh umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan saling membantu sesama manusia.

“Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersabar dalam apa jua cabaran di samping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 2021/1443 hari ini.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad menghadiri Majlis Ambang Maal Hijrah peringkat negeri yang dianjurkan di Masjid Sultan Azlan Shah (MSAS) Ipoh malam ini dan turut hadir barisan Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta kira-kira 200 jemaah dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Di Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari semasa menyampaikan amanatnya di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya malam ini meminta umat Islam di negeri itu agar tidak menjadi masyarakat yang hanya melihat sahaja pembangunan di Sarawak sebaliknya bersama-sama mengambil peluang untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata untuk menjadi negeri maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi, umat Islam perlu berganding bersama rakyat lain di Sarawak bagi memanfaatkan peluang yang wujud hasil inisiatif kerajaan membuka ruang baharu yang dapat meningkatkan lagi ekonomi negeri ini.

Di Terengganu, sambutan yang disiarkan secara dalam talian memilih bekas Mufti Negeri Terengganu Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir, 86, sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini manakala Tokoh Imam Cemerlang dianugerahkan kepada Abd Wahab Muhammad, 77, dari Masjid Kampung Rawai, Marang dan Mohamad Puteh, 67, dari Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus pula diangkat sebagai Tokoh Bilal Cemerlang.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata ummah berkualiti yang mempunyai keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual berupaya mendepani apa jua rintangan tanpa berkeluh-kesah kerana yakin dengan qada’ dan qadar Allah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan kesihatan negeri dapat RM940 juta urus pandemik

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Sejumlah RM940 juta telah disalurkan kepada semua jabatan kesihatan negeri bagi tujuan pelaksanaan perolehan untuk mengurus pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata antara pelaksanaan terkini adalah perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan, kerja menaik taraf taraf hospital susulan penukaran status kepada hospital Covid-19, seperti Hospital Selayang yang bertukar status pada 21 Julai lepas.

“Alhamdulillah semua jabatan ini melaksanakan urusan perolehan dengan penuh integriti dan transparent demi menjaga kepentingan pesakit ” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata perolehan juga digunakan untuk mendirikan hospital medan di Hospital Selayang serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan akan dikembangkan ke Melaka.

Beliau berkata sejumlah peruntukan juga diberi untuk meningkatkan keupayaan logistik seperti katil dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta menangani isu bekalan oksigen.

Dari segi logistik, Mohd Shafiq berkata ia termasuk kenderaan diubah suai kepada ambulans yang boleh memuatkan 20 pesakit untuk dibawa ke fasiliti kesihatan untuk rawatan segera susulan kadar kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang tinggi.

Beliau berkata mobilisasi penugasan sumber manusia juga dilakukan dengan mengisi jawatan tetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan permohonan penambahan jawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya hampir 9,000 jawatan diisi secara kontrak untuk ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta penugasan dari fasiliti lain ke Lembah Klang melibatkan lebih 2,490 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata 170 pegawai pergigian dan 85 pegawai farmasi ditempatkan sementara untuk membantu di pusat saringan dan pusat pemberian vaksin.

Mohd Shafiq berkata KKM juga akan berbincang dengan JPA untuk menambah petugas bukan kesihatan untuk membantu aktiviti pengesanan kontak.

Beliau berkata KKM juga menjaga kebajikan petugas barisan hadapan dengan pemberian elaun khas Covid-19 melibatkan hampir RM760 juta disalurkan kepada 1.5 juta orang sehingga 10 Julai lalu.

Selain elaun, beliau berkata petugas barisan hadapan juga diberikan pendedahan mengenai isu kesihatan mental dan penjagaan kesihatan mental kendiri dalam memastikan tahap kesihatan mental berada dalam keadaan yang baik.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Melawati sedia talian sokongan emosi ketika pandemik

SHAH ALAM, 5 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mewujudkan perkhidmatan Talian Harapan secara percuma kepada penduduk yang memerlukan bantuan sokongan emosi.

Wakil rakyatnya berkata individu yang mengalami masalah kemurungan, kekeluargaan atau rumahtangga, penceraian, pembelajaran, sosial, anak autisme atau hiperaktif dan kecelaruan identiti boleh hubungi talian tersebut.

“Talian Harapan merupakan talian sokongan emosi dan psikososial yang akan menghubungkan anda dengan pihak kaunselor untuk mendengar masalah dan membantu menangani isu berkaitan.

“Ia juga demi menjaga tahap kesihatan mental rakyat khususnya terutama wanita yang terpaksa mengurus ahli keluarga ketika tempoh pandemik Covid-19 dengan pelbagai cabaran,” kata Juwairiya Zulkifli di Facebook.

Turut mendapat kerjasama Klinik Psikologi Azlina, penduduk sekitar yang mempunyai masalah dinyatakan boleh menghubungi talian 017-8860253 untuk membuat janji temu di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar pelaburan asing lebih rendah dampak pandemik

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor meletakkan jumlah sasaran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah iaitu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion pada tahun ini berbanding pencapaian RM17 bilion ke RM18 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini ekoran impak daripada pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehingga April 2021, negeri itu mencatatkan nilai FDI kira-kira RM9 bilion dan ia masih dilihat sebagai angka yang baik memandangkan situasi ekonomi lebih mencabar ketika ini berbanding tahun sebelumnya.

“Sasaran kita tak besar setakat RM12 billion ke RM13 bilion kerana apa yang berlaku bila kes Covid-19 meningkat semula pada tahun ini operasi kita hanya bergerak dalam 20 ke 30 peratus tak banyak perkara yang kita boleh buat dan kembangkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Bagaimanapun, katanya, susulan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini, beliau berharap landskap ekonomi negeri itu akan beransur pulih.

“Kita tidak mahu terlalu ‘ambitious’ (meletak sasaran tinggi) tetapi saya kira akhir Ogos atau awal September kita akan dapat sesuatu yang lebih baik untuk Selangor,” kata Amirudin.

Sementara itu, katanya, melalui pelaksanaan inisiatif Selangor Advance dibawah Pakej Kita Selangor 2.0, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat melibatkan 50,000 pekerja setakat ini.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Elak anak jadi ‘penagih gajet’ ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Sindrom berkurung akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja membuatkan orang dewasa melekat menghadap skrin pelbagai gajet, malahan kanak-kanak tadika turut terkesan dengan fenomena ini.

Penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut murid dan pelajar mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Isunya bukan sahaja mereka menghadap skrin komputer untuk tujuan itu tetapi sibuk dengan permainan di internet ketika waktu santai.

Berjam-jam di komputer dan telefon bimbit serta gajet lain sudah tentu mencetuskan lagi satu kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang anak mereka berkemungkinan menjadi ‘penagih gajet’!

Ini bukan sahaja boleh menjejaskan perkembangan mental serta emosi, malah mungkin membuatkan mereka enggan ke sekolah bila keadaan mengizinkan.

Perunding Psikiatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Profesor Madya Dr Nora Mat Zin berpandangan, peningkatan besar-besaran penggunaan gajet serta masa yang dihabiskan di depan skrin dalam kalangan kanak-kanak, adalah salah satu kesan buruk terkurung di dalam rumah.

“Banyak yang kanak-kanak temui di internet, bukan sahaja laman sesawang pendidikan untuk PdPR, tetapi permainan dalam talian, di samping media sosial seperti Facebook, Tik Tok, YouTube dan sebagainya.

“Perkara paling lazim yang ibu bapa bangkitkan ketika konsultasi ialah anak-anak yang ketagihan gajet ketika pandemik ini. Malah ada yang sampai didiagnos dengan Ketagihan Permainan Internet (IGA) serta Gangguan Kebimbangan Komorbid Kemurungan Major (MDD).

Dr Nora berkongsi perkara berkenaan ketika sesi penyampaian beliau mengenai The Internet Use and Mental Health of School Children di Kongres Dunia Ketiga mengenai Integrasi dan Islamifikasi 2021, anjuran IIUM pada 6 Jun lepas.

Apakah ketagihan internet itu benar? 

Menurut Dr Nora yang juga Ketua Jabatan, Kulliyyah Perubatan Kampus IIUM Kuantan, ibu bapa dapat melihat tanda-tanda IGA pada diri anak mereka, baik dari segi fizikal atau emosi.

“Untuk IGA, tanda biasa perubahan tingkah laku lazimnya dengan telefon pintar, agresif, gelisah, gangguan tidur dan tidak mementingkan makan.

“Malahan, kanak-kanak ini lemah daya fokus untuk belajar, enggan bergaul dengan kawan-kawan, asyik dengan permainan internet, tak lagi ikut rutin dan tidak ada perkembangan diri, ” jelasnya.

Beliau menambah, kanak-kanak yang mengalami kemurungan serta kebimbangan sosial, akan menghabiskan lebih banyak masa dengan gajet mereka dan permainan internet sewaktu PKP yang akhirnya menyebabkan ‘Anxiety Disorder Comorbid MDD with Internet Game Disorder’.

“Di samping gejala yang serupa dengan IGA, ada ketikanya mereka mungkin terdorong untuk mencederakan diri sendiri, meskipun tahu tindakan mereka tidak boleh diterima.

“Internet memberikan mereka ruang untuk melupakan sebarang perasaan sedih atau masalah yang mengganggu emosi mereka. Mereka ni tak kisah tidur dan lebih suka menyendiri dalam dunia dalam talian mereka,” katanya.

Malahan, beliau berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan peranti digital boleh mendapat sakit kepala, sakit leher, jangkitan mata serta kekurangan zat makanan.

“Selain itu, mereka juga terdedah kepada pembuli siber dan kandungan dalam internet yang tidak sesuai, juga boleh memusnahkan institusi kekeluargaan, ” katanya.

Uruskan skrin secara berkesan

Dr Nora berkata, ibu bapa perlu mengawal masa yang dihabiskan anak mereka menghadap komputer bagi mengurangkan ketagihan gajet.

Beliau turut mengesyorkan konsep ANCHOR iaitu acknowledge (iktiraf), notice (ambil tahu), committed (komited), hopeful (berharap), organise (mengatur) dan reflect (merenung kembali).

“Sebagai ibu bapa, mereka mesti melihat isu ini secara serius dan sekata dengan sasaran. Bincangkan isu dan apa yang ingin dicapai, supaya bila bercakap dengan anak, tidak ada pertelingkahan.

“Mulakan perbincangan dengan mengingatkan anak anda bahawa anda berdua mengambil berat akan kebahagian mereka. Beritahu apa yang anda nampak dengan perubahan tingkah laku, secara tepat seperti cepat letih, pencapaian akademik yang menurun dan suka menyendiri.

“Letakkan masa berapa lama mereka boleh melayari internet setiap hari dan pastikan anda bersama mereka apabila mereka berada di hadapan komputer, ” katanya.

Dr Nora turut mencadangkan, ibu bapa memilih satu hari untuk melakukan ‘Detoks Keluarga’ daripada telefon bimbit dan gajet yang lain.

“Selepas berjam-jam menggunakan telefon pintar dan internet ketika berada di rumah sepanjang PKP, ketika berkumpul, cubalah berbual pula. Ini dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan, ” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa belajar tentang perisian pemantauan serta memasang penapis dalam gajet untuk memantau apa yang anak mereka lakukan semasa dalam talian.

Ketagihan permainan 

Sementara itu, Perunding Pakar Psikiatri, Hospital Pakar Regency, Dr Albert Lee Muh Haur memberitahu Bernama, hasil tinjauan internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2020 mendapati, sebanyak 88.7 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna Internet.

“Laporan itu juga menunjukkan sebanyak 47 peratus kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari dan yang memeranjatkan, 42.6 peratus ibu bapa tidak mempunyai sebarang bentuk kawalan internet. Ini amat membimbangkan, ” katanya.

Sebagai pakar psikiatri, beliau sendiri menerima ramai pesakit terutamanya dalam lingkungan umur remaja yang ketagihan permainan internet, perjudian dan juga pornografi.

“Lagi banyak masa dihabiskan di internet atau gajet lain, lebih tinggi risiko untuk ketagihan termasuk sibuk mengumpul pengikut serta jumlah like atau views. Mereka juga terdedah kepada perjudian dalam talian, pembuli siber dan pronografi.

“Gajet untuk kanak-kanak, ada kesan positif dan negatif. Ini dipengaruhi oleh faktor seperti kekerapan, masa yang dihabiskan dengan gajet serta penyeliaan ibu bapa, ” katanya, ketika dihubungi oleh Bernama baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi hasil penyelidikan yang membuktikan mereka yang mempunyai ketagihan berkenaan, mempunyai fungsi serta perubahan otak serta cara berfikir seperti mereka yang ketagihan bahan terlarang.

“Sesetengah permainan dalam talian seperti Loot boxes – antara ciri biasa pemain yang menang, membeli atau diberi hadiah kotak maya atau bekas yang apabila dibuka pembungkusnya terdapat barangan maya bernilai, umpamanya alat senjata, mata wang permainan atau kemampuan istimewa.

“Penyelidikan menunjukkan mereka yang membeli atau menjual loot boxes mempunyai kecenderungan tinggi untuk perjudian kerana kesamaan dari segi jalan ganjaran. Jadi, mereka ini mungkin mempunyai tingkah laku seperti seseorang yang asyik dengan berjudi.

“Ini menunjukkan permainan menggunakan internet, jika tidak diselia, boleh menjurus kepada ketagihan dan memerlukan bantuan profesional untuk merawat ketagihannya, ” jelasnya.

Atasi keenganan anak ke sekolah 

Menyentuh tentang isu keengganan anak ke sekolah termasuk golongan remaja semasa pandemik dan PKP, Dr Lee berkata ianya berpunca akibat terkurung dalam rumah dan mereka secara terpaksa terdedah kepada gajet untuk PdPR dan kurang pergaulan di luar rumah.

”Isu ini memanglah banyak memberi tekanan untuk anak-anak, keluarga dan kakitangan sekolah. Ini boleh mencetuskan kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap emosi, sosial serta perkembangan pendidikan mereka.

“Dalam perkembangan kanak-kanak, mereka fokus untuk mempelajari perkara baharu, dapat berkawan serta mengembangkan keyakinan diri dan identiti. Bila sekolah ditutup, mereka tak boleh buat semua itu dan hanya berhubung secara digital, ” tambahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan anak-anak itu apabila kembali ke sekolah, mungkin menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi atau berhadapan dengan kawan-kawan. Mungkin juga mereka berasa gelisah.

“Dalam soal ini, ibu bapa perlu menilai keadaan anak mereka. Luangkan masa untuk berbual dengan mereka, galakkan anak-anak menyuarakan rasa isi hati mereka. Mungkin ada yang sukar untuk berbuat demikian. Bersabarlah. Jika anak anda ada hubungan baik dengan mana-mana guru atau kaunselor di sekolah, minta mereka bercakap dengan anak anda, ” katanya..

Dr Lee turut mencadangkan, ibu bapa boleh juga mendapatkan bantuan profesional termasuk doktor keluarga, pakar pediatrik atau psikiatrik untuk membuat penilaian ke atas anak mereka.

“Doktor mungkin boleh membantu anak yang bermasalah. Lagi lama anak tidak ke sekolah, lagi sukar untuk mereka kembali ke sekolah. Matlamat rawatan ini untuk membantu anak itu belajar cara mengurangkan rasa gelisah apabila balik ke sekolah.

“Dalam hal ini, kerjasama antara sekolah, ahli terapi atau doktor serta keluarga adalah penting untuk membantu anak kembali ke sekolah, ” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perunding kewangan: Urus perbelanjaan ketika pandemik, elak ‘hutang jahat’

SHAH ALAM, 17 JUN: Seseorang perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika merancang kewangan saat negara dilanda pandemik Covid-19, kata perunding kewangan.

Firdaus Pay berkata mereka yang terjejas juga perlu mengelak hutang tidak perlu dan menyediakan tabung kecemasan untuk membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Antara perancangan kewangan terbaik pada masa ini kita kena sediakan belanjawan supaya kita boleh senaraikan barang keperluan yang perlu diutamakan berbanding kehendak.

“Pada masa sekarang agak bagus untuk kita kurangkan hutang dan elakkan hutang yang tidak perlu iaitu utamakan ‘hutang baik’ dan elakkan ‘hutang jahat’,” katanya menerusi temubual secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Beliau menjelaskan hutang baik ialah hutang yang boleh menambah baik pendapatan seperti pembelian rumah untuk disewakan, manakala hutang jahat seperti pinjaman peribadi yang menjadi beban dalam jangka masa panjang.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan setiap individu mempunyai tabung kecemasan yang boleh digunakan jika mereka dibuang kerja atau pendapatan terjejas.

“Paling penting kita perlu menyediakan takaful untuk perlindungan diri dan keluarga kerana ia boleh menolong kita dalam perbelajaan luar jangka seperti bayaran kos hospital,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan simpanan dibuat di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Unit Trust dengan peruntukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan.

“Simpanan ini boleh digunakan untuk jangka masa panjang dan jika ada kecemasan yang terdesak,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Penyelaras Gombak Setia ligat atasi masalah setempat sepanjang wabak

SHAH ALAM, 3 APRIL: Pelbagai bantuan dihulur kepada penduduk sekitar kawasan Gombak Setia sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Meskipun berlaku peralihan politik pada peringkat pimpinan, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia bertungkus-lumus memastikan kebajikan penduduk terjaga.

Dilantik pada 15 September lepas, Abdul Rahim Kasdi menyedari amanah yang dipikulnya bagi membela penduduk di kawasan berkepadatan lebih 70,000 orang, 85 peratus daripada orang Melayu.

Biarpun baru berkhidmat, seramai 2,445 orang menerima manfaat Inisiatif Peduli Rakyat iaitu bahan barangan asas (212 set), Skim Mesra Usia Emas (1,542), Jom Shopping Deepavali (450), sumbangan Deepavali (230), bantuan khas kewangan (enam) dan komputer riba (lima).

Beliau juga memainkan peranan memastikan barang keperluan asas sampai kepada hampir 4,500 penerima yang dihimpit wabak Covid-19 antara Mac hingga Mei tahun lalu.

Abdul Rahim Kasdi (dua, kanan) menyerahkan bantuan barangan asas Covid-19 kepada penduduk Gombak Setia di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia pada 31 Mac 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia

Penjaja juga menikmati pengecualian bayaran lewat cukai taksiran dan pengecua-lian sewa gerai daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selama tiga bulan.

Selain itu, pelitup muka guna semula diedar ke sekolah dan orang awam bagi memelihara keselamatan mereka. Agihan dijayakan pusat khidmat penyelaras DUN, ahli majlis atau ketua kampung dan program ziarah ke rumah.

Bela penduduk

Abdul Rahim juga memastikan golongan berpendapatan rendah dibela sebaik-baiknya. Setakat Mac, sebanyak 3,500 bantuan makanan termasuk beras, minyak, biskut dan gula diagih menerusi Pakej Kita Selangor. Turut diedar, bara-ngan basah antaranya ayam kepada 1,000 penduduk.

“Terhentinya aktiviti ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memberi kesan langsung kepada peniaga kecil dan penjaja. Ada juga hilang mata pencarian kerana diberhenti kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Selain bantuan secara langsung, Abdul Rahim juga menggariskan perancangan dalam mengatasi masalah penduduk antaranya:

  • Menyelesaikan isu dua penempatan setinggan di Kampung Makmur, Sri Gombak dan Perkampungan Indian Settlemant di Batu 8, Jalan Gombak
  • Menyusun atur isu penambakan tanah sekitar Sungai Pusu dan Gombak Utara
  • Menyediakan zon penjaja untuk membantu penjaja

Beliau juga berusaha menyelesaikan isu banjir kilat di perkampungan tradisional melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk membaiki sistem saliran dan perparitan.

Abdul Rahim turut memandang serius isu pembuangan sampah haram yang berlarutan sekian lama di beberapa lokasi termasuk di Jalan Gombak.

“Walaupun masih baru memegang amanah, saya ada perancangan untuk memberi lebih tumpuan ke arah mewujudkan masyarakat harmoni dan selamat.

“Ini dapat dilakukan dengan memperkasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan jawatankuasa penduduk agar mereka berfungsi sebagai perantara rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia semak semula belanjawan negeri, imbangi keadaan semasa

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri bersedia menyemak semula peruntukan belanjawan 2021 untuk mengimbangi situasi terkini rakyat yang terjejas berikutan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu mengambil kira jangkaan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu yang akan dilihat pada suku pertama tahun ini.

“Semua negeri sebenarnya perlu merujuk kembali fokus kita dalam belanjawan untuk mendepani cabaran pandemik. Industri tempatan juga perlu dibangunkan untuk menjamin kemampuan kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bercakap melalui forum bertajuk Ekonomi pascapandemik: Ke mana hala tuju? secara maya malam tadi, beliau berkata Kerajaan Negeri menumpukan usaha memperkasa industri tempatan bagi menampan kesan pandemik.

“Kita juga mewujudkan Gugusan Selangor di setiap daerah bagi memastikan negeri ini terus ke depan dan seimbang dalam semua perkara,” katanya.

Selangor mewujudkan sembilan gugusan utama ekonomi mengikut kesesuaian setiap daerah merangkumi industri teknologi tinggi, aeroangkasa dan automotif.

Selain itu, ia meliputi maritim, perkhidmatan, ekopelancongan, akuakultur, pertanian ekonomi bandar dan pendidikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

CAP nasihat waspada beli peranti ketika pandemik, elak ditipu

GEORGE TOWN, 3 FEB: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai untuk berhati-hati ketika membeli peranti seperti komputer riba atau komputer ketika pandemik Covid-19, bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, permintaan tinggi terhadap penggunaan kedua-dua peranti itu untuk keperluan perniagaan dan pembelajaran dalam talian mendorong peningkatan aktiviti penipuan.

Beliau berkata, sekiranya pengguna memilih untuk mendapatkan peralatan terpakai atau yang diperbaharui, mereka perlu membelinya daripada sumber yang boleh dipercayai dengan penjual yang tinggal berdekatan serta mengelakkan melakukan pembelian daripada sumber yang tidak diketahui di media sosial.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena (dengan produk), pengguna dengan mudah dapat menemui penjual itu berbanding penjual yang tinggal jauh. Terdapat kes pembeli membeli barang elektronik dari negeri lain dan mendapati peralatannya rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna agar tidak membuat keputusan terburu-buru ketika membeli peralatan yang diperlukan, dan meminta nasihat daripada seseorang yang berpengetahuan dalam bidang berkaitan, sebelum membuat sebarang perjanjian pembelian.

“Penipu atau mereka yang suka mengambil kesempatan menyasarkan orang yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya. Oleh itu, kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati, apabila membeli komputer riba atau komputer,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor cakna isu rakyat, paling awal bantu depani pandemik

SHAH ALAM, 30 JAN: Pakej Kita Selangor bagi merangsang ekonomi membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu dihadapi rakyat ketika pandemik melanda.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata Selangor antara yang terawal melaksanakan insiatif itu berbanding negeri lain dengan mengambil kira nasib semua golongan.

“Pakej ini menjaga keselamatan semua pihak dan pada masa sama ekonomi bergerak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Rodziah Ismail menerusi bual bicara Pakej Kita Selangor Wanita Terkesan Pandemik – Solusi Selangor? di Facebook malam tadi.

Pengasas Creative Business Su’et Made Products Suzana Mustafa turut memuji pakej tersebut yang memberi manfaat kepada wanita bagi menjana pendapatan.

“Pakej itu terbaik dan wanita perlu rebut peluang ini. Perhalusi semua inisiatif yang Kerajaan Negeri sediakan dan kreatifkan diri untuk ceburi bidang bersesuaian,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelan bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani PKP 2.0.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: ‘Kelesuan pandemik’ faktor tidak acuh ikut SOP

SEREMBAN, 23 JAN: Sudah setahun musibah koronavirus melanda dunia, namun harapan untuk menyaksikan wabak ini segera hilang dari muka bumi masih belum menampakkan sinar.

Kes positif Covid-19 di Malaysia juga tidak susut dan masyarakat pula seolah-olah sudah keletihan dengan kehidupan norma baharu sehingga culas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Mungkinkan mereka sudah berasa kebal terhadap jangkitan, atau sudah terlalu ‘penat’ sehingga tidak endah lagi dengan SOP?

Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid berkata ‘kelesuan pandemik’ mungkin menjadi antara faktor menyumbang kepada pengabaian dan sikap tidak acuh individu terhadap pematuhan SOP bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Kelesuan berkenaan didorong oleh beberapa fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac tahun lepas. Jika kita melihat kepada PKP pertama dahulu, rakyat rata-rata bersemangat dan bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 dan kita berjaya melandaikan keluk kes jangkitan Covid.

“Namun sejak September tahun lepas ditambah dengan kebenaran merentas negeri serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kes positif Covid-19 kian bertambah. Ini membuatkan rakyat mula letih dan berfikir bila pandemik ini akan berakhir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 16 Januari, Malaysia pertama kali merekodkan kes harian tertinggi iaitu 4,029 kes sejak pandemik itu melanda negara. Sehingga semalam, kes kebolehjangkitan direkodkan adalah 42,814 kes manakala jumlah kematian akibat wabak itu sebanyak 660.

Pada suatu ketika Malaysia berjaya melandaikan keluk jangkitan namun trend angka kes jangkitan tempatan saban hari kini menunjukkan situasi menggerunkan menuntut persoalanan – apa yang tidak kena dengan strategi kita mencegah penularan koronavirus yang boleh membawa maut ini?

Mengupas persoalan, pensyarah perubatan di Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan USIM itu berkata kelemahan kawalan kendiri adalah faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan tempatan.

Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sekarang ini, ada mengikut SOP dan ada yang tidak. Mengapa? Ini adalah kerana ‘kelesuan pandemik’ yang menyebabkan mereka leka dan tidak berwaspada meskipun saban hari kerap diingatkan supaya menjaga penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

Meskipun diakui video-video menggerunkan memaparkan keadaan individu dijangkiti tersebar luas di media sosial ketika PKP pertama, banyak membantu meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya Covid-19, namun kini ia tidak lagi memberi kesan.

Dr Mohd Radzniwan berkata peningkatan kes positif kebelakangan ini antara lain berpunca daripada kelekaan masyarakat tentang bahaya Covid-19, berbanding ketika awal pandemik.

Katanya, semasa peringkat awal PKP dilaksanakan secara ketat pada Mac tahun lepas, rakyat tertunggu-tunggu perkembangan situasi semasa Covid-19, selain mendapat maklumat dan video yang diperoleh di media sosial sehingga mencetuskan rasa bimbang untuk keluar.

“Namun kini kerana berasa selesa dengan persekitaran semasa, ada yang beranggapan mereka sentiasa selamat dan tidak akan dijangkiti, mereka alpa. Kegusaran kita adalah kita tidak tahu siapa yang positif memandangkan ada tidak bergejala… ini harus kita bimbangkan,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang senada dengan Dr Mohd Radzniwan bersetuju faktor ‘kepenatan’ orang ramai mematuhi SOP, selain ada pihak tertentu yang tidak menunjukkan pematuhan SOP menyebabkan wujud sikap tidak acuh dalam kalangan masyarakat.

Menjawab persoalan seakan wujud undang-undang berbeza antara rakyat dan pemimpin, Naib Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata rakyat perlu bijak dan tidak terikut dengan sikap yang tidak boleh dicontohi.

“Kenapa rakyat mesti ikut pemimpin yang tidak boleh dicontohi? Rakyat perlu cerdik dalam memahami slogan ‘Kita Jaga Kita’. Pemimpin politik hari ini tidak boleh dicontohi selagi mana mereka tidak ada integriti,” katanya dan bersetuju tindakan berat sebelah yang diambil pihak berkuasa turut menyumbang kepada faktor peningkatan kes secara mendadak.

“Sebab itu, undang-undang tidak boleh pilih kasih walaupun terhadap pemimpin… salah tetap salah, termasuk jika yang melakukan itu adalah menteri. Jika rakyat saja yang kena, akhirnya nanti rakyat sudah tidak percaya kepada undang-undang dan keadaan akan jadi lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata Covid-19 hanya dapat dikawal sekiranya pemimpin dan rakyat berganding bahu mematuhi SOP ditetapkan.

“Isunya sekarang pemimpin terlalu berpolitik. Wabak tidak kenal pemimpin atau siapa pun dan berapa ramai menteri dan pemimpin kena Covid-19? Pemimpin sebegini tidak boleh dicontohi atau diikuti,” katanya.

-BERNAMA