Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling pelitup muka antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Persoalan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga siling pelitup muka tiga lapis pada harga RM1 yang berkuat kuasa ketika ini, bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Cha ingin tahu sama ada harga siling itu akan diturunkan secara berperingkat pada masa depan memandangkan bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling.

Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai sama ada kementerian itu bercadang untuk memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap memandangkan mereka memberi perkhidmatan sama kepada masyarakat.

Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan beralih kepada soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo Sarawak serta jangkaan projek berkenaan siap sepenuhnya.

Usai sesi itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dijangka membacakan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 buat kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Denda hingga RM500,000 jual pelitup muka mahal

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga pelitup muka ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata peniaga yang gagal mematuhi arahan boleh didenda sehingga RM0.5 juta atau penjara mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan penetapan harga pelitup muka di pasar raya Giant Seksyen 13 di sini semalam.

Muhamad Zikril turut meningatkan peniaga meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal atau didenda sehingga RM50,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, sebanyak 2,117 premis diperiksa dan 494 aduan diterima berkaitan penetapan harga pelitup muka bermula Januari hingga 17 Ogos lalu.

Beliau berkata berdasarkan aduan, tujuh kes dihasilkan dengan nilai rampasan RM2,238.60 dan kompaun RM30,000 dikenakan kepada peniaga yang gagal mematuhi arahan.

Berkuat kuasa 15 Ogos lalu, kerajaan menetapkan harga pelitup muka jenis tiga lapis dijual RM1 seunit berbanding RM1.50 sebelum ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penipuan beli pelitup muka dalam talian cecah RM18 juta

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Penipuan pembelian pelitup muka secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 mencecah kerugian RM18 juta, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said mengakui wujud kesukaran bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras jenayah dalam talian.

Ini katanya disebabkan antara lain, identiti pemanggil atau ‘scammer’ (penipu) yang tidak dapat dikenal pasti, pemanggil menggunakan nombor atau akaun telefon orang lain, selain ada antara mereka yang beroperasi di luar negara.

Untuk menangani masalah ini, katanya kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas melibatkan kerjasama PDRM, Bank Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security dan institusi-institusi kewangan negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai kekangan PDRM dalam menangani jenayah ‘scammer’ dalam talian yang semakin menjadi-jadi.

Menjawab soalan Abdul Azeez mengenai jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail berkata sindiket ini dibahagi kepada lima jenis.

Beliau berkata daripada kesemua jenis itu, penipuan melalui e-dagang mencatat kes paling tinggi dengan 2,500 kes melibatkan kerugian RM17 juta sehingga 4 Ogos lepas dari tarikh PKP dikuat kuasa pada 18 Mac.

“Bagi penipuan pinjaman yang tak wujud, terdapat 1,582 kes melibatkan kerugian RM18 juta; ‘Macau Scam’ dengan 1,001 kes melibatkan kerugian RM50 juta; 481 kes ‘Love Scam’ melibatkan RM18 juta; dan tipu SMS, 91 kes melibatkan kerugian RM800,000,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin tahu jaminan kerajaan terhadap keselamatan maklumat peribadi yang diisi secara manual di setiap premis, Ismail memberi komitmen bahawa tindakan akan diambil terhadap sebarang pencerobohan data peribadi.

Bagi aplikasi MySejahtera pula katanya, segala maklumat peribadi dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelitup muka: Tidak perlu pinda akta, boleh rayu kompaun

TANJUNG MALIM, 16 OGOS: Mereka yang dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka masih boleh merayu pengurangan denda tersebut, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Justeru itu katanya tiada keperluan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan.

”Kita kenakan RM1,000 tetapi mereka boleh merayu, kalau dikurangkan maka Kementerian Kesihatan yang mengeluarkan kompaun boleh memberi pengurangan. Jadi, saya rasa tidak perlu pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa.

“… sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak mural kemerdekaan dan pasar pagi Slim River, di sini.

Beliau juga berkata jika perlu dilakukan pindaan terhadap akta itu, usul akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen supaya kerajaan mengkaji semula kadar denda RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka kerana jumlah itu dilihat membebankan orang ramai, khususnya golongan B40 dan pelajar.

Sementara itu, ditanya mengenai kewujudan virus Covid-19 dengan mutasi D614G yang 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain di negara ini, Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa virus yang dibawa (kluster) Sivagangga itu telah dapat dikawal, jadi tidak ada lagi penyebaran virus tersebut (bagi kluster itu) di Kedah, Perlis dan sebagainya,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata Institut Penyelidikan Perubatan telah mengesan mutasi jenis D614G dalam tiga kes daripada Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Katanya virus Covid-19 dengan mutasi D614G didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain serta mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’.

Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menasihati penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

“Saya faham kita nak kerja untuk menangkan calon, tempat sesak kalau tak boleh nak lakukan penjarakan fizikal wajib pakai pelitup muka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga siling RM1 pelitup muka dikuat kuasa Sabtu

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Harga siling runcit baharu RM1 bagi sekeping pelitup muka jenis tiga lapisan akan dikuat kuasa Sabtu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata harga berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mendapati bekalan pelitup muka jenis berkenaan mencukupi untuk menampung permintaan seluruh negara.

“Memandangkan RM1.50 harga siling selama ini telah sekian lama (ditetapkan) dan bekalan pelitup muka di pasaran adalah mencukupi hasil pemeriksaan dan pemantauan kementerian dan libat urus bersama pihak industri, pengilang dan juga peruncit yang menjualnya.

“Didapati juga walaupun harga siling sebelum ini RM1.50, ada yang menjual rendah dari harga itu, maka memang benar bekalan pelitup muka ini mencukupi di pasaran, oleh itu kementerian mengambil tindakan untuk menyemak semula (harga siling),” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Isnin lepas, Nanta pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan harga siling baharu berkenaan bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.

Nanta berkata pihaknya memberi komitmen untuk terus menyemak harga dan menurunkan lagi harga siling runcit pelitup muka sekiranya keadaan membolehkan.

“Ia bergantung kepada bekalan, itu yang penting, sebab tak guna kita turunkan (harga) tapi (bekalan) tak dapat di pasaran. Kenapa tak dapat? Kalau harga pengeluaran masih tinggi maka orang mungkin tak dapat jual.

“Kita melihat kepada situasi dahulu, walaupun 80 sen tetapi nak beli pun tak ada. Kenapa? Ia kerana pengilang tempatan tak dapat tampung permintaan, jadi kita perlu import,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan, Nanta berkata sesiapa yang didapati menjual lebih tinggi daripada harga siling, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

“Buat masa sekarang …dari segi pemantauan mungkin tidaklah (jual lebih tinggi dari harga siling) sebab kita tak buat secara mengejut. Berita ini (turun harga siling pelitup muka) saya dah umum hampir seminggu lepas di Parlimen, jadi memang penjual, peruncit, pemborong sudah mengetahui kita (kerajaan) akan turunkan harga siling,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP dalam satu kenyataan turut memaklumkan harga siling borong bagi pelitup muka jenis tiga lapisan juga diturunkan daripada RM1.45 seunit ke 95 sen.

Menurut kenyataan itu, dari 29 Jan sehingga Isnin lepas, sebanyak 47,703 pemantauan terhadap harga dan bekalan pelitup muka dijalankan yang menyaksikan 55 kes dibuka dengan nilai rampasan sebanyak RM536,951.40 dan jumlah kompaun RM392,400.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Harga siling pelitup muka turun kepada RM1 seunit

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 seunit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata KPDNHEP bersedia untuk menurunkan lagi harga siling pelitup muka dari semasa ke semasa bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai, 1 Ogos lalu.

“Saya ingin memaklumkan harga tiga lapis pelitup muka akan diturunkan lagi kepada RM1 seunit di peringkat runcit. Maknanya 95 sen di peringkat borong. Usaha ini diharapkan membantu mengurangkan beban orang ramai dan ibu bapa menyediakan pelitup muka buat anak.

“Kementerian juga bersedia untuk menurunkan lagi harga siling ke paras yang lebih rendah dari semasa ke semasa. Langkah ini akan dilakukan secara berterusan. RM1 satu unit tidak akan berakhir di situ sahaja kerana kita akan tengok dan kaji lagi bersama pemegang taruh,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta menjawab soalan Chong Chieng Jen (PAKATAN-Stampin) mengenai rasional kementerian meningkatkan harga maksimum topeng muka tiga lapis daripada 80 sen seunit ke RM1.50 seunit.

Jelasnya, susulan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu, permintaan terhadap pelitup muka di pasaran meningkat dan menyebabkan pengeluaran pelitup muka ditingkatkan sekali gus memberi kesan kepada penurunan harganya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga pelitup muka akan turun lebih rendah daripada RM1.20

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menurunkan harga siling penutup muka lebih rendah daripada RM1.20, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata harga siling pelitup muka tiga ply (lapis) akan diturunkan daripada RM1.50 seunit kepada RM1.20.

“Tetapi sekarang memandangkan maklum balas umum, kami dah bincang mungkin kita akan turun lagi bawah daripada RM1.20,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sini.

Khoo ingin tahu langkah yang diambil KPDNHEP bagi memastikan harga pelitup muka diturunkan.

Pada 23 Julai lalu, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling pelitup muka boleh turun ikut bekalan

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Harga siling pelitup muka yang diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 mulai 15 Ogos ini, mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, penurunan harga kepada RM1.20 itu diputuskan dua minggu sebelum kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020 di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan umum yang sesak, serta merupakan langkah berperingkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“KPDNHEP sedang memantau bekalan di peringkat pengeluaran, pengimportan dan di peringkat runcit bagi tujuan menentukan penurunan harga maksimum yang wajar berdasarkan kepada situasi pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Nanta berkata kementerian juga  mewartakan larangan eksport produk itu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020 bagi memastikan bekalan pelitup muka mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi keperluan semasa.

Larangan yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 itu dilaksanakan kerana kerajaan khuatir situasi kekurangan bekalan peringkat dunia berulang dan seterusnya menyebabkan harga meningkat secara mendadak, kata Nanta.

Menurutnya, melalui pemantauan bekalan dan pengeluaran ke atas lapan kilang pelitup muka tempatan bermula April hingga 28 Julai lepas, didapati sebanyak 78 juta unit produk itu telah dikeluarkan dan diedarkan dalam pasaran.

“Didapati tidak ada masalah bekalan atau kekurangan pelitup muka di pasaran pada ketika ini,” katanya.

Selain itu, katanya pengguna kini mendapatkan pelitup muka jenis fabrik sebagai alternatif, dan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelitup muka pakai buang.

“KPDNHEP memberi jaminan akan sentiasa mencari pendekatan terbaik yang seimbang demi kepentingan pelbagai pihak bagi memastikan harga pelitup muka dapat dikawal dan sekali gus memastikan keberadaannya di dalam pasaran dapat dikekalkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Majoriti rakyat Selangor pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pematuhan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan awam di negeri ini dilihat amat baik, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata masyarakat diharap terus patuh dan amalkan penjarakan fizikal terutama di lokasi sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kira-kira 95 peratus individu mematuhi patuhi arahan bahan berkaitan di Selangor.

“Justeru, saya harap masyarakat terus amalkan SOP (tatacara operasi piawai) supaya tidak wujud lagi gelombang kedua pandemik tersebut di negara ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bermula 1 Ogos lalu, kerajaan mengenakan mandatori pemakaian pelitup muka di tempat awam dan sekiranya gagal bayaran denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan.

Orang ramai boleh memperoleh maklumat berhubung senarai lokasi wajib memakai pelitup muka menerusi www.mkn.gov.my

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ke arah sifar Covid-19, jangan leka patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Memasuki hari ke-54 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, berita baik mula menyelubungi Malaysia apabila hanya satu kes positif Covid-19 dicatatkan selepas mengalami peningkatan beberapa minggu lepas.

Pastinya hari ini kita mengharap agar jumlah itu berubah menjadi sifar sekali gus membayangkan kita mempunyai harapan cerah mengakhiri ‘peperangan’ menentang pandemik maut ini andai semua tatacara operasi piawai (SOP) terus dipatuhi.

Kali terakhir kita mencecah angka kes terendah iaitu satu kes juga ialah pada 1 Julai lepas.

Namun, harus diingat kes seperti Kluster PUI Sivagangga di Kedah yang tercetus akibat kealpaan mematuhi arahan kuarantin di rumah wajar dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang.

Dengan jumlah positif sebanyak 21 kes, lima sekolah ditutup dan empat mukim di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran melibatkan 7,000 penduduk, ternyata kekhilafan ini tidak mustahil berulang jika kita terus memandang remeh SOP yang ditetapkan.

Justeru, seperti biasa Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tanpa lelah mengingatkan agar mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif kluster berkenaan supaya tampil ke kemudahan kesihatan berhampiran untuk menjalani saringan.

Begitu juga individu pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin di rumah, tetapi masih belum menjalani proses saringan kali kedua supaya tampil sebelum tindakan tegas diambil.

Rakyat Malaysia perlu meneruskan usaha membantu menurunkan kes Covid-19 di negara kita dengan mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat, menjaga kebersihan diri terutamanya kebersihan tangan, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelakkan bertutur dengan jarak yang dekat.

Pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak juga adalah antara kunci penting untuk kita mengekang penularan virus yang belum mempunyai vaksin ini.

Beringat, “jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. SOP sudah cantik, sila patuhinya”.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Exco bimbang pelitup muka terbuang sekat sistem saliran

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tindakan membuang pelitup muka merata tempat dibimbangi menjadi punca sekatan sistem saliran, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pelitup muka sepatutnya dibungkus rapi dan dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Sebelum ini plastik menjadi punca utama sampah yang menyebabkan sistem saliran tersekat dan kita bimbang pelitup muka akan menggantikan plastik pula.

“Seperti sampah-sampah yang lain, ia perlu dibuang ke tempat sepatutnya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga menyaran orang awam menyimpan pelitup muka terpakai dalam beg khas sebelum dibuang, selain menggalakkan penggunaan pelitup muka guna semula.

Bermula 1 Ogos lalu, Majlis Keselamatan Negara mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat sesak dan pengangkutan awam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai sokong kewajipan pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 3 OGOS: Langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang berkuat kuasa 1 Ogos wajar kerana negara masih berdepan penularan Covid-19.

Perkara itu dipersetujui penjawat awam, Mohd Nur Nasrullah Muhd Ghazali mengatakan belum ada vaksin yang mampu menghapuskan virus tersebut.

Penjawat awam, Mohd Nur Nasrullah Muhd Ghazali.

“Kewajipan memakai pelitup muka wajar, mungkin kita rasa pemakaiannya agak rimas tetapi mencegah lebih baik dari mengubati. Pada masa sama kita dapat jaga diri kita dan orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala, guru tadika, Nur Farahanum Ahmad berkata terdapat cabaran untuk mengawal anak didiknya memakai pelitup muka kerana mereka tidak selesa dan mudah terpengaruh dengan rakan lain.

Guru tadika, Nur Farahanum Ahmad.

“Oleh itu, kita akan cakap pada mereka siapa yang memakainya akan diberikan ganjaran seperti coklat atau permainan. Manakala, mengenai bekalan pelitup muka pula tadika memang disediakan peruntukan jadi ia tiada masalah untuk didapati,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Abdul Halim Abdul Razak berkata kerajaan perlu mempergiatkan lagi kempen pemakaian pelitup muka dengan cara betul kerana masih ada segelintir yang salah memakainya.

Peniaga, Abdul Halim Abdul Razak.

“Kewajipan memakai pelitup muka dapat mengawal penularan Covid-19, jika sebelum ini mereka bergejala sahaja digalakkan pakai tetapi ada juga positif tidak bergejala yang mungkin kita tidak tahu, bagi saya lebih baik semua pakai,” katanya.