Categories
AGENDA NASIONAL

Individu bergejala disyor pakai pelitup muka tiga lapis – Fomca

SHAH ALAM, 2 OGOS: Individu bergejala disaran menggunakan pelitup muka perubatan jenis tiga lapisan sekiranya mengunjungi kawasan sesak yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata ini disebabkan pelitup muka jenis fabrik hanya sesuai bagi individu tidak bergejala yang berada di tempat bukan tumpuan awam.

“Pengguna perlu pakai (pelitup muka) jenis perubatan tiga lapisan kerana fabrik tidak mampu menapis virus dan melindungi khususnya mereka bergejala,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Beliau turut mengesa orang ramai bijak memilih bahan berkaitan yang terdapat di pasaran dengan mengutamakan kualiti berbanding harga sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan Covid-19.

“Pengguna perlu peka dengan pemilihan pelitup muka dan pastikan ia sesuai dengan tempat dikunjungi kerana bimbang akan wujud gelombang ketiga Covid-19 jika tidak mengambil maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Kerajaan memutuskan pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum bermula semalam.

Individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu boleh dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fomca: Wujudkan garis panduan jenis pelitup muka, pastikan kualiti

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mewujudkan garis panduan khusus berhubung perincian spesifikasi dan jenis pelitup muka yang boleh dijual di pasaran bagi kegunaan orang awam.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata langkah itu bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan dengan menjual pelitup muka tidak berkualiti ketika pengguna memerlukannya dalam mengekang penularan Covid-19.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang aduan kekurangan bekalan pelitup muka di pasaran, cuma timbul isu kualiti (pelitup muka) yang tidak menepati tatacara operasi piawai (SOP) KKM walaupun harga dijual amat berpatutan.

“Kita tidak mahu kes seperti alat pengimbas suhu yang dijual pada harga rendah tetapi tidak memenuhi SOP berlaku dan kemungkinan ia boleh terjadi pada pelitup muka memandangkan pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di kawasan sesak dan pengangkutan awam,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Dalam pada itu, beliau mengakui kebanyakan pengusaha premis perniagaan menjual pelitup muka pada harga lebih rendah daripada kadar siling ditetapkan kerajaan iaitu RM1.50 sekeping ketika ini.

“Kerajaan mengambil keputusan menurunkan harga pelitup muka kepada RM1.20 sekeping bermula 16 Ogos ini namun kita berharap peniaga dapat mengekalkan harga yang dijual sekarang.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai mempunyai kemampuan untuk mendapatkan pelitup muka pada harga munasabah dan pada masa sama kualiti diutamakan,” katanya.

Bermula 1 Ogos pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjarakan fizikal: Polis cadang had pengunjung ke Teluk Cempedak

KUANTAN, 2 OGOS: Polis akan mengemukakan cadangan supaya kemasukan pengunjung ke pantai peranginan Teluk Cempedak di sini, dihadkan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan aspek penjarakan fizikal dapat dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata cadangan itu difikirkan perlu ekoran tinjauan polis pada petang semalam, mendapati jumlah pengunjung di situ terlalu ramai sehingga berlaku kesesakan di laluan masuk ke pantai itu.

“Pengunjung masih berterusan mahu masuk menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka membuat pusingan-u. Kita telah terangkan situasi yang berlaku dan minta supaya mereka kembali semula pada hari lain kerana ini melibatkan aspek keselamatan.

Walaupun tinjauan di pantai mendapati pengunjung akur menggunakan pelitup muka seperti arahan kerajaan, namun jumlah yang terlalu ramai menyukarkan mereka mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan berharap masyarakat dapat memahami tindakan itu terpaksa diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain Teluk Cempedak, Mohamad Noor berkata pihaknya akan terus membuat tinjauan di lokasi tumpuan awam sekitar Kuantan termasuk di pasar bagi memastikan orang awam terus menggunakan pelitup muka di situ.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada pengangkutan awam kerana ia melibatkan pelbagai peringkat usia. Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan secara berkala di terminal bas selain sekatan jalan raya.

Kita berharap pengendali syarikat pengangkutan awam dapat memberikan kerjasama kepada polis dan mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Mohamad Noor berkata mereka mengeluarkan kompaun kepada 17 individu kerana tidak memakai pelitup muka pada operasi pematuhan di sekitar bandar ini, Teluk Cempedak, Terminal Sentral Kuantan dan sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Operasi itu diadakan selama dua jam bermula 4 petang dan selain polis, turut melibatkan anggota tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MPK.

Mohamad Noor juga menasihatkan ibu bapa untuk peka dengan keberadaan anak terutamanya golongan remaja, supaya turut mematuhi peraturan menggunakan pelitup muka kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan denda RM1,000.

“Mereka yang banyak ditegur kerana tidak menggunakan pelitup muka dengan betul adalah golongan remaja. Jika ditahan, kita akan memanggil ibu bapa mereka supaya mereka tahu kesalahan yang telah dilakukan anak mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakai pelitup muka atau denda RM1,000

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Bermula semalam, 1 Ogos 2020, masyarakat mula memakai pelitup muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak Covid-19.

Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaharu itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu turut mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan.

Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19, selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi rakyat.

Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baharu masyarakat ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

Kata Dr Noor Hisham, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masyarakat akur, disiplin guna pelitup muka, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Masyarakat umumnya akur dengan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berkuat kuasa mulai hari ini.

Pemerhatian Bernama di sekitar ibu kota hari ini mendapati masyarakat sudah mula serius memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan dengan memakainya sebaik sahaja keluar dari kenderaan masing-masing.

Jurujual, M. Sri Mathavan, 18, berkata keluarganya yang agak besar dan mempunyai adik kecil di rumah merupakan faktor yang mendorong beliau untuk sentiasa beringat memakai pelitup muka semasa bekerja.

“Saya ada tujuh adik-beradik dan adik bongsu saya masih bayi, saya bimbang akan bawa Covid-19 ke rumah, jadi saya ikut semua saranan yang ditetapkan kerajaan seperti cuci tangan dan mandi sebelum berkumpul bersama mereka.

“Apa yang kerajaan buat ini adalah tepat, semestinya saya akan patuh kerana tidak mampu untuk membayar denda itu. Setiap hari saya akan bawa bersama sekurang-kurangnya tiga pelitup muka,” katanya.

Senada dengan Sri Mathavan, seorang peniaga kedai jam, Ng Nam Fooi, 62, berkata penguatkuasaan pelitup muka adalah bagi menjamin keselamatan orang ramai.

“Setiap hari saya berurusan dengan pelanggan. Ini memerlukan saya untuk memakai pelitup muka. Sebelum penguatkuasaan ini dilakukan lagi, saya telah memakainya setiap hari ketika bekerja atau berada di tempat awam.

“Ketika ini, bekalan pelitup muka untuk keluarga mencukupi iaitu kami mempunyai 50 keping pelitup muka. Jika bekalan ini berkurangan, saya akan segera menambahnya mengikut keperluan. Setakat ini, harga pelitup muka yang saya beli adalah berpatutan dan penjual tidak mengaut keuntungan yang berlebihan,” katanya.

Puteri Nur Anisa Megat Ismail, 29, pula berkata kebersihan dan kesihatan menjadi keutamaan kepada diri serta keluarganya pada ketika ini.

“Masing-masing kena ingat dan kawalan kendiri itu penting kerana wabak ini musuh paling bahaya dan digeruni. Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengenangkan yang tinggal sebumbung dengan saya adalah ibu yang berusia 65 tahun. Anak saudara saya berusia empat tahun juga sering ke rumah,” katanya.

Bagi mengambil langkah kebersihan dan keselamatan, beliau sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan dan membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam.

Sementara itu, di George Town, PULAU PINANG, orang ramai didapati mematuhi arahan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan tumpuan seperti pasar awam dan kedai-kedai makanan.

Seorang pengunjung Pasar Awam Jelutong, Tan Lean Yee, 54, berkata beliau berasa lebih selamat dengan semua pengunjung memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Sebelum ini, saya agak risau bila berkunjung ke tempat orang ramai kerana ada yang tidak memakai pelitup muka namun hari ini, saya dapati selain tempat makanan, semua orang telah mula memakai pelitup muka,” katanya.

Pada 23 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak tumpuan umum susulan kes jangkitan pandemik Covid-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

Ismail Sabri dilaporkan berkata orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu tak pakai pelitup muka didenda serta-merta

SHAH ALAM, 30 JULAI: Polis boleh mengenakan kompaun serta-merta terhadap individu tidak memakai pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan itu akan didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Apabila kita kata wajib, jika melanggar peraturan, akan dikenakan tindakan (kompaun). Bagaimanapun, pelaksanaannya terpulang pada budi bicara polis.

“Kalau biasanya dulu-dulu apabila sesuatu perkara ditetapkan, pada peringkat awal (polis) akan tegur secara berhemah. Polis (boleh) mengenakan kompaun serta-merta dan boleh beri nasihat juga,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 23 Julai, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam selepas mengambil kira penambahan kluster baharu selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelitup muka diwajib di kawasan penjarakan sosial tidak dapat dipraktik

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dikenakan terhadap kawasan awam yang penuh sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipraktikkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pelitup muka digunakan dengan meluas oleh pengguna pengangkutan awam dan kerajaan kini melihat untuk menguatkuasakan peraturan ini secara berperingkat.

“Mulanya, pelitup muka (diperkenalkan) untuk pengangkutan awam. Sekarang kami melihat kepada tempat awam terutamanya kawasan awam yang terlalu sesak.

Bukannya tempat awam seperti tempat parkir kereta yang ada penjarakan sosial. Isunya apabila tiada penjarakan sosial dalam kawasan awam yang penuh sesak,” kata beliau dalam satu sesi libat urus bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga sedang melihat tempoh tangguh selama sebulan sebelum menguatkuasakan peraturan ini sepenuhnya bagi memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka.

“Yang miskin dan memerlukan mesti juga diberikan pelitup muka. Jadi, sekiranya setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka maka mungkin selepas PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kami pasti akan menguatkuasakannya,” kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata selain daripada memakai pelitup muka, orang ramai perlu juga mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Pada 23 Julai lepas, kerajaaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan ramai dan pengangkutan awam akan diwajibkan bermula 1 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah menyaring seramai 949,141 individu sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Januari, dan daripada jumlah itu 8,943 orang disahkan positif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah 8,607 atau 96.24 peratus manakala jumlah kematian akibat Covid-19 ialah 124,” katanya.

Katanya hampir separuh kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif.

“Sebanyak 4,559 kes positif dikesan dari PUI manakala 3,375 kes adalah daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling.

Sehingga kini KKM turut merekodkan 751 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 258 kes dikesan hasil daripada aktiviti surveilan,” katanya.

Wabak maut yang bermula di Wuhan, China pada Disember tahun lalu, sehingga kini telah menjangkiti 16.49 juta individu seluruh dunia dan mengakibatkan 654,327 kematian.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Elak tempat sesak, bersentuhan ketika Aidiladha – EXCO

SHAH ALAM, 28 JULAI: Orang ramai dinasihat tidak mengunjungi dan membawa kanak-kanak ke tempat sesak ketika sambutan Aidiladha bagi mengelak penularan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) juga penting ketika berkumpul bersama keluarga dengan mengelak sentuhan di muka dan tangan.

“Elakkan tempat sesak, saya risau ibu bapa sudah mula bawa anak ke pusat membeli belah. Orang tua (lebih) lagi perlu dijaga.

“Beringat dan berwaspada pulang. Elakkan berpeluk cium di kawasan muka walaupun pakai pelitup muka,” katanya pada majlis Pelancaran dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Beliau berkata pemakaian pelitup muka ketika berinteraksi juga penting sebagai langkah keselamatan dan menjadi tanggungjawab semua untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Tambahnya, sikap alpa segelintir pihak mencetuskan kebimbangan kerana gelombang wabak yang lebih besar boleh menyerang bila-bila masa.

Majlis Keselamatan Negara sebelum ini membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri sempena Aidiladha selain mengetatkan beberapa garis panduan aktiviti korban.

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilaksanakan semula sekiranya kes baharu Covid-19 kembali meningkat kepada tiga angka.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penjawat awam wajib pakai pelitup muka sejak PKPB Diubahsuai

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri menguatkuasakan pemakaian pelitup muka kepada semua penjawat awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Diubahsuai pada 4 Mei lalu.

Timbalan setiausaha kerajaan (pengurusan) berkata pekeliling itu dikeluarkan menerusi ketua jabatan dan mereka dibenarkan untuk membuka seketika jika ingin berucap ketika mesyuarat.

“Kita sebenarnya telah mengeluarkan arahan kepada semua menerusi ketua-ketua jabatan bagi memastikan penjawat awam memakai pelitup muka.

“Kita sentiasa pakai sejak keluar dari rumah hingga ke pejabat kecuali dalam mesyuarat yang kita buat penjarakan sosial kerana kadang-kadang kita tidak boleh dengar apa disampaikan jika bercakap sambil memakainya,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Beliau berkata orang awam yang ingin berurusan di semua jabatan Kerajaan Negeri juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19.

Zamani Ahmad menjelaskan Selangor bersedia mengikuti semua saranan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan Persekutuan selagi ia baik untuk memutuskan rantaian wabak termasuk arahan mewajibkan pemakaian bahan berkaitan di tempat awam bermula 1 Ogos hadapan.

Categories
EXCO SELANGOR

Pakai pelitup muka, lindungi warga emas ketika Aidiladha

SHAH ALAM, 28 JULAI: Rakyat diingatkan memakai pelitup muka jenis fabrik atau tiga lapis ketika sambutan Aidiladha bagi mengelak jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia mampu mengehadkan pencemaran dari memasuki hidung dan mulut malah turut disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Anak-anak yang pulang menyambut raya turut diminta mengamalkan tatacara operasi piawaian (SOP) bagi melindungi ibu bapa dari wabak pandemik itu.

“Sentiasa pastikan keadaan diri bersih. Amalkan basuh tangan dengan kerap dan elak mendekatkan muka dengan orang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut meminta warga emas melindungi diri sendiri dengan tidak pergi tempat sesak serta bersalaman dengan orang luar.

“Kita jumpa cucu, adik beradik tapi tak tahu siapa yang membawa virus. Jadi kena sentiasa amalkan SOP,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan perjalanan bagi rentas daerah dan negeri sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat ini.

Bagaimanapun orang ramai diingatkan patuh SOP bagi mengawal penularan Covid-19 sekaligus memutuskan rantaian wabak terbabit.

Categories
EXCO SELANGOR

Peniaga digesa pakai pelitup muka, beri kesedaran kepada pembeli

SHAH ALAM, 27 JULAI: Peniaga negeri ini diingatkan sentiasa memakai pelitup muka untuk menggalakkan pembeli melakukan perkara sama.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata langkah itu membentuk budaya memakai alat perlindungan itu selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Selagi tiada kesedaran kita sukar membentuk norma baharu dalam kehidupan. Penguatkuasaan (memakai pelitup muka) sudah tidak perlu jika rakyat sedar kepentingannya,” katanya kepada SelangorKini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak bermula 1 Ogos.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk mengetatkan semula tatacara operasi piawai berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Arahan pakai pelitup muka di tempat awam sejak Mei

KUALA LANGAT, 25 JULAI: Arahan memakai pelitup muka khususnya di tempat awam dilaksanakan Kerajaan Negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai, Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan tersebut kini dikuat kuasakan sepenuhnya susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk di negeri ini.

“Sekarang orang awam sudah mula lalai. Jadi bila kerajaan umum 1 Ogos, kita kuat kuasa terus serta arah pihak berkuasa ambil tindakan pada yang ingkar,” katanya ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda KEADILAN Selangor di sini hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak bermula 1 Ogos susulan tambahan kluster baharu jangkitan wabak.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor turut menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori.