Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Zafrul: Jika keluarkan lagi duit KWSP, ramai ahli miskin bila bersara

KOTA BHARU, 15 JAN: Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia berikutan kemerosotan berterusan simpanan persaraan ahli KWSP, kerana ketika ini hampir separuh ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55 peratus adalah bumiputera.

“Kalau dibenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan lebih ramai ahli perlu bersara di bawah paras garis kemiskinan, dan juga menyebabkan beban yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia di masa depan terutama jika kegawatan ekonomi berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian awam oleh Pemuda UMNO bahawa lebih 97 peratus ahli mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘sekali bayar’.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengimbangkan antara kepentingan rakyat untuk jangka pendek dan juga jangka masa panjang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap peka dengan masalah rakyat, dan pelbagai pendekatan diusahakan untuk memelihara kebajikan rakyat termasuk kepada golongan B40 dan M40.

“Di bawah Bajet 2022 ini kalau kita lihat lebih RM31 bilion dikhususkan untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, (menerusi) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kerajaan juga memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, ini sebahagian kecil daripada pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Had umur pimpinan belia AMK turun ke 35, pemuda Umno?

Oleh : NIK NAZMI NIK AHMAD

Saya ingin menzahirkan sokongan kepada kenyataan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan agar had umur pemegang jawatan dalam badan-badan NGO yang berorientasikan belia diturunkan.

Menurut laporan media, Khairy mencadangkan had umur ini diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Ini tentulah satu perkara yang baik. Sebagaimana pernah saya tekankan, anak muda lebih mudah didekati jika dipimpin dan diberikan khidmat oleh mereka yang berada dalam lingkungan usia setara.

Untuk rekod, Angkatan Muda PKR (AMK) sudah menurunkan had usia bagi pemegang jawatan dan anggota dalam sayap PKR ini kepada 35 tahun berkuatkuasa bermula pemilihan parti pada tahun ini.

Sudah tentu, perlaksanaannya akan menjadi cabaran besar. Usul penurunan usia yang dinyatakan boleh menjadi agak drastik bagi sesetengah organisasi.

Justeru, kelonggaran wajar diberikan. Sebagai contoh, had penurunan usia boleh dikurangkan kepada 35 tahun di peringkat permulaan.

Pada masa yang sama, parti-parti politik tidak wajar dikecualikan daripada had usia ini.

Adakah YB Khairy turut mencadangkan had usia yang sama untuk sayap Pemuda partinya, Umno?

Kita menunggu, namun tanpa harapan besar mengenainya. Ahli politik patut mengamalkan apa yang mereka katakan.

# Nik Nazmi adalah Ketua Angkatan Muda PKR (AMK)

Categories
NASIONAL

DAP adu pada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa demo ganas Pemuda Umno

SHAH ALAM, 6 JUN: DAP membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) berhubung siasatan polis berkenaan demonstrasi ganas anjuran Pemuda Umno di luar ibu pejabat DAP, pada Mei lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata polis melanggar prosedur operasi piawai pasukan kerana tindakan mereka masih belum dapat dilihat sehingga kini.

bakar2“14 hari selepas penahanan, kes itu harus dikemukakan kepada peguam negara untuk pendakwaan. Tetapi hari ini sudah masuk hari ke-14, namun tiada tindakan yang berlaku,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Pada 26 Mei lalu, polis menahan enam pemimpin Pemuda Umno berhubung demonstrasi ganas yang dijalankan mereka sebelum itu dan peserta turut mengancam untuk membakar ibu pejabat DAP.

Antara yang ditahan termasuk Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii; Ketua Pemuda Umno Cheras Johari Yazid; Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar dan Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar.

Polis melepaskan semua yang ditahan selepas merakam kenyataan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ancaman jenayah.

UMNO WP bantah DAP 1Sehubungan itu, Lim berkata, polis melanggar garis panduan operasi kerana tidak memanggil saksi untuk mengenalpasti suspek.

“Oleh itu, DAP percaya mungkin ada campur tangan daripada pihak atasan,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa BL1M Tetap Ada Penipuan

BL1M chang lih kang 02

PETALING JAYA, 11 MAC: PKR tidak akan mengemukakan permohonan maaf mahupun menarik balik kenyataan berhubung dakwaan wujudnya penipuan terhadap program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).

Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, pendirian ini jelas dan mereka bersedia berhadapan sebarang tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap mereka.

“Kami ingin nyatakan kepada MYEG dan Pemuda Umno, kami takkan tarik balik kenyataan dan mengemukakan permohonan maaf.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya di atas kenyataan yang kami keluarkan minggu lepas di dalam sidang media,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Minggu lalu, Chang bersama Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa, BL1M merupakan skim penipuan yang diilhamkan Pemuda Umno-BN untuk digunakan sebagai ruang mengaut keuntungan dan menindas pengusaha institut memandu.

Menurut kenyataan Chang sebelum ini, melalui skim itu, yuran ujian memandu dikurangkan dari RM261 kepada RM199, malah kerajaan langsung tidak mengeluarkan sebarang dana.

Sebaliknya pengurangan sebanyak RM62 terpaksa ditanggung sendiri oleh pengusaha institut memandu.

Sementara itu hari ini Siti Aishah memaklumkan, sebanyak 167 institut memandu bernaung di bawah Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) dan Pemuda Umno perlu menjawab bagaimanakah nasib pemohon sekiranya semua institut memandu bertindak untuk tidak menyertai program ini.

“Pima juga dimaklumkan pihak Pemuda Umno dan MYEG akan membuka tender kepada semua institut memandu (IM) yang berminat dan memberikan harga terendah bagi mendapatkan lesen B2.

“Ini jelas terbukti harga yang pernah ditawarkan kepada IM sebelum ini sehingga hanya RM100 setiap calon.

“Dengan harga terlalu rendah, Pima bimbang serta memandang serius perkara ini kerana institut memandu boleh terjejas seperti kualiti perkhidmatan serta untuk mematuhi SOP (Standard of Procedure) yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Tambah beliau, pihak bertanggungjawab perlu memperincikan setiap bayaran dan nama institut memandu yang menyertai program ini.

Categories
NASIONAL

Kontroversi Akta Keterangan, Najib Terus Terburu-Buru

SHAH ALAM 17 OGOS : Keputusan Kabinet berhubung pindaan undang-undang kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 baru-baru ini menyerlahkan sikap ‘terburu-buru’ kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Demikian ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 114A terhadap Akta Keterangan yang digazetkan pada 31 Julai lalu berkenaan internet dan rangkaian sosial.

Menurutnya, tindakan Najib itu disifatkan sebagai tergopoh-gapah terutama dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan pindaan Akta ke dalam Parlimen.

“Kelemahan Najib ialah beliau tidak mempunyai fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pindaan akta atau rang undang-undang. Antara yang ketara ialah penarikan semula cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan beberapa projek lain yang kemudiannya ditarik balik. Pindaan ini juga biasanya dibuat tanpa perbincangan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat juga dilihat ‘separuh masak’ sehingga ia kemudian terpaksa ditarik balik.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan Dewan Rakyat April lalu dan digazetkan sebagai undang-undang oleh Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Senator MCA, Gan Ping Sieu antara individu yang menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong Majlis Peguam dan Pakatan Rakyat yang ‘memggelapkan’ laman web mereka sempena kempen memboikot internet tempoh hari.