Categories
SELANGOR

Isu Air: Selangor Minta Nasihat Pakar Antarabangsa

LONDON, 18 MAC: Kerajaan Selangor mendapatkan nasihat dari firma perundangan antarabangsa di London berhubung kebuntuan yang sedang dihadapi dalam usaha  mendapatkan semula hak menguruskan industri air di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan dengan sekumpulan peguan kanan untuk membincangkan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan kebuntuan rundingan yang akan memberi  manfaat kepada jutaan rakyat Selangor.

Kami amat serius untuk melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang digubal kerajaan Pusat Barisan Nasional. Akta ini membenarkan perjanjian konsesi ditamatkan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air.

Kami kesal dengan keengganan Kerajaan Pusat bekerjasama untuk melaksanakan akta yang mereka sendiri gubal. Sikap yang ditunjukkan Kerajaan Pusat ini berbaur kronisme dan lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding  kebajikan rakyat.

Sebagai firma perundangan yang dihormati, kita berharap mereka dapat menggunakan pengalaman undang-undang untuk menguruskan situasi seperti ini,  kata Menteri Besar.

Tan Sri Khalid Ibrahim juga berbincang mengenai cabaran menghadapi industri perkhidmatan air di Selangor bersama sekumpulan sarjana di Pusat Pengajian Islam Oxford.  Pada majlis makan tengahari yang dihoskan fellow Dato’ Dr Muhammad Afifi al-Akiti, Menteri Besar telah menerangkan kegagalan penswastaan air di Selangor.

Kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi penyebab kepada kegagalan ini. Kontrak konsesi sepatutnya diberikan secara tender terbuka- satu istilah mudah tetapi sukar dilaksanakan jika tiada yang serius membanteras gejala rasuah.

Di Selangor, syarikat konsesi dipilih bukan kerana kepakaran dalam industri air mahupun kerana kewangan kukuh. Tidak hairanlah jika mereka gagal teruk.

Kerajaan Pusat cuba memperbetulkan keadaan ini menerusi WSIA tetapi selepas berlaku perubahan kerajaan negeri pada 2008, Kerajaan Pusat sengaja menangguhkan dan mensabotaj pelaksanaan akta ini. Ini bukti nyata kebajikan jutaan rakyat menjadi korban demi kepentingan politik,î katanya.

Menteri Besar juga bercakap mengenai isu ini  ketika berjumpa dengan pelajar Malaysia di London anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland (UKEC). Dialog Dari kaca mata Kerajaan Negeri Selangorí telah diadakan di London School of Economics, Jumaat lalu.

Rakyat Selangor terpaksa menanggung beban kewangan ekoran kegagalan penswastaan air. Selain memaksimumkan sumber kerajaan negeri yang menjadi hak rakyat, syarikat konsesi juga berkompromi dengan kualiti dan penyaluran air  di samping kerap mendesak kenaikan tarif air walaupun perkhidmatan yang diberikan teruk, ì kata Menteri Besar.

Pada 2007, tarif air dinaikkan dan syarikat konsesi mahu menaikkan lagi sapabila kerajaan negeri baharu mengambilalih Negeri Selangor. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan eksploitasi secara terbuka terhadap rakyat yang merupakan satu lagi kes di mana syarikat swasta mendapat keuntungan tetapi rakyat menanggung kerugian.

Soalan asas yang perlu dijawab, adakah ini penswastaan (privatisation) atau lanun (piratisation)?

Tan Sri Khalid Ibrahim juga membuat kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Setiausaha Komanwel di London. Beliau berbincang dengan Pengarah Sekretariat pejabat berkenaan mengenai pembangunan politik dan cabaran menghadapi sistem pilihan raya Malaysia.

Malaysia merupakan negara anggota yang menggunapakai perundangan Komanwel.

Categories
SELANGOR

RM2.65J Untuk Tingkat Pasarana UNISEL

SHAH ALAM, 11 MAC : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.65 juta bagi meningkatkan prasarana teknologi dan komunikasi (ICT) Universiti Selangor (UNISEL).

Peruntukkan tersebut diberi baru-baru ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk membina kelompok masyarakat yang mahir dalam penguasaan bidang ICT yang semakin pesat dan canggih.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berucap dalam Istiadat Konvokesyen UNISEL kali keenam bagi sidang tujuh juga menyeru pelajar dan para graduan supaya membudayakan kecemerlangan dan kemahiran serta mengelakkan budaya “cakap tak serupa bikin” atau membuat kenyataan tanpa bukti dan kajian terlebih dahulu.

” Mungkin ada pernah mendengar orang yang berjawatan menteri yang bercakap tentang pengurusan dan kewangan tetapi sebenarnya dia tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman mengurus kewangan dan syarikat korporat sehinggakan kenyataannya boleh dipertikaikan malah menjadi bahan lucu bagi orang yang arif dalam bidang berkenaan,” katanya.

Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd/UNISEL berkata pelajar juga harus meningkatkan pembangunan insan dengan kerjasama daripada keluarga dan masyarakat sekitar.

” Hal ini demi melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan beriman serta menjadikan kerajaan negeri Selangor merupakan negeri ilmu atau hab ilmuan.

” Dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri secara keseluruhannya juga bermatlamat untuk membentuk golongan berpendidikan tinggi dan profesional,” katanya.

Dalam konvokesyen itu, seramai 259 graduan menerima ijazah dan diploma termasuk 86 orang akan menerima diploma bagi program Japanese Associate Degree Programme (JDA), hasil kerjasama UNISEL dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sebagai penaja.

Hadir sama dalam konvokesyen terbabit ialah Canselor UNISEL, Raja Tan Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Pro Canselor UNISEL, Tan Sri Ismail Adam dan Datuk Seria Dr Anuar Masduki serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.

Categories
SELANGOR

Bantuan Cermin Mata Pada Keluarga Miskin

SUBANG JAYA, 25 FEB : Seramai 100 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun daripada empat buah sekolah gembira apabila menerima bantuan cermin mata hasil tajaan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam upacara penyerahan itu berharap dengan adanya pemberian cermin mata ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibubapa pelajar.

“Kerana sekarang bukan murah perbelanjaan sebulan bagi menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, pengangkutan ke sekolah, duit susu dan sebagainya.

“Jadi kita berharap cermin mata ini akan dihargai oleh para pelajar,” ujar Hannah yang turut memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM 10,000 bagi kos bantuan cermin mata ini.

Selain itu, Hannah juga mengumumkan pelbagai lagi program kebajikan yang disediakan Kerajaan Pakatan untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar.

“Contohnya pemberian beg sekolah oleh Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan setiap tahun kepada golongan pelajar kurang berkemampuan.

“Kita juga memperuntukkan lebih kurang RM 10,000 hingga RM 20,000 untuk bantuan uniform, kasut sekolah serta peralatan alat tulis lain yang disampaikan melalui Subang Jaya BUddhist Association, masjid dan surau,” beritahu Hannah dalam ucapannya di hadapan ibu bapa pelajar yang hadir pada majlis penyerahan tersebut di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Subang Jaya hari ini.

Sementara itu, ibu kepada pelajar Darjah Dua yang menerima sumbangan cermin mata, Kang Cheng Lai gembira dan berbesar hati dengan sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Hannah Yeoh.

“Saya harap kerajaan yang ada ini akan kekal dan seterusnya dapat meneruskan usaha membantu rakyat Selangor,” ucap ibu tersebut sambil menambah pelbagai perubahan dapat dilihat sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri.

Untuk kawasan Dun Subang Jaya, sekolah-sekolah yang terlibat untuk menerima bantuan cermin mata ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tun Tan Cheng Lock, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Tun Sambathan, Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar serta Sekolah Agama Masjid Darul Ehsan.

Sumbangan pemberian cermin mata ini diberikan kepada keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah. Satu program pemeriksaan mata juga telah diadakan sebelum ini bagi para pelajar yang layak.

Categories
SELANGOR

Pelajar Cemerlang Di Rai

PETALING JAYA, 16 FEB – Ketekunan dan usaha gigih dalam menuntut ilmu menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang sama ada dalam peperiksaan Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR), Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) mahupun Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bagi Lai Choi Yi, 13, sikap tidak berputus asa dalam mendalami ilmu menjadi kunci kejayaannya untuk memperoleh keputusan cemerlang dengan rekod 7A dalam peperiksaan UPSR tahun lalu.

Katanya, dorongan ibu bapa juga adalah pembakar semangat untuknya terus berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan.

“Saya banyak menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan. Selain itu, saya juga sering mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan dan berjumpa dengan para guru sekiranya mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu subjek atau pelajaran,”katanya yang merupakan antara pelajar yang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Dun Taman Medan di sini semalam.

Berkongsi kejayaan sama adalah Thiruvengadish A/L Sundaraju, 13 yang turut memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan UPSR.

Menurutnya, sikap suka bertanya dan tumpuan 100 peratus di dalam kelas yang dipraktikkan sejak awal telah melayakkannya mendapat keputusan yang memberansangkan.

“Semasa berada di dalam kelas, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran yang disampaikan guru-guru. Saya juga sering melakukan latihan dan ulang kaji di rumah sekurang-kurangnya 2 jam sehari bagi menambah kefahaman saya terhadap sesuatu subjek,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Nurul Natasya Khasman yang merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, ujarnya sikap tidak pernah berputus asa adalah antara faktor penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan.

Beliau yang menerima keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR dan PSRA percaya, tiada apa yang mampu menghalang kejayaan seseorang sekiranya berusaha gigih dan tekun.

“Kita tidak boleh mudah mengalah atau sedih kalau kita tidak mencapai apa yang diinginkan dalam pelajaran. Tetapi kita perlu positif dan terus berusaha sehingga berjaya,” ujarnya.

Seramai 209 orang pelajar dari 18 buah sekolah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR, PSRA dan PMR 2011 Dun Taman Medan di Dewan MBPJ di sini.

Dalam majlis itu, seramai 109 pelajar menerima keputusan cemerlang dalam UPSR, 69 pelajar menerusi PSRA dan 31 orang pelajar dalam PMR.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Dalam pada itu, Haniza dalam ucapannya menjelaskan, ibu bapa perlu memberi dorongan dan sokongan yang berterusan kepada anak-anak untuk membolahkan mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, galakan yang diberikan oleh ibu bapa berupaya menambah semangat pelajar untuk menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan supaya kegigihan anak-anak ini akan diiktiraf dan dihargai. Majlis ini adalah untuk menyatakan rasa gembira dan penghargaan kepada pelajar supaya terus cemerlang di masa-masa akan datang,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

MB : Peruntukan Berterusan RM4 juta Untuk Sekolah Tamil


SHAH ALAM 12 FEB : Kerajaan Negeri Selangor berhasrat mengekalkan peruntukkan RM4 juta bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dinegeri itu seperti tahun-tahun sebelumnya.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap pada majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Selangor di Stadium Malawati hari ini.

Khalid dalam ucapannya berkata komitmen kerajaan negeri meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya sangat jelas dan ia dilakukan secara berterusan.

“Sebelum ini, saudara semua belum pernah berada dalam satu keadaan dimana kerajaan negeri bersama-sama memperjuangkan hak kaum Tamil dalam pendidikan.

“Tidak ada dalam sejarah sebelum 2008 kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta setiap tahun untuk sekolah Tamil,”jelas Khalid.

Pakatan Rakyat (PR) sejak mengambil alih Selangor berjaya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM16 juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Katanya peruntukkan itu melibatkan 97 buah sekolah Tamil seluruh Selangor bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur selain menyediakan program- program pembangunan pendidikan yang berkualiti untuk para pelajar.

Menurut beliau pemerintahan Umno-BN gagal menjaga kebajikan sehingga pendidikan pelajar Tamil dilihat agak ketinggalan kebelakang berbanding kaum lain.

“Kejayaan negara kita ini adalah kejayaan rakyat, oleh sebab itu setiap rakyat di negara khususnya negeri Selangor wajib menerima kemudahan asas yang saksama dari segi pendidikan, kesihatan dan keperluan hidup.

“Lebih daripada 10 ekar tanah telah dikenal pasti bagi pembangunan sekolah Tamil lengkap dengan asrama dan penempatan, ini membuktikan bahawa kepimpinan kami (PR) membawa dasar kesamaan kepada rakyat,”jelasnya.

Dalam pada itu, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor selama 4 tahun ini seharusnya dicontohi berbanding kepimpinan era Umno-BN yang walaupun mentadbir lebih 50 tahun.

Anwar menambah, malangnya kejayaan ini disembunyikan dari pengetahuan rakyat apabila kerajaan pemerintah menyekat kebebasan media.

“kita tidak mempunyai media yang bebas, berapa orang yang tahu bahawa Selangor sekarang menyalurkan sekitar Rm20 juta untuk pembangunan sekolah Tamil dalam tempoh masa 4 tahun memerintah, masa pemerintahan dahulu (Umno-BN) tidak ada rekod ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sekirannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya umum ke-13 akan datang, antara agenda utama yang akan diberi tumpuan ialah pendidikan.

“Dalam politik ini kita tidak boleh anggap untuk menang dengan janji semata-mata (janji kosong), budaya fitnah dan caci maki hamun orang.

“Sebab itu saya ucap tahniah kepada Tan Sri khalid dan kerajaan negeri Selangor, kerana kita akan menang berdasarkan rekod kerja kita selama ini,”jelas Anwar.

Sekurang-kurangnya 2500 pelajar sekolah Tamil serata Selangor yang memperoleh keputusan 7A bagi tahun 2011 diraikan pada majlis ini. 350 daripadanya menerima pingat emas manakala bakinya menerima pingat perak.

Majlis ini adalah anjuran bersama OMS Foundation dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu rata-rata ibu bapa yang ditemui TVSelangor menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih diatas keperihatinan kerajaan Pakatan Rakyat.

Vasudevan A/L Subramaniam, 43 berkata perutukkan RM4 juta setiap tahun itu bukan sahaja satu anugerah kepada sekolah tamil, malah ia membuktikan kejujuran kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa.

“Satu peruntukkan yang besar dari kerajaan negeri dan berharap negeri lain akan mengikut contoh yang ditunjukkan oleh negeri Selangor.

“Ini suatu perkara yang patut dibangga dan dihargai oleh semua kaum Tamil, bantuan sebegini mampu meningkatkan taraf pendidikan,”katanya.

Categories
NASIONAL

PR Berbakti Pada Setiap Waktu

IJOK, 6 FEB : Kerajaan Pakatan Rakyat mengamalkan dasar bekerja untuk rakyat tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena Pilihanraya Umum sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan PR bukan sekadar memancing undi sebaliknya dilakukan sejak memegang tampuk negeri pada tahun 2008.

“Setiap tahun semenjak 2008, kita memperuntukkan dana lebih daripada RM16 juta kepada sekolah persendirian Cina, Tamil dan Agama Rakyat yang sebelum ini tidak dihiraukan oleh Barisan Nasional selama berpuluh-puluh tahun.

“Ini bukti bahawa kita telah dapat jalankan tugas dan menunaikan janji-janji kita kepada rakyat,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Sambutan Pesta Ponggal Peringkat DUN Ijok yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chi Batang Berjuntai petang tadi.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahwa kerajaan PR turut membawa banyak perubahan dalam pentadbiran negeri antaranya dari segi ekonomi dan sosial.

“Sebelum ini tidak pernah kita berpeluang menggunakan Sekolah Tiong Hua untuk sambutan perayaan Ponggal. Tapi kini kita sudah berpeluang.

“Inilah antara bukti bahawa kita telah bawa perubahan dalam minda tiap-tiap rakyat,” jelas Khalid lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung selain kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Categories
NASIONAL

Isu Sekolah Cina : Wee Ka Siong Diminta Henti Pembohongan

SHAH ALAM 3 FEB : Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong digesa untuk berterus terang kepada masyarakat Cina di negara ini dan mengakui bahawa beliau tidak berupaya untuk membantu sekolah-sekolah Cina,tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, Ka Siong juga perlu menghentikan tindakan mengubah fakta dan bercakap bohong berkaitan dengan usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah Cina seperti yan telah diluluskan.

“Adalah jelas bahawa sebab Wee Ka Siong adalah berkali-kali memberitahu mengenai perkara itu – dengan menuduh kerajaan negeri Selangor hanya memberikan surat sokongan dan tidak memberi sekolah tanah rizab untuk SMJK Katholik dan SJKC Yak Chee untuk membina sekolah-sekolah cawangan.

“Ianya untuk menutup hakikat bahawa MCA tidak mempunyai kuasa dalam kementerian pendidikan dan mereka tidak dapat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk kedua-dua buah sekolah untuk membina sekolah-sekolah cawangan,” kata Teresa dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah Teresa, hakikatnya adalah kerajaan Selangor telah memutuskan dalam mesyuarat Exco pada 23 September 2011 lepas dengan memperuntukkan tanah lot 65768 dan lot 65766 di Tasik Prima Puchong kepada SJKC Yak Chee, Sekolah Tinggi Katolik dan sebuah pusat latihan autisme .

Kertas Exco mengenai keputusan ini adalah Kertas MMK. No 46/40/2011. Selain itu,jawatankuasa pembangunan sekolah-sekolah Cina Daerah Petaling Jaya dan lembaga sekolah dan PIBG telah diberikan kertas keputusan itu.

Disamping itu, surat yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Selangor kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, mengumumkan kelulusan tanah dan menyokong hasrat sekolah untuk membina cawangan, telah disediakan untuk pelbagai pihak.

Oleh itu sekarang, selagi Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan kedua-dua sekolah cawangan ini maka sekolah-sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk memulakan kerja-kerja.

“Wee Ka Siong terus berbohong untuk mengelirukan orang ramai dan ingin menghina kerajaan negeri dan menghina kebijaksanaan pemimpin jawatankuasa lembaga sekolah dan PIBG kedua-dua sekolah,” kata Teresa.

Justeru, tegas Teresa agar muslihat politik oleh MCA ini dihentikan daripada terus mempengaruhi pihak yang tidak bersalah seperti sekolah-sekolah dan pelajar yang mahu peluang menikmati persekitaran pendidikan yang selesa.

Categories
SELANGOR

Selangor Bantu Persatuan Mahasiswa UiTM

SHAH ALAM: menghargai peranan mahasiswa sebagai golongan penting dalam pembangunan negara, Kerajaan Selangor menjalinkan kerjasama bagi membantu aktiviti mahasiswa terutama Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di negeri ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri telah mengadakan persefahaman M.O.U dengan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independan (KAMI) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Persefahaman ini bagi membolehkan kerajaan negeri membantu secara aktif aktiviti-aktiviti akademik, sosial dan kemasyarakat dengan warga siswa UiTM kampus utama Shah Alam.

Upacara disempurnakan oleh Khalid Mohd Ismath, Timbalan Presiden KAMI dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr. Xavier Jayakumar.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu warga universiti dalam menjayakan aktiviti-aktiviti mereka. Ia merupakan pembuka jalan bagi hubungan erat antara persatuan mahasiswa universiti tersebut dengan Kerajaan Negeri di masa-masa yang akan datang,” kata Dr Xavier.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui beberapa orang Exco negeri turut memberikan bantuan kepada beberapa buah universiti lain.