Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 14 : Hari Guru 2012, Hari Pekerja 2012 dan Pertandingan Fotografi, Mesra Rakyat Kuala Langat & Festival Gema Nasyid

Apa Khabar Selangor EPISOD 14 (Bahagian 1 & 2)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 16 Mei 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama.

Segmen 1: Hari Guru 2012
Segmen 2: Program Ramah Mesra Pemimpin Selangor & Kesatuan Sekerja Sempena Sambutan Hari Pekerja 2012 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Kampung Baharu

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 14 (Bahagian 3 & 4)

Segmen 3: Program Khas Mesra Rakyat Kuala Langat 2012
Segmen 4: Festival Gema Nasyid

Categories
SELANGOR

PTRS Bantu Anak Pekerja Kilang Raih Keputusan Cemerlang SPM

PETALING JAYA, 10 MEI : Selain doa ibu bapa dan usaha sehingga mencatat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Sharina Sarimin,18, tidak melupakan fungsi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang melayakannya menerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang peringkat DUN Taman Medan.

“Saya merupakan harapan keluarga dan ingin menjadi seorang ahli Sains yang berjaya seterusnya mengubah nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS di Dewan MBPJ malam tadi.

Bapanya, Sarimin Salleh ternyata berbangga dengan pencapaian anaknya dan berkata, beliau dan isteri hanya bekerja kilang dan berusaha mencari rezeki untuk anak-anak melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

PTRS dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiga tahun lalu di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan menghantar anaknya ke program ini yang dijalankan secara percuma.

Selain itu, Sharina berkata, program PTRS berbeza dengan tuisyen berbayar kerana bagi pelajar yang berasal daripada golongan sederhana sepertinya, mereka akan lebih menghargai apa yang disediakan secara percuma demi mencapai cita-cita di masa hadapan.

“Suasana pembelajaran semasa PTRS berbeza kerana guru-gurunya gigih mencurahkan ilmu agar setiap pelajar sekurang-kurangnya memperbaiki sesuatu yang tidak boleh difahami semasa di sekolah,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Medan.

Sementara itu, 25 Pelajar Cemerlang SPM 2011 DUN Taman Medan turut diraikan dan diberikan penghargaan atas usaha yang ditunjukkan dalam SPM lalu.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tunku Ampuan Jemaah, Muhd Qusyairei Paiman berjaya mendapat 7A dalam SPM lalu berkata, setiap pelajar boleh berjaya jika disertai dengan kesungguhan untuk memajukan diri dan cita-cita tinggi.

“Saya bercita-cita ingin menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah dan Usuluddin seterusnya menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS Peringkat DUN Taman Medan ini dihadiri oleh Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli-ahli Majlis MBPJ, Mohd Akhir Pawan Chek dan Selvarajan Ratinam.

Pada majlis itu juga, seramai 75 pelajar kawasan DUN Taman Medan menyertai PTRS diraikan dan diberikan fail sebagai simbol permulaan PTRS yang dijalankan mulai bulan Mac lalu.

Sehingga kini PTRS mencatatkan hampir 13,000 pelajar di setiap 52 kawasan DUN di Selangor serta berjaya meningkatkan keputusan SPM pelajar-pelajar terlibat.

Kerajaan Selangor, Kebajikan Sepanjang Hayat


Sinopsis:

Dalam masa sesingkat empat tahun sahaja, Kerajaan Selangor telah memperkenalkan banyak program pro-rakyat yang memberi manfaat kepada kehidupan semua pihak, tanpa mengira jalur politik masing-masing.

Air 20 meter padu percuma, dan pemberian hak-milik tanah kepada pemilik tanah sementara contoh jelas rakyat diutamakan.

Kesaksamaan menjadi teras politik baru di Selangor. Bagi penggal mendatang, kerajaan Pakatan Rakyat merangka lebih banyak lagi rancangan diatas program-program pro-rakyat sedia-ada.

Disamping itu, penambahbaikan terus dijalankan supaya anda mendapat yang terbaik, dari kerajaan pilihan anda.

Terima kasih diatas kepercayaan ini.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Sediakan RM100 Bantuan Taska Pada Keluarga Miskin

SHAH ALAM 7 MEI : Bagi berjuta-juta ibu seperti perkerja kantin Umi Kalsum Harun, tekanan kos hidup yang semakin meningkat menjadi kekuatiran yang terpaksa dihadapi setiap bulan dengan suami.

Akan tetapi beban mereka diringankan apabila mereka dipilih untuk menyertai program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) Kerajaan Selangor.

Umi Kalsum, 36, adalah antara peserta pertama ke dalam program Sikembar yang memperuntukan RM100 bagi menghantar seorang anak ke Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Suami bekerja di kilang. Kami mempunyai tiga orang anak. Gaji kami tidak banyak dan dalam masa yang sama kami sibuk bekerja jadi memang akan menghantar anak ke taska.

?Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan yang kami tanggung,” katanya yang merupakan ibu kepada Mohd Izuan Shafiq, sembilan bulan yang menerima bantuan itu.

Setiap kanak-kanak dari keluarga yang layak akan menerima RM100 setiap bulan untuk kos menghantar anak ke Taska. Duit itu akan dibayar terus kepada Taska yang terbabit di dalam program itu di Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk bantuan itu bagi tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 2,500 anak-anak akan menerima manfaat itu untuk tahun pertama.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama JKM sedang giat mengenal pasti tempat penjagaan sama ada berbentuk di rumah atau institusi yang berdaftar.

?Kami akan mengemas kini lesen mereka bagi mengenal pasti taska yang layak menyertai program ini

“Dalam masa yang sama taska terbabit dapat menambah pendapatan mereka sekiranya ramai anak-anak yang mendapat bantuan ini untuk dihantar ke taska itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran program itu di sini semalam.

Tambah Rodziah, bantuan itu diberikan kepada tiga kategori iaitu ibubapa yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan bapa tunggal yang bekerja.

“Bagi pendapatan rendah, ia melibatkan RM1,500 ke bawah yang menanggung satu hingga tiga orang anak, RM2,500 ke bawah yang menanggung empat hingga lima orang anak serta RM3,000 ke bawah yang menanggung anak melebihi enam orang,” katanya.

Setiap keluarga terhad kepada dua orang anak yang berumur bawah 4 tahun 11 bulan.

Setakat ini, sebanyak 25,000 keluarga dikenal pasti layak menerima skim bantuan itu.

Diharapkan program bantuan itu dapat menolong mengeluarkan keluarga dari paras kemiskinan.

seorang lagi penerima, Abadi Mohd Said, 30, berkata beliau bersyukur menjadi rakyat Selangor kerana kerajaan negeri menyediakan banyak bantuan bagi meringankan bebannya.

Walaupun anaknya, Muhammad Adam Haikal, lima bulan, merupakan anak pertama, tetapi beban kewangan yang ditanggung beliau dan isteri juga dirasai berikutan kos hidup yang semakin tinggi.

“Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak membantu keluarga saya,” kata pembantu tadbir itu ketika ditemui.

Categories
SELANGOR

Taman Mini Botani Al-Quran Di Sekolah Pertama Di Malaysia

KLANG, 4 MEI : Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan Taman Mini Botani Al-Quran di sekolah bagi memperkasakan bidang pendidikan berasaskan Islam.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata dengan Taman Mini Botani Al-Quran itu warga pendidik dan pelajar akan lebih memahami dan mengetahui jenis pokok dan khasiatnya sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran.

“Buat julung-julung kalinya kita berada dalam satu majlis bagi memperkenalkan satu pembaharuan iaitu Taman Mini Botani Al-Quran di mana sebelum ini tiada lagi di tempat lain sama ada sekolah agama atau sekolah biasa.

“Ini adalah antara program pertama jejak ilmuan Kerajaan Negeri di mana bagaimana kita nak membangunkan Selangor sebagai negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” katanya dalam ucapan perasmian Taman Mini Botani Al-Quran di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek di sini semalam.

Turut hadir, Pemangku Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad; Pengarah Institut Bio-IT Selangor  International Islamic Academy for Life Sciences & Biotechnology (IAB), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latip Ibraihm dan Guru Besar SRA Kampung Delek, Noraini Kasiman.

Beliau berkata, idea taman mini tersebut adalah ekoran undangan Kerajaan Qatar bersama Dr Abdul Latip di mana Qatar mahu mengembangkan Taman Botani Al-Quran di seluruh negara itu bagi memberi pendidikan berasaskan Islam.

Program Taman Mini Botani Al-Quran Pertama ini dijalankan Kerajaan Negeri bersama Universiti Selangor (Unisel) dengan peruntukan RM60,000 bagi memperkenalkan penanaman pokok yang terdapat di dalam Al-Quran.

Antara pokok yang ditanam di sekolah tersebut ialah Pisang, Lidah Buaya, Selasih, Setawar Hali, Labu Air, Timun, Jagung dan Inai.

“Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan taman dengan konsep sebegini dan kita mahu meluaskannya ke daerah lain,” katanya.

Sementara itu, Noraini ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana sekolahnya dipilih sebagai tapak perintis bagi projek tersebut.

“Sebagai Guru Besar, saya bersama pengurusan dan semua kakitangan sekolah berbesar hati dan bangga dengan pemilihan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dr Halimah atas penghargaan ini,” katanya.

ends

 

 

Categories
SELANGOR

PTRS Menolong Pelajar Miskin Berjaya Hadapi SPM

SHAH ALAM, 30 APR : Mereka mahu cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malangnya bagi pelajar seperti Jeetha Balasubramaniam dan Nasuha A’adil Bohar, keluarga mereka tidak mampu untuk menghantar mereka ke tuisyen.

?Dahulunya saya ingin mengambil tuisyen tetapi ibu saya merupakan ibu tunggal dan tidak mampu membayar tuisyen. PTRS banyak membantu saya,” ujar Jeetha, 18, apabila ditemui pada satu majlis pelajar cemerlang Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di sini semalam.

Semenjak ia diperkenalkan pentadbiran Pakatan Rakyat tiga tahun lalu, PTRS telah menolong pelajar SMK (P) Sri Aman, Meru ini, untuk meningkatkan tahap prestasi pelajar. Ia bitawarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan tahap akademik yang sederhana.

Sebelum Jeetha menyertai PTRS beliau mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam peperiksaan akhir tahun Tingkatan 4. 

Tetapi dengan bantuan PTRS, beliau berjaya mendapat 10A dalam SPM 2011.

Begitu juga dengan Nasuha A’adil Bohara, 18, yang tidak datang keluarga yang berada.

“Ayah saya bekerja sendiri dan pendapatan tidak menentu tetapi saya ingin berjaya seperti orang lai. Mujurlah PTRS yang membantu saya,? bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Rawang.

Nasuha A’adil berkata program seperti ini wajar disertai oleh pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan sepertinya kerana mereka juga mampu berjaya.

Seramai 13,367 pelajar telah menikmati manfaat daripada PTRS yang menelan belanja RM9.2 juta sejak ia diperkenalkan.

Seorang lagi penerima anugerah cemerlang, Aini Amirah Hamidon, 18, berkata kelas PTRS berkualiti kerana diajar oleh guru-guru yang berpengalaman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada koodinator PTRS yang terdiri daripada cikgu-cikgu kerana banyak membantu saya menghadapi SPM lalu,” katanya yang mendapat 7A 3B pada SPM lalu.

Anugerah Pelajar Cemerlang tersebut disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau diiringi Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

ends

Categories
SELANGOR

Lebih 13,000 Pelajar Menikmati Program Tuisyen Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 30 APR : Selama tiga tahun penganjuran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) seramai 13,367 pelajar di Selangor mendapat faedah daripadanya.

Exco Selangor Dr Halimah Ali berkata, PTRS ini ditawarkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang sederhana.

“PTRS membantu pelajar-pelajar  berasal dari keluarga berpendapatan kurang dari RM1,500 untuk meningkatkan kecemerlangan dalam SPM,” jelasnya.

Halimah turut menambah, setiap DUN diperuntukkan RM3.45 juta setahun untuk membantu seramai 100 orang pelajar.

“Kerajaan negeri merupakan satu-satunya negeri yang memberikan tuisyen percuma seperti ini,” katanya ketika memberi ucapan pada Majlis Program Tuisyen Rakyat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disini semalam.

Hadir bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ibu-bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam SPM tetapi tidak mampu membayar tuisyen, dengan adanya PTRS ini membantu pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka,” ujar Khalid ketika memberi ucapan di majlis itu.

Abdul Khalid turut menambah, ini membuktikan kerajaan negeri serius mengutamakan pendidikan dalam mendokong agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Categories
SELANGOR

Dewan Komuniti Adalah Milik Rakyat, Bukan Parti Politik

PANDAN JAYA, 17 APRIL: Semua dewan komuniti di Selangor yang dahulunya digunakan oleh Umno-BN untuk kepentingan politik akan dimanfaat untuk kegunaan pembangunan masyarakat seperti pembinaan Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya.

Perubahan polisi ini selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat (Pakatan) yang mahu setiap bangunan yang selama ini digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menafikan hak masyarakat dikembalikan semula kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pembinaan perpustakaan komuniti sebegini merupakan sebahagian daripada program Pangsapuri Bersih, Ceria dan Harmoni (CERIA).

Ini memandangkan kawasan ini merupakan kawasan pangsapuri yang mempunyai lokaliti penduduk yang padat.

“Perpustakaan ini pada asalnya adalah dewan orang ramai yang telah digunakan oleh pihak Umno bahagian Pandan sebagai bilik gerakkan.

?Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, kita melihat bangunan ini berpotensi dan mencadangkan agar bangunan ini dijadikan perpustakaan komuniti,” katanya.

Apabila ia siap nanti, perpustakaan ini akan menyediakan dewan serbaguna dengan hawa dingin yang boleh memuatkan 100 orang. Ia juga akan menyediakan bilik kuliah dan seminar untuk 50 orang.

Perpustakaan itu turut menyediakan tujuh buah komputer dengan teknologi skrin sesentuh dan jalur lebar internet selain bilik bacaan kanak-kanak, surau, kafeteria dan ruang santai untuk ibu bapa menunggu.

Perpustakaan ini akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dan 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari Sabtu (kecuali Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima) dan ditutup pada hari Ahad.

Iskandar yang juga Adun Cempaka menambah, pembinaan perpustakaan ini turut terkandung dalam menifesto pilihanraya Dun Cempaka dimana Pakatan akan membina satu pusat pembelajaran untuk kemudahan remaja di kawasan ini.

Katanya, pihaknya akan cuba berbincang dengan Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali bagi meningkatkan pembinaan perpustakaan kominiti.

Ini memandangkan penduduk pangsapuri kurang tempat khusus bagi remaja belajar dan mengisi masa lapang oleh kerana unit pangsapuri yang mereka duduki agak kecil dan tidak selesa.

Kawasan Pandan Jaya mempunyai 50 unit blok pangsapuri dengan 300 unit setiap blok.

Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya yang mula dibina pada 22 Julai 2011 berada dibawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mei selepas kerja-kerja akhir selesai.

Kos pembinaan struktur bangunan perpustakaan bernilai RM159,000 sementara RM250,000 lagi kos untuk peralatan seperti perabot dan kelengkapan lain.

PPAS mensasarkan pembinaan 20 buah perpustakaan komuniti dengan kos sebanyak RM6 juta. Sebelum ini, perpustakaan komuniti pertama telah dibina di kawasan Lembah Jaya.

Perpustakaan Pandan Jaya merupakan perpustakaan kedua yang dibuka di kawasan ini selepas Perpustakaan Desa di Kampung Pandan yang telah dibuka pada tahun 2008.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nga : Kerajaan Pusat Didesak Untuk Tidak Mendiskriminasi Antara Graduan Kelas Pertama

KUALA LUMPUR, 17 APR : Kerajaan Pusat harus adil dalam penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama.

MP Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan pusat bersikap tidak adil kepada graduan dari kumpulan tersebut berdasarkan aduan diterima dari lebih 50 graduan dari seluruh negara.

“Kementerian Pengajian Tinggi pernah membuat pengumuman bahawa mulai 2010, semua mahasiswa yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama akan dikecualikan bayaran pinjaman PTPTN kerana ianya akan dianugerahkan menjadi biasiswa.

“Bagaimanapun, golongan yang tamat pengajian dari 1 Julai 2005 hingga 2010 tidak layak menikmati layanan tersebut.

?Adalah dianggarkan kepentingan lebih kurang 8,000 graduan ijazah kelas pertama telah terjejas akibat diskriminasi itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Kerajaaan Pusat menurutnya, diharap mempertimbangkan suara graduan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkaitan isu itu.

Nga berkata satu memorandum berkenaan isu itu akan dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga meminta kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan graduan di mana faedah tiga peratus pinjaman itu dimansuhkan bagi meringankan beban lepasan universiti.

“Perbalahan yang timbul kini adalah kesan dari dasar kerajaan untuk memkorporatkan Institusi Pengajian Tinggi khususnya universiti awam.

?Akibatnya jumlah yuran dan kos sampingan lain telah melambung tinggi mengakibatkan majoriti graduan lepasan universiti terpaksa menanggung beban hutang PTPTN dan pelbagai hutang pinjaman lain.

“Disebabkan pendapatan lepasan graduan universiti di pasaran tempatan jauh lebih rendah maka negara kehilangan pelbagai modal insan berkelayakan dan berbakat kerana golongan ini terpaksa mencari mata pencarian di luar negara dan mengejar kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut mengesa Khaled mengadakan lawatan ke Dataran Merdeka untuk berjumpa dengan mahasiswa yang berkhemah di situ untuk memnuntuut pemansuhan PTPTN.

Lebih 500 mahasiswa telah membuat rapat umum di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi menuntut pemansuhan pinjaman itu dan sistem pendidikan percuma di negara ini.

Categories
SELANGOR

Setelah 50 Tahun Menunggu, SJK(T) Ladang Midlands Kini Berwajah Baru

SHAH ALAM, 15 APR : Setelah sekitar 50 tahun murid-murid sebuah sekolah Tamil di sini belajar di dalam bilik darjah dinding papan dan lantai simen, mereka akhirnya mendapat bangunan dan dewan baru.

Bangunan dan kemudahan baru seperti makmal komputer dan perpustakaan yang tidak pernah dirasai murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands itu sebelum ini, dibina dengan lebih RM4.7 juta.

Sebanyak RM 3 juta disumbangkan Kerajaan Selangor, manakala RM 1.7 juta dikumpulkan oleh jawatankuasa PIBG.

Pembinaan sekolah tersebut tidak menggunakan satu sen pun dari Kerajaan Pusat.

Bangunan sekolah baru itu boleh menempatkan kira-kira 2,000 murid-murid, sementara bangunan lama di kawasan bersebelahan akan dirobohkan untuk dijadikan padang bagi aktiviti kokurikulum.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, pembinaan bangunan sekolah serba moden bernilai lebih RM3 juta itu merupakan hadiah buat rakyat menerusi perolehan hasil kekayaan negeri.

Menurutnya, pembinaan sekolah dan dewan serbaguna itu adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) dalam membantu nasib rakyat tidak kira bangsa dan agama untuk merasai pembangunan negeri.

“Pembinaan bangunan sekolah dan dewan ini merupakan satu penterjemahan daripada hasil negeri yang kita beri kepada rakyat dan pertama kali dalam sejarah.

?Polisi kerajaan PR, kalau hendak beri bantuan, sediakan dahulu baru cakap.

?Di bawah Belanjawan Selangor, kita memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan sekolah Tamil dan kita akan teruskan pemberian hasil negeri ini sekiranya diberi mandat untuk memerintah Selangor lagi, ” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri upacara perasmian bangunan SJK(T) Ladang Midlands dan Midlands Concention Centre di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, MP Shah Alam, Khalid Samad, MP Subang, R.Sivarasa, MP Gombak Azmin Ali, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Sekolah yang didirikan atas tanah seluas empat ekar itu memiliki 24 buah kelas, dewan perhimpunan, bilik mesyuarat, bilik komputer, perpustakaan, kantin dan bilik guru.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyelar kegagalan kerajaan Umno-BN untuk memberi pembelajaran selesa kepada pelajar khususnya anak-anak ladang sehingga mengakibatkan mereka tercicir dari aspek pendidikan.

Ujarnya, peruntukan pendidikan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat juga gagal diurus dengan baik sehingga hari ini.

“Kerajaan pusat menjanjikan tanah untuk pembinaan sekolah, tetapi mereka tidak buat malah peruntukan yang sepatutnya ada untuk pendidikan juga tidak sampai kepada rakyat.

?Kerajaan pusat mengutip cukai daripada rakyat untuk membuat kemajuan di negara ini, tetapi ke mana hasil itu pergi?

?Walaupun kerajaan Selangor berbelanja besar untuk diberikan kepada rakyat, tetapi simpanan tunai kita tetap meningkat,” jelasnya.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Tuisyen Rakyat Bantu Nasuha Dapat 8A

SELAYANG 6 APR : Hasil inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar-pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nasuha A’adil Bohara 18, mampu tersenyum lebar dengan pencapaian cemerlang 8A yang diperolehinya baru-baru ini.

Nasuha calon SPM dari Sekolah Agama Menengah Rawang yang menyertai Program Tuisyen Rakyat (PTR) sejak awal tahun lalu berkata, program tersebut telah banyak membantunya dari segi pemahaman sesuatu subjek dengan lebih mendalam.

“Contohnya, sebelum ini subjek saya seperti Bahasa Inggeris sekadar berjaya capai Gred C dan B.

“Tetapi, selepas menyertai PTR, prestasi pelajaran saya semakin meningkat dan kejayaan beroleh A dalam matapelajaran tersebut adalah bukti program itu sangat memberi manfaat kepada kami para pelajar,” ujar anak sulung dari empat beradik ini.

Selain itu, Nasuha juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapanya.

“Ayah saya bekerja sendiri, jadi pendapatannya tidak menentu. Ibu pula bekerja sebagai pengasuh dan pendapatannya juga tidak besar.

“Dengan bantuan sebegini, sekurang-kurangnya, golongan sederhana seperti kami dapat menikmati apa yang orang lain mampu miliki terutama dari segi mendapatkan pendidikan yang lebih baik,” sambung Nasuha lagi yang bercita-cita ingin menyambung pelajaran dalam bidang Ekonomi jika diberi peluang.

Sementara itu, adik kepada Nasuha, Azroi Hanifah A’adil 16, yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu turut beroleh keputusan cemerlang 7A hasil menghadiri PTR.

 

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM100 Sebulan Untuk Bantuan Taska

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan bantuan sebanyak RM100 sebulan kepada anak-anak dari golongan berpendapatan kurang dari RM1,500 bagi tujuan pendidikan tadika.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sebanyak RM3 juta disediakan untuk tujuan tersebut.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga berkata peruntukan tersebut dikhaskan kepada anak-anak berusia antara 2 bulan hingga 4 tahun.

“Program ini akan diperuntukan kepada ibu-ibu tunggal, bapa tunggal dan juga mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Katanya program tersebut akan dilancarkan April depan oleh Menteri Besar.

Katanya bantuan tersebut merupakan salah satu dari dua program baru yang akan diperkenalkan dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Salah satu lagi program yang akan dilancarkan bulan depan adalah program Micro credit Wanita Ladang yang diperuntukan sebanyak RM5 juta.

Program Micro Credit ini diperuntukkan kepada wanita-wanita yang terlibat dalam bidang perladangan atau baru meninggalkan bidang perladangan.