Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan hadkan jumlah penumpang pengangkutan awam

SHAH ALAM, 3 MEI: Jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam perlu dikurangkan separuh daripada kapasiti sebenar bagi mengelak sentuhan dan kesesakan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata arahan tersebut bagi memastikan semua pengangkutan awam mematuhi garis panduan penjarakan sosial di dalam kenderaan yang ditetapkan kerajaan.

“Sebagai contoh, hanya 20 penumpang boleh menaiki satu bas yang mempunyai 40 kapasiti penumpang.

“Begitu juga Transit Aliran Massa (MRT) boleh ambil separuh penumpang berbanding biasa, malah tempat berdiri mesti ditanda (untuk penjarakan sosial),” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata anggota keselamatan seperti polis dan tentera akan ditugaskan membuat pemantauan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan menunggu serta kemungkinan di dalam kenderaan pengangkutan awam.

“Mungkin akan ada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia berada di dalam MRT, ini antara perincian yang akan kita tentukan,” katanya.

Bagi kenderaan persendirian, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan ia dinaiki sehingga empat orang, namun mesti daripada rumah yang sama.

Categories
NASIONAL

Masyarakat disaran beralih kepada pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Op Selamat yang diadakan pada setiap musim perayaan dianggap berjaya mencapai matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya daripada terus meningkat namun pengguna disaran beralih kepada pengangkutan awam yang lebih selamat.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata pada masa sama pengguna jalan raya perlu bekerjasama memastikan angka kematian dikurangkan ke tahap paling rendah.

Beliau berkata pengguna boleh beralih kepada pengangkutan awam sebagai kaedah paling selamat untuk melakukan perjalanan jauh selain mengawal kelajuan kenderaan jika menggunakan kenderaan persendirian.

“Pertama jika mereka dapat berpindah kepada pengangkutan awam adalah lebih baik. Pengangkutan awam memang cukup selamat berbanding pengangkutan persendirian. Kedua, bagi mereka yang menggunakan kereta, kelajuan kenderaan perlu dikurangkan, katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.

Katanya, apabila kelajuan kenderaan dikurangkan, peluang untuk mengawal kenderaan lebih baik lantas kemalangan boleh dikurangkan dan sekiranya ia tetap berlaku, kecederaan dan kadar kematian dapat dikurangkan.

Kulanthayan berkata walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan, pengangkutan awam masih kaedah pengangkutan yang lebih selamat berbanding kenderaan persendirian.

Katanya, menurut statistik, kemalangan membabitkan kenderaan persendirian masih berada pada kedudukan tertinggi.

“Kadar kemalangan maut yang paling tinggi melibatkan motosikal diikuti dengan kereta. Dua kumpulan ini saja sudah mencapai lebih daripada 80% angka kematian. Jadi penunggang motosikal yang paling berisiko tinggi.

Jika dua kumpulan ini dapat kita pindahkan sedikit kepada pengangkutan awam, saya rasa kita dapat menangani isu ini,” tambahnya.

Op Selamat 15 diadakan dalam tempoh 12 hari sempena musim perayaan Aidilfitri sejak ia dilancarkan pada 29 Mei lepas. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kerajaan hari ini melancarkan Dana Pengangkutan Awam berjumlah RM500 juta dan menawarkan kadar subsidi dua peratus kepada pemohon yang layak mendapatkan dana itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Dana Pengangkutan Awam itu, yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan menambah baik lagi prasarana.

“Menerusi dana ini, kita berharap untuk meningkatkan bilangan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam dengan membiayai penambahbaikan sistem,” katanya selepas melancarkan dana tersebut di sini, hari ini.

Lim berkata, pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli kenderaan seperti teksi, bas atau kenderaan pengangkutan awam lain, dan boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengilang dan pemasang kenderaan pengangkutan awam dan kontraktor, serta pemaju prasarana.

Menurutnya, meskipun pelaburan yang besar dalam perkhidmatan kereta api dan bas, peratusan orang yang menggunakan pengangkutan awam masih rendah dan beliau mengakui masih ada ruang untuk menambah baik sistem pengangkutan awam.

“Berbanding peratusan orang menggunakan pengangkutan awam bagi Kuala Lumpur dengan pasaran pengangkutan awam paling maju, ia hanya berjumlah kira-kira 20 peratus berbanding Jakarta (36 peratus), Bangkok (30 peratus) dan Singapura (67 peratus),” katanya.

Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, subsidi itu yang akan menumpukan kepada cadangan berkaitan perkhidmatan terkini akan diagihkan secepat mungkin.

“Kami melihat kepada pelbagai kemungkinan dan penyedia perkhidmatan e-hailing tidak terkecuali dan saya percaya dana itu akan dapat diagihkan segera kerana jumlahnya tidak besar.

“Dan apa yang paling penting, era kami menyediakan pinjaman yang besar kepada sesebuah syarikat telah berakhir, kini kami mahu lebih terangkum. Subsidi dua peratus itu akan berdasarkan kepada kadar pembiayaan yang diberikan kepada pemohon bagi kes demi kes bergantung kepada prestasi kredit syarikat,” katanya.

Zaiton juga berharap dana itu akan dapat menggalakkan perniagaan di Malaysia, terutamanya pengendali pengangkutan awam, bagi meningkatkan prasarana sedia ada, dengan pembekal, pengeluar dan kontraktor prasarana pengangkutan awam memohonnya.

Menurut laporan Bank Dunia 2015, kos pengangkutan adalah 50 peratus lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding Hong Kong dan Tokyo.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pelan induk jadi rujukan tingkat mutu pengangkutan awam

OLEH : AFEEQA AFEERA

KLANG, 21 JAN: Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor dijadikan dokumen rujukan asas ke arah perancangan pengangkutan awam mencukupi, selamat, strategik dan komprehensif.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, IKS dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata perunding berkelayakan dilantik bagi melaksanakan kajian selama enam bulan mulai Ogos 2015 hingga Februari 2016.

Katanya, ia susulan Kerajaan Selangor menyedari kepentingan dokumentasi perancangan untuk membantu hala tuju pengangkutan awam di negeri itu.

12510320_1124117784285635_5071064251571097858_n“Hasil kajian digunakan sebagai dokumen komprehensif bagi panduan serta hujah Kerajaan Negeri melaksanakan nisbah 60:40 pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian.

“Pelan itu memberi lakaran baru jajaran pengangkutan awam supaya Selangor dapat merangka sistem pengangkutan awam menepati kehendak rakyat selaras dengan agenda Membangun Smart Selangor yang peduli.

“Ia juga dijadikan dokumen tanah dan melengkapi perancangan pengangkutan awam di Lembah Klang oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Dialog Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor di Dewan Hamzah Klang, semalam.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, dialog itu dapat memberi penerangan jelas kepada orang awam berkenaan projek yang sedang dirancang Kerajaan Negeri.

basMPAJ 1Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan pandangan orang ramai untuk melengkapi pelan induk terbabit sebelum kajian tamat pada Februari depan.

“Kita mahu semua pihak bersama Kerajaan Negeri memberikan idea dan pendapat bernas sebelum penemuan ditamatkan dan pelan induk berkenaan dikeluarkan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Pusat perlu bangun sistem pengangkutan awam lebih efisyen

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Sistem pengangkutan awam di Selangor perlu ditingkatkan bagi menampung kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, nisbah pengangkutan awam berbanding swasta perlu ditingkatkan kepada 60:40, sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Kunjungan hormat menteri kerja raya haji Fadillah haji Yusof MB (3)“Kita mahu Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan awam yang lebih efisyen.

“Oleh sebab itu, saya cadangkan Kerajaan Persekutuan memberikan tumpuan dengan bajet lebih besar kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat  (Spad) untuk sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Pejabat Menteri Besar selangor, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu projek pembangunan yang dijalankan Kerajaan Persekutuan di negeri itu, Mohamed Azmin menjelaskan Kerajaan Negeri sedia menerima sebarang bentuk pembangunan yang memberi kesejahteraan kepada rakyat Selangor.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tubuh Jawatankuasa Khas Bantu Pertingkat Kualiti Pengangkutan Awam

MB Keselamatan Jlnraya 01

KLANG 2 OGOS : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini perlu dilakukan bagi membendung kadar peningkatan kenderaan persendirian di jalan raya, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Menurut Abdul Khalid, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan ini akan diketuai oleh beliau dan dianggotai oleh barisan Exco negeri dan Unit Perancang Bandar dan Desa Selangor.

“Kerajaan Negeri akan cuba menubuhkan satu jawatankuasa mengenalpasti bagaimana pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

MB Keselamatan Jlnraya 03

“Dengan cara itu kita dapat mengurangkan jumlah penggunaan pengangkutan persendirian dan pemilikan kereta dan motosikal persendirian yang akan menyebabkan begitu banyak kenderaan di jalan raya dan terdapat keadaan yang penuh sesak dan mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Peringkat Negeri Selangor di Plaza Tol Sungai Rasau di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Khalid mengedarkan 30 buah topi keledar kepada penunggang motosikal serta memberikan ‘Goodies Bag’ kepada pemandu kenderaan di sepanjang plaza tol berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berpesan kepada semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati di sepanjang perjalanan pulang ke destinasi.

MB Keselamatan Jlnraya 02

Categories
NASIONAL

Bajet 2013 FOMCA Minta Kerajaan Tumpu Pengangkutan Awam, Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM 25 SEPT : Sistem pengangkutan awam dan rumah mampu milik merupakan dua perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat dalam Bajet 2013  pada 28 September depan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata inisiatif itu perlu dizahirkan bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya pengangkutan awam, jika dibandingkan perkhidmatan pengangkutan awam hari ini dengan 30 tahun lepas, keadaan dulu adalah berkali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.

“Pada masa ini, sesetengah tempat langsung tidak mempunyai perkhidmatan bas menyebabkan rakyat terpaksa pula menyewa kenderaan untuk ke sesuatu destinasi.

“Keadaan ini harus diubah dan kerajaanlah yang berkuasa memastikan keadaan ini mampu berubah,” ujarnya yang dihubungi TV Selangor.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Pusat juga perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik dan menyemak semula dasar penempatannya.

“Kerajaan perlu mengkaji bagaimana harga rumah dapat dikurangkan atau mencapai satu harga yang mana setiap rakyat mampu membeli dan memiliki rumah sendiri,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM memberitahu agar kerajaan menyemak semula penempatan penduduk, jangan meminggirkan kawasan luar bandar dan membiarkan kawasan pesisir bandar pula dimonopoli perumahan elit.

Beliau bagaimanapun berkata segala usaha menaik taraf kehidupan rakyat ini hanya mampu dicapai melalui sebuah kerajaan yang telus dan komited.

“Jika tiada komitmen yang baik, tidak ada kesungguhan untuk membela dan memastikan rakyat hidup selesa, keadaan tidak mustahil akan menjadi lebih teruk lagi,” tegasnya ringkas.