Categories
NASIONAL

PM: Kabinet dapat dibentuk seawal minggu ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pembentukan Kabinet yang melibatkan 10 orang menteri dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penubuhan Kabinet penuh akan mengambil masa kerana setiap parti perlu berbincang untuk mengemukakan nama dan jawatan yang akan dipegang.

“Kita sudah ada tiga orang yang saya namakan dan kita nak kepada tujuh orang lagi untuk cukupkan 10. Ini akan dibuat secepat mungkin dengan setiap parti memberi tiga nama daripada satu parti dan menyatakan kementerian pilihan mereka.

“Saya harap dalam minggu ni juga kita dapat bentuk kabinet 10 orang. Kabinet itu akan bergerak sebagai kabinet sah dan sementara kita akan memilih lebih banyak menteri-menteri berjumlah semua 25,” katanya.

Minggu lalu, Tun Mahathir mengumumkan empat jawatan utama yang sudah diisi iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.

Sementara, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari BERSATU selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Katanya, Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah dianggap majlis tertinggi dan semua keputusan dibuat tidak mengenepikan mana-mana parti.

Menurutnya, semua nama calon dikemukan parti komponen bersama kementerian yang dipilih akan disemak terlebih dahulu dan jika berlaku pertindihan, beliau selaku Perdana Menteri akan membuat keputusan.

Katanya lagi, kabinet pentadbirannya menggunakan konsep ‘majoriti yang memutuskan’ (majoriti rule) kerana menerusi konsensus berkemungkinan keputusan tidak dapat dibuat.

“Kita dalam Kabinet 10 ini tidak akan dapat mengagihkan mengikut peratusan parti masing-masing. Ada parti lebih ramai wakil rakyat, ada parti yang kurang tapi kita tak patuh kepada bahagian.

“Tapi kalau kita dapati parti berkenaan tidak dapat bahagian mereka, tambahan ini akan datang apabila kita penuhi semua jawatan-jawatan 25 dalam Kabinet yang dicadangkan.

“Kita juga mempunyai ruang kalau kalau ada kerjasama daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak, maka mereka akan lantik calon-calon mereka untuk menyertai Kabinet.

“Pada ketika itu jumlah Kabinet mungkin melebihi daripada sekarang tapi hasrat kita ialah tidak lebih 30. Kita akan buat keputusan-keputusan kerajaan dengan Perdana Menteri berpandu kepada keputusan dalam Kabinet,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tidak sekat berita asal tiada unsur hasutan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Persekutuan tidak akan melakukan sekatan terhadap penyebaran berita asalkan laporan itu mempunyai rekod rasmi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya terbuka terhadap laporan yang mungkin tidak memihak kerajaan tetapi tidak akan berkompromi berhubung penyebaran berita berbentuk hasutan dan mampu mencetuskan situasi tegang dalam kalangan rakyat.

“Sebarang usaha menghasut rakyat supaya berkelahi atau bertegang dan sebagainya, itu tidak dibenar.

“Tetapi kalau mereka buat laporan walaupun tak senang didengar kerajaan, itu bebas. Tidak ada tindakan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang berita tidak benar (fake news) akan diberi definisi jelas supaya orang ramai dan syarikat pemberita faham maksud berita palsu dan bukan palsu.

“Kalau mereka buat berita tak palsu tiada tindakan, tapi kalau mereka buat berita palsu terutama yang bertujuan mencetuskan huru-hara dalam negara, maka walaupun kita dukung konsep kebebasan akhbar dan bersuara, semua ada hadnya.

“Kalau kita sengaja cetuskan huru-hara dalam negara, itu akan dihadapi dengan undang-undang khusus bagi perbuatan sedemikian,” katanya.

Categories
NASIONAL

PRU14: Sabah tak diiktiraf jika ada unsur rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah tidak akan diiktiraf jika didapati terdapat unsur rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal itu kerana kerajaan memperolehi beberapa bukti perjalanan PRU14 di Sabah dimanipulasi pihak tertentu.

“Kita ada masalah di beberapa negeri untuk tubuh kerajaan seperti di Sabah dengan Warisan menang 35 kerusi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya beberapa kali kira semula dan akhirnya mengurangkannya kepada 29 kerusi.

“Sekarang mereka ada masalah tubuhkan kerajaan dan terdapat beberapa orang lompat parti menggunakan wang,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Tun Mahathir berkata, berbeza dengan tindakan melompat parti ekoran prinsip, sebaliknya melompat parti kerana ditawarkan wang adalah rasuah.

Justeru katanya, kerajaan akan meneliti peruntukan undang-undang dan menjalankan siasatan terhadap isu ini.

“Ini bukan tindakan membalas dendam tetapi kita tak mahu pihak mendapatkan sokongan kerana wang.

“Jika siasatan mendapati terdapat rasuah, kita akan mohon supaya keputusan PRU itu tidak sah. Kita sedang meneliti undang-undang berkaitan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah TPM, menteri umum esok

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Pelantikan 10 menteri di 10 kementerian yang diumumkan esok, tidak membabitkan jawatan timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal itu ekoran jawatan berkenaan sudah sah diisi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya sudah dilantik perdana menteri dan sudah tentu timbalan perdana menteri juga sudah dinamakan, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah dan ada lagi 10 kementerian akan dinamakan esok,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Katanya, 10 nama itu akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi memberi peluang kepada semua parti gabungan mengadakan mesyuarat masing-masing bagi menentukan calon.

Categories
NASIONAL

Kerajaan umum 10 Menteri di kementerian utama esok

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Kerajaan akan membentuk 10 kementerian utama dan akan mengumumkan nama 10 menteri yang dilantik, esok.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kabinet terbabit bukanlah kabinet penuh tetapi sebaliknya hanya merupakan kabinet kecil.

“Pada ketika ini kami akan bentuk kabinet kecil bukan kami kabinet penuh.

“Kami tidak mahu kabinet yang besar tetapi beberapa kementerian perlu diisi segera,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Kementerian terbabit adalah:

Kementerian Kewangan
Kementerian Dalam Negeri
Kementerian Pertahanan
Kementerian Pendidikan
Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Kementerian Ekonomi
Kementerian Kerja Raja
Kementerian Pengangkutan
Kementerian Teknologi, Sains dan Multimedia
Kementerian Luar Negeri

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan beri pengampunan penuh kepada Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUAL LUMPUR, 11 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenab memberi pengampunan penuh kepada Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau dimaklumkan perkara itu ketika pertemuan dengan Sultan Muhammad V pada istiadat mengangkat sumpah Perdana Menteri, di Istana Negara, semalam.

“Dengan pengampunan penuh ini, Datuk Seri Anwar boleh terbabit serta-merta, dalam politik,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan akan meneruskan proses itu mengikut prosedur yang diperlukan.

Anwar dipenjarakan pada Februari 2015 apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes fitnah 2 membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengikut jadual, Anwar yang dipenjarakan di penjara Sungai Buloh akan dibebaskan, pada 8 Jun ini.

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir ikrar ‘rampas’ semua duit 1MDB

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 11 MEI: Kesemua wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB) akan dirampas semula, demikian ikrar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, dipercayai wang tersebut disembunyikan di beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Singapore dan Switzerland.

“Kita akan rampas segera semua duit ini memandangkan hutang negara mencapai RM800 billion.

“Saya tahu jumlah itu bukanlah tepat, kerana pasti ada hutang lain yang tersembunyi lagi,” katanya ketika sidang media di Hotel Sheraton, semalam.

Pada 2015, Kementerian Kewangan memberitahu, hutang luar negara Malaysia meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada RM740 bilion.

Categories
NASIONAL

Hutang negara RM1 trilion sejak Najib PM – Azmin

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 27 APRIL: Sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguruskan kewangan dan ekonomi negara menyebabkan negara menanggung beban hutang kira-kira RM1 trilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, timbunan hutang itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar faedah hutang sebanyak RM31 bilion.

“Ekonomi negara parah, hutang negara semakin parah. Hutang isi rumah sahaja sudah melebihi RM1 trilion, siapa yang nak bayar hutang ini sebab itu mereka terpaksa kutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya berdepan Perdana Menteri tiga minggu lepas di Parlimen, saya tanya wahai Perdana Menteri, kenapa sejak kamu jadi Perdana Menteri nak bayar faedah sahaja, belum hutang asas negara terpaksa keluarkan RM31 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Menyantuni Petugas dan Masyarakat DUN Gombak Setia (N17) di Taman Seri Gombak, di sini, hari ini.

Jelasnya, sikap tidak bertanggungjawab kerajaan itu terbukti dengan langkah kerajaan mengalihkan beban hutang dengan mengenakan GST kepada rakyat.

Katanya, langkah mengenakan GST menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi.

Sebelum itu, Mohamed Azmin menghadiri taklimat Jentera Pilihan Raya DUN Gombak Setia.

Turut mengiringi Mohamed Azmin, calon DUN Gombak Setia, Mohd Hilman Idham.

Categories
NASIONAL

Netizen sindir Najib, puji ‘caretaker’ Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR: Pengguna media sosial menyifatkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan lebih sensitif terhadap gelaran dan kedudukannya berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia bermula apabila Mohamed Azmin menukar status profil di laman media sosialnya dengan perkataan ‘caretaker’ ketika pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan, awal minggu ini.

Pada laman media sosial Mohamed Azmin, istilah ‘caretaker’ Dato’ Menteri Besar Selangor digunakan sebagai merujuk kepada gelaran ‘penjaga sementara’ kedudukannya sebagai Menteri Besar ketika pembubaran Dewan Negeri berkuatkuasa, 9 April lalu.

Bagaimanapun sebaliknya di laman media sosial Najib, yang sehingga kini masih menggunakan istilah Perdana Menteri sebagai merujuk jawatan terkini beliau ketika pembubaran Parlimen berkuasa Sabtu.

Senario kedua-dua situasi itu mengundang maklum balas pantas pengguna media sosial Twitter, Jay Jay Denis yang menampilkan keratan profil Facebook dan Twitter, kedua-dua pemimpin itu.

“Di Selangor, @AzminAli sekarang bergelar ‘Caretaker’ Menteri Besar Selangor.

“Sampai kini, @NajibRazak masih lagi berpegang kepada gelaran Perdana Menteri,” sindirnya.

Catatan itu turut diulang siar Retweet daripada Mohamed Azmin di Twitter.

Berdasarkan semakan SelangorKini, Perkara 43 Perlembagaan menetapkan jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seorang yang menjadi Ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik memangku jawatan sedia ada.

Tetapi tidak boleh terus memegang jawatannya selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu air: Najib berniat jahat – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Fitnah dan tohmahan dilontarkan oleh orang nombor satu di negara ini dalam isu gangguan air bersifat politik dan berniat jahat menjelang Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri melalui Air Selangor sendiri mengambil inisiatif membantu Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyegerakan kerja pembaikian walaupun ia diluar bidang kuasa negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini bersedia menanggung kos pembaikian terbabit sekali gus menghantar kontraktor yang bertauliah untuk membantu SPLASH.

“SPLASH bukan harta kita. Bagaimana untuk kita masuk ke dalam rumah Najib? Semua kerja mesti dilakukan pihak SPLASH. Tak kan perkara asas pun tak faham.

“Namun, saya mengarahkan Air Selangor berunding dengan SPLASH untuk membantu mereka dan bersedia menanggung kos pembaikan.

“Saya juga mengarahkan lebih ramai petugas bertauliah untuk mempercepatkan tempoh pembaikian dalam masa sehari sahaja, walaupun pada mulanya hanya dua kontraktor sahaja. Itu sebab kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM bersama penduduk AU2, di sini.

Mohamed Azmin menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu juga membuktikan beliau seorang pemimpin yang gagal.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin mengambil tanggungjawab dan memohon maaf kepada pengguna yang terkesan daripada gangguan bekalan air terbabit.

“Secara peribadi saya rasa terkesan dalam isu ini. Saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya memohon maaf kepada semua pengguna.Bukan saya tidak berbuat apa-apa.

“Beri saya peluang untuk mempertahankan diri sebab media mereka cukup melampau dan memberi gambaran negatif kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kenapa Najib ‘tutup’ kisah ringgit jatuh 31% sejak 2013?

SHAH ALAM, 8 FEB: Nilai ringgit dilihat merosot 31 peratus sejak 2013, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mencanang kisah pengukuhan nilai ringgit bagi menutup kelemahan pentadbirannya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, semakin menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Najib semakin rancak memanipulasi fakta demi kelangsungan kuasanya.

“Biar saya ingatkan Perdana Menteri, sejurus selepas PRU13, ringgit didagangkan pada kadar RM2.98 berbanding Dolar Amerika.

“Ini bermakna sepanjang tempoh lima tahun pentadbirannya, nilai ringgit telah menjunam sebanyak 31 peratus sehingga kini,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada tahap 3.9160 / 9210 berbanding dolar AS daripada penutup 3.9070 / 9100 pada Rabu.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, prestasi ringgit kian menurun sejak skandal 1MDB mendapat perhatian dunia.

“Jangan kita lupa dengan situasi hilangnya rasa percaya pelabur selepas skandal 1MDB meletus dan membuka wajah sebenar Najib sebagai kleptokrat terbesar dunia.

“Ringgit mencecah nilai RM4 pada 2015, ketika berita mengenai 1MDB menghiasi tajuk-tajuk utama media antarabangsa,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cermin diri dulu sebelum salahkan orang lain

 

OLEH CHANG LIH KANG

Saya ambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Januari lalu yang menyalahkan seorang pemimpin kononnya memperkenalkan kereta nasional sehingga mengakibatkan pengangkutan awam diabaikan.

Saya yakin pemimpin dimaksudkan Najib adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan seteru politiknya ketika ini kerana kereta kebangsaan Proton merupakan idea pemimpin tersebut.

Namun, alasan diberikan Najib langsung tidak masuk akal dan boleh dianggap sebagai dangkal kerana bagi saya rakyat kurang menggunakan pengangkutan awam bukan kerana adanya kereta nasional sebaliknya Najib perlu melihat sendiri tahap keberkesanan pengangkutan awam di Malaysia ini.

Masih banyak rungutan daripada rakyat berhubung masalah-masalah yang masih berlaku dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti kelewatan dari masa yang ditetapkan, kerosakkan teknikal yang kerap dan banyak lagi.

Saya pasti sekiranya pengangkutan awam di Malaysia di tahap yang memuaskan, sudah pasti rakyat lebih memilih menaiki pengangkutan awam berbanding kereta terutama untuk mengelakkan daripada dikenakan bayaran tol dan kesesakan lalu lintas.

Apa yang boleh dilihat, pemimpin kurang cerdik seperti Najib sanggup membandingkan dan menyalahkan pemimpin terdahulu demi menutup kelemahan kepimpinannya kini.

Walhal pembuatan kereta nasional membuktikan kebolehan anak watan tempatan dalam meneroka industri pembuatan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara yang baik melalui cukai keuntungan yang diperoleh daripada industri berat tersebut.

Malah projek kereta negara itu juga telah meletakkan nama negara di persada dunia.

Jika ingin dibandingkan dengan zaman pemerintahan Najib, hanya skandal mega negara seperti 1MDB sahaja telah mempopularkan nama Malaysia di mata dunia.

Oleh itu, saya ingin menasihati Najib Razak agar cermin dirinya terlebih dahulu sebelum ingin meletakkan kegagalan diri sendiri di atas bahu orang lain.

Rakyat mempunyai mata untuk melihat dan telinga untuk mendegar segalanya.

* Chang Lih Kang adalah Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN