Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Sinovac keluaran China sama berkesan cegah Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Vaksin Covid-19 Sinovac keluaran China yang diterima Malaysia hari ini berkesan dalam mencegah jangkitan Covid-19 sama seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata ujian klinikal yang dijalankan di Brazil dan Turki mendapati tahap keberkesanan vaksin Sinovac masing-masing negara adalah 50.4 peratus dan 91.2 peratus.

Beliau berkata ada kalangan dalam masyarakat yang salah faham apabila menganggap bahawa 50.4 peratus sukarelawan di Brazil yang mengambil vaksin itu sihat manakala lagi 49.6 peratus yang mengambil vaksin mendapat kesan sampingan yang memudaratkan.

“Tetapi (sebenarnya) tahap keberkesanan yang dimaksudkan pada penerima yang 50.4 peratus itu (ialah mereka) telah berjaya membina imuniti terhadap Covid-19 dan 100 peratus daripada mereka tidak langsung mendapat jangkitan atau memerlukan rawatan rapi dan tiada yang meninggal dunia,” katanya dalam progam khas terbitan Bernama TV yang disiarkan di Facebook bertajuk “Malaysia Terima Vaksin Covid-19” hari ini.

Menurutnya peratusan itu adalah tahap keberkesanan untuk membina imuniti dan bukannya baki daripada peratusan itu yang mendapat kesan sampingan daripada vaksin.

Malar Santhi seterusnya menegaskan tidak ada langsung data menyokong pendapat yang menyatakan bahawa Orang Kurang Upaya (OKU) berisiko tinggi mendapat kesan sampingan daripada mana-mana jenis vaksin Covid-19.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata ketibaan vaksin Covid-19 juga boleh menjana ekonomi negara apabila lebih ramai sudah boleh bekerja dengan selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosedur ketat penghantaran kumpulan pertama Pfizer-BioNTech

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, Comirnaty, menjadi kumpulan pelalian pertama membabitkan 312,390 dos, bakal tiba di Malaysia pada Ahad, menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Ketika persiapan dilakukan untuk menerima bekalan vaksin itu, mari kita imbas penerangan Pfizer berhubung proses pengagihan ke lokasi penggunaan (POU) kerana pelalian ini perlu kekal sejuk beku selepas ia dihasilkan.

Menurut syarikat pengeluar itu, kebanyakan vaksin itu akan dihantar dari kilang mereka di Kalamazoo (Michigan, Amerika Syarikat) dan bakinya dari Puurs (Belgium) terus kepada pelanggan di POU.

Pfizer juga akan menggunakan pusat pengedaran sedia ada di Wisconsin, AS dan di Karlsruhe, Jerman.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer Dr Albert Bourla, menerusi surat terbuka 15 Disember lalu berkata, jurutera mereka membangunkan bekas penghantaran khas atau dikenali sebagai ‘shipper’ yang dilengkapi peranti pemantauan suhu berterusan dan peranti penjejakan lokasi (GPS) pada waktu sebenar.

Peti khas shipper ini mampu mengekalkan suhu yang diperlukan sehingga 10 hari jika tidak dibuka, tanpa menjejaskan integriti vaksin ketika ia dihantar ke seluruh dunia.

Pusat kawalan Pfizer pula akan memantau dan menjejak semua penghantaran bagi memastikan vaksin ini sentiasa dalam keadaan baik pada suhu yang betul serta benar-benar tiba di tempat ditentukan, tepat pada masanya.

Pusat pemantauan yang beroperasi 24 jam ini akan mengambil tindakan segera andai berlaku perkara tidak diingini.

Sebaik shipper tiba di POU, pengeluar menerusi laman webnya menyenaraikan tiga opsyen penyimpanan termasuk penyejukbekuan ultra rendah, yang boleh meningkatkan hayat simpanan sehingga enam bulan lagi.

Ketiga adalah menggunakan unit sejuk beku biasa yang sering ada di hospital. Vaksin ini boleh disimpan dalam peti sejuk dengan suhu 2 hingga 8 darjah Celsius. Apabila kotak dibuka dan disimpan dalam peti sejuk bersuhu sedemikian, bebuli vaksin tidak lagi boleh disejuk beku semula.

Pada Jumaat, Pfizer-BioNTech mengunumkan ia sudah pun menyerahkan data baharu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS menunjukkan tahap kestabilan vaksin itu apabila disimpan di bawah suhu beku -25 hingga -15 darjah Celsius, suhu biasa dalam peti sejuk beku biasa dan farmasutikal.

Ketika ini, label pada vaksin syarikat itu mempamerkan ia mesti disimpan pada suhu tahap beku ultra iaitu antara -80 dan -60 darjah Celsius.

Vaksin itu yang dibangunkan bersama oleh Pfizer, gergasi farmasutikal AS dengan syarikat bioteknologi yang diasaskan pasangan Turki-Jerman, Dr Ugur Sahin dan isteri, Dr Ozlem Tureci, mempunyai kadar keberkesanan sehingga 95 peratus selepas dua dos.

Menurut laporan, antara negara yang sudah menggunakan vaksin ini adalah AS, United Kingdom, negara anggota Kesatuan Eropah, Kanada, Costa Rica, Kuwait, Brazil dan Singapura.

Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, menandatangi perjanjian perbekalan kumpulan pertama vaksin ini pada 11 Januari lalu.

Sehingga bulan ini, Malaysia sudah mendapat jaminan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos menerusi lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Covid-19 pertama untuk Malaysia tiba pagi ini

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Setelah lebih setahun negara ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya pada pagi ini, vaksin yang menjadi harapan dalam menangani wabak tersebut bakal ‘mendarat’ di bumi Malaysia.

Detik bersejarah ini dijangka berlaku kira-kira 10 pagi apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).

Perjalanan vaksin ini adalah dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu akan berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu akan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), turut meramalkan cuaca pagi dan petang ini di daerah Sepang dan Putrajaya baik iaitu minimum 23 darjah Celcius hingga 33 darjah Celcius.

Dengan ketibaan vaksin tersebut, Malaysia akan dapat memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukan di negara ini dan ia akan dilancarkan dalam tempoh lima hari lagi (26 Feb).

Selaku antara negara terawal di Asia Tenggara selepas Singapura yang akan menggunakan vaksin berkenaan bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan virus Covid-19, harapan yang lebih besar bagi 32 juta rakyat Malaysia ialah dapat ‘membebaskan’ negara daripada penyakit itu, supaya situasi kembali seperti sediakala.

Pastinya vaksin yang telah diakui keberkesanannya dan mendapat kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu diharap berjaya ‘menampan’ rakyat daripada menjadi mangsa virus berbahaya itu.

Mengikut perancangan, fasa pertama pada 26 Februari ini, penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan.

Sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara telah ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April itu akan diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Pada 11 Januari lepas, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan, melalui KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia masih antara terawal terima vaksin Covid-19 – menteri

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Walaupun negara maju lain serta negara jiran telah mula menerima vaksin Covid-19, Malaysia berada dalam landasan tepat untuk menerima bekalan vaksin itu bulan depan dan masih merupakan antara negara terawal di Asia Pasifik untuk menerimanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia tidak terlewat walaupun negara lain telah menerima bekalan vaksin lebih awal dengan membayar wang pendahuluan yang tinggi sebelum data keselamatan dan keberkesanan diterbitkan.

“Malaysia membuat keputusan perolehan berdasarkan penelitian ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan yang tinggi. Maka Malaysia boleh menilai proses vaksinasi di negara lain supaya apabila pelaksanaan vaksinasi kelak, kita mampu melaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Ramai yang mempersoalkan tentang ‘kelewatan’ Malaysia dalam memperoleh vaksin terutamanya apabila melihat negara jiran mula menerima vaksin Covid-19. Saya ingin jelaskan bahawa Malaysia masih lagi ‘on-track’, malah tempoh masa ini telah dipersetujui dalam rundingan bersama Pfizer pada November lepas,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Mengenai proses penerimaan vaksin bulan depan, Khairy berkata kesemua vaksin yang ditempah tidak akan diterima secara serentak sebaliknya mengikut suku tahunan.

“Untuk vaksin keluaran Pfizer, satu juta dos akan diterima pada suku pertama, 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta (suku keempat). Ini juga adalah sama dengan vaksin keluaran syarikat lain yang telah ditempah,” kata Khairy.

Memperincikan pemberian vaksinasi, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah membuat perancangan vaksinasi mengikut senarai keutamaan dengan matlamat melindungi kumpulan paling berisiko tinggi iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan serta kesihatan.

“Disusuli warga emas dan individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok. Jika anda adalah seorang dewasa yang sihat di bawah umur 60 tahun dan bukan petugas barisan hadapan, jangkaan paling awal menerima vaksin adalah pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, mengurus jangkaan adalah penting memandangkan pelan vaksinasi Malaysia mengambil masa sehingga 18 bulan.

Selain itu, Khairy turut memberi jaminan bahawa kesemua vaksin dikenal pasti selamat serta berkesan bagi memastikan kepentingan orang ramai serta kewangan negara terpelihara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pembelian vaksin Pfizer ambil kira dos kedua

PUTRAJAYA, 8 JAN: Pembelian 12.8 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer mengambil kira keperluan dos kedua untuk rakyat dalam tempoh 21 hari selepas suntikan pertama, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata polisi Malaysia dalam pemberian vaksin ialah jika seseorang itu diberikan suntikan pertama, maka individu tersebut perlu menerima suntikan kedua kerana ia berpandukan kepada ujian klinikal Pfizer.

“Jadi kita akan memberikan suntikan kedua dalam tempoh 21 hari, tidak melebihi tempoh tersebut melainkan ada data klinikal yang baharu,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas amaran oleh firma Jerman, BioNTech yang membangunkan vaksin Pfizer dengan gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), bahawa tiada data bagi menyokong keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sekiranya pemberian dos kedua dilengahkan melebihi tiga minggu.

Amaran itu dikeluarkan ekoran kebimbangan mungkin ada negara lebih mengutamakan pemberian dos pertama dan seterusnya kekurangan bekalan bagi suntikan dos kedua dalam tempoh masa ditetapkan.

Khairy berkata bekalan vaksin yang bakal diperolehi tidak akan dihabiskan kerana tempoh menunggu untuk bekalan seterusnya akan memakan masa melebihi 21 hari.

Mengenai pembelian vaksin Covid-19 dari Rusia, Khairy berkata Malaysia masih dalam rundingan untuk membeli vaksin dari Rusia itu kerana tawaran menarik yang turut menawarkan pemindahan penyelidikan dan pembangunan dalam membina kapasiti penghasilan vaksin di Malaysia.

Katanya, pelan pemberian vaksin telah dibentangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam dan seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan kerja dengan cemerlang dalam menyediakan pelan imunisasi apabila vaksin diperolehi seperti proses pendaftaran kepada sesiapa yang ingin mengambil vaksin secara sukarela, latihan kepada kakitangan kesihatan yang melaksanakan imunisasi dan tempat untuk mendapat vaksin.

Malaysia akan mendapatkan bekalan awal 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Melalui perjanjian itu, Pfizer berjanji menghantar sejuta dos bagi suku pertama 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM terima mohon daftar bersyarat vaksin Covid-19 Pfizer

PUTRAJAYA, 21 DIS: Syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer membuat permohonan pendaftaran bersyarat dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM), pada 15 Disember lepas bagi penggunaan vaksin Covid-19 dihasilkan syarikat itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya kini sedang membuat penilaian bagi vaksin itu dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk itu untuk digunakan di Malaysia berdasarkan dokumen ditunjukkan.

“Dijangka koresponden dan proses libat urus syarikat akan dimulakan pada akhir bulan ini dan NPRA telah pun mengenal pasti 11 pakar perubatan dalam bidang berkaitan untuk melihat dokumen berkenaan yang diserahkan kepada KKM,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata proses pernilaian itu mengambil masa 90 hingga 120 hari dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan keberkesanan vaksin itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai sumbangan 500,000 dos vaksin Covid-19 daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga, Dr Noor Hisham berkata tiada dokumen berkenaan vaksin itu dihantar kepada NPRA.

Beliau berkata bagi membolehkan vaksin itu digunakan di dalam negara, ia perlu melepasi proses sama seperti vaksin Pfizer.

“Pada masa ini tiada ujian klinikal fasa ketiga vaksin itu telah diterbitkan. Kami menanti artikel dan dokumen untuk dihantar sebagaimana dilakukan Pfizer.

“Vaksin itu kemungkinan datang dari China. Oleh kerana itu kami menunggu kesemua dokumen sebelum kami boleh mendedahkannya. Sekarang ini ia hanya cakap-cakap dan belum dapat dipastikan lagi. Tiada apa yang telah dihantar kepada NPRA,” katanya lagi.

Dilaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi, UAE, untuk lima hari lawatan khas mulai 18 Disember dengan agenda utama lawatan baginda membincangkan hasrat Kerajaan UAE untuk mendermakan vaksin kepada Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM mengenal pasti dua kluster melibatkan petugas-petugas kesihatan dj Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beliau berkata Kluster Yayasan melibatkan 60 petugas kesihatan manakala seramai 10 petugas kesihatan dikenal pasti mendapat jangkitan berpunca daripada Kluster Batu Sembilan.

“Kluster Yayasan melibatkan pesakit hemodialisis dan jangkitan bermula dari situ, dari satu petugas kepada petugas yang lain manakala satu kluster (Kluster Batu Sembilan), jangkitan berlaku dalam komuniti yang berlaku di unit sajian, tetapi sekarang keadaan terkawal.

“Apabila ada jangkitan, mereka yang bergejala sepatutnya tak datang ke hospital tetapi ada yang telah dijangkiti, ada yang bergejala masih datang ke hospital dan ada yang tak pakai pelitup muka, contohnya, jadi jangkitan berlaku di hospital,” katanya.

Beliau berkata petugas kesihatan sentiasa diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk tatacara pemakaian kelengkapan pelindung diri (PPE).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mosti: Vaksin Pfizer berkesan 95 peratus cegah Covid-19

KUALA LUMPUR,17 DIS: Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata laporan itu diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

“Vaksin ini juga mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di sini.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Pengumuman mengenai perkara itu dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) berhubung kos, keberkesanan, liputan vaksin serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu, selain penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM belum terima dokumen Pfizer penilaian vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada terdapat masalah dalam pembekalan dos vaksin itu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa.

“Adalah menjadi tanggungjawab NPRA untuk memastikan setiap produk itu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan keberkesanan terlebih dahulu sebelum didaftarkan untuk pasaran di Malaysia.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab pertanyaan masyarakat berhubung laporan agensi berita Reuters pada 4 Dis yang menyatakan syarikat farmaseutikal tersebut mungkin tidak dapat mencapai sasaran pengeluaran vaksin berkenaan pada 2020 kerana kekurangan bahan mentah.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM bagaimanapun akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.

-BERNAMA