Categories
SUKANKINI

Ketangkasan Igor Akinfeev pastikan Rusia ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 2 JUL: Penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Sepanyol untuk menang 3-4 bagi menempah tempat ke suku akhir Piala Dunia 2018 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan.

Aksi babak pertama menyaksikan Sepanyol menguasai hampir 72 peratus permainan tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-12 untuk mendahului Rusia 1-0 hasil jaringan sendiri Sergei Ignshevich.

Bermula daripada sepakan percuma Marco Asensio, Ignshevich yang cuba mengawal Sergio Ramos melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Igor Akinfeev.

Jaringan itu meletakkan Ignshevich sebagai penjaring gol sendiri tertua dalam Piala Dunia pada usia 38 tahun.

Rusia yang sesekali berpeluang menyerang hampir menyamakan kedudukan menrusi Aleksandr Golovin pada minit ke-36 tetapi percubannya tidak menepati sasaran.

Kealpaan Sepanyol akhirnya memakan diri pada minit ke-39 apabila pemain pertahanan, Gerard Pique menampan tandukan Artem Dzyuba menggunakan tangan sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat Rusia.

Dzyuba tidak berdepan masalah memastikan bola menerjah jaring bagi kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-41.

Menuju waktu rehat babak pertama, Diego Costa hampir meletakkan Sepanyol kembali mendahului permainan tetapi tandukannya gagal menewaskan Akinfeev.

Tiada serangan bahaya dipamerkan kedua pasukan pada babak kedua sebaliknya penguasaan bola berterusan dipamerkan Sepanyol dengan lebih 800 hantaran dan tolakan pendek dilakukan.

Sepanyol berpeluang menjaringkan gol kedua menerusi pemain gantian Andres Iniesta tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar di minit ke-84 dan tindakan susulan Iago Aspas juga tidak menepati sasaran.

Berlarutan ke masa tambahan, Acensio cuba meledak jaringan dari luar kotak penalti pada minit ke-100 babak pertama masa tambahan tetapi tenang dikawal Akinfeev.

Masuk babak kedua masa tambahan, Rodrigo hampir menjelmakan gol kedua Sepanyol di minit ke-109 tetapi Akinfeev lebih cemerlang menepis keluar percubaan itu.

Rodrigo sekali lagi mencuba di babak akhir masa tambahan tetapi rembatannya terus didakap kemas Akinfeev di gawang Rusia.

Ketika penentuan sepakan penalti, Akinfeev meneruskan kecemerlangan apabila menyekat sepakan Koke dan Aspas sekaligus meleburkan harapan Sepanyol untuk mara ke suku akhir.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Mbappe bantu Perancis pastikan Argentina tersingkir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JULAI: Kylian Mbappe muncul sebagai wira apabila mencipta dua gol bagi membantu Perancis menyingkirkan Argentina 4-3 pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia Rusia 2018.

Perancis terlebih dahulu dihadapan 1-0 menerusi penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann pada minit ke-13 selepas Marcos Rojo menjatuhkan Kylian Mbappe.

Pada minit ke-25 Javier Mascherano melakukan lorongan bola terus ke kotak penalti Perancis tetapi gagal disambut Cristian Pavon sebaliknya penjaga gol, Hugo Lloris berindak pantas mengawal keadaan.

Gandingan Paul Pogba dan Griezmann terus menghadirkan ancaman buat Argentina pada minit ke-27 tetapi gagal menghasilkan penyudah dimahukan.

Sebaliknya Argentina yang mengasak mencari gol penyamaan akhirnya berjaya merobek gawang Perancis pada minit ke-41.

Angel Di Maria memastikan kedudukan 1-1 sebelum babak pertama berakhir selepas melepaskan rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti yang tidak mampu diselamatkan Lloris.

 

Bersambung babak kedua, Argentina akhirnya di hadapan mendahului 1-2 hasil penyudah Gabriel Mercado pada minit ke-48.

Berpunca daripada gerakan Lionel Messi, Mercado yang berjaya melepasi perangkap ofside berjaya menampan bola yang terus menerjah jaring sekaligus mengelirukan lloris di gawang Perancis.

Kegembiraan Argentina hanya bertahan 10 minit sebelum Benjamin Pavard menjadikan kedudukan 2-2 buat Perancis pada minit ke-58.

Pemain pertahanan kanan itu berjaya menyambut hantaran lintang Lucas Hernandez dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan lencong yang terus masuk menerjah gawang Argentina tanpa mampu digapai penjaga gol, Franco Armani.

Mbappe kembali meletakkan Perancis mendahului 3-2 pada minit ke-64 selepas berjaya merembat masuk bola hasil situasi kelam kabut dihadapan gawang Argentina.

Argentina terus merana pada minit ke-69 apabila Mbappe mencetak jaringan kedua peribadi apabila melepaskan rembatan kencang hasil lorongan Olivier Giroud bagi kedudukan 4-2 buat Perancis.

Peluang terbaik Argentina merapatkan kedudukan menerusi Messi pada minit ke-85 tetapi rembatannya terus ke dakapan Lloris.

Sergio Aguero merapatkan kedudukan 4-3 buat Argentina pada penghujung babak menerusi tandukan hasil hantaran Messi namun sudah terlambat menghalang kemaraan Perancis ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Korea Selatan hantar Jerman terbang pulang

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 28 JUN: Korea Selatan menyingkirkan Juara Piala Dunia 2014, Jerman 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F yang berlangsung penuh dramatik, semalam.

Dua jaringan daripada Young-Gwon Kim dan Heung-Min Son dalam tempoh enam minit masa tambahan di penghujung permainan sudah memadai menghantar Die Mannschaft pulang awal dalam kempen kali ini dengan rekod satu kemenangan serta dua kekalahan.

Lebih mengecewakan, Jerman mengakhiri saingan di tangga tercorot dan kali pertama tersingkir di peringkat kumpulan.

Keputusan itu sekali gus melegakan Mexico yang mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tangga kedua meskipun tewas 0-3 kepada Sweden.

Sweden menjuarai Kumpulan F dengan enam mata, kelebihan tiga jaringan di hadapan Mexico sementara Korea Selatan ketiga dan terakhir Jeman dengan tiga mata.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: Korea Selatan ‘bungkus’, Mexico mara

ROSTOV, Rusia 24 JUN: Pasukan Mexico meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan F di Arena Rostov.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil daripada Amerika Utara itu selesa mendahului peringkat kumpulan dengan enam mata selepas turut menewaskan juara bertahan, Jerman minggu lalu.

Nasib Korea Selatan pula berbeza apabila sah tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2018 selepas gagal mengutip sebarang mata pada dalam dua perlawanan.

Pada saingan tersebut, Mexico yang memiliki momentum luar biasa hasil kemenangan ke atas Jerman bermula cemerlang dengan meraih beberapa peluang keemasan menerusi trio serangan mereka, Javier Hernandez, Carlos Vela dan Hirving Lozano.

Pasukan yang dikenali dengan jolokan El Tri itu akhirnya meraih gol pembukaan menerusi Vela yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Jang Hyun-soo.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berusaha memperkemaskan jentera serangan dan meraih peluang terbaik menerusi ketua pasukan, Ki Seung-yeung pada minit ke-56 tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Mexico kemudian melebarkan kedudukan selepas Hernandez menjaringkan gol kedua dan ke-50 peribadinya di pentas antarabangsa dengan menyudahkan hantaran Lozano pada minit ke-66.

Korea Selatan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Son Hyeun-min pada masa kecederaan tetapi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER: KOSMO!

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kroos hidupkan peluang Jerman

SOCHI, Russia 24 JUN: Jaringan dramatik Toni Kroos pada lewat permainan memberi kemenangan 2-1 Jerman ke atas Sweden untuk menghidupkan harapan mereka layak ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2018.

Kroos melakukan sepakan lencong yang menarik untuk memberi tiga mata berharga buat juara dunia empat kali yang kini berkongsi mata bersama Sweden dalam Kumpulan F, tiga mata di belakang Mexico yang mengumpul enam mata.

Sweden mendahului pada minit ke-32 hasil jaringan Ola Toivonen yang mengambil kesempatan daripada kesilapan Kroos yang terlepas bola di bahagian tengah.

Marco Reus bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-48 selepas menyudahkan hantaran lintang Timo Werner.

Jerman terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jerome Boateng diperintah keluar padang pada minit ke-82, namun tetap berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Kroos pada masa kecederaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

WC2018: Hazard, Lukaku pacu Belgium ke pusingan kalah mati

MOSCOW 23 JUN: Belgium menjadi pasukan pertama Kumpulan G yang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas melakar kemenangan kedua dengan menewaskan Tunisia 5-2.

Skuad bimbingan Roberto Martinez itu sebelum ini turut mengutip tiga mata hasil kemenangan ke atas pendatang baharu Piala Dunia, Panama 3-0 dalam aksi sulung, Isnin lalu.

Dalam aksi di Stadium Spartak, Eden Hazard dan Romelu Lukaku membuktikan ketajaman penyudah mereka apabila masing-masing meledak dua gol selain satu gol disumbangkan Mischy Batshuayi.

Belgium tidak menunggu lama untuk mendahului selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pertahanan Tunisia, Syam Ben Youssef ke atas Hazard dan bintang Chelsea itu tenang menyempurnakannya bagi membolehkan anak buah Martinez di depan pada minit keenam.

Anak buah Roberto Martinez terus mempamerkan belang selepas Lukaku yang juga penyerang Manchester United meledak gol kedua pasukan itu apabila melakukan rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima lorongan daripada Dries Mertens pada minit ke-16.

Bagaimanapun, Tunisia berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi tandukan dilakukan Dylan Bronn yang menyambar sepakan percuma diambil kapten, Wahbi Khazri tetapi Lukaku sekali lagi membuktikan kehebatan apabila meledak gol kedua peribadi pada masa tambahan babak pertama bagi membolehkan Belgium mendahului 3-1.

Gol itu menyaksikan Lukaku setakat ini sudah merekodkan empat gol dalam dua perlawanan pada kempen Piala Dunia kali ini selepas turut menjaringkan dua gol ketika menentang Panama.

Bersambung babak kedua, Hazard meletakkan namanya sekali lagi sebagai penjaring pada minit ke-51 sebelum Batshuayi menyumbat gol kelima Belgium pada minit ke-90.

Tunisia bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya meraih gol kedua menerusi Khazri pada masa tambahan babak kedua tetapi jaringan itu sudah terlambat bagi menghalang kemenangan bergaya Belgium.

SUMBER: AGENSI

Categories
SUKANKINI

WC2018: Shaqiri bantu Switzerland atasi Serbia

OLEH HAFIZAN TAIB

KALININGRAD, 23 JUN: Jaringan lewat Xherdan Shaqiri membantu Switzerland mengalahkan Serbia 2 – 1 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia di sini.

Penyerang Stoke City itu mengambil peluang pada minit akhir perlawanan dengan mengatasi pertahahan lawan dan penjaga gol, Vladimir Stojkovic menerusi sepakan bagi memastikan kemenangan pasukannya.

Serbia sebelum itu memberi cabaran dengan gol seawal minit kelima melalui Aleksandar Mitrovic yang menjadikan perlawanan menarik dengan kedua pasukan meningkat serangan balas.

Switzerland menyamakan kedudukan apabila pemain Arsenal, Granit Xhaka memperoleh gol tujuh minit bermula separuh masa kedua dengan satu rembatan tepat.

Kemenangan Switzerland menjadikan peluangnya terbuka luas dalam Kumpulan E untuk ke peringkat seterusnya.

Switzerland dan Brazil kini mengumpul emat mata manakala Serbia (tiga), akan berdepan Costa Rica yang sudah tersingkir dalam aksi selepas ini.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Dua gol Ahmed Musa ‘cairkan’ Iceland

OLEH HAFIZAN TAIB

VOLGOGRAD, 23 JUN: Nigeria menewaskan Iceland 2 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D bagi menghidupkan peluang dalam saingan pada Piala Dunia 2018.

Kedua-dua gol Ahmed Musa pada minit ke-49 dan 75 mengubah nasib pasukan Afrika itu yang kalah 0 -2 kepada Croatia dalam perlawanan awal.

Penyerang Leicester City itu memecah kebuntuan dalam empat minit separuh masa kedua dengan jaringan gol selepas menyempurnakan hantaran Victor Moses.

Musa sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua selepas memperdaya pertahanan Iceland, Kari Arnason melalui sepakan deras dari luar kotak penalti.

Pada minit ke 80, Iceland berpeluang merapat jurang apabila mendapat penalti namun Gylfi Sigurdsson menyepak melepasi palang gol.

Dari dua perlawanan, Nigeria kini mengumpul tiga mata dan akan berdepan Argentina bagi penentuan ke peringkat 16 terakhir.

Iceland dengan satu mata pula akan membuat perhitungan dengan Croatia (enam) yang kini mendahului kumpulan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

WC2018: Jaringan Coutinho, Neymar hidup peluang Brazil

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 23 JUN: Brazil memerlukan masa tambahan dengan jaringan Philippe Coutinho dan Neymar bagi mengatasi Costa Rica 2 – 0.

Kemenangan pertama dari dua perlawanan itu memberi kelebihan kepada juara lima kali Piala Dunia itu manakala cabaran Costa Rica pada kejohanan itu telah berakhir.

Ketika perlawanan kelihatan akan berakhir dengan seri, pemain Barcelona, Coutinho mengubahnya dengan tandukan tepat menerjah jaring pada minit pertama masa kecederaan menewaskan penjaga gol, Keyco Navas.

Neymar selepas itu memastikan Brazil selesa dengan gol kedua enam minit kemudian bagi menafikan Costa Rica yang cuba bangkit dari ketinggalan.

Kemenangan membolehkan Brazil mengumpul empat mata dari dua perlawanan Kumpulan E selepas seri 1 – 1 bertemu Switzerland dalam aksi perbukaan dan akan berdepan Serbia untuk penentuan selepas ini.

Costa Rica pula yang tewas kepada Serbia dalam aksi pertama, akan menentang Switzerland.

Categories
SUKANKINI

Croatia menang, Argentina berdepan laluan sukar

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 22 JUN: Croatia mengalahkan Argentina 3 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D di sini sekali gus melangkah ke peringkat 16 terakhir dalam Piala Dunia 2018.

Croatia mengenepikan cabaran juara Piala Dunia dua kali itu menerusi gol jaringan Ante Rebic, Luka Modric dan Ivan Rakitic pada separuh masa kedua perlawanan.

Rebic menjaringkan gol hasil kesilapan penjaga gol, Willy Caballero melalui satu hantaran ke belakang, dengan percubaan tepat pada minit ke 53.

Manakala ketua pasukan, Modric, menyumbat gol kedua dengan rembatan deras di luar kotak penalti pada sepuluh minit terakhir diikuti Rakitic dalam masa tambahan.

Persembahan berkesan Croatia banyak dibantu bahagian tengah dikemudi Modric bersama Rakitic dan Marcelo Brozovic yang menafikan Argentina walaupun turun dengan bintang Barcelona, Lionel Messi.

Kemenangan kedua selepas mengatasi Nigeria dalam perlawanan awal memastikan tempat Croatia ke peringkat kalah mati.

Manakala Argentina yang seri dengan Iceland sebelum ini berdepan jalan sukar dan perlu mencatat kemenangan ketika bertemu Nigeria bagi menghidupkan peluang.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Senegal menang, atasi cabaran Poland

OLEH HAFIZAN TAIB

VOLGOGRAD, 20 JUN: Pasukan Afrika, Senegal mengatasi cabaran Poland dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan H Piala Dunia, di sini.

Ia permulaan memberangsangkan bagi Senegal dengan catatan kemenangan buat Afrika dalam kejohanan itu.

“Ia kemenangan pemnuh makna. Kami turun untuk Senegal dan saya kira kini Afrika juga menyokong kami,” kata jurulatih, Aliou Cisse dipetik AFP.

Senegal mendapat gol awal, pada minit ke-37 hasil jaringan sendiri Thiago Cionek yang menyaksikan Poland cuba bangkit selepas itu.

Separuh masa kedua, pasukan Aliou Cisse terus mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua melalui M’Baye Niang (m60).

Grzegorz Krychowiak mendapatkan gol tunggal Poland empat minit sebelum permainan tamat.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Jepun benam Colombia 2-1

OLEH HAFIZAN TAIB

SARANSK, 20 JUN: Jepun bermula dengan langkah kanan apabila mengalahkan Colombia 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H Piala Dunia, di Mordovia Arena, di sini.

Kemenangan itu menjadikan Japun sebagai pasukan pertama dari Asia menundukkan pasukan Amerika Selatan dalam Piala Dunia.

Shinji Kagawa meletakkan Jepun di hadapan, pada minit keenam dengan jaringan penalti apabila Carlos Sanchez melakukan kesilapan tertampan bola dengan tangan.

Kad merah dikenakan ke atas Sanchez merubah permainan Colombia yang terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain bagi mengekang asakan pasukan lawan.

Bagaimanapun, Juan Quintero (m39) menceriakan Colombia seketika dengan gol penyamaan hasil tendangan bebas, namun jaringan Yuya Osako (m73) memastikan kemenangan buat Jepun.

“Pemain beraksi dan menguasai permainan dengan baik. Kami berjaya dengan kemenangan dan ia permulaan baik untuk pasukan,” kata jurulatih Jepun, Akira Nishino dipetik AFP.