Categories
SUKANKINI

Belgium mula langkah kanan tewaskan Panama 3-0

MOSCOW 19 JUN: Kehebatan individu berjaya memecahkan pertahanan Panama namun bagi jurulatih Belgium, Roberto Martinez kemenangan 3-0 itu mengukuhkan pasukannya yang memburu gelaran Piala Dunia.

Jaringan voli Dries Mertens dua minit pada separuh masa kedua amat penting untuk melegakan tekanan ketika Belgium mencatat tujuh perlawanan pertama Piala Dunia berturut-turut tanpa sebarang gol pada separuh masa pertama.

“Ia memberi anda ruang untuk bernafas,” kata Martinez.

“Saya dapat rasakan pada detik itu, kami menjadi diri sendiri dan lebih mengawal perlawanan.”

Jaringan berganda Romelu Lukaku, yang dibantu Eden Hazard dan Kevin De Bruyne, menamatkan saingan pasukan Amerika Tengah itu pada penampilan pertama di Piala Dunia.

Namun Martinez yang dibawa masuk dua tahun lalu untuk menamatkan era generasi emas The Red Devils yang kurang menyerlah turut memuji komitmen penyerangnya untuk kembali bertahan.

“Tiada perlawanan yang mudah,” kata beliau yang memuji kekebalan pertahanannya ke atas Panama yang akan menentang England dan Tunisia selepas itu.

“Kami agak gementar tetapi saya gembira dengan corak pertahanan kami.

“Anda pastinya lebih berbangga apabila mereka beraksi sebagai satu pasukan dan semua orang menunjukkan kesediaan mereka untuk membantu,” kata jurulatih Sepanyol itu yang berjaya membentuk pasukan dibarisi pemain bintang dengan idea yang pernah digunakan untuk pasukan bawahan seperti Everton dan Wigan Athletic dalam Liga Perdana Inggeris.

“Ia satu detik terbaik untuk membuktikan kematangan. Ia satu detik untuk membuktikan ketenangan dan penyatuan pasukan,” kata beliau.

“Saya gembira dengan komitmen setiap pemain.”

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

WC2018: Penalti Andreas Granqvist beri tiga mata buat Sweden

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 18 JUN: Sweden memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil asia, Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan F.

Aksi babak pertama yang berakhir tanpa jaringan menyaksikan penjaga gol Korea Selatan, Hyun-Woo Cho mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menafikan beberapa percubaan Sweden.

 

Tetapi kekebalan Woo Cho akhirnya lebur pada minit ke-66 selepas Andreas Granqvist menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan Sweden mendahului 1-0.

Min-Woo Kim melakukan kesilapan dua minit sebelum itu apabila mengasari Viktor Claesson dalam kotak penalti.

Selepas menyaksikan ulang tayang menerusi sistem VAR, pengadil Joel Aguilar mengubah keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti yang membolehkan Sweden mendahului permainan.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Pasukan Iran tanpa kasut Nike

MOSCOW 18 JUN: Pasukan bola sepak Iran berdepan dilema semasa menyertai kejohanan Piala Dunia di Moscow berikutan pemain-pemainnya yang memakai jenama popular Amerika Syarikat (AS), Nike terpaksa membeli but sendiri.

Perkembangan itu berlaku apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan baharu ke atas Iran selepas membatalkan perjanjian nuklear dengan Teheran.

Berikutan itu, gergasi pakaian dan peralatan sukan, Nike terpaksa menarik balik bekalan but kepada pasukan Iran.

Pada 8 Mei lalu, Trump mengumumkan pengunduran AS daripada perjanjian nuklear tersebut dengan alasan bahawa Iran meneruskan aktiviti nuklear dan menyokong keganasan.

“Sejak perjanjian nuklear ini dimeterai pada 2015, cita-cita nuklear Iran semakin terserlah,” kata Trump.

Pelaksanaan sekatan baharu tersebut menyebabkan banyak syarikat mengambil keputusan menggantung urus niaga dengan Iran dengan Nike menjadi antara syarikat terbesar berbuat demikian.

Namun, tiga pemain Iran iaitu Sardar Azmoun, Masoud Shojaei dan Ramin Rezaeian kelihatan masih memakai but Nike di padang. Iran yang berada dalam Kumpulan B, menewaskan Maghribi 1-0 dalam perlawanan pembukaannya.

Tindakan oleh Nike itu juga mencetuskan kemarahan pengurus pasukan Iran, Carlos Queiroz menjelang perlawanan sulung anak buahnya itu.

Beberapa pemain Iran dilihat memakai but Nike semasa sesi latihan di bandar raya Saint Petersburg Khamis lalu tetapi mereka membelinya sendiri daripada kedai barangan sukan Rusia.

“Sekatan AS bermakna bahawa sebagai sebuah syarikat AS, Nike tidak lagi boleh membekalkan but kepada pasukan Iran pada masa ini,” kata pasukan bola sepak Iran dalam satu kenyataan seperti laporan saluran sukan ESPN.

Syarikat yang melanggar sekatan itu boleh dikenakan denda berat di AS. –

SUMBER: Agensi

Categories
SUKANKINI

Osorio dedah rahsia kemenangan Mexico, bermain untuk menang

MOSCOW 18 JUN: Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendedahkan kejayaan anak buahnya menewaskan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam aksi sulung Piala Dunia adalah hasil daripada perancangan yang dilakukan selama enam bulan.

Selain itu, dia turut memberitahu pemainnya agar menerapkan mentaliti bermain untuk menang berbanding takut untuk kalah.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu, kami dapat menukar beberapa bahagian disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Hirving Lozano (penjaring gol kemenangan) kerana dia adalah pemain yang pantas. Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” kata Osorio.

Pengendali dari Colombia itu memuji kesungguhan ditunjukkan pemainnya dan turut memberitahu kepada media beliau sanggup bertanggungjawab di atas semua kritikan dilemparkan.

Osorio berkata beliau cuba untuk melindungi pemainnya daripada kritikan bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

“Kata-kata semangat digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah. Saya cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

“Mereka bersaing dengan baik dan mereka bertahan seperti menyelamatkan hidup mereka. Jika kami menang, kredit perlu diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya…itulah dunia bola sepak,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

Brazil nyaris dimalukan Switzerland

ROSTOV-ON-DON, Russia 18 JUN: Jaringan pemain tengah Switzerland, Steven Zuber menerusi tandukan pada babak kedua berjaya memadam gol pendahuluan dijaringkan Philippe Coutinho bagi mengikat juara dunia lima kali, Brazil 1-1 dalam aksi sulung Kumpulan E Piala Dunia.

Pemain tengah Barcelona, Coutinho berjaya meletakkan Brazil di depan apabila membuka tirai jaringan menerusi sepakan lencong menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-20.

Bagaimanapun, Switzerland yang dilihat kurang menyerlah di jentera serangan pada babak pertama kembali bangkit dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Zuber berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-50.

Coutinho mempunyai peluang terhidang bagi meledak gol kedua peribadi dalam perlawanan itu tetapi percubaannya tersasar sebaik babak kedua bersambung.

Keputusan seri itu menyaksikan Serbia kini memimpin carta Kumpulan E selepas berjaya meraih tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Costa Rica dalam perlawanan yang berlangsung sebelum itu.

SUMBER: REUTERS

FOTO: AFP

Categories
SUKANKINI

WC2018: Mexico buat kejutan tumbangkan Jerman

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Mexico mempamerkan aksi luar biasa apabila menewaskan juara Piala Dunia 2014, Jerman 0-1 hasil jaringan tunggal Hirving Lozano pada aksi pertama Kumpulan F awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlos Osorio terlebih dahulu menguji pertahanan Jerman menerusi Hirving Lozano pada minit kedua tetapi rembatannya berjaya dihalang Jerome Boateng.

Seminit kemudian, Timo Werner turut mencuba menerusi rembatan kencang namun melintasi gawang gol Mexico.

Jerman kembali menerusi gerakan Mats Humells tetapi rembatannya didakap kemas penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa pada minit kelapan.

Hector Herrera turut mencuba memecah kebuntuan di minit ke-11 tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Neuer sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tandukan Hector Moreno hasil sepakan percuma Miguel Layun pada minit ke-15.

Werner turut mencuba buat kali kedua di minit ke-19 dan disusuli rembatan kaki kiri Toni Kross selang tiga minit kemudian namun ia tepat ke dakapan Ochoa di gawang Mexico.

Corak permainan pantas yang dipamerkan Mexico akhirnya berjaya memerangkap pertahanan Jerman apabila Lozano membuka tirai jaringan 0-1 pada minit ke-35.

Berpunca daripada tolakan Javier Hernandez, Lozano yang melakukan larian di sebelah kiri memperdaya pertahanan Jerman sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Neuer.

Jerman hampir menyamakan kedudukan di minit ke-39 menerusi sepakan percuma Kross tetapi berjaya ditampan Ochoa lalu singgah ke palang gol.

Bersambung babak kedua Jerman menggandakan asakan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-58 menerusi rembatan Thomas Muller yang berjaya ditepis Ochoa tetapi beliau terlebih dahulu didapati offside.

Joshua Kimmich melakukan sepakan gunting menarik pada minit ke-65 hasil hantaran Boateng tetapi sekadar melewati gawang gol Mexico.

Pemain gantian, Marco Reus turut mencuba pada minit ke-71 tetapi sepakannya gagal menepati sasaran.

Kross mencuba sekali lagi di minit ke-75 tetapi sekadar singgah disisi gawang Mexico.

Mexico yang sekali sekala menyerang hampir mengancam kubu Jerman tetapi percubaan Layun melambung tinggi di minit ke-77.

Layun sekali lagi menghampakan Mexico di minit ke-81 apabila gagal melepaskan rembatan tepat menerusi satu serangan balas pantas.

Ochoa terus mempamerkan kecemerlangan apabila muda mengawal rembatan Kross di minit ke-84 bagi kedudukan semasa kekal 0-1.

Mario Gomez yang masuk menggantikan Werner juga gagal menemui penyudah apabila gagal menanduk tepat di minit ke-88.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kolarov pastikan kedukaan buat Costa Rica

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 18 JUN: Jaringan tunggal Aleksandar Kolarov menjadi pemisah antara duapasukan dalam aksi Kumpulan E yang menyaksikan Serbia menewaskan Costa Rica 0-1.

Costa Rica berpeluang membuka tirai jaringan awal minit kedua menerusi Marco Urena tetapi gagal menemui penyudah.

Peluang sama turut diperoleh Serbia menerusi Aleksandar Kolarov lima minit kemudian namun dipersiakan.

Hampir setengah jam permainan, Serbia sepatutnya di hadapan 1-0 jika Sergej Milinkovic-Savic tidak berada dalam keadaan offside apabila percubannya dibatalkan selain diselamatkan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.

 

Bersambung babak kedua, Kolarov akhirnya menebus kehampaan apabila menjaringkan gol pertama Serbia pada minit ke-57.

Berpunca daripada satu sepakan percuma, Kolarov yang juga pemain Roma memastikan bola terus menerjah ke jaring tanpa mampu ditampan Navas di gawang Costa Rica bagi kedudukan 0-1.

Costa Rica cuba mengasak mencari gol penyamaan tetapi kekebalan benteng pertahanan Serbia menafikan peluang mereka.

Dipenghujung permainan berlaku pertelingkahan antara Nemanja Matic dan pegawai Costa Rica yang enggan memberikan bola hingga memaksa pembantu pengadil keempat meleraikannya.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

 

Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Croatia lakar kemenangan selesa 2-0

KALININGRAD, Russia: Gol sendiri dan sepakan penalti memberikan Croatia kemenangan selesa pada aksi pertama Kumpulan D kempen Piala Dunia apabila menewaskan Nigeria 2-0 di Stadium Kaliningrad.

Tandukan terbang Mario Mandzukic yang kemudiannya terkena pemain tengah Nigeria, Oghenekaro Etebo pada minit ke-32 membolehkan Croatia mendahului perlawanan.

Manakala gol kedua diperolehi meneruso Luka Modric apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71.

Croatia meraih sepakan penalti itu selepas pertahanan Nigeria, William Troost-Ekong mengasari Mandzukic di hadapan pengadil perlawanan di dalam kotak penalti.

Kemenangan ke atas Nigeria menyaksikan Croatia kini berada di tangga teratas Kumpulan D selepas Argentina terikat 1-1 dengan Iceland di Moscow dalam perlawanan terdahulu.

FOTO SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

WC2018: Jaringan tunggal Yussuf Poulsen lebur kesungguhan Peru

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Denmark melakar kemenangan penuh berharga apabila menewaskan Peru 0-1 dalam aksi Kumpulan C awal pagi tadi.

Peru menguasai babak pertama dengan menggerakkan serangan mencari jaringan awal dan peluang terbaik hadir menerusi percubaan Luis Advincula pada minit ke-13 tetapi penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel bertindak cemerlang merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Jefferson Farfan turut berpeluang untuk menguji gawang Denmak tetapi rembatannya hasil lorongan Andre Carrillo berjaya dihalang pertahanan di minit ke-29.

Denmark yang sesekali menyerang berjaya memperoleh peluang terbaik menerusi rembatan Lasse Schiene pada minit ke-40 tetapi penjaga gol Peru, Pedro Gallese berjaya mengawal keadaan.

Di penghujung babak pertama, Peru memperoleh sepakan penalti apabila Yussuf Poulsen mengasari Christian Cueva selepas pengadil, Bakary Papa Gassama melihat ulang tayang menerusi sistem VAR.

Cueva yang mengambil sepakan itu gagal menemui penyudah sebaliknya merembat bola melepasi gawang gol bagi mengakhiri babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Denmark akhirnya dihadapan 0-1 pada minit ke-59 hasil jaringan Yussuf Poulsen selepas tenang melepasi perangkap offside hasil umpanan Christian Eriksen.

Peru cuba bangkit seminit kemudian menerusi Edison Flores hasil satu serangan balas pantas tetapi Schmeichel lebih cemerlang menghalang percubaan itu.

 

Farfan mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang dalam tempoh lima minit tetapi gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Jose Paolo Guerrero turut berpeluang merobek gawang Denmark tetapi kuisan bola ke belakangnya sedikit melepasi sasaran.

Farfan sekali lagi melepaskan peluang terbuka di hadapan gawang Denmark apabila rembatannya di minit ke-84 berjaya dikeluarkan di atas garisan gol.

Eriksen hampir menggandakan jaringan 0-2 buat Denmark terapi Gallese bertindak cemerlang menghalang rembatannya.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kegagalan Messi buat Argentina berkongsi satu mata

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Kegagalan Lionel Messi menyempurnakan sepakan penalti pada pertengahan babak kedua mengakibatkan Argentina terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 menentang Iceland.

Dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Dunia 2018, Sergio Aguero meletakkan Argentina dihadapan 1-0 pada minit ke-19 selepas menyempurnakan percubaan awal Marcos Rojo.

 

Selang empat minit kemudian, Alfren Finnbogason menyamakan kedudukan 1-1 buat Iceland apabila berjaya melepaskan rembatan susulan bola yang gagal didakap kemas penjaga gol, Wilfred Caballero hasil percubaan awal Gylfi Sigurdsson.

Bersambung babak kedua, Argentina sepatutnya di hadapan pada minit ke-64 selepas pemain pertahanan Iceland, Horrdun Magnusson mengasari Maximiliano Meza dalam kotak penalti.

 

Bagaimanapun, Messi gagal meletakkan bola ke jaring lawan sebaliknya penjaga gol Iceland, Hannes Thor Halldorsson berjaya menepis sepakan penyerang Barcelona itu.

Argentina cuba melakar beberapa peluang selepas itu tetapi gagal menemui penyudah.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Jaringan Pogba hadiah 3 mata buat Perancis

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Perancis memulakan saingan Kumpulan C Piala Dunia 2018 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Australia 2-1.

Jaringan minit ke-80 pemain tengah, Paul Pogba menjadi pisah kedua-dua pasukan selepas berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Perancis terlebih dahulu dihadiahkan sepakan penalti selepas Joshua Risdon menghalang gerakan Antoine Griezzmann pada minit ke-57.

Penyerang Altletico Madrid itu mudah menyempurkannya bagi menewaskan penjaga gol, Mathew Ryan.

Selang lima minit kemudian, kesilapan Samuel Umtiti yang menampan bola menggunakan tangan mengundang padah apabila menghadiahkan sepakan penalti buat Australia.

Mile Jedinak memastikan gol penyamaan buat Australia dalam perlawanan yang berlangsung seimbang buat kedua-dua pasukan.

Usaha juara dunia 1998 itu akhirnya membuahkan hasil apabila tolakan Paul Pogba pada minit ke-80 berjaya melepasi garisan gol walaupun melantun keluar untuk jaringan kedua Perancis.

Pemain Australia cuba membantah keputusan berkenaan tetapi berdasarkan teknologi garisan gol menunjukkan bola sudah melepasi garisan.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Rusia garang belasah Arab Saudi 5-0

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 15 JUN: Rusia membuka tirai Piala Dunia 2018 dengan penuh bergaya apabila membelasah Arab Saudi 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Luzhniki awal pagi tadi.

Selaku tuan rumah, Rusia tidak menunggu lama untuk di hadapan 1-0 menerusi tandukan Yuri Gazinsky pada minit ke-12 hasil hantaran lintang Aleksandr Golovin.

Fedor Smolov hampir menjadikan kedudukan 2-0 buat Rusia selang tiga minit kemudian tetapi percubaannya ditepis keluar penjaga gol Arab Saudi, Abdullah Al Muaiouf.

Arab Saudi juga berpeluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-22 tetapi usaha Muhammad Al-Sahlawi dihalang pertahanan lawan.

Malang buat tuan rumah apabila kehilangan khidmat tonggak serangan, Alan Dzagoev pada minit ke-24 susulan kecederaan hamstring dan digantikan oleh Dennis Cheryshev.

Keadaan itu tidak melunturkan semangat Rusia apabila Cheryshev membalas kepercayaan pasukan apabila menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.

Berpunca daripada hantaran Roman Zobnin ke dalam kotak penalti, Cheryshev tenang mengawal bola walaupun diasak tiga pertahanan Arab Saudi sebelum melepaskan rembatan kaki kiri.

Bersambung babak kedua, Rusia terus bernafsu menambah jaringan 3-0 hasil tandukan pemain gantian Artem Dzyuba pada minit ke-71.

Golovin yang menjadi penggerak pada jaringan pertama terus mempamerkan kecemerlangan apabila hantarannya berjaya disudahkan Dzyuba menerusi tandukan cantik walaupun baru dimasukkan seminit sebelum itu bagi menggantikan Fedor Smolov.

Menuju minit akhir permainan, Cheryshev mempamerkan kecemerlangan sekali lagi apabila menghadiahkan gol keempat Rusia menerusi rembatan cantik kaki kiri yang terus menerjah jaring menewaskan Abdullah.

Golovin memastikan hari gemilang Rusia dengan gol kelima pada penghujung permainan hasil sepakan percuma.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup