Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama Shopee, Lazada bantu peniaga kompleks PKNS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan bekerjasama dengan Shopee dan Lazada bagi mempromosikan produk peniaga di Kompleks PKNS Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dicadangkan berikutan penyedia platform e-dagang itu menjadi trend pembelian pada masa kini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjelaskan penganjuran jualan penghabisan stok juga boleh dirancang sebagai langkah membantu peniaga berkenaan.

“Kursus-kursus perniagaan secara dalam talian juga boleh diberikan kepada peniaga sebagai persediaan bagi menjalankan perniagaan di waktu pendemik ini,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga dapat terus menjalankan perniagaan pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada 23 Jun lalu, Amirudin mengumumkan empat kempen e-dagang Kerajaan Negeri menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri serta RM144.7 juta jualan terus.

Kempen dengan kerjasama Shopee dan Lazada yang membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI, PKNS belanja RM9.13 juta laksana program agama, sosial

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi dua anak syarikatnya membelanjakan sebanyak RM9.13 juta bagi melaksanakan program sosial dan kemasyarakatan setakat Julai.

Dato’ Menteri Besar berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan RM4.15 juta bagi program keagamaan, pendidikan (RM2.68 juta), sosial (RM1.05 juta) dan bencana (RM834,953.58).

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan sebanyak RM1 juta bagi program sumbangan kardiovaskular rawatan jantung Institut Jantung Negara.

“Antara jumlah terbesar yang dibelanjakan ialah sumbangan masjid menerusi program Jelajah Ramadan Kita Selangor iaitu RM1.2 juta dan pembaikan bumbung bangunan mangsa ribut Bandar Baru Salak Tinggi dan Mukim Labu RM470,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 26 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI

“Selain itu, inisiatif bantuan makanan di pusat pemberian vaksin (PPV) sebanyak RM212,000 dan baucar makanan runcit kepada kelompok terkesan sejumlah RM150,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berhubung sumbangan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Turut dibelanjakan ialah bakul makanan sebanyak RM539,100 dan bantuan tablet bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah serta pusat kuarantin dan PPV memerlukan.

Sementara itu, Amirudin berkata anak syarikat negeri sedang meneroka bidang kalis bencana antaranya pemulihan dan pengurusan sisa pepejal yang mampu menyelamatkan alam sekitar.

Beliau menjelaskan langkah itu membolehkan Kerajaan Negeri meraih pendapatan konsisten untuk terus melaksanakan program tanggungjawab sosial.

“Worldwide Holdings Berhad kini terlibat dengan sektor pemulihan dan pengurusan sisa pepejal manakala Kumpulan Perangsang Selangor pula menguasai beberapa syarikat pembuatan besar dan mempunyai rangkaian dunia,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Festival Ramadan dapat sambutan, peniaga jana pendapatan semula

SHAH ALAM, 29 APRIL: Festival Ramadan Selangor (Festira) yang kembali diadakan tahun ini di tiga lokasi mendapat sambutan menggalakkan.

Pemangku pengurus pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata berdasarkan kehadiran pengunjung, pihaknya yakin peniaga mampu meraih pendapatan tinggi.

“Bermula minggu hadapan, operasi perniagaan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam manakala minggu terakhir Ramadan hingga jam 2 pagi kerana kita yakin lebih ramai akan berkunjung.

“Langkah ini memudahkan orang awam mendapatkan keperluan Aidilfitri selain mereka diberi banyak pilihan,” kata Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, sejak dilangsungkan pada 26 Mac, PREC memantau pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pengujung bagi mengekang penularan Covid-19.

“Penguat kuasa daripada Majlis Bandaraya Shah Alam, Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis sentiasa memantau operasi festival,” katanya.

Festira tahun ini berlangsung hingga 12 Mei di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall selain penjualan secara dalam talian di http://BazaarLokal.com.

Tahun lalu, Festira yang melibatkan kira-kira 1,100 lot gerai terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

500 peniaga sertai festival Ramadan termasuk jualan dalam talian

SHAH ALAM, 2 APRIL: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan Festival Ramadan Selangor (Festira) termasuk jualan dalam talian sejak 26 Mac hingga 12 Mei.

Dato’ Menteri Besar berkata seramai 500 peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall menyertai program itu yang turut dijalankan secara fizikal.

“Semua peniaga boleh menjual dan mempamer produk serta jualan mereka menerusi dua medium iaitu di lot gerai dan BazaarLokal.com. Langkah ini sebagai inisiatif membendung penularan Covid-19.

“Dengan adanya festival ini, ia memudahkan orang awam membuat persiapan menyambut puasa dan Aidilfitri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan BazaarLokal.com dan Festira 2021 di SACC Mall hari ini.

Menurutnya, jumlah peniaga Festira akan ditambah sekiranya mendapat permintaan dari kalangan peniaga.

“Mereka yang berdaftar akan mendapat rebat pembayaran sewa. Kita galakkan peniaga sertai program ini kerana mahu mereka terdedah dengan transformasi digital.

“Untuk jangka panjang, BazaarLokal.com akan digabungkan dengan platform sedia ada untuk pasaran lebih besar,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kedai Kompleks PKNS disusun semula, pastikan peniaga terima manfaat

SHAH ALAM, 14 MAC: Kedudukan kedai dalam Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal disusun semula bagi memastikan peniaga menerima manfaat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat kedudukan tapak peniaga yang kurang dikunjungi orang ramai sekali gus memberi kesan pada perniagaan mereka.

“Ada sudut yang lebih sesuai untuk dijadikan pejabat atau bengkel seperti jahitan. Jadi kita minta PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) untuk susun semula.

“Kita sudah keluarkan peruntukan untuk bahagian luar untuk tarik pengunjung. Untuk langkah segera Majlis Bandaraya Shah Alam akan beri kebenaran sesi promosi dijalankan di tingkat bawah bangunan itu untuk bantu mereka,” katanya selepas melakukan sesi ‘walkabout’ di kawasan berkenaan petang tadi.

Sementara itu, beliau memaklumkan semua peniaga di situ dibantu secara berperingkat memandangkan masalah dihadapi tidak sama.

“Ada yang perlukan modal, berdepan masalah kewangan. Semua ini kita akan teliti dan perhalusi selain melihat memorandum diserahkan mereka,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS jalin kerjasama IPT tempatan, perkukuh usahawan bidang perkhidmatan

SHAH ALAM, 13 JAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan jalinan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi memperkukuhkan usahawan dalam bidang perkhidmatan.

Pengurus pembangunan usahawannya berkata kolaborasi melibatkan penuntut atau graduan lepasan institut kemahiran mara, GiatMARA, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.

Yuzawati Yusof menjelaskan kepakaran dimiliki mereka dalam aspek pembersihan, pencucian, pengubahsuaian ruang dalaman bangunan dan pemotongan rumput diterapkan ke bidang perniagaan.

“Dua pendekatan diguna pakai sama ada mereka yang masih belajar di tahun akhir atau sudah tamat pengajian dan belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan.

“Kita akan kumpul dan dekati kesemua mereka bagi menjayakan pelaksanaan program ini. Mahasiswa mahupun graduan kemahiran serta perniagaan boleh kerjasama untuk membentuk sebuah perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diketuai EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail di Hotel De’Palma di sini semalam.

Yuzawati berkata pihaknya menyahut cabaran Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor perkhidmatan malah percaya mampu direalisasikan jika diberi sokongan berterusan.

Sementara itu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri meletak sepenuh kepercayaan terhadap perbadanan tersebut menggalas tanggungjawab untuk menerajui gig atau perkhidmatan khusus.

“Selain daripada aspek pendigitalan yang sebenarnya menjadi tonggak penting, ekonomi gig dalam industri pembinaan turut diberi perhatian kerana ini merupakan permulaan perjalanan kita di era norma baharu,” kata wakil rakyat Batu Tiga.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

PKNS optimis depani impak Covid-19, kekal daya saing

SHAH ALAM, 30 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis untuk kekal berdaya saing mendepani impak pandemik Covid-19 dalam sektor hartanah dengan menumpukan kepada pelaksanaan Pelan Strategi Pemulihan yang dilancarkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata ekoran ‘kesuraman’ sektor hartanah sejak tiga tahun lepas ditambah dengan impak pandemik Covid-19, antara cabaran terbesar dihadapi dalam penjualan hartanah pada masa kini adalah kadar pembatalan tempahan yang tinggi berikutan syarat kelulusan ketat pinjaman.

Siti Zubaidah Abd Jabar (dua, kiri) melihat model rumah yang dipamerkan ketika pelancaran kempen promosi 48 Jam Mesti Beli@Antara Gapi Antara Gapi. Foto BERNAMA

Kesannya kata Siti Zubaidah adalah, PKNS mencatatkan simpanan stok hartanah yang tinggi iaitu sebanyak 1,297 unit bernilai RM1.1 bilion pada awal tahun ini menyebabkan berlaku kelembapan aliran masuk tunai bagi perbadanan itu.

Bagaimanapun, dengan pelbagai usaha agresif dilakukan PKNS termasuk konsep pemasaran secara digital, sebanyak 53 peratus daripada jumlah stok hartanah itu berjaya dijual namun bakinya dilihat masih tinggi.

“Keadaan semasa memberi kesan sangat hebat terhadap semua industri termasuk sektor hartanah yang dilihat mengalami penurunan jualan sehingga 19 peratus.

“Bagi mempersiapkan perbadanan ini, kami mengambil langkah melakukan kajian komprehensif terhadap Pelan Strategik 10 Tahun yang bermula tahun ini dengan menghasilkan Pelan Strategik Pemulihan sebagai langkah menangani cabaran yang dijangka dihadapi pada tahun depan dan seterusnya bagi memulihkan kedudukan kewangan serta perniagaan PKNS,” katanya kepada Bernama.

PKNS Ambil Langkah Tingkat Prestasi Kewangan

Justeru, menerusi pelan pemulihan itu, PKNS mengambil langkah meningkatkan prestasi kewangannya secara sistematik termasuk berkemungkinan mencairkan beberapa aset sedia ada bagi menampung aliran keluar tunai untuk menjana semula pendapatannya.

Ia merupakan usaha perbadanan itu untuk menurunkan kos operasi bagi mengurus risiko kewangan dengan lebih baik dan efisen.

“Seterusnya, PKNS akan memperkasa pulangan pelaburan dengan teliti demi menjamin pendapatan pada masa depan dengan memastikan setiap anak syarikat dan projek penswastaan memberi pulangan pendapatan yang tinggi.

“Perbadanan juga akan memanfaatkan peluang sinergi Kumpulan PKNS sebagai sumber nilai tambah yang akan dijayakan menerusi enam langkah iaitu kerjasama pintar, inisiatif bersasar, dasar dan polisi bersama, pemantauan berterusan di peringkat anak syarikat, pelan perniagaan lebih jelas serta pembangunan bakat di peringkat kumpulan,” katanya.

Bangunkan Rumah Mampu Milik

Selain itu kata Siti Zubaidah, PKNS juga akan memperkasa pembangunan rumah mampu milik dengan kerjasama rakan strategik melalui Pelawaan Sebut Harga atau Permintaan untuk Cadangan; melaksanakan pembangunan bersasar khas bagi golongan M40 dan perumahan penjawat awam selain menambah simpanan tanah termasuk tanah rizab Melayu.

Katanya, tawaran khidmat perunding pinjaman oleh PKNS serta kerjasama dengan pihak bank turut dilihat dapat membantu pembeli khususnya golongan B40 memiliki rumah kediaman yang pada masa sama akan mengurangkan jumlah stok hartanah dibangunkan perbadanan itu.

Mengulas lanjut, Siti Zubaidah berkata walaupun sektor hartanah dikatakan akan pulih dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi namun PKNS percaya, kaedah pendigitalan hasil impak norma baharu kini adalah praktis terbaik untuk terus meningkatkan tahap kecekapan perbadanan itu selain mampu mengurangkan kos operasi.

Perhebat Konsep Jual Dan Bina

Selain itu katanya, PKNS juga akan memperhebatkan konsep Jual dan Bina untuk menggalakkan peralihan kepada teknologi moden supaya proses reka bentuk serta pembinaan dapat dipercepatkan, yang pada masa sama dapat mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti hartanahnya.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran baharu ekoran impak pandemik Covid-19, namun beliau yakin perancangan jangka pendek itu mampu menjadi ramuan terbaik dalam memperkukuhkan semula kedudukan kewangan perbadanan tersebut bagi mencapai aspirasi Pelan Strategik 10 Tahunnya.

Mengulas mengenai simpanan tanah pula, Siti Zubaidah berkata PKNS menyasarkan kawasan di daerah Sepang dan Hulu Selangor sebagai lokasi pembangunan baharunya.

“Fokus kami buat masa ini adalah di Sepang memandangkan rangka kerja ‘Selangor Business Capital’ sebagai hub perniagaan antarabangsa akan dibangunkan di situ.

“Ia dilihat sebagai potensi yang baik untuk PKNS membangunkan penempatan dan infrastruktur di Sepang bagi melengkapi rangka kerja berkenaan untuk menjadi tarikan pelabur dalam dan luar negara,” katanya.

Tekad Bangunkan Usahawan Tempatan Depani Covid-19

Dalam pada itu kata Siti Zubaidah, selain memperkasakan sektor hartanah, PKNS juga komited membantu usahawan tempatan mendepani impak Covid-19 dengan penganjuran Bazaar Lokal sebagai platform untuk merancakkan semula perniagaan golongan berkenaan.

Katanya, bazar secara dalam talian itu buat pertama kalinya diwujudkan oleh anak syarikat PKNS iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bagi membuka peluang kepada orang ramai berbelanja di pusat membeli-belah milik PREC.

PREC juga turut menyediakan servis sokongan, bimbingan dan informasi kepada peniaga yang kurang pengetahuan dan kemahiran bagi perniagaan secara dalam talian sebelum berdaftar dengan Bazaar Lokal.

Tambah beliau, sebuah lagi anak syarikat PKNS, Selangor Industrial Corporation (SIC) juga turut melancarkan portal SELDEC bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lengkap termasuk membolehkan orang ramai mendapatkan barangan segar secara terus dari luar bandar.

“SELDEC juga bekerjasama dengan Koperasi Hijrah dalam usaha untuk membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka menerusi fasiliti bantuan kewangan mencecah sehingga RM50,000 tanpa sebarang caj pendaftaran kepada usahawan yang berdaftar di portal mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 tidak jejas nilai jualan hartanah PKNS

SHAH ALAM, 16 DIS: Nilai jualan hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak terjejas di sebalik penularan Covid-19, kata ketua pegawai operasinya.

Suhaimi Kasdon berkata penurunan hanya berlaku sekitar Mac dan April ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kembali meningkat selepas Mei.

“Apabila pandemik berlaku, PKNS mengambil inisiatif baharu menarik pembeli melalui kaedah pemasaran dan jualan secara digital.

“Tahun ini kita sasar nilai melebihi RM643 juta dan setakat ini mencapai RM638 juta atau 99.3 peratus,” katanya pada sidang media promosi 48 Jam Mesti Beli Akhir Tahun 2020 di ibu pejabat PKNS hari ini.

PKNS melancarkan beberapa program termasuk secara digital bagi melonjakkan pembelian selepas PKP dikuat kuasa pada 18 Mac.

Antaranya 48 Jam Mesti Beli @ Online pada 20 dan 21 Jun, 48 Jam Mesti Beli @ Bernam Jaya (18 dan 19 Julai), 48 Jam PKNS Merdeka Bonanza (29 dan 30 Ogos) serta 48 Jam Mesti Beli @ Antara Gapi 2.0 (26 dan 27 September) melibatkan keuntungan RM48.4 juta.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Siti Zubaidah dilantik CEO baharu PKNS berkuat kuasa 2 Disember

SHAH ALAM, 1 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengumumkan pelantikan Siti Zubaidah Abd Jabar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 2 Disember ini.

PKNS dalam kenyataan media berkata Siti Zubaidah yang betugas selama 32 tahun di PKNS mengambil alih jawatan itu daripada Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain apabila tamat tempoh perkhidmatan hari ini.

Sebelum dilantik mengetuai PKNS, Siti Zubaidah merupakan Ketua Pegawai Operasi PKNS pada ketika ini dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan pemegang Certified International Professional Manager, The International Professional Managers Association United Kingdom.

Sebelum ini beliau berkhidmat merentasi pelbagai bahagian di PKNS dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Korporat PKNS pada 2017 selain bertanggungjawab merancang dan melaksana Pelan Strategik 10 tahun PKNS 2020-2030 di samping menjadi nadi penggerak utama dalam Pelan Halatuju Jangka Pendek dan Jangka Panjang PKNS sejak 20 tahun lalu.

Siti Zubaidah juga merupakan presiden wanita pertama di Malaysia bagi Kelab Bolasepak apabila beliau diberi kepercayaan mengemudi Kelab Bolasepak PKNS pada 2014 sebelum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Red Giant Sdn Bhd, syarikat swasta bagi Selangor FC mulai 2020.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Business Capital rangsang ekonomi, wujudkan bandar baharu

SHAH ALAM, 3 NOV: Projek Selangor Business Capital (SBC) di Cyberjaya bakal mewujudkan bandar baharu di selatan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tersebut turut mempercepat pembangunan pelbagai infrastruktur moden yang menjadi asas kewujudan kawasan baharu.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pihak yang membangunkan pusat ekonomi baharu ini akan memohon kebenaran merancang pada suku pertama tahun depan.

“Kita yakin SBC bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negeri serta negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin berhubung status SBC pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang menilai rakan strategik serta pelabur berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan.

“Kita bercadang mengadakan prapelancaran dalam tempoh terdekat, kemudian kita boleh kenal pasti pelabur berpotensi yang berminat menyertai pembangunan SBC.

“Pembangunan projek tersebut sepatutnya dimulakan tahun ini, namun penularan Covid-19 menjejaskan perancangan yang dilakukan,” kata beliau lagi.

SBC yang dibangunkan oleh PKNS di atas tanah seluas 56 hektar berada di lokasi strategik antara
Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS: Satu kes positif Covid-19 di pangsapuri Kristal Heights

SHAH ALAM, 21 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memaklumkan satu kes positif Covid-19 dikesan di Pangsapuri Kristal Heights di Seksyen 7 di sini pada Isnin lepas.

Menurut kenyataan PKNS hari ini, pesakit berumur 31 tahun itu disahkan positif Covid-19 hasil ujian swab yang dilakukan di sebuah hospital swasta di Shah Alam dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Pengesanan kes positif di lokasi itu telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan. Ujian saringan pertama ke atas kesemua kontak rapat pesakit berkenaan didapati negatif dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di kediaman masing-masing.

“Pihak pengurusan Pangsapuri Kristal Heights akan menutup sementara kemudahan bersama di kediaman berkenaan termasuk dewan serba guna, taman permainan, gimnasium dan kolam renang hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” demikian menurut kenyataan tersebut.

PKNS menyatakan proses sanitasi di kawasan guna sama pangsapuri berkenaan termasuk lif dan tangga kecemasan akan dilaksanakan bermula esok bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Perbadanan itu turut menasihati penduduk pangsapuri tersebut supaya bertenang dan mematuhi tatacara operasi piawai dengan menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka.

Pangsapuri Kristal Heights Seksyen 7 Shah Alam adalah antara projek perumahan yang dibangunkan oleh PKNS.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,027 pesakit terima manfaat skim rawatan jantung

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seramai 1,027 pesakit jantung menjalani rawatan di bawah Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor (SRJNS) dengan pembiayaan RM15.9 juta sejak dua tahun lalu.

Pengurus SelCare Management Sdn Bhd Shafique Danial Johari berkata seramai 518 pesakit menerima rawatan secara percuma pada 2018 membabitkan kos RM9.8 juta.

“Pesakit yang mendapat manfaat skim ini pada 2019 pula seramai 333 orang dengan nilai keseluruhan RM4,395,782.45, manakala untuk tahun ini seramai 176 pesakit direkodkan setakat ini membabitkan kos RM1,741,882.62.

“Bagaimanapun, jumlah untuk tahun ini sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di hospital,” katanya kepada SelangorKini.

SRJNS dilancarkan pada 26 Februari 2018 dengan menawarkan rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Skim yang dibiayai Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi khidmat kesihatan bersepadu kepada rakyat memandangkan kos rawatan bagi penyakit ini semakin meningkat.