Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat aliran peningkatan minggu depan berikutan pertambahan permintaan terhadap komoditi itu susulan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata industri sarung tangan getah terus menerima pesanan yang besar di peringkat antarabangsa, menyebabkan permintaan ke atas lateks pukal meningkat.

“Banyak industri kembali beroperasi seperti biasa dan apabila China meningkatkan operasi kilang-kilang dan logistik mereka, permintaan terhadap getah turut melonjak.

“Sebarang tindakan oleh industri berasaskan getah misalnya tayar untuk kenderaan bermotor sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap komoditi itu memandangkan permintaan terbesar penggunaan getah adalah untuk tayar kereta,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan dagangan bercampur-campur berikutan para peniaga terus tidak memasuki pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China, berikutan peniaga kembali ke pasaran selepas cuti umum panjang di China dan Jepun.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 3.5 sen kepada 4645.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 12 sen kepada 423.0 sen sekilogram.

Pasaran tempatan akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul al-Quran yang jatuh pada Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor setuju ekonomi dibuka tapi perlukan masa

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor menyambut baik langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), namun terikat dengan masa singkat untuk melaksanakannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti tatacara operasi piawai (SOP) PKPB sebelum membenarkan semua sektor beroperasi bermula 4 Mei lalu.

“Kita tiada masa (cukup untuk meneliti SOP), sebab itu Kedah hanya laksanakan hari ini (semalam) dan Kelantan pada Jumaat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Dalam mesyuarat terakhir, kita tidak dibentangkan satu persatu kerana ia (SOP) tebal dan kita faham, justeru wajar beri masa. Perbincangan dengan Perdana Menteri juga beri ruang untuk kita sesuaikan dengan sekeliling, persekitaran, daerah dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual bersama Astro Awani melalui Skype malam tadi.

Pada 3 Mei lalu, Selangor mengumumkan pengubahsuaian garis panduan PKPB bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi bermula 4 Mei.

PKPB Diubahsuai hasil runding cara membabitkan Majlis Keselamatan Negara Selangor, Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor dan pihak berkuasa tempatan.

Antara diputuskan ialah restoran, penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tetapi terhad kepada urusan bawa pulang dan penghantaran manakala peniaga tanpa premis hanya boleh beroperasi selepas 12 Mei.

Selain itu, industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19.

Bagi sektor sosial, orang awam boleh melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan seimbang aspek kesihatan, ekonomi sebelum longgar PKP

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Keseimbangan dari segi keperluan kesihatan dan ekonomi menjadi pertimbangan kerajaan sebelum melonggarkan beberapa aspek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dilaksanakan dalam PKP fasa lima iaitu PKP Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika dilihat keadaan ekonomi negara akibat PKP fasa pertama, kerugian kepada negara adalah besar iaitu RM2.4 bilion sehari.

“Sepuluh hari sudah RM24 bilion… sekarang dah lebih 40 hari (PKP dilaksanakan), jadi kerugiannya amat besar untuk ditanggung.

“Keduanya, ramai rakyat kata yang rugi itu adalah usahawan besar, mereka tanggunglah, tetapi kita jangan lupa jika sebuah syarikat besar ditutup kerana kerugian, yang jadi mangsa adalah rakyat, pekerja-pekerja,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk “Disiplin Diri Demi Negara” di Bernama TV malam tadi.

Menurutnya kerajaan menjangkakan lebih daripada sejuta pekerja mungkin kehilangan pekerjaan sekiranya PKP tidak dilonggarkan serta berterusan sehingga Jun ini.

“Itu yang bekerja, (tetapi bagi) yang berniaga sendiri, sesetengah itu perniagaan mikro yang kecil-kecil ini, mereka bergantung kepada pendapatan harian mereka untuk hidup. Jadi mereka bercakap bukan soal untung rugi, tetapi soal sama ada mampu untuk meneruskan kehidupan dari segi perniagaan mereka. Jadi banyak pertimbangan yang kita (kerajaan) lakukan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata fokus kerajaan kini adalah terhadap kluster yang dijangkiti Covid-19 dan dari segi lokaliti bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

“Sekarang kita fokus kepada lokaliti. Katakan (contohnya jika) tiba-tiba berlaku PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) di Chow Kit, di Kampung Baru atau seluruh Kampung Baru, jadi kita ‘lock’ satu Kampung Baru, tidak perlu kita ‘lock’ sampai ke Perlis,” jelasnya.

Katanya tidak adil untuk kerajaan membuat sekatan terhadap sesebuah negeri yang kesemuanya kawasannya Zon Hijau Covid-19, hanya kerana ada kawasan-kawasan di negeri lain yang mempunyai Zon Merah.

Dalam aspek pergerakan rentas negeri, beliau berkata Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dianggap sebagai Lembah Klang, dan sehubungan itu tiada masalah dalam soal pergerakan.

Dalam pada itu, berhubung isu pendatang asing tanpa izin, Ismail Sabri menegaskan tindakan kepada kelompok terbabit tetap sama, sama ada sebelum, semasa atau selepas PKP.

“Kita tidak boleh kata, kita lepaskan kamu (pendatang tanpa izin) sebab kamu datang waktu Covid-19. Tak boleh, sebab kalau begitu kita beri signal yang salah bukan sahaja kepada rakyat kita tetapi juga kepada yang bakal nak jadi pendatang asing tanpa izin (untuk datang ke Malaysia),” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP Bersyarat: Imbangi aspek kesihatan, ekonomi demi rakyat

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula sejak Isnin lalu, menerima pelbagai reaksi daripada rakyat.

Langkah kerajaan mendapat reaksi positif kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk kembali bekerja dan menjana pendapatan, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas susulan PKP sejak 18 Mac yang memaksa sebahagian besar penduduk di negara ini berada di rumah bagi mengekang wabak Covid-19.

Bagaimanapun, wujud perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat terhadap penularan Covid-19 walaupun PKP terbukti berjaya mengurangkan wabak itu di negara ini.

Pakar ekonomi bebas Dr Baayah Baba berkata keputusan kerajaan membenarkan sektor ekonomi tertentu beroperasi semula secara terkawal dapat membantu rakyat di akar umbi memulihkan semula mata pencarian mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan PKP.

Beliau berkata sekiranya kerajaan tidak membuka sektor ekonomi, kesan jangka panjang banyak pihak akan terjejas antaranya rakyat kemungkinan kehabisan wang simpanan, syarikat tidak lagi dapat menjana pendapatan kerana kehilangan sumber dan golongan peniaga kehilangan modal.

“Malah kerajaan juga tidak lagi berupaya memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat kerana peruntukan yang boleh dikeluarkan mungkin turut terjejas akibat pembangunan ekonomi yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Malah Baayah berkata keputusan membuka sektor ekonomi secara beransur-ansur juga dapat membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal penularan Covid-19 yang tidak dijangka di kemudian hari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 pada 1 Mei berkata Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Muhyiddin berkata jumlah kerugian ketika itu dianggarkan sekitar RM63 bilion dan jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Hakikatnya, walaupun banyak sektor ekonomi dan sosial telah dibuka, bukan bermakna kerajaan tidak melihat kepada kepentingan untuk turut melindungi rakyat dalam aspek kesihatan ketika Covid-19 masih lagi menjadi wabak yang cukup digeruni di peringkat global.

Oleh itu, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) KKM amat penting dan rakyat perlu mengamalkan normal baharu dalam kehidupan mereka ketika ini dengan penekanan penting adalah mengelakkan perhimpunan besar-besaran dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Dalam mengimbangi aspek kesihatan dan ekonomi, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai yang tidak mempunyai keperluan berada di luar, perlu terus duduk di rumah kerana tujuan kelonggaran diberikan ketika ini adalah untuk memulihkan serta menjana ekonomi dan bukan tujuan bersosial.

Katanya rakyat perlu memainkan peranan penting dalam memastikan SOP yang ditetapkan KKM dipatuhi sepenuhnya dan perlu berdisiplin selain berusaha melindungi diri dalam tempoh PKPB ini dengan mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat kerja seperti dinasihati KKM.

Malah majikan perlu berusaha menyediakan tempat kerja yang bersih dan dilengkapi dengan cecair pembasmi kuman di kawasan yang sering disentuh termasuk di pemegang pintu, tangga, kaunter dan lif.

Dr Hanafiah turut mencadangkan waktu kerja anjal kepada kakitangan selain mengadaptasi bekerja dari rumah yang menjadi normal baharu sejak PKP dilaksanakan.

“Majikan perlu kurangkan jumlah kakitangan kepada hanya separuh daripada mereka dibenarkan datang ke pejabat dan separuh bekerja dari rumah atau bergilir. Adaptasi normal baharu ini dapat membantu ekonomi terus pulih secara beransur-ansur tanpa mengabaikan kesihatan pekerja secara keseluruhannya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Utama keselamatan ketika rentas negeri, patuhi arahan kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memasuki hari keempat pelaksanaannya hari ini tertumpu kepada proses rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas berikutan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu, pulang ke kediaman masing-masing.

Malah, Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara bermula hari ini sehingga Ahad.

Orang ramai yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal malah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya termasuk gerai makan dan surau ditutup untuk kegunaan orang awam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Rabu berkata hanya penggunaan tandas di kawasan R&R sahaja dibenarkan dalam usaha kerajaan mengekang dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan orang ramai yang terkandas pulang ke kediaman masing-masing.

Hari ini juga merupakan cuti umum sempena sambutan Hari Wesak.

Memahami sambutan kali ini diraikan dalam keadaan yang mencabar ekoran penularan wabak Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya semalam berkata perayaan itu pastinya tetap disambut oleh penganut agama Buddha bersama ahli keluarga.

Negara mencatatkan 6,428 kes dan 107 kematian akibat Covid-19 dan yang membanggakan adalah sebanyak 135 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, tiga kali ganda daripada kes baharu disahkan dijangkiti virus itu iaitu 45 kes setakat 12 tengah hari semalam.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu berkata pihaknya akan terus berusaha mempergiatkan aktiviti pengesanan jangkitan Covid-19 khasnya dalam kalangan pekerja asing yang berada di Zon Merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Keadaan di lebuh raya dan situasi semasa orang ramai dalam menghadapi PKPB pastinya akan terus menghiasi platform media sosial hari ini sebagai antara medium terpantas untuk mendapatkan maklumat. Semak sebelum sebar. Jangan jadi mangsa berita palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh rehat sehari, dua jika jalan rentas negeri jauh

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang melaksanakan perjalanan rentas negeri yang jauh untuk berehat sehari atau dua di negeri berkenaan, kata menteri kanan (kluster keselamatan)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata namun sebaiknya individu terbabit digalakkan untuk pulang terus ke kediaman selepas selesai urusan rentas negeri dilaksanakan.

“Mulai esok melalui Gerak Malaysia, perjalanan rentas negeri bermula dengan Kuala Lumpur, jadi bagi mereka yang mungkin hendak ambil anak di kampung, boleh ambil dan kemudian kembali semula ke Kuala Lumpur.

“Kalau mereka ingin tinggal satu atau dua hari di kampung, mereka boleh rujuk jadual pergerakan dikeluarkan polis, contoh kalau perjalanan itu jauh dari Kuala Lumpur ke Perlis, mungkin tidak sempat nak balik (Kuala Lumpur) jadi kita benarkan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Berikut adalah jadual pergerakan merentas negeri:

7 Mei 2020 – Kuala Lumpur

8 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan

9 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang

10 Mei 2020 – Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai mematuhi beberapa perkara sepanjang perjalanan antaranya:

– Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat

– Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat jemaah tidak dibenarkan

– Hanya tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi

– Kawasan tempat letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna tidak dibenarkan keluar dari kereta kecuali ke tandas

– Stesen minyak hanya beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam sepanjang lebuh raya

– Pengguna adalah dilarang sama sekali untuk melakukan aktiviti berkumpulan ketika dalam perjalanan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan tumpu kawasan orang ramai – KPN

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan yang ditubuhkan oleh polis ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti premis makanan, stesen bas dan pasar raya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tugas mereka adalah memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa semalam dipatuhi.

“Ini termasuk menjaga jarakan sosial. Tugas polis kali ini adalah menasihati,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata polis menubuhkan pasukan petugas khas operasi pematuhan untuk memantau dan menguat kuasa SOP sepanjang pelaksanaan PKPB.

Selain polis, turut diberi kuasa untuk menguatkuasakan pelaksanaan PKPB ialah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Pendakian, khemah di hutan dilarang

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Sebarang aktiviti kegiatan pendakian, perkhemahan atau jungle trekking dalam hutan di seluruh Semenanjung tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata ini kerana perkara itu antara senarai aktiviti yang dilarang Majlis Keselamatan Negara di bawah perkara 17 Pengurusan Perhutanan.

“Perkara 17 Pengurusan Hutan, tidak membenarkan aktiviti ekopelancongan hutan dan latihan perhutanan. Sekatan ini melibatkan aktiviti seperti mendaki, menyelusuri air terjun atau mana-mana sukan lasak dalam hutan termasuk di Taman Eko Rimba (TER).

“Saya berharap orang ramai menghormati keputusan yang telah ditetapkan kerajaan walaupun terdapat permintaan tinggi supaya ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Yussainy berkata sekatan itu juga termasuk kepada aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan atau berseorangan.

“Apabila ada banyak kumpulan kecil yang masuk dalam hutan, maka akan ramai juga jumlahnya. Jadi keadaan ini sukar untuk dikawal apatah lagi hutan adalah kawasan yang berisiko tinggi sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Mohd Yussainy berkata, mana-mana individu yang didapati gagal mematuhi larangan penguatkuasaan ini boleh disabitkan di bawah Akta Perhutanan Negara, Seksyen 47 (1) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdapat sebanyak 113 TER dan 14 hutan taman negeri yang terdapat di seluruh Semenanjung di bawah pengawasan jabatan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Penjawat awam boleh kerja waktu anjal, dari rumah

PUTRAJAYA, 3 MEI: Ketua jabatan boleh mempertimbang dan memberi kelonggaran kepada sebahagian pegawai awam untuk menggunakan waktu kerja anjal manakala sebahagian lagi bekerja di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menerusi surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat semasa PKPB berkata, kelonggaran itu boleh dibuat sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar penggunaan sumber manusia dapat dioptimumkan.

Ini, katanya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap yang baik dan efektif serta mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan penjawat awam.

“Pertimbangan dan kelonggaran kepada mana-mana pegawai untuk bekerja dari rumah sama ada secara penggiliran atau sepanjang tempoh yang ditetapkan hendaklah berasaskan bahawa urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa bermula 4 Mei di bawah PKPB, dan semua pejabat kerajaan juga akan beroperasi sepenuhnya mulai tarikh berkenaan.

Mohd Khairul Adib berkata bagi pegawai awam yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan, ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai berkenaan untuk bekerja dari rumah.

“Bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khairul Adib berkata ketua jabatan juga hendaklah memastikan pematuhan kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan JPA sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

Arahan itu pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Bersyarat: Selangor beri taklimat lihat kesediaan PBT pantau operasi

SHAH ALAM, 2 MEI: Selangor akan mengadakan taklimat esok bagi melihat kesediaan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau beberapa sektor utama sebelum membenarkan operasi bermula Isnin ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan kewujudan kes atau kluster Covid-19 baharu.

“Banyak ruang lingkup tugas dan kerja di bawah PBT. Kita akan menentukan kesediaan itu dan berapa peratus boleh membuka keseluruhan operasi dan sektor dibenarkan.

“Jika kita benarkan dengan SOP tetapi tidak dipantau dengan baik, ia akan menimbulkan kekacauan dan mungkin mewujudkan kes dan kluster baharu. Kita cuba elakkan hal tersebut,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat sidang khas di Bilik Gerakan Covid-19 Selangor hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan bermula 4 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Antaranya kebenaran operasi restoran dengan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara dan aktiviti sukan luar tidak melebihi 10 orang dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Categories
AGENDA NASIONAL

9 SOP perlu dipatuhi sepanjang PKP Bersyarat – KKM

SHAH ALAM, 2 MEI: Amalan penjarakan sosial satu meter dan kerap mencuci tangan antara sembilan tatacara operasi piawai (SOP) ditekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

KKM juga meminta orang awam menggunakan topeng muka selain setiap premis melakukan saringan kesihatan terhadap individu berkunjung.

“Perlindungan perlu diutamakan terhadap kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Mereka yang tidak sihat dan bergejala perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. Pengguna pengangkutan awam diminta mengamalkan penjarakan sosial dalam kenderaan,” kata KKM melalui hantaran di Facebook hari ini.

KKM turut menggalakkan transaksi secara dalam talian dan meminta semua pihak melaporkan segara kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat jangkitan virus.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan PKPB dilaksanakan bermula Isnin ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu juga atas nasihat KKM
berdasarkan data dikumpul dan amalan terbaik ditentukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).