Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benarkan anjur mesyuarat, seminar patuhi SOP

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, kursus dan latihan diadakan seperti biasa, namun perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

“Bagaimanapun tatacara operasi piawai (SOP) mengenai perkara itu sedang diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya akan umumkan SOP tersebut (nanti),” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana pada 18 Mac lalu, kerajaan tidak membenarkan acara berkenaan dianjurkan bagi membendung penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengangkutan awam kini boleh beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM, 11 JUN: Perkhidmatan e-panggilan dan teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa mengikut kapasiti kenderaan masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata bayaran tambang pula dibuat tanpa tunai dan penumpang serta pemandu diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera perlu dimuat turun bagi proses menjejak kontak rapat selain digalakkan membuat sanitasi selepas selesai operasi,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju membenarkan operasi bas ekspres dengan kapasiti penuh tanpa had masa mulai hari ini selepas mengambil kira kebanyakan perjalanan dari malam hingga subuh.

“Bagaimanapun, pengusaha bas perlu mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera atau manual dan memeriksa suhu badan mereka serta memakai pelitup muka,” katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pengangkutan awam termasuk bas, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini.

“Bagi kenderaan yang membenarkan penumpang berdiri, penumpang perlu mengawal kendiri penjarakan sosial supaya tidak berhimpit dan bersesak,” katanya.

Pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh tetapi perlu merekodkan suhu penumpang dan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan, jelasnya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Ke arah bebas Covid-19: Teruskanlah kawalan kendiri, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kes baharu Covid-19 yang mencatat angka terendah semalam iaitu dua kes sahaja petanda baik menunjukkan negara kita bakal menuju sifar kes sekali gus bebas daripada pandemik itu sedikit masa lagi.

Namun, ia semua bergantung kepada keampuhan rakyat melakukan kawalan kendiri mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) memandangkan tiada lagi kawalan pergerakan dan negara dalam fasa pemulihan.

Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam menyaksikan pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mengawal pergerakan di sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menangguhkan tugas mereka dan menumpukan kepada pematuhan SOP pula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis menarik balik semua sekatan jalan raya kecuali di kawasan lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

Petugas pembersihan R&R Nilai Selatan membersihkan meja sebagai persiapan sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengguna PLUS pada 10 Jun 2020. Foto BERNAMA

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula akan terus membantu polis iaitu memastikan pematuhan SOP seperti di pasar awam dan pasar malam serta di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam tempoh PKPP ini.

Perlu diingat juga, SOP menaiki kenderaan persendirian iaitu empat penumpang atau mengikut kapasiti kenderaan dengan syarat dari rumah dan keluarga yang sama, kekal walaupun ketika tempoh PKPP ini.

Bagi sektor pendidikan pula, semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.

Beliau berkata ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Jemaah masjid menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Masjid Sultan Azlan Shah pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Pihak berkuasa agama beberapa negeri turut mengumumkan kapasiti jemaah solat berjemaah di masjid dan surau ditambah berbanding semasa PKPB.

Antaranya Perlis yang mempertingkatkan jumlah jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing, mengambil kira pematuhan SOP dan jarakan dua meter antara jemaah.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes positif baharu Covid-19 adalah paling rendah dicatatkan negara sejak pelaksanaan PKP dengan hanya dua kes dan tiada penularan dalam negara.

Ia menjadikan jumlah kumulatif terkini 8,338 kes dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 1,206 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun jika langgar SOP di R&R, tempat awam

SHAH ALAM, 10 JUN: Masyarakat diingatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam atau bakal dikenakan kompaun, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tumpuan kini diberikan terhadap pematuhan SOP selepas tiada lagi sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan masyarakat walaupun kerajaan beri kebebasan bergerak dan merentas negeri, namun mereka sentiasa dalam pemantauan pihak berkuasa.

“Kompaun akan dikeluarkan jika ada yang melanggar SOP di hentian rehat dan rawat (R&R) ketika pulang ke kampung dan ketika berada di tempat awam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Ogos dengan lebih banyak
kelonggaran diberikan antaranya kebenaran rentas negeri dan aktiviti ekonomi kembali beroperasi mengikut SOP ketat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peraturan PKP Pemulihan diwarta

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Peraturan-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mula berkuat kuasa hari ini diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan.

Mengikut warta berkenaan yang kini boleh dimuat turun daripada laman sesawang Jabatan Peguam Negara, aktiviti yang dilarang dalam tempoh penguatkuasaan PKPP sehingga 31 Jun ialah:

1.Penganjuran acara dan pertandingan sukan

2. Sukan sentuh

3. Aktiviti taman tema air dan taman air

4. Aktiviti kolam renang (selain aktiviti kolam renang di rumah persendirian dan di kolam renang untuk kegunaan persendirian di premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]) kecuali untuk latihan atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020

Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Mac 2020 yang
lengang susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Foto BERNAMA

5. Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia

6. Aktiviti di pusat karaoke, tempat permainan kanak-kanak di pusat membeli-belah dan pusat hiburan keluarga

7. Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam

8. Menyedang pakaian, penggunaan bilik acu di kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen di kedai dan menyediakan sampel penguji kosmetik di kedai

9. Aktiviti refleksologi dan urut di pusat kesihatan dan kecantikan

10. Aktiviti kapal persiaran

11. Apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan

Menurut warta itu, peraturan-peraturan berkenaan hendaklah terpakai bagi kawasan tempatan jangkitan yang diisytiharkan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 [P.U. (A) 87/2020] sebagaimana yang dilanjutkan dari semasa ke semasa.

Seperti fasa Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, di bawah pewartaan PKPP ini, orang ramai tidak dibenarkan keluar masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, kecuali yang memberikan perkhidmatan jagaan kesihatan dan perubatan atau yang diberikan kebenaran oleh pegawai diberi kuasa.

Notis penjarakan sosial diletakkan di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bagi mengawal penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Peraturan tersebut juga melarang sebarang aktiviti perarakan, manakala perhimpunan, termasuk bagi aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadat adalah tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Begitu juga dalam isu pengangkutan awam, jumlah maksimum kapasiti penumpang yang boleh dibawa menaiki sama ada pengangkutan darat, laut atau udara adalah tertakhluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Seperti yang diumum kerajaan, di bawah peraturan ini, mana-mana warganegara, pemastautin tetap, ekspatriat, kor diplomatik, atau mana-mana orang asing yang dibenarkan Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba, sebelum diberi pelepasan imigresen.

Mereka juga hendaklah mematuhi apa-apa arahan pegawai diberi kuasa dan sekiranya mereka diarahkan menjalani kuarantin di rumah, individu tersebut harus memakai gelang tangan yang disediakan.

Pegawai yang diberi kuasa juga boleh meminta apa-apa maklumat yang berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit daripada mana-mana orang atau kumpulan orang.

Di bawah peraturan berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan boleh mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa jua cara kepada sesiapa sahaja yang melakukan, menganjurkan, mengusahakan, atau yang terlibat dalam aktiviti selain aktiviti yang dilarang, supaya mengambil langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan atau arahan, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi sekatan jalan raya rentas negeri tengah malam tadi

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara dihentikan mulai tengah malam tadi selepas kerajaan membenar pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias bagaimanapun berkata pihaknya masih melaksanakan sekatan jalan raya bagi tugasan khas seperti Op Mabuk dan samseng jalanan.

“Sekatan jalan raya rentas negeri yang didirikan ditutup mulai tengah malam tadi, namun Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan menjalankan sekatan jalan raya untuk operasi tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak menuju ibu negara mendapati anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya mula mengalihkan kon serta khemah yang terletak di sekatan jalan raya rentas negeri di lokasi itu.

Beberapa kenderaan juga dilihat mula masuk ke ibu negara serta keluar menuju pantai timur untuk ke destinasi masing-masing bermula 12 tengah malam ini dengan lancar.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh singgah R&R mulai hari ini, tapi perlu ikut SOP

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Bagi yang merancang perjalanan rentas negeri mulai hari ini, mereka boleh singgah berehat dan menunaikan solat di surau yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing.

Bagaimanapun, pembukaan itu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.

Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini, menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi sehingga 31 Ogos.

Sebelum ini, rakyat Malaysia bukan sahaja tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah pelbagai aktiviti tidak dapat dilakukan sebagai usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Turut diumumkan, restoran, gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai serbaneka dan runcit, yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, kini dibenarkan sehingga 12 tengah malam.

Seorang pengunjung mengambil peluang membeli-belah setelah kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei 2020 mengikut SOP ketat. Foto BERNAMA

Kepada ibu bapa pula, mereka boleh menghilangkan kebosanan anak-anak yang ‘terkurung’ hampir tiga bulan di rumah dengan beriadah di Zoo Negara dan zoo lain kerana premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi.

Namun, dalam keterujaan mengunjungi premis dibenarkan, rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi SOP ditetapkan malah mereka perlu beringat bahawa segala aktiviti dilakukan adalah di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan pemantauan kepada pematuhan SOP di premis perniagaan dan kawasan awam selaras penguatkuasaan PKPP.

Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun.

Dalam perkembangan lain, setakat 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatat kes Covid-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara melibatkan kalangan warganegara.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu mengulangi pesanan agar rakyat negara ini sentiasa mematuhi SOP, mengamalkan normal baharu selain menjaga kebersihan diri masing-masing.

Ini sebagai menghargai penat lelah barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus membantu merealisasikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan untuk memastikan negara bebas Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sempadan negara dibuka jika kes Covid-19 kekal satu angka

SHAH ALAM, 8 JUN: Cadangan pembukaan semula sempadan negara akan dibuat jika kes Covid-19 di Malaysia kekal satu angka semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan akan dibuat sepanjang fasa pemulihan selepas kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran operasi pelbagai sektor.

“Kalau penularan dalam negara boleh dikawal, maka kita akan pertimbang membuka kawalan sempadan antarabangsa dengan melihat konsep ‘green bubble’ jika negara itu mempunyai rekod zon hijau baik.

“Bagaimanapun, kita harus menilai tatacara operasi piawai (SOP) antara kedua-dua negara terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga perlu berbincang dengan negara asing untuk mengetengahkan konsep tersebut sebelum memutuskan kebenaran membuka sepenuhnya pintu kawalan sempadan.

“Jika ada kriteria pelaksanaan SOP mungkin kita boleh melaksanakannya (membuka pintu sempadan) tetapi ia bergantung kepada perbincangan dan persetujuan dua negara,” katanya.

PKPP bermula 10 Jun ini membenarkan orang ramai merentas negeri kecuali kawasan yang dikenakan PKP Dipertingkatkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Hampir semua aktiviti sosial dibenarkan mulai Rabu ini

SHAH ALAM, 7 JUN: Hampir semua aktiviti sosial meliputi pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat mulai 10 Jun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun semua aktiviti dan pembukaan premis perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Aktiviti komersial membabitkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan termasuk lawatan ke muzium, busking dalaman, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi seperti kolam pancing dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di media utama.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat diganti dengan PKP Pemulihan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.