Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 70 belia berminat sertai program jaminan bekalan makanan

AMPANG, 27 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima 78 penyertaan daripada golongan belia yang ingin menyertai program jaminan bekalan makanan agropreneur.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata program di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bermula pertengahan Ogos akan menyediakan tanah, modal pusingan dan bimbingan bagi menarik peserta terbabit untuk menjadi usahawan agro.

“Selain permohonan di bawah PKPS, Unit Perancang Ekonomi Negeri juga mempunyai senarai peserta dan akan digabungkan semuanya. Sesi pemilihan akan dibuat awal Ogos yang diputuskan EXCO industri asas tani (Ir Izham Hashim),” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui pada program sumbangan bakul makanan di Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di sini hari ini.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

PKPS mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada agropreneur itu dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

Agensi itu juga akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan PKPS, anak syarikat pertama Kerajaan Negeri jadi sukarelawan PPV

SHAH ALAM, 9 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjadi anak syarikat pertama negeri ini menggerakkan kakitangan sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua pegawai eksekutif kumpulan berkata seramai 86 pekerja terlibat program berkenaan dan telah bertugas sejak Mei lalu di PPV Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19.

“Langkah ini bukan sahaja membantu petugas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) tetapi juga dapat mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat negeri ini.

“Usaha ini berterusan supaya matlamat membentuk imuniti kelompok dapat dicapai segera. Jumlah sukarelawan mungkin akan ditambah berdasarkan keupayaan tenaga kerja,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin menerusi kenyataan.

Semalam beliau menyertai lawatan Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman di PPV berkenaan.

Sementara itu, Dr Sha’ari menggalakkan lebih ramai kakitangan agensi Kerajaaan Negeri menjadi sukarelawan memandangkan hampir 130,00 individu perlu disuntik setiap hari.

“Sama ada syarikat kerajaan (GLC), anak syarikat atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berminat menjadi sukarelawan boleh hubungi JKNS atau Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS serah bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court

PETALING JAYA, 1 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyerahkan 3,500 pek makanan kepada penduduk Mentari Court, PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan berupa beras, tepung, gula, sardin, minyak masak dan serbuk teh itu dijangkakan mampu menampung keperluan penduduk selama dua minggu.

“Ini merupakan bantuan kedua untuk kawasan dikenakan PKPD. Awal bulan lalu kita serahkan lebih 1,000 pek makanan termasuk barangan basah untuk penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, Sabak Bernam.

“PKPS bersedia menghulurkan bantuan ke kawasan PKPD lain sekiranya mendapat arahan daripada Kerajaan Selangor. Kita akan membantu penduduk terkesan sebaik mungkin,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan terbabit kepada Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar.

Selain Mentari Court, kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dibuat selepas kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dikesan di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Arahan Berpusat ditubuh bantu petani terjejas

SHAH ALAM, 21 JUN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menubuhkan Pusat Kawalan Berpusat (CCC) untuk menangani isu lambakan komoditi pertanian di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata petani terjejas boleh menghubungi talian khas CCC, 019-316 2400 atau emel [email protected]  untuk membuat aduan.

“CCC bertempat di Wisma PKPS memastikan aduan petani diproses segera. Petugas CCC akan memeriksa kesahihan laporan sebelum Kumpulan Tindakan Krisis (CAT) turun padang membuat pemeriksaan dan membeli hasil tani.

“Setakat ini pihak kami menerima 70 aduan membabitkan petani terkesan di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Klang dan Sepang,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Beliau berkata PKPS turut menubuhkan Jawatankuasa Penentuan Harga Belian bagi memastikan petani mendapat pulangan munasabah serta pengguna membeli dengan harga berpatutan.

“Jawatankuasa Logistik pula ditubuh untuk menguruskan pengambilan, pengangkutan dan penghantaran semua komoditi pertanian dari ladang sehingga ke 11 pusat jualan,” katanya.

Lokasi tersebut adalah;

1) Pusat Jualan Wisma PKPS, Shah Alam
2) Pusat Jualan Holysmoke Café, Seksyen 13 Shah Alam
3) Pusat Jualan Wisma Sidah, Seksyen 7 Shah Alam
4) Pusat Jualan Meru, Klang
5) Pusat Jualan Agrosel Kota Raja, Klang
6) Pusat Jualan Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya
7) Pusat Jualan Agrosel Bangi, Bangi
8) Pusat Jualan Agrosel Pandan
9) Pusat Jualan FAMA Puchong
10)Pusat Jualan FAMA Dengkil
11)Pusat Jualan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPS buka peluang jadi ejen, bantu jual hasil tani

SHAH ALAM, 21 JUN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempelawa orang ramai menyertai program Rakan Agro Prihatin Selangor (RAPS) sebagai ejen jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif,  Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata ejen RAPS berpeluang menambah pendapatan dengan membantu pihaknya menjual lambakan komoditi petani dan pekebun kecil di negeri ini.

“Mereka yang dilantik sebagai ejen RAPS akan membantu PKPS memasarkan hasil pertanian dengan kaedah tersendiri dan berpeluang mendapat peratusan daripada hasil jualan.

“Hasil pertanian tersebut antaranya peria, cili, terung, tomato, jagung, kacang panjang, bayam, kangkung, pisang, nenas dan nangka membabitkan keluasan ladang lebih 320 ekar di seluruh Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua maklumat jualan serta kaedah pendaftaran akan dikongsikan di laman instagram rasmi PKPS iaitu myPKPS dan Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

“Program Agro Prihatin Selangor yang dilancar sejak 2 Jun berjaya membantu 26 petani dan pekebun kecil yang menghadapi masalah lambakan komoditi pertanian seberat 11.45 metrik tan bernilai RM24,602,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih RM13 juta laksana program bantu petani, penternak

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta terhadap sektor pertanian bagi membantu golongan petani dan penternak yang terkesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

“Program jaminan bekalan makanan menawarkan modal pusingan kepada petani dan ia dikendalikan menerusi usahasama dengan Agro Bank.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menyasarkan kelahiran 1,000 petani dalam tempoh lima tahun selain mewujudkan beberapa cawangan pemasaran kekal dan bergerak (mobile) bagi melengkapkan kitaran rantaian makanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berhubung Program Agro Prihatin, beliau menjelaskan PKPS akan membeli hasil usaha kira-kira 200 petani bagi mengelakkan masalah lambakan hasil yang kemudian dijual dengan tawaran harga 50 peratus.

“Program peningkatan hasil menjadi pelengkap usaha sebelum ini. Kerajaan Negeri akan memberi bantuan bahan kawalan perosak, benih padi sah MR219, bantuan mengeluarkan produk baharu dan melabuhkan tukun tiruan.

“Ini membolehkan petani dan penternak meningkatkan hasil masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPS beli lambakan hasil tani, jual murah 50 peratus

SHAH ALAM, 2 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membelanjakan RM500,000 untuk membeli jagung, cili dan pisang bagi mengatasi lambakan hasil tani.

Dato’ Menteri Besar berkata semua produk pertanian seberat 126 metrik tan dijual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 12 lokasi terpilih.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini membantu 21 pengusaha terjejas yang tidak dapat memasarkan hasil pertanian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam.

“Perkembangan lambakan hasil pertanian dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak mereka kerugian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melancarkan Program Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Petani yang terjejas boleh menghubungi talian 019-3162400 untuk maklumat lanjut.

Berikut lokasi jualan hasil tani tersebut:

– Wisma PKPS Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 7 Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 9 Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 13 Shah Alam
– Pusat Operasi PKPS Meru, Klang
– Pusat Operasi PKPS Pandan
– Pusat Operasi PKPS Tanjung 12, Kuala Langat
– Pusat Operasi Agrosel, Bangi
– Pusat Operasi Selangor Fruit Valley, Rawang
– Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Dengkil
– Pusat Operasi Fama Puchong
– Pusat Operasi Fama Kelana Jaya

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS pegang teguh dasar NDPE bangunkan tanah tani

SHAH ALAM, 27 MEI: Hab sekuriti makanan di Changkat Menteri, Sabak Bernam didirikan mengikut prinsip NDPE iaitu tiada penebangan hutan, penanaman di tanah gambut dan eksploitasi.

Bagaimanapun, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata projek rintis di tapak Selangor Smart Agro Park (SSAP) itu belum bermula kerana mahu memastikan segala syarat dipatuhi.

“Kami beri jaminan segala kehendak dasar NDPE akan dipatuhi secara telus dan teliti.

“PKPS juga akan terus bekerjasama dengan agensi lain serta pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan ekosistem dan habitat di kawasan SSAP terpelihara,” kata perbadanan menerusi kenyataan.

PKPS menjelaskan projek tersebut adalah perancangan Kerajaan Selangor dalam memastikan jaminan bekalan makanan di negeri ini terjamin.

Pada 26 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan projek pertanian atas tanah seluas 2,400 ekar milik PKPS bagi memastikan kelangsungan bekalan di seluruh negeri.

Antara tanaman yang bakal diusahakan ialah jagung, pisang, cili, nenas dan kelapa.

Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang dibentang pada 13 Julai 2020 menekankan tiga tonggak utama dalam menangani dampak Covid-19.

Usaha meliputi jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan nilai ekonomi berjumlah RM55.85 bilion.

Langkah-langkah tersebut meliputi:

1. Menambah pembukaan kawasan pertanian di atas tanah milik kerajaan dengan mewartakannya serta
penggunaan tanah yang belum dimajukan

2. Meningkatkan aktiviti pengeluaran di Kawasan Tanaman Kekal Pertanian Makanan (TKPM)

3. Memperkasa PKPS dalam aktiviti pertanian makanan dan menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di Selangor

4. Meningkatkan jumlah insentif kepada agropreneur seperti input pertanian, baka ternakan dan peralatan khususnya golongan nelayan

5. Menggiatkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan akuaponik, projek tanaman bertingkat dan penggunaan teknologi seperti dron, sensor dan aplikasi dalam talian

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pascanilai setiap minggu, PKPS tambah baik program pasar bergerak

SHAH ALAM, 31 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat pascanilai menyeluruh pada setiap minggu bagi menambah baik program Lori Selangor Agro Market.

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata perbincangan bersama rakan strategik termasuk mengenal pasti lokasi penganjuran berikutnya.

“Kalau boleh kita mahu program ini diperluas ke seluruh Selangor dan beroperasi setiap hari supaya tiada isu terputus bekalan makanan, namun pemilihan lokasi penting mengikut keperluan.

“Apatah lagi PKPS berhasrat mewujudkan program keusahawanan kepada individu hilang kerja yang memiliki kenderaan bersesuaian bagi meneruskan perkhidmatan ini,” kata Siti Noor Lianna Misli pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di sini semalam.

Beliau berkata jualan berkonsep kendera saji itu menerima sambutan menggalakkan dengan penduduk setempat beratur seawal jam 7.30 pagi bagi mendapatkan barangan makanan segar.

“Kita lihat keperluan dan permintaan komuniti sangat tinggi, jadi inisiatif ini penting buat mereka. Saya terharu dengan kerjasama wakil rakyat setempat yang membantu menjayakannya,” kata Noor Lianna.

Pasar bergerak PKPS berada di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari, Pandan Indah, Ampang pada 24 Januari dan akan diteruskan di Seksyen 16 serta Seksyen 24, Shah Alam pada minggu hadapan bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS hasrat buka pusat kumpul barang makanan di Klang, Rawang

SHAH ALAM, 30 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenal pasti dua lagi pusat operasi pengumpulan barangan basah dan kering untuk kemudahan pasar bergerak.

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata lokasi meliputi Meru, Klang dan Selangor Fruits Valley, Rawang dengan barangan dijual kepada komuniti setempat.

Siti Noor Lianna Misli memaklumkan kedua-dua pusat itu dibangunkan sebagai tambahan kepada lokasi pengumpulan sedia ada di Wisma PKPS Seksyen 14, Shah Alam dan Dengkil.

“Melalui pusat operasi ini, perkhidmatan kepada pelanggan akan bergerak lebih laju sekali gus mampu menampung permintaan,” katanya pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di sini.

Beliau memaklumkan program Lori Selangor Agro Market ketika ini dijayakan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menyewakan peti dan ruang sejuk beku pada harga berpatutan bagi menjamin kualiti serta kesegaran produk.

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lori Selangor dapat sambutan, PKPS peroleh hampir RM8,000

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat jualan mencecah RM8,000 menerusi program Lori Selangor Agro Market setakat ini.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata perolehan itu melibatkan jualan sayur, buah-buahan, ikan dan ayam di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari serta Pandan Indah, Ampang (24 Januari).

“Perkhidmatan berkonsepkan kendera saji menerima sambutan menggalakkan berikutan barang basah dan kering ditawarkan segar dari ladang.

“Dalam tempoh tiga hingga empat jam kita mampu meraih pulangan lebih RM3,000,” kata Datuk Abdul Ghariff Ramin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menambah program lori prihatin diperkenal bagi memudahkan orang ramai memperoleh makanan segar dengan harga berpatutan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita sedar dalam tempoh ini pergerakan agak terhad, jadi perkhidmatan tersebut memberi kemudahan kerana pelbagai barangan segar dibawa terus ke kawasan perumahan atau taman berhampiran,” katanya.

Kenderaan itu akan berada di lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS cipta peluang kerja, jual barangan melalui pasar bergerak 

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenal pasti individu hilang pekerjaan yang memiliki lori atau van untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata peluang berniaga melalui Lori Selangor Agro Market membantu golongan terjejas meraih pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Datuk Abdul Ghariff Ramin menjelaskan individu terlibat akan dibekalkan produk dari ladang perbadanan itu untuk dijual kepada komuniti setempat.

“Selepas dikenal pasti, kita akan tampal pelekat tertera logo perkhidmatan sebelum boleh beroperasi secara bergerak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jelasnya, harga barangan makanan segar yang ditawarkan melalui lori bergerak PKPS murah 30 peratus berbanding pasaran bagi meringankan beban pembeli.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan harian malah mereka tidak perlu bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah,” kata Abdul Ghariff lagi.

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.