Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk terkesan PKP terima 3,000 bekalan ayam mentah

BATU CAVES, 24 JAN: Sebanyak 3,000 ekor ayam mentah diagihkan kepada penduduk berpendapatan rendah di tiga kawasan bagi mendepani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata barangan yang dibeli dari Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diedarkan melalui ketua kampung, ahli majlis dan ketua taman.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan agihan meliputi sekitar Sungai Tua, Gombak Setia dan Pandan Indah dengan masing-masing menerima 1,000 ekor ayam.

“Bagi mengelakkan penduduk berkumpul, kita beri kepada ketua kawasan. Bagi penerima sekitar Sungai Tua, mereka juga akan menerima sayur dan ikan sebagai bantuan tambahan,” katanya selepas mengagihkan bekalan tersebut di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Abdul Ghariff Ramin.

Amirudin berkata program ayam subsidi PKPS Prihatin, sebahagian usaha agensi itu melaksana tanggungjawab sosial korporat dengan seekor dijual pada harga antara RM5 hingga RM10.

“Harga ini jauh lebih rendah berbanding pasaran sekitar RM7.80 sekilo. Ini bermakna PKPS memberi subsidi antara RM3 hingga RM5 untuk setiap pembelian,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengguna: Harga barangan pasar bergerak PKPS murah

SHAH ALAM, 17 JAN: Program Lori Selangor Agro Market memudahkan orang awam memperoleh barangan makanan segar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suri rumah Asrina Maidin, 50, berkata perkhidmatan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memudahkan kebanyakan penduduk.

Asrina Maidin. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dengan lori bergerak, lebih mudah dapatkan barang basah dan kering kerana tidak perlu lagi beratur panjang seperti pasar tani ketika PKP,” ujarnya.

Roslina Tambong, 44, yang bekerja sendiri pula gembira kerana harga barang basah lori PKPS jauh lebih rendah daripada pasar raya.

“Mungkin PKPS boleh tambah lain-lain barang, jadi kita boleh beli semua yang diperlukan untuk memasak di satu tempat sahaja,” katanya.

Roslina Tambong. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kakitangan kerajaan Zainal Abidin Kassim, 53 berharap program itu diteruskan pada masa depan berikutan harganya berpatutan selain menjimatkan masa pengguna.

“Barangan juga berkualiti dan segar. Lokasinya dekat dengan rumah, jadi dapat jimatkan masa mencari parkir atau beratur di pasar raya,” katanya.

Zainal Abidin Kassim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Perkhidmatan berkonsep kendera saji bergerak mengikut jadual ke lokasi terpilih semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Bulan ini, lori berada sekitar sini sebelum dijadual ke Gombak dan Ampang bulan depan. Jadual lokasi boleh didapati menerusi Facebook PKPS.

Grafik: PKPS

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS sedia lori barang makanan ketika PKP, harga murah

SHAH ALAM, 15 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata kenderaan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Pengurus Kanan Tertinggi Pembangunan Institusi Pemasaran PKPS, Siti Noorlianna Misli ketika ditemuramah Selangorkini ketika jualan segar dari ladang anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita ambil inisiatif berkunjung ke kawasan perumahan supaya orang ramai boleh mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga lebih rendah berbanding pasaran memandangkan bekalan diambil terus daripada petani di bawah PKPS.

“Bulan ini, lori berada sekitar Shah Alam dan dijadual ke Gombak dan Ampang bulan depan. Kita akan uar-uarkan lokasi menerusi Facebook PKPS,” kata Siti Noor Lianna Misli di Medan Selera Seksyen 7 di sini hari ini.

Beliau juga menjelaskan PKPS juga ada perancangan jangka panjang untuk membangunkan program keusahawanan kepada individu yang memiliki lori sesuai bagi meneruskan perkhidmatan itu.

Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga lebih rendah berbanding pasaran memandangkan bekalan diambil terus daripada petani di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama PKPS-Fama tingkat kecekapan urus bekalan makanan

SHAH ALAM, 6 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) semalam memeterai perjanjian persefahaman (MoU) secara maya.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dapat menambah kecekapan pengurusan bekalan dan rantaian pemasaran agromakanan bagi menjamin bekalan makanan negeri ini.

“Kerajaan Negeri menyambut baik kesediaan Fama untuk bersama merencana hala tuju strategik isu jaminan bekalan makanan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya (kiri) dan Dato’ Nor Azmie Diron (kanan) menyaksikan MoU antara PKPS dan Fama secara maya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menumpukan sektor pertanian adalah rakan usahasama terbaik bagi merealisasikan hasrat perkongsian pintar ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

MoU berkenaan ditandatangani EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ketua Pengarah Fama Dato’ Zainal Abidin Yang Razali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata pengalaman dan pengetahuan teknikal Fama dalam mengendalikan kemudahan penyimpanan makanan atau pusat operasi (PO) menjadi teras kepada perkongsian strategik itu.

“PKPS sedang meneliti kaedah mengendali PO sendiri selain mengenal pasti lokasi strategik untuk membangunkan kemudahan ini supaya hasil pertanian diurus lebih baik,” katanya lagi.

Melalui MoU itu, PKPS dan Fama juga akan memanfaatkan perkongsian data pasaran, pangkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa.

Categories
BERITA UTAMA

PKPS: Ubah persepsi pertanian bidang orang kampung

SHAH ALAM, 16 OKT: Golongan muda diminta mengubah persepsi bahawa pertanian merupakan bidang orang kampung serta tidak menguntungkan.

Ketua pegawai operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata tanggapan tersebut menyebabkan kerjaya petani bukan pilihan utama sedangkan bidang tersebut berpotensi besar untuk berjaya.

“Kita kena buang persepsi kononnya bidang pertanian perlu diusahakan orang kampung sahaja, perkara ini kena ubah kerana bidang ini sama taraf dengan bidang lain malah mempunyai skop lebih meluas.

“Teknologi pintar membolehkan pertanian dilakukan di mana sahaja, jadi anak muda perlu sahut cabaran dan hubungi PKPS untuk mendapatkan nasihat serta peluang yang ditawarkan,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menerusi program Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah hari ini.

Beliau berkata agensi menerajui transformasi pertanian menjadi sektor moden dan kompetitif yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha.

“Hakikatnya bekalan makanan negara tidak cukup untuk keperluan domestik dan kita perlu memberi tumpuan kepada bidang ini demi kelangsungan bekalan.

“Ketika awal penularan Covid-19 memberi pengajaran kepada kita kepentingan bidang pertanian bagi menjamin bekalan makanan apabila kita tidak dapat import makanan,” katanya.

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Loji milik PKPS hasil lapan tan baja kompos sehari

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Loji pemprosesan baja kompos milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang terletak di daerah ini beroperasi sepenuhnya, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata loji bernilai RM4.5 juta itu mampu mengeluarkan lapan tan baja berkenaan sehari bagi memenuhi keperluan sektor pertanian di negeri ini.

“Hasil kerjasama PKPS dengan Taiwan, kita berjaya hasilkan baja kompos menggunakan tinja ayam dalam tempoh hanya tujuh hari berbanding tempoh sehingga 21 hari sebelum ini.

“Penggunaan mikrob dalam baja kompos boleh memulihkan kualiti tanah dengan cepat menjadi lebih subur sekaligus meningkatkan hasil tanaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham berkata pihaknya mempergiatkan kempen penggunaan baja berkenaan dalam kalangan petani di Selangor.

“Perancangan Kerajaan Negeri pada masa depan ialah memastikan sektor pertanian menggunakan baja kompos sepenuhnya yang tidak membawa kemudaratan kepada alam sekitar.

“Penggunaan baja kimia secara berlebihan dan berterusan terhadap tanaman menjadi antara penyumbang pencemaran alam sekitar kerana ia bukan saja merosakkan struktur tanah, malah turut mencemari sumber air berhampiran kawasan pertanian,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

50 usahawan Selangor Fruits Valley terima bantuan baja, jentera

SHAH ALAM, 18 JULAI: Seramai 50 usahawan Selangor Fruits Valley menerima bantuan pertanian daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pengurus besar kumpulan berkata sebanyak RM100,000 peruntukan disediakan dalam bentuk bantuan baja, peralatan dan jentera, malah usaha itu diperluas selepas ini.

“Kita dah bagi baja dua tan secara percuma kepada petani bagi pembelian setiap dua tan baja. Hampir semua usahawan kita mengambil kesempatan membeli dua tan baja. Yang lain kita bantu dengan jentera pada harga istimewa.

“Selain itu, sewaan lot tanah kita kurangkan untuk membantu mereka. Kita juga akan beri peralatan yang diperlukan Insya-Allah bermula bulan hadapan,” kata Tamby Omar Mohammed kepada Selangorkini.

Beliau menambah PKPS memperuntukkan RM3.5 juta untuk bekalan elektrik bagi memudahkan usahawan meningkatkan hasil pertanian.

Inisiatif jaminan bekalan makanan Selangor antara perkara ditekankan dalam pelan pemulihan ekonomi ketiga yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

Bagi menjayakan program Keselamatan Bekalan Makanan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta di samping memperkasakan peranan PKPS.

Categories
SELANGOR

MB ucap tahniah kepada PKPS menang dua anugerah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Usaha keras warga Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuahkan hasil apabila berjaya merangkul Anugerah ‘Gold Award Most Fastest Growing Agrotourism Park Category Platinum’ dan ‘Gold Award Agrotourism Initiative Programe’.

Sambil mengucapkan tahniah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu mengharumkan nama Negeri Selangor dalam sektor agro pelancongan.

“PKPS pada ketika ini telahpun berada pada landasan yang tepat untuk menjadi sebagai peneraju pengeluaran hasil-hasil pertanian secara komersial di Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, selain hasil kelapa sawit, PKPS telah memperindahkan Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai sebuah kawasan agro pelancongan yang menarik.

Katanya, di SFV terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti pertanian yang merangkumi hampir kesemua jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, ternakan dan juga projek ternakan madu kelulut.

Amirudin juga sempat mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang melawat FSV.

Categories
SELANGOR

Selangor hargai kepercayaan lantik Pengurus Besar PKPS ke Felda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Negeri menghargai kepercayaan dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap pengalaman dimiliki Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohammed.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, hal ini berikutan Tamby dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda.

“Pelantikan beliau berdasarkan kepada pengalamannya yang luas dalam bidang perladangan sawit dan pengurusan korporat.

“Kerajaan Selangor menghargai kepercayaan daripada Kerajaan Persekutuan dan berharap Tamby Omar akan memberikan khidmat terbaik kepada perkembangan Felda dan PKPS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Terdahulu, Tamby Omar merupakan antara individu bertanggungjawab dalam memastikan peningkatan prestasi kewangan PKPS sehingga berjaya membantu PKPS menjana keuntungan selepas beberapa tahun mengalami kerugian.

Kerajaan Negeri di bawah era Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini melahirkan ramai golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Selain Tamby Omar, kepakaran beberapa individu lain yang berkhidmat di bawah agensi Kerajaan Negeri dijangka turut digunakan Kerajaan Persekutuan dalam sektor tertentu di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri agih 1,200 ekor lembu sempena Aidiladha

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya (GLC) mengagihkan sebanyak 1,200 ekor lembu bernilai RM6.4 juta, kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor sempena Aidiladha tahun ini.

Ia membabitkan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari berkata, sumbangan lembu korban itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan segenap lapisan masyarakat, khususnya yang kurang berkemampuan dapat melaksanakan ibadah korban.

“Sepertimana kelaziman dan tradisi tahun-tahun sebelum ini, ia menyaksikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang serta sikap peduli rakyat yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap pentadbiran negeri.

“Uniknya pada tahun ini, Kerajaan Negeri menggunakan sistem ‘voucer’ supaya agihan lembu dapat dijalankan dengan lebih telus dan efisien.

“Senarai nama pembekal yang menepati syarat akan diberikan kepada setiap penerima dan terpulang kepada penerima untuk memilih pembekal masing-masing.

“Saya percaya kaedah ini membolehkan kesemua pihak termasuk penerima sumbangan berpuas hati dengan pemilihan lembu yang sudah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Perdana Agihan Lembu Korban peringkat Negeri Selangor Tahun 2018, di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia & Kebudayaan, di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; Sohibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Bagaimanapun, Amiruddin menggesa semua pihak supaya menjaga dan mengekalkan keharmonian kaum serta sentiasa menyemai semangat pengorbanan, bertepatan dengan tuntutan agama.

“Sempena Aidiladha, saya menyeru semua pihak supaya saling merapatkan saf ukhwah dan mengekalkan perpaduan di Selangor yang terkenal dengan masyarakat majmuknya.

“Ini kerana, jika kita inginkan satu perubahan positif kepada diri sendiri dan masyarakat, pengorbanan itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Pada masa sama saya yakin kita akan mengerti bagaimana konsep perkongsian kehidupan terutama dengan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mountain Bike SFV, promosi pelancongan sukan basikal Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BESTARI JAYA, 30 DIS: Penganjuran Mountain Bike Selangor Fruit Valley Challenge 2017 Cross Country Olympic XCO membuka peluang kepada prospek pelancongan sukan berbasikal negeri.

Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohammed berkata, penganjuran julung kalinya itu diadakan bagi menggalakkan aktiviti riadah berbasikal dalam komuniti dan belia setempat.

Beliau berkata, matlamat utama penganjurannya juga dilaksanakan bagi memberi gambaran sebenar tentang suasana dan kepelbagaian aktiviti di Selangor Fruit Valley.

“Program ini penting bagi PKPS dan Selangor Fruit Valley untuk meningkatkan penjenamaan Selangor Fruit Valley sebagai pusat sukan dan agro pelancongan.

“Sebagai kita maklum, Selangor Fruit Valley bercirikan sebuah kawasan pertanian mesra umum kepada semua.

“Tetapi dengan dipelbagaikan dengan aktiviti sukan, ia (tempat ini) akan menjadikannya lebih unik dan bukan hanya sekadar tempat pertanian semata-mata,” katanya kepada SelangorKini.

Seramai hampir 200 peserta mengambil bahagian dalam sepuluh kategori yang dipertandingkan dalam program itu.

Hadiah keseluruhan berjumlah RM30,200 turut diberikan kepada pemenang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penganjuran sukan ekstrem lain akan dianjurkan untuk tempoh akan datang di kawasan itu.

Katanya, ini termasuklah pembinaan laluan trek baru bagi penganjuran sukan kenderaan esktrem, akan datang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Ladang durian terbesar Selangor, jana pendapatan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BESTARI JAYA, 30 DIS: Sebuah ladang durian terbesar di negeri ini berkeluasan 400 ekar bakal diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Tamby Omar Mohammed berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di pusat pertanian Selangor Fruit Valley, dalam tempoh terdekat.

“Proses rundingan bersama agensi terlibat sedang dibuat bagi menjayakan hasrat ini.

“Namun ia bergantung kepada pelan jangka panjang dan rundingan berterusan yang akan dilaksanakan untuk tempoh selanjutnya,” katanya kepada SelangorKini.

Md Saad berkata, cadangan projek pembangunan itu dilaksakanakan bagi mempelbagaikan lagi tarikan terbaru di Selangor Fruit Valley.

“Cadangan asalnya, tanah sedia di penanaman getah itu akan diusahakan kawasan ladang durian baru yang dijangka akan memberi pulangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pada masa sama, ia akan menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk melawat ke Selangor Fruit Valley,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada Program Mountain Bike Selangor Fruit Valley Challenge 2017 Cross Country Olympic XCO, di Selangor Fruit Valley, pagi ini.

Untuk rekod, industri durian negara kini dilihat semakin berpotensi dan berkembang pesat dengan pengeksportan raja buah itu ke China.

Untuk rekod, durian Malaysia terutamanya Musang King mendapat sambutan luar biasa di negara itu dengan perolehan nilai pelaburan sekitar RM23 juta setahun.

=EZY=